Wednesday, September 17, 2014

Kalau boleh calon Umno pun undi lambang bulan


TUMPAT: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat merayu semua pengundi Pengkalan Kubor pulang menunaikan tanggungjawab mereka biar pun tinggal di Sabah dan Sarawak.

“Saya walau pun tidak berapa sihat tetapi mengagahkan diri untuk turun berkempen di sini.

Oleh itu saya berharap kepada semua pengundi keluar mengundi walau pun berada di tempat yang jauh.

“Kalau tak boleh naik kereta, jalan kaki yang penting balik mengundi pada 25 September ini,” katanya ditemui semasa melawat Markas Besar PAS Dun Pengkalan Kubor di sini, hari ini.

Kedatangannya disambut Pengarah Operasi PAS Dun Pengkalan Kubor, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, anggota-anggota Exco, Datuk Anuar Tan Abdullah, Datuk Abdul Fattah Mahmood, Datuk Hanifa Ahmad dan petugas Markas Besar PAS.  

Beliau juga mendengar taklimat mengenai perkembangan kempen pilihan raya tersebut disampaikan Wan Abdul Rahim.

Ujarnya lagi apabila balik mengundi nanti pastikan pengundi mengundi calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat. 

“Sekarang sudah terbukti pengaruh gerakan Islam semakin kuat sehinggakan calon dari Umno turut memakai serban untuk menunjukan ciri-ciri keislamannya. 

“Kalau boleh biar calon Umno pun undi lambang bulan juga sebab dia nakkan politik Islam,” ujarnya sambil berseloroh. - HARAKAHDAILY 17/9/2014

Dewan Ulama lulus usul tindakan terhadap 2 ADUN


Dewan Ulama PAS hari ini sebulat suara meluluskan usul mendesak Lembaga Displin PAS mengambil tindakan tatatertib terhadap dua ADUN PAS Selangor yang menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor.

Ia menyifatkan tindakan ADUN Hulu Kelang, Shaari Sungib dan ADUN Morib, Hasnul Baharuddin melanggar adab dan displin jamaah dan mencalar imej Majlis Syura Ulama selepas badan itu memutuskan supaya Tan Sri Khalid Ibrahim dikekalkan.

"Kami mendesak supaya Jawatankuasa Disiplin mengambil tindakan terhadap mereka yang meremehkan keputusan Majlis Syura Ulama dan arahan presiden.

"Kita bimbang jika tiada tindakan tegas terhadap mereka, ia akan menyebabkan imej parti akan tercalar.

"Ia juga menjadi teladan kepada mana-mana pihak dan individu supaya mereka tidak main-main dengan jamaah kita," kata Shamsudin Amran yang membentangkan usul itu.

Usul itu juga dicadangkan oleh empat lagi dewan ulama dari Terengganu, Pahang, Wilayah Persekutuan dan Pulau Pinang.



Sementara itu, Perwakilan Cheras, Ali Jamil bersetuju dan menyokong usul supaya tindakan displin dikenakan terhadap dua ADUN itu.

"Ia sebagai usaha untuk mendisplinkan anggota, supaya orang PAS ada adab," katanya diiringi laungan takbir.

Pengerusi tetap kemudiannya membuka peluang sekiranya ada perwakilan yang membantah usul tersebut.

Usul itu kemudiannya diluluskan tanpa sebarang bangkangan melalui undi angkat tangan.

PAS dalam bahaya bila Hadi dolak-dalik dalam krisis MB Selangor, kata Mujahid

Ketika PAS memulakan muktamar tahunannya hari ini, Ahli Jawatankuasa (AJK) Pusat Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa memberi amaran kegagalan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempertahankan tahaluf siyasi PAS dalam Pakatan Rakyat, dengan mengiktiraf Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor, mungkin akan menikam dirinya sendiri. Mujahid berkata, tidak seperti mantan presiden terdahulu, Yusof Rawa dan Datuk Fadzil Mohd Noor, Hadi dilihat seolah-olah tidak berupaya mempertahankan kerjasama dengan PKR dan DAP dalam menangani kemelut di Selangor. "Apakah sebabnya? Adakah kerana tekanan untuk keluar Pakatan terlalu kuat? Ataukah presiden PAS terlalu lemah," soalnya dalam tulisannya bertajuk Masa Depan PAS di Tangan Ahli PAS. Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata, jawapan itu penting bagi menentukan kayu piawaian masa depan PAS dan kriteria kepimpinan dalam menghadapi lanskap baru politik. Katanya, ujian kepimpinan akan berakhir apabila mereka mendapat jawapan sama ada mereka masih relevan atau tidak untuk mengemudi lanskap baru itu. "Sehingga ahli membuat penilaian yang matang dan luas perkiraannya, mereka akan sentiasa diperhatikan," katanya.


Katanya, laluan politik yang diberikan masyarakat bukan Islam, khususnya pengundi Tiong Hua, seharusnya mendorong pimpinan PAS mengukuhkan PR, bukannya mengecewakan masyarakat dengan berdolak-dalik dalam komitmennya terhadap slogan 'PAS untuk semua'. Katanya, ahli PAS harus sedar dan akur kejayaannya tidak akan ke mana hari ini jika orang bukan Melayu tidak mengundi calon PAS, khususnya di Selangor. "PAS harus berhati-hati agar tidak mengecewakan kepercayaan umum terhadapnya. "Pengundi hari ini mengundi atas dasar keyakinannya kepada PAS dan manifesto yang kita janjikan. Lebih-lebih lagi pengundi di Pantai Barat yang tertarik dengan tawaran Pakatan dan mengundi atas semangat Pakatan. "Baru setahun berlalu, dan keghairahan Pakatan bertelagah di Selangor pastinya mengurangkan kepercayaan umum, dan PAS terpalit sebagai satu daripada pihak terlibat," katanya. 

Beliau berkata, PAS tidak harus berpatah balik ke belakang seolah-olah ia terpengaruh dengan dakyah Umno yang memainkan sentimen Melayu-Islam, yang pada hakikatnya ialah perkauman sempit, yang ditentang PAS sejak berdekad lamanya. "Sememangnya permainan sentimen Melayu-Islam Umno boleh melemahkan langkah tegas yang diambil PAS demi kebaikan politik baru yang makin kuat sekarang. "Oleh itu, PAS dan ahlinya harus mengelakkan diri sejauh-jauhnya daripada terheret dalam krisis Selangor, yang merupakan perangkap politik Umno," katanya. Katanya, PAS bersama dengan rakannya dalam PR cuma perlu bersabar dan istiqamah dengan meminimakan langkah yang boleh menggagalkan matlamat mereka. Parti dalam PR juga perlu menahan diri dari terlibat dalam perkara remeh-temeh dan menyerang sesama sendiri. Katanya, PAS tidak boleh berfikir hanya untuk dirinya saja tetapi perlu memikirkan tentang kepentingan yang strategik dan harapan rakyat terhadap kepimpinan dalam mencapai agenda perubahan. "Menghadiri muktamar kali ini bukan sekadar untuk mengikuti ucapan retorik dan bersemangat dalam mempertahankan kepimpinan ulama atau presiden parti. "Ia juga tentang bagaimana perwakilan boleh mempertahankan prinsip parti, prinsip organisasi, prinsip strategi dan lebih penting, bagaimana PAS harus berperanan dalam kerangka membina masa depan negara," katanya.

Monday, August 25, 2014

MESEJ TERKINI DARI MB SELANGOR..



 
SHAH ALAM, 25 OGOS: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengucapkan terima kasih kepada pegawai kerajaan yang bersama-sama beliau dalam usaha menjayakan segala agenda reformasi di Selangor.

Abdul Khalid menasihatkan seluruh warga kerja Selangor supaya terus meningkatkan produktiviti dan meneruskan tugasan yang diberi dengan sebaik-baiknya.

“Saya mahu seluruh warga kerja di bawah panji-panji Kerajaan Negeri Selangor ini sentiasa bekerja keras demi meningkatkan tahap produktiviti dalam bidang masing-masing dalam usaha meneruskan tugasan yang diberikan dengan sebaik-baiknya,” katanya lagi.

Abdul Khalid berkata beliau menerima dengan hati terbuka berhubung perkembangan terkini status Menteri Besar Selangor yang disandangnya setelah beliau kini tidak lagi mendapat sokongan majoriti daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor.


Bercakap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan Selangor hari ini, beliau berkata akan memohon menghadap DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk memberi nasihat tentang langkah-langkah seterusnya.

Pertemuan itu akan berlangsung esok pada pukul 2.30 petang, namun lokasi pertemuan belum dapat dipastikan dan akan dimaklumkan kelak.

“Namun begitu saya berharap semua kakitangan kerajaan akan terus bekerjasama dengan saya meneruskan pentadbiran Negeri Selangor bersama empat ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi memastikan rakyat tidak terkesan dengan krisis politik ini,” katanya.

Abdul Khalid yang kini Adun Pelabuhan Klang Bebas dipecat dari PKR)sebagai ahli seumur hidup berkuatkuasa pada 9 Ogos lalu.

Thursday, August 14, 2014

Kem Kesempurnaan Solat cuti sekolah (13-15 September, 2014) bongkar rahsia nya.

Kita boleh menjadi orang yang paling bersih rohani dan paling hampir dengan Allah. Jika kita mengerjakan solat dan tidak berasa takut menempuh kematian dengan mengetahui rahsia-rahsia nya. Apa yang perlu kita lakukan sebagai khalifah di muka bumi ini, dan kita sendiri pasti mengetahui betapa pentingnya kewajipan bersolat dan pensyariatannya. Kita sbg seorang muslim  yang melaksanakan solat pastinya kita tahu tahap pengetahuannya tentangnya.

Tidak semua orang yang kusyuk dalam solatnya, sedangkan kekusyukan itu amat penting. Justeru marilah ibubapa didiklah anak-anak daripada kecil agar perbaikikan solat  mereka. Ikuti kami dalam Kem Kesempurnaan Solat pada musim cuti sekolah yang semakin hampir.

"Solat itu tiang agama dan perbezaan antara Islam, dan Kafir adalah solatnya".

Berikut tarikh program Kem Penghayatan Kesempurnaan Solat.

Tarikh : 13-15 September, 2014 (Jumaat-Isnin) 3 hari 2 malam

Tempat : Kem Seri Raudhah Gombak Batu 12 Gombak

Masa : 10 pagi berkumpul di Kem Seri Raudhah

Umur : Sekolah Rendah dan sekolah menengah

Yuran : RM 150 termasuk makan, penginapan, file dan modul

Daftar : Maybank Akaun 162759019845 (Suhaila Jamain) / N Suhaila Enterprise  Bank Islam - 12225010008475). Sila email slip bayaran ke khaulah330877@gmail.com. Slip tersebut tuliskan nama anak.

Keterangan lanjut Hubungi : 013-6893185/ 017-2436875.


Di sertakan surat ibubapa dan flyer kem untuk sebaran kepada saudara seislam kita. Kerjasama di harapkan.

"Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang-orang beriman dan beramal solleh yang sentiasa berpesan2 kearah kebaikan"

Tuesday, August 5, 2014

Naib Presiden parti Nurul Izzah Anwar menyangkal dakwaan Wan Azizah Tidak Bertanding

KUALA TERENGGANU - Tidak sampai 24 jam berita Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak akan bertanding dilaporkan media, anaknya Naib Presiden parti Nurul Izzah Anwar menyangkal kebenaran berita itu.
  
"Itu hanya cakap-cakap politik," katanya malam tadi, walaupun menyedari berita itu berpunca daripada KeadilanDaily.com yang memetik bapanya Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan perkara itu kepada stesen televisyen  Al-Jazeera Rabu lepas.
  
"Itu kenyataan dikeluarkan oleh Jabatan Pilihan Raya Pusat (JPRP) Keadilan (merujuk kepada KeadilanDaily.com) saja. Setakat ini tidak ada perancangan sebegitu dan ia akan dimuktamadkan semasa hari penamaan (calon) nanti.
  
"Saya rasa pengumuman rasmi akan dibuat pada Rabu (depan) oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau akan tahu pastinya mengenai persiapan calon," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah di Chabang Tiga di sini.
  
Kenyataan Dr Wan Azizah tidak akan bertanding dimaklumkan Anwar semasa temu bual secara langsung dengan Al-Jazeera pada Rabu, menurut KeadilanDaily.com di www.keadilandaily.com semalam.
  
Nurul Izzah juga tidak percaya Anwar akan beralih angin bertanding di Perak seperti yang dibayangkan bapanya.
  
"Saya fikir beliau tidak menyatakan yang beliau bersedia bertanding di Perak. Ini spekulasi media dan saya sendiri telah mendapat memorandum daripada warga Permatang Pauh yang meminta beliau (Anwar) kekal di sana.
  
"Ada satu dimensi sentimental yang amat unik di Permatang Pauh. Ibu saya Wan Azizah telah tiga penggal menjaga kerusi dan berkhidmat di sana dan ternyata permintaan mereka untuk (Anwar) kekal di sana harus diambil kira," katanya.
  
Anwar menyandang kerusi Parlimen Permatang Pauh selepas menang pilihan raya kecil yang diadakan pada 26 Ogos 2008 ekoran tindakan Dr Wan Azizah mengosongkan kerusi itu untuk suaminya.
  
Mengenai pembahagian kerusi PKR dan PAS di Terengganu, Nurul Izzah berkata perkara itu masih dalam perbincangan di peringkat akhir dan akan akan ditentukan dalam sehari dua lagi.
  
Sementara itu di GERIK, Anwar kembali berteka-teki tentang pilihannya sama ada bertanding kerusi di Perak atau kekal di Permatang Pauh.
  
Malam tadi beliau menggunakan alasan 'mahu berbincang' dengan pengundi di Permatang Pauh supaya 'mereka tidak berkecil hati' dan meminta tempoh 24 jam untuk membuat keputusan.
  
Ini kerana  penyokongnya di Permatang Pauh telah membantu PKR mempertahan kerusi itu semasa Dr Wan Azizah bertanding sehinggalah beliau mengambil alih, katanya ketika berucap pada ceramah program Jelajah Merdeka Rakyat di situ.
  
Dalam pada itu beliau juga menimbulkan soalan: "Kalau saya bertanding di Perak, boleh ka? Saya memang bercadang bertanding di Perak, saya tujuh tahun di Kuala Kangsar (Kolej Melayu Kuala Kangsar), dan saya dua tahun (sebagai tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri) di Kamunting, Perak. Sembilan tahun di Perak, takkan tak boleh jadi ahli Parlimen Perak kot".
  
Anwar turut mengumumkan bekas Ketua Staf Logistik Markas Armada Laksamana Pertama Mohamad Imran Abdul Hamid sebagai calon PKR bagi kerusi Parlimen Lumut manakala Ketua Angkatan Muda Keadilan Perak Dr Meor Ahmad Isharra Ishak calon
kerusi Parlimen Padang Rengas.
  
Ketua pembangkang itu sebelum ini mengumumkan Dr Lee Boon Chye akan mempertahan kerusi Parlimen Gopeng, Mustafa Kamil Ayub pula sebagai calon PKR bagi kerusi Parlimen Pasir Salak dan Dr Muhammad Nur Manuty di Bagan Serai.- Bernama

Nurul Izzah Desak Dedah syarikat M'sia berdagang dengan Israel

KUALA LUMPUR: Kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, bahawa kerajaan sedang menilai semula hubungan dengan syarikat-syarikat multinasional dari China, Amerika dan Jepun yang mempunyai perniagaan di Israel, sebagai cubaan mengalih pandangan rakyat.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, kenyataan Datuk Seri Mustapha Mohamed itu mengalih perhatian terhadap hakikat bahawa wujudnya hubungan perdagangan antara syarikat-syarikat Malaysia dengan Israel.

"Menurut laman web Biro Statistik Israel, pada tahun 2011, Malaysia telah mengeksport hasil sawit, kelapa dan lain-lain minyak sayuran bernilai kira-kira USD$19.41 juta, hasil koko bernilai USD$8.67 juta dan hasil getah bernilai USD$11.54 juta antara lainnya.

"Kerajaan perlu memberikan penjelasan, adakah hasil bumi Malaysia juga ada dieksport terus kepada Israel dan syarikat manakah yang terlibat dalam mengeksport hasil bumi Malaysia ke negara Zionis tersebut," kata beliau dalam satu kenyataan.

Beliau juga mahu pihak kementerian menyenaraikan syarikat-syarikat yang mempunyai hubungan dagang dengan Israel, dan komoditi-komoditi yang didagangkan.

Kaji semula sokong TPPA

Selain itu, beliau turut menggesa Kerajaan Malaysia mencontohi Kerajaan Chile, yang telah menggantung Perjanjian Perdagangan Bebas mereka, sebagai bantahan ke atas keganasan Israel.

Katanya, pentadbiran Michele Bachelet telah mengutuk sekeras-kerasnya keganasan Israel ke atas Gaza, dan selepas rundingan dengan ahli kongres Patricio Vallespin, juga mengumumkan kerajaan Chile turut menggantung Perjanjian Perdagangan Bebas mereka.

Naib Presiden Senat, Eugenio Tuma juga menegaskan bahawa mereka akan membawa bantahan mereka ke Persatuan Bangsa-bangsa bersatu, dan menuntut Israel untuk menghentikan pembunuhan orang awam di wilayah-wilayah Palestin.

Menurut beliau, selain daripada Chile, kerajaan Bolivia juga secara rasmi telah melabel Israel sebagai “Negara Pengganas”, berikutan jenayah perang yang dilakukan ke atas Gaza manakala Ecuador, El Salvador dan Brazil juga telah mememanggil kembali Duta Besar mereka ke Israel.

"Kerajaan juga perlu mengkaji semula posisi Malaysia dalam mengadakan perjanjian perdagangan bebas dengan Amerika Syarikat, yang merupakan penaja utama keganasan Israel ini.

"Perkara ini perlu diambil kira, sebelum perjanjian seperti Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) ditandatangani," katanya.

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI