Friday, February 11, 2011

Demokrasi di kampus mati?

Bukan sekadar mengganggu dan bertindak kasar kepada para pelajar, tetapi wartawan Harakahdaily yang diundang membuat liputan sidang akhbar kumpulan Pro-Mahasiswa (Pro-M) Universiti Malaya (UM) turut dihalang dari menjalankan tugas oleh pihak keselamatan kampus itu pada 11 Februari.

Sebelum itu, para pelajar berkenaan telah pun dikenakan tindakan tidak sepatutnya apabila nama-nama dan nombor-nombor kad matrik mereka telah diambil, walaupun mereka hanya berkumpul dengan aman untuk mengadakan sidang media yang dijadualkan jam 11 pagi di Gazebo, Kompleks Perdanasiswa UM, Kuala Lumpur.

"Awak dari mana?" tanya salah seorang pihak keselamatan UM kepada wartawan dengan kasar.

Setelah dijelaskan dari Harakahdaily serta ditunjukkan kad perakuan media keluaran Jabatan Penerangan Malaysia oleh wartawan, beliau bertanya pula sama ada kehadiran wartawan Harakahdaily untuk mengadakan liputan sidang media itu dengan kebenaran pihak pentadbiran UM atau sebaliknya.

Pertanyaan tidak masuk akal itu terpaksa dijawab oleh wartawan agar pihak terbabit bertindak dengan profesional kerana ia merupakan sesuatu yang tidak perlu, memandangkan kedatangan wartawan ke majlis itu adalah atas jemputan pihak terbabit.

Lebih jauh dari itu, wartawan Harakahdaily juga terpaksa menjelaskan kepada pihak berkenaan bahawa selaku pihak media, para wartawan berhak mengadakan sebarang liputan atas sebarang majlis yang diadakan oleh pelbagai pihak di mana-mana sahaja, apatah lagi jika diundang.

Oleh itu, prosedur yang diajukan kepada wartawan Harakahdaily itu juga ternyata sesuatu yang tidak perlu, amat jauh menyimpang dan ia tidak sepatutnya diperkatakan oleh pihak terbabit ketika seseorang wartawan sedang berada di sesuatu kawasan untuk menjalankan tugasnya.

Menyedari tindakannya itu salah, pihak keselamatan berkenaan kemudian beredar meninggalkan wartawan Harakahdaily lalu terus menyinga kepada para pelajar terutama kepada kepimpinan pelajar yang ingin mengadakan sidang media berkenaan.

Insiden tersebut merupakan sebahagian dari kejadian yang berlaku di UM semalam, apabila sidang media kumpulan Pro-M diganggu oleh pihak keselamatan kampus itu selama 15 minit sambil meminta agar sidang media itu dibatalkan dan kumpulan berkenaan bersurai.

Sebelum kejadian itu berlaku, puluhan mahasiswa sedang bersedia untuk bersama-sama kepimpinan Pro-M bagi menjayakan sidang media yang dirancangkan itu.

Sebaik kepimpinan Pro-M hadir di Gazebo, beberapa orang pihak keselamatan mengarahkan mereka bersurai, manakala salah seorang pegawainya pula dengan lantang bersuara, "Saya minta kepada semua bersurai. Kalau tidak bersurai, saya akan hantar nama kamu ke HEP (Hal Ehwal Pelajar). Tolong fikir masa depan (kamu) dan emak ayah kamu di rumah."

Sebelum itu, sepuluh pegawai keselamatan sudah pun mengambil butiran peribadi mahasiswa yang masih tidak bergerak. Mereka memberikan kerjasama yang baik kepada pihak keselamatan dengan masing-masing menunjukkan kad pelajar dan tidak juga membalas balik kekasaran mereka serta tidak juga mengeluarkan sebarang kata-kata yang tidak sepatutnya.

Akhlak mereka ternyata terpuji walaupun mereka dikasari dan dihalang dari mengadakan sidang media. Mereka sebaliknya berusaha memujuk pihak keselamatan agar memahami apa yang ingin dibuat, tambahan pula pihak media juga sudah pun bersedia membuat liputan terhadap majlis yang akan diadakan.

Namun dalam masa yang sama, pihak keselamatan tidak juga menunjukkan sebarang sikap untuk bertolak ansur. Mereka sebaliknya terus bertindak kasar untuk menghalang sidang media tersebut, sehingga sanggup membunyikan siren dari kereta peronda keselamatn untuk tujuan mengugut dan menolak beberapa orang pelajar kerana enggan bersurai.

Ketika itu, jumlah pelajar yang datang sudah semakin bertambah kepada hampir 100 orang. Walaupun dihalang, mereka tetap bersemangat untuk mengadakan sidang media itu.

Kekentalan semangat mereka menjadi semakin bertambah apabila Presiden Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Ahmad Syazwan Muhammad Hasan, Setiausaha Politik PMIUM, Ahmad Sabri Jamaluddin, Timbalan Presiden PMIUM, Siti Nazirah Majid dan kepimpinan PMIUM lain bertegas untuk terus mengadakan sidang media itu.

Ahmad Syazwan dan Ahmad Sabri, dalam keadaan dihalang dengan keras untuk mengadakan sidang media itu, terus mengarahkan rakan-rakannya naik ke tempat duduk teratas di Gazebo sambil melaungkan kata-kata semangat, "Hidup! Hidup! Hidup Mahasiswa!", "Bangkit! Bangkit! Bangkit Mahasiswa", "Student Power".

Sejurus kemudian bunyi siren daripada kereta peronda keselamatan dimatikan, tetapi pelajar-pelajar berkenaan hanya sempat meneruskan sidang medianya sekitar 10 minit sahaja kerana diganggu pihak keselamatan yang dinyatakan sendiri oleh pihak keselamatan menerima arahan dari pihak pentadbiran UM sendiri.

Dalam sidang medianya yang penuh kepayahan itu, Ahmad Syazwan menyuarakan rasa kesalnya dengan tindakan pihak keselamatan itu dan ia turut disifatkan sebagai insiden untuk "kematian demokrasi di kampus".

“Ia sebagai usaha untuk menutup kebebasan bersuara. Nak buat sidang media, disekat, malah nombor kad matrik diambil," katanya.

Pada sidang medianya itu, Ahmad Syazwan menjelaskan, Pentadbiran UM akhirnya telah 'mengalah' dengan tuntutan kumpulan Pro-M kampus berkenaan dengan bersetuju memenuhi dua daripada empat tuntutan mereka berhubung pilihanraya kampusnya pada 21 Februari ini.

Persetujuan tersebut dicapai selepas mereka bersemuka hampir dua jam dengan Naib Canselor UM, Prof Ghauth Jasmon pada malam Khamis lalu.

"Daripada empat tuntutan, dua telah diterima dan dua lagi masih tidak dijelaskan (statusnya pada kami). Kami masih belum menerima respons daripada pihak pentadbiran," katanya.

Selain itu, katanya, UM akhirnya telah membatalkan bengkel tiga hari persediaan calon serta menggugurkan K Puniamurthy sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Pemilihan Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) selepas perkhidmatan panjangnya selama tiga tahun, manakala tempatnya kini diambil alih Pengarah Teknologi Maklumat UM, Dr David Asirvatham.

Menurutnya, keputusan hasil pertemuan enam wakil pro-M dengan Ghauth Jasmon dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof Datuk Dr Rohana Yusof itu dimaklumkan kepadanya pagi ini. Ia dimaklumkan sendiri oleh Rohana melalui SMS.

Katanya, bengkel yang asalnya dikhususkan kepada mahasiswa itu kini ditukarkan kepada "kursus penerangan perlembagaan" dan terbuka kepada semua pihak, termasuk kakitangan universiti.

Kehadiran ke majlis tersebut pada jam 9 pagi esok di Dewan Tuanku Canselor (DTC) adalah "wajib" kerana ia akan dihadiri oleh Ghauth dan Pengerusi Lembaga Universiti, Tan Sri Arshad Ayob.

Sementara dalam kenyataan akhbarnya yang diedarkan, Pro-M universiti itu turut mempertikaikan syarat wajib menjadi calon yang dikenakan, dengan menyertai bengkel persediaan tersebut.

Bantahan lain terhadap penganjuran bengkel itu antaranya terdapat beberapa perkara "yang masih mengelirukan" seperti kelewatan tarikh dan tempat kursus dimaklumkan, proses pemilihan apabila calon yang memohon bertanding akan dihubungi semula untuk diberitahu sama ada layak menyertai bengkel itu ataupun tidak.

Di samping itu, turut berlaku pilih kasih atau tindakan berat sebelah, apabila terdapat calon lawan mereka daripada kumpulan Penggerak Mahasiswa diterima borang permohonan mengikuti bengkel selepas tamat tempoh.

Tuntutan mereka yang masih tiada keputusan jelas pula adalah mengenai pembatalan pelaksanaan sistem eletronik (4E) dalam proses penamaan calon, pengundian, bantahan dan rayuan dalam pilihan raya kampus dan permintaan dilanjutkan tempoh empat hari berkempen.


No comments:

Post a Comment

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI