Thursday, May 26, 2011

Tanah Runtuh : Kerajaan Selangor Kenal Pasti Tapak Baharu



KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor sedang mengenal pasti sebidang tanah sesuai untuk membina premis baru bagi menempatkan kanak-kanak dari Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-Anak Kebajikan Madrasah Al-Taqwa, Hulu Langat kerana bangunan lama disahkan tidak selamat diduduki.

Ini berikutan tapak bangunan itu berhadapan dengan risiko tragedi tanah runtuh Sabtu lalu, sehingga menyebabkan 16 orang terbunuh serta disahkan sebagai tidak selamat.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengarahkan Pegawai Daerah Hulu Langat supaya mencari tapak baru yang lebih selamat di sekitar kawasan berkenaan untuk didirikan premis atau bangunan untuk kemudahan anak-anak yatim dan kanak-kanak lain yang mahu mendalami ilmu agama.

Kata beliau, kerajaan negeri akan menawarkan tapak baru yang akan dikenal pasti itu kepada Persatuan Anak-Anak Yatim Malaysia untuk dibina premis baru.

“Kita akan wartakan tapak ini sebagai tapak untuk rumah kebajikan anak-anak yatim dan Madrasah Al-Taqwa bolehlah memohon tapak berkenaan untuk membina bangunan baru dengan bayaran premium paling rendah,” kata Menteri Besar dalam satu kenyataannya hari ini.

Tambah Khalid, beliau turut mengulangi komitmen kerajaan negeri dalam membantu badan bukan kerajaan (NGO) yang memerlukan tapak untuk membina bangunan bagi melaksanakan program-program kebajikan dengan hanya mengenakan bayaran premium tanah sebanyak RM1.

“Bagaimanapun, NGO ini perlu mematuhi semua peraturan dan menjalin kerjasama dengan pihak berkuasa dalam melaksanakan program-program kebajikan bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai anak-anak yatim di Madrasah al-Taqwa, Khalid berkata, pihaknya kini sedang berusaha untuk menempatkan mereka di sekolah yang berada di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Kejadian tanah runtuh yang menimbus Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Kebajikan Madrasah Al-Taqwa, Felcra Semungkis, Batu 14, Hulu Langat itu berlaku sekitar jam 2.30 petang itu yang menimbuskan 25 mangsa, telah meragut 16 nyawa manakala sembilan lagi terselamat.

No comments:

Post a Comment

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI