Tuesday, April 12, 2011

Penduduk Iban luah kemarahan di depan calon PAS



TANJONG DATU, 12 April: Kaum Iban terbukti tidak dapat menyembunyikan lagi kemarahan mereka terhadap pemimpin BN Sarawak yang sudah lebih 30 tahun menindas mereka.

Kemarahan dan rasa tidak puas hati mereka diluahkan dalam satu majlis bersama calon PAS Tanjung Datu, Nani Sahari dan beberapa pimpinan PAS pusat malam tadi di rumah salah seorang penduduk Iban di Kampung Sungai Limo, lebih kurang 20 kilometer dari pekan Lundu.

(Gambar: Calon PAS Tanjong Datu, Nani Sahari bercakap kepada pengundi Iban di Sungai Limo malam tadi)

AJK Bahagian Iban PKR bagi Dun itu, Hamden Ak Sedi dalam ucapannya dengan penuh semangat menyeru penduduk Iban agar tidak lagi memberi peluang kepada BN pada pilihan raya kali ini.

Beliau sebaliknya meminta mereka memberi undi kepada Pakatan Rakyat yang disifatkan sebagai ikhlas membela nasib mereka khususnya mengenai masalah pemilikan tanah adat yang sudah bertahun-tahun membelenggu mereka.

Beliau yang berucap dalam Bahasa Iban meluahkan kemarahannya kepada kepimpinan BN yang penuh dengan salah guna kuasa dan rasuah.

"Sudah lama kita undi mereka, tapi apa yang kita dapat? Masalah kita tidak pernah selesai.

"Mereka terus senang lenang,kita masih begini juga," katanya.

Sementara itu, wakil ketua kaum Iban, Goh Kine Chong meminta ahli Parlimen Pakatan Rakyat membawa masalah tanah adat ini ke Parlimen kerana katanya mereka tidak mampu lagi berbuat apa-apa.

"Penduduk sini terima sahaja sesiapa yang masuk tapi harapan kami menggunung agar calon yang menang ini dapat mendengar luahan hati kami.

"Kami sangat berharap ahli Parlimen yang ada ini dapat membawa masalah kami ke Parlimen dan membela nasib orang Iban," katanya sambil memandang ke arah Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli yang merupakan ahli Parlimen Kubang Kerian dan Kuala Krai.

Goh turut mendakwa kaum Iban dan Dayak sudah lama dianak tiri BN apabila membiarkan seorang sahaja penghulu mentadbir hampir 5000 penduduk kaum itu.

"Seorang penghulu sahaja tidak mampu mentadbir penduduk yang ramai.

"Sebab itu masalah tanah tidak dapat dipertahankan.

"Dulu saya memang orang BN tapi bila melihat BN tidak bersungguh membantu kami, saya berfikir untuk menukar undi saya," katanya yang merupakan bekas kaunselor di sebuah sekolah di Sarawak.

Hampir 100 penduduk Iban memenuhi rumah dan perkarangan rumah malam tadi.

Mereka menunjukkan riak wajah gembira menyambut kehadiran PAS dan mendengar ucapan Salahuddin dan Dr Hatta dengan penuh semangat.

Nani turut berucap dengan meminta mereka memberi undi kepadanya agar beliau dapat membawa masalah mereka ke sidang Dun Sarawak.

"Nanti conteng (pangkah) bulan, jangan conteng BN. Berilah kepercayaan kepada saya, jangan terpedaya dengan janji kosong BN," katanya disambut tepukan daripada penduduk.

No comments:

Post a Comment

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI