Sunday, May 22, 2011

Himpunan Bersih kedua, 9 Julai

KUALA LUMPUR, 21 Mei: Himpunan 'Bersih 2.0' seperti yang dirancang sebelum ini telah diputuskan untuk diadakan pada 9 Julai akan datang di Kuala Lumpur.

Perkara itu diumumkan Pengerusi Badan Pengerak Mobilisasi Demokrasi PAS, Mohammad Sabu dalam satu sidang media di Pejabat Agung PAS petang ini.

"Tujuannya sama dengan tujuan himpunan Bersih 1 yang lalu iaitu menuntut pilihan raya bersih dan adil.

"Kami dari PAS bersetuju dan akan menghantar 100 ribu ahli untuk himpunan itu," katanya.

Keputusan itu dibuat selepas mesyuarat bersama Jawatankuasa Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) baru-baru ini.

Himpunan dengan nama 'Walk for Democracy' itu katanya akan bermula jam 2 petang.

Bagaimanapun ujarnya, tempat, warna tema dan mekanisme himpunan itu akan diperincikan pihak Bersih sendiri yang dipengerusikan Datuk Ambiga Sreneevasan dalam masa terdekat.

"Kita dari PAS memberi jaminan bahawa himpunan tersebut akan berlangsung dengan aman seperti himpunan Bersih lalu jika tanpa provokasi pihak polis,"katanya.

Turut serta pada sidang media itu, AJK Bersih 2.0 Dr Mohd Hatta Ramli dan Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah, Kamaruzzaman Mohamad.

Himpunan Bersih pertama telah diadakan pada 10 November 2007 lalu dengan kehadiran lebih 100 ribu rakyat berarak menuju ke Istana Negara bagi mengiringi penyerahan memorandum kepada Yang DiPertuan Agong.

Mereka mendesak empat perkara termasuk penggunaan dakwat kekal, media yang bebas, pemansuhan undi pos dan pembersihan daftar pemilih.

Ianya diadakan menjelang Pilihan Raya Umum ke 12 yang berlangsung Mac tahun berikutnya.

Bagaimanapun kali ini kata Mohamad, dua lagi tuntutan ditambah iaitu penyalahgunaan institusi kerajaan secara berleluasa, dan menuntut tempoh kempen pilihan raya dipanjangkan.

PAS katanya lagi memandang serius ketempangan demokrasi pilihan raya dan tidak mahu kejadian di Timur Tengah berulang iaitu menggunakan jalan raya untuk menukar kerajaan.

"Kita yakin dengan pilihan raya, tetapi biarlah adil dan saksama.

"Kita lihat penyalahgunaan jentera kerajaan berleluasa sehingga rakyat tidak tahu mana satu parti politik, mana satu kerajaan," katanya lagi.

Sementara itu, Dr Hatta pula berkata, himpunan kali ini dibuat memandangkan empat tuntutan Bersih sebelum ini langsung tidak dilayan oleh kerajaan.

Ianya termasuk isu undi pos yang dakwanya bukan diselesaikan, tetapi lebih dikusutkan.

Sekurang-kurangnya 62 Badan Bukan Kerajaan NGO akan turut serta dalam himpunan itu nanti.

"Kita bagi pihak PAS akan memanfaatkan himpunan di Muktamar nanti untuk menggerakkan mobilisasi rakyat," katanya.

No comments:

Post a Comment

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI