Wednesday, September 17, 2014

Dewan Ulama lulus usul tindakan terhadap 2 ADUN


Dewan Ulama PAS hari ini sebulat suara meluluskan usul mendesak Lembaga Displin PAS mengambil tindakan tatatertib terhadap dua ADUN PAS Selangor yang menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor.

Ia menyifatkan tindakan ADUN Hulu Kelang, Shaari Sungib dan ADUN Morib, Hasnul Baharuddin melanggar adab dan displin jamaah dan mencalar imej Majlis Syura Ulama selepas badan itu memutuskan supaya Tan Sri Khalid Ibrahim dikekalkan.

"Kami mendesak supaya Jawatankuasa Disiplin mengambil tindakan terhadap mereka yang meremehkan keputusan Majlis Syura Ulama dan arahan presiden.

"Kita bimbang jika tiada tindakan tegas terhadap mereka, ia akan menyebabkan imej parti akan tercalar.

"Ia juga menjadi teladan kepada mana-mana pihak dan individu supaya mereka tidak main-main dengan jamaah kita," kata Shamsudin Amran yang membentangkan usul itu.

Usul itu juga dicadangkan oleh empat lagi dewan ulama dari Terengganu, Pahang, Wilayah Persekutuan dan Pulau Pinang.



Sementara itu, Perwakilan Cheras, Ali Jamil bersetuju dan menyokong usul supaya tindakan displin dikenakan terhadap dua ADUN itu.

"Ia sebagai usaha untuk mendisplinkan anggota, supaya orang PAS ada adab," katanya diiringi laungan takbir.

Pengerusi tetap kemudiannya membuka peluang sekiranya ada perwakilan yang membantah usul tersebut.

Usul itu kemudiannya diluluskan tanpa sebarang bangkangan melalui undi angkat tangan.

No comments:

Post a Comment

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI