Thursday, June 16, 2011

Bantuan Biasiswa Yayasan Selangor tanpa kira perkauman

SHAH ALAM: Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Y.B Dr Halimah Ali menafikan dakwaan MIC dan MCA kononnya Kerajaan Negeri Selangor Pakatan Rakyat (PR) dan Yayasan Selangor (YS) menimbangkan latar belakang agama dan kaum dalam memberikan bantuan biasiswa.

Bantuan Biasiswa Pelajaran yang diberikan oleh (YS) diberikan tanpa mengira kaum dan agama namun kaum Cina dan India kurang memberi sambutan kepada bantuan itu berbanding kaum Melayu. Beliau menjelaskan rekod pengambilan pinjaman pelajaran pada tahun 2000 sehingga 2011 menunjukkan pelajar bukan bumiputera iaitu Cina dan India tidak membuat permohonan pinjaman dengan (YS) sebaliknya membuat pinjaman dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang menawarkan jumlah pinjaman yang lebih tinggi.

"Manakala pada tahun 2011, (YS) mendapat 350 permohonan daripada bumiputera, daripada jumlah itu hanya 227 ditawarkan pinjaman kerana yang lain tidak menepati syarat dan sebagainya. Daripada 227 hanya 142 yang menerima tawaran.

"Ini adalah merupakan “trend” dan dari segi keperluan pinjaman itu sendiri samada pelajar tersebut mahukan atau tidak," katanya. Halimah berkata demikian mengulas dakwaan MIC dan MCA yang menuduh (YS) berat sebelah dalam memberikan biasiswa dan pinjaman pendidikan dan meminggirkan pelajar berbangsa Cina dan India.

"Kaum Tionghua hanya membuat 4 permohonan daripada 4, 2 sahaja yang ditawarkan pinjaman dan tidak ada daripada mereka menerima tawaran kerana rata-rata mereka mengambil kursus yang melebihi bantuan pinjaman yang ditawarkan”.

"Untuk pelajar kaum India pula, kita hanya menerima 19 permohonan dan 11 telah ditawarkan pinjaman, 6 menerima tawaran," Jelas Halimah. Beliau menambah lagi, (YS) hanya menawarkan jumlah biasiswa yang terhad iaitu sebanyak RM35,000 sahaja. Faktor itu memungkinkan kebanyakan pelajar tidak menerima tawaran tawaran tersebut.

Ulasnya lagi, (YS) giat menawarkan biasiswa dan pinjaman pendidikan kepada pelajar Selangor yang mendapat keputusan cemerlang, menerusi akhbar berbahasa Melayu, Cina dan India. "Ini membuktikan bahawa kerajaan negeri tidak berat sebelah dalam memberi bantuan pinjaman. (YS) telah mengiklan permohonan bantuan pinjaman tersebut di surat khabar Tamil (Makkal Ossai) dan surat khabar Cina dan Melayu," ujar Halimah.

Editor : khaulah azwar

No comments:

Post a Comment

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI