Monday, April 18, 2011

PAS membunga di bumi Sarawak

KUALA LUMPUR, : Keputusan pilihan raya negeri Sarawak bagi edisi ke 10 telah selesai dengan menyaksikan penyertaan PAS di 5 kerusi Dewan Undangan Negeri belum membuahkan hasil namun ianya sedang mekar membunga.

Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata, realitinya amat sukar bagi PAS untuk menembusi negeri Sarawak yang dianggap sebagai kubu kuat BN sejak lama dulu.

Sungguhpun begitu, katanya penerokaan PAS sejak tahun 2000 yang lalu ke bumi Kenyalang, kini cukup membanggakan.

Tambahnya, tahun 2000, PAS menabur benih perjuangannya di tanah subur bumi Sarawak, pucuknya mula bercambah pada tahun 2006 dan pada tahun 2011 ini, pohonnya telah mekar berbunga.

“Insya Allah, saya optimis bahawa masa depan perjuangan PAS tetap akan membuahkan hasilnya,” ujarnya.

Beliau mensasarkan 5 tahun dari sekarang, pohon yang sedang membunga kini akan berbuah dan tentunya buah yang dihasilkan kelak adalah buah yang manis dan berkualiti.

Katanya, Dewan Undangan Negeri Beting Maro hampir membuahkan hasil apabila menyaksikan BN hanya mampu menang tipis dengan majoriti 391 undi setelah PAS yang diwakili oleh Abang Ahmad Kardee berjaya meraih sebanyak 2,678 undi.

Sementara Abang Addy Alyani Ketua DPP Negeri Sarawak yang mewakili PAS di Dewan Undangan Negeri Sadong Jaya meraih sebanyak 1,074 undi setelah tewas dengan majoriti 2,934 undi.

Demikian juga, Haji Adam Ahid, Pesuruhjaya PAS Negeri Sarawak meraih sebanyak 1,769 undi di Dewan Undangan Negeri Sebuyau setelah tewas dengan 2,276 majoriti undi.

Tambahnya, lebih menarik ialah dua Dewan Undangan Negeri yang julung kali disertai oleh PAS bagi mewakili Pakatan Rakyat dalam pilihanraya negeri Sarawak edisi ini yang diwakili oleh calon muslimat, turut memaparkan keputusan yang sungguh memberangsangkan sekaligus menunjukkan bahawa masa depan PAS di bumi Sarawak semakin cerah.

Dun Muara Tuang, calon PAS, Noraini Hamzah meraih sebanyak 3,196 undi meskipun tewas dengan majoriti undi yang besar iaitu 7,843 undi.

Dun Tanjung Datu pula, calon PAS, Nani Sahari meraih sebanyak 1,002 undi setelah tewas dengan majoriti 3,216 undi tetapi tidak hilang wang deposit.

“Apa yang ingin saya tegaskan ialah PAS mula meraih undi popular di bumi Sarawak berbanding lebih 10 tahun yang lalu, usahkan mahu meraih sokongan seramai itu, malah kehadhiran kami tidak diterima, dipandang sinis penuh curiga bahkan ada di kalangan pimpinan PAS dihalau dan diherdik oleh penduduk setempat sementara parang di tangan mereka,” katanya.

Hari ini, katanya penubuhan cawangan PAS kian rancak berlaku di negeri Sarawak dan ia adalah signal yang sangat jelas bahawa PAS bukan sahaja bertapak kukuh malah semakin marak berkembang.

Menurutnya, rakyat Sarawak juga tidak lagi takut dan bimbang untuk menyokong PAS dengan berasaskan pengalaman beliau menemui pengundi, tiada lagi muka masam yang ditunjukkan kepada PAS dan tiada lagi rasa curiga terhadap perjuangan PAS.

Beliau mewakili Dewan Pemuda PAS Pusat bersama rakan-rakan exco yang lain bertekad untuk terus melangsungkan perjuangan PAS ke bumi Sarawak dengan memanfaatkan semaksima mungkin modal sokongan yang telah diperolehi melalui pilihanraya umum negeri Sarawak ini.

Katanya, bermula dengan penubuhan DPP kawasan-kawasan, aneka aktiviti dan pelbagai program akan digerakkan insyaallah.

“Saya sekali lagi mewakili DPPP merakamkan tahniah buat semua petugas PAS khasnya pemuda yang turun melalui kontinjen negeri masing-masing untuk menyemarakkan lagi gerak kerja perjuangan Islam yang didokong oleh PAS,” katanya.

Sesungguhnya, kata beliau perjuangan kita tidak sekadar untuk meraih undi dan menawan kerusi Dewan Undangan Negeri tetapi jauh lebih murni dari itu ialah membawa sinar hidayah Allah swt buat rakyat Sarawak yang telah diabaikan perkembangan agama mereka sejak sekian lama.

“Al-Faatihah, buat al marhum Muhamad Izan Yaakob, petugas PAS yang gigih bertugas dan berjuang di Beting Maro telah kembali kerahmatillah jam 1.30 tengahari kelmarin.

“Takziah buat seluruh anggota keluarga al marhum, semoga ruh almarhum dicucuri rahmat oleh Allah swt dan digolongkan dari kalangan hambaNya yang soleh.

“Insya Allah, DPP Pusat akan memberi sumbangan tenaga dan buah fikir untuk memastikan pohon yang sedang mengeluarkan bunga mekarnya tidak rosak dan dimusnahkan oleh anasir-anasir yang tidak mahu melihat buahnya masak ranum di musim depan. Selamat berjuang buat semua,” katanya.


No comments:

Post a Comment

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI