Saturday, January 15, 2011

Pengurusan Masjid: 'Isu Azan Sudah selesai, Tiada Masalah Lagi'


KUALA LUMPUR : Isu laungan azan Masjid Al-Ikhlasiah, Kampung Kerinchi, yang tercetus ekoran dakwaan arahan supaya tidak lagi menggunakan pembesar suara disebabkan aduan seorang ahli MCA, telah pun selesai, kata pengurusan pihak masjid itu.

Menurut laporan Malaysian Insider , Pembantu imam Masjid Al-Ikhlasiah Ramli Kadni berkata, azan di masjid itu yang terletak di kawasan majoriti orang Melayu, berkumandang seperti biasa susulan perbincangan dengan pihak berkuasa.

"Sudah kembali seperti biasa, azan Subuh sampai Isyak semua macam dulu.

"Kita boleh anggap perkara ini sudah selesai, tiada masalah lain lagi," katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai kejadian itu, Ramli berkata, pengurusan masjid telah mendapat arahan supaya berhenti daripada menggunakan pembesar suara sejak tiga minggu lalu ekoran aduan seorang ahli MCA yang juga seorang peguam, yang tinggal di kawasan berdekatan.

Bagaimanapun, Ramli tidak dapat mengesahkan siapa yang mengeluarkan arahan itu.

"Kita cuma dapat arahan daripada imam, menyuruh kita perlahankan bunyi azan tapi tiada surat ditunjukkan.

"Saya difahamkan bahawa surat arahan itu ada, apa pun perkara ini sudah selesai. Jadi saya minta ia tidak berulang lagi," katanya.

Semalam, kira-kira 100 orang berhimpun di pekarangan Masjid Al-Ikhlasiah mengadakan tunjuk perasaan selepas solat Jumaat mendesak agar peguam terbabit ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Namun Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Datuk Che Mat Che Ali menafikan pernah memberi arahan kepada Masjid Al-Ikhlasiah agar menghentikan penggunaan pembesar suara ketika azan.

Malah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyifatkan isu azan Masjid Al-Ikhlasiah didakwa diarah menghentikan penggunaan pembesar suara sebagai "mainan politik" pihak tertentu untuk melaga-lagakan orang Islam dan orang bukan Islam.

Beliau menegaskan tiada arahan dikeluarkan kepada pengurusan masjid agar memperlahankan laungan azan atau tidak lagi menggunakan pembesar suara.

"Ini adalah mainan politik yang cuba dikalutkan oleh pihak tertentu yang mahu melaga-lagakan orang Islam dan orang bukan Islam.

"Ini adalah proses politik yang dimainkan, memang tiada arahan apa pun daripada kita," katanya.

Debat Buku Jingga: Najib Tak Perlu Gusar, Kata Anwar


KEMAMAN : Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak perlu gusar menerima pelawaan berdebat dengan beliau jika beliau yakin dengan dasar-dasar ekonomi yang diperkenalkan oleh Kerajaan UMNO-BN lebih baik daripada Buku Jingga Pakatan.

Perbahasan terbuka tanpa sebarang saringan akan membolehkan rakyat menilai kewibawaan program 100 hari Pakatan Rakyat yang ditawarkan jika gagasan itu menawan Putrajaya, tambah Anwar.

Buku Jingga adalah dokumen Pakatan Rakyat yang menetapkan pelan tindakan ekonomi dan sosial gagasan pembangkang itu termasuk rancangannya dalam 100 hari pertama selepas menawan Putrajaya.

"Datuk Seri Najib kata biar rakyat nilai kedua-dua, tetapi ruang untuk rakyat baca buku Jingga itu sangat terbatas. Dalam amalan demokrasi dan kerana Datuk Seri Najib tunjuk keyakinan dengan dasar dia, sebaiknya diadakan perbincangan terbuka kalau dia tak nak sebut debat pun di khalayak umum atau di depan media," komen Anwar pada sidang media pelancaran Hari Kebangkitan Rakyat PAS ganti UMNO di Kampung Geliga di sini.

Kelmarin, Najib menolak pelawaan berbahas dengan Anwar kerana kononnya tidak nampak hasil perdebatan itu dan sebalikknya mahukan rakyat membuat penilaian sendiri.

Program 100 hari Pakatan Rakyat memerlukan peruntukan kira-kira RM19 bilion untuk memastikan lebuhraya negara bebas dari bayaran tol dan imbuhan untuk guru ditingkatkan manakala subsidi untuk rakyat membeli keperluan asas dinaikkan.

Program itu juga menetapkan bahawa bayaran royalti untuk negeri-negeri akan ditingkatkan kepada 20 peratus manakala khidmat wi-fi percuma akan diperluaskan.

Peruntukan RM19 bilion itu diperolehi dengan membanteras pemberian kontrak kepada syarikat kroni, manakala subsidi untuk syarikat konsesi korporat dikurangkan serta ketirisan negara yang berjumlah RM28 bilion dibendung.

Menurut Anwar, adalah wajar bagi Najib menerima pelawaan berdebat dengan beliau kerana Presiden Umno itu kerap memperlekehkan dasar PR, khususnya program 100 hari itu.

"Saya tak lihat pun keperluan beliau untuk bimbang berbahas. Beliau ada ratusan pakar ekonomi untuk membantu. Untuk rakyat (perkara ekonomi) ini sangat penting," kata Anwar lagi.

Anwar yang juga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat berkata jika Najib masih enggan berbahas dengan beliau mengenai ekonomi negara, beliau berharap Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin sanggup berdebat dengan Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli atas isu sama.

Sementara itu, Presiden PAS Datuk Hadi Awang menganggap perbahasan yang ditolak oleh Najib itu adalah amalan yang menyuburkan demokrasi dalam usaha menyampaikan maksud dan mesej jelas kepada rakyat.

"Debat ni amalan biasa di United Kingdom, Amerika Syarikat dan negara lain yang mengamalkan demokrasi," kata beliau.

Masyarakat Penulis Kritik Pemimpin MIC Politikkan Novel Interlok


KUALA LUMPUR : Masyarakat penulis berhimpun hari ini untuk mensasarkan kritikan terhadap pemimpin MIC kerana didakwa mempolitikkan isu novel Interlok dalam cubaan untuk meraih sokongan kaum India.

Lebih 100 wakil pelbagai persatuan penulis dan anak Sasterawan Negara Abdullah Hussein hadir pada perhimpunan anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) untuk menolak sebarang cubaan menarik balik atau meminda kandungan buku itu sebagai buku teks di sekolah menengah.

Perhimpunan Memprotes Mempolitikkan 'Interlok' ini diadakan di Rumah Gapena petang tadi.

Rata-rata wakil persatuan penulis menolak pendirian rasmi MIC bahawa buku ini menghina kaum Melayu kerana menggunakan ungkapan tertentu dalam masyarakat Tamil di India.

Setiausaha Satu Gapena, Prof. Madya Zainal Abidin Borhan menyeru agar warga Malaysia yang cintakan kesusasteraan bangkit mempertahankan karya hasil Abdullah Hussain.

"Rakyat Malaysia yang cintakan perpaduan, cintakan ilmu pengetahuan bergeraklah tuan-tuan dan akhirnya kita bersatu mempertahankan Interlok sebagai buku teks dan buku negara serta kandungan buku Interlok itu tidak dipinda," tegas beliau kepada kira-kira 100 peserta perhimpunan tersebut.

Sasaran utama kemarahan kumpulan ini adalah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri T.Murugiah yang menyertai MIC baru-baru ini.

Ketua Satu Persatuan Penulis Johor Amiruddin Ali Hanafiah mahu Murugiah meletakkan jawatan secara terhormat sebagai Ahli Dewan Negara kerana mempolitikkan isu berkenaan.

"PPJ berharap, semua gabungan Melayu berharap T.Murugiah orang yang memulakan persoalan 'Interlok' ini memperjelas kepada rakyat Malaysia kerana kebiadaban, saya kata Murugiah biadab kerana tidak menghormati Menteri Pelajaran. Beliau yang menyatakan 'Interlok' ditarik balik seolah-olah Menteri Pelajaran sudah tidak ada, seolah-olah Tan Sri Muhyiddin sudah mati, bagi Murugiah barangkali," tegas beliau.

Gapena merumuskan lapan resolusi hari ini untuk diserahkan kepada Perdana Menteri, termasuk tuntutan supaya pemimpin-pemimpin kerajaan dipecat sekiranya mereka mencetuskan salah sangka, prasangka dan pergolakan antara kaum.

Thariq Abdullah, anak penulis novel 'Interlok' melahirkan rasa dukacita kerana ayahnya dijadikan mangsa ahli politik.

Beliau menegaskan novel 'Interlok' mengetengahkan keperitan hidup tiga kaum utama di negara ini pada awal tahun 1900an dan tidak menghina mana-mana pihak.

"Tetapi apa yang berlaku, ada golongan tertentu cuma secara 'convenient' mengambil bahagian-bahagian tertentu dan mempolitikkan bahagian-bahagian tertentu, dalam keadaan tersebut untuk kepentingan, mungkin politik peribadi mereka sendiri yang mana telah menjadi polemik negara sekarang," kata beliau.

Friday, January 14, 2011

Interlok tiada unsur rasis: Anwar

Arak: Pemuda PAS Wilayah sokong Hasan Ali

KUALA LUMPUR : Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menyokong pandangan Exco Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Hasan Ali yang mahukan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menguatkasakan larangan umat Islam bekerja di premis menjual arak.

Naib ketuanya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, sebelum ini, MPSJ telah menguatkuasakan larangan umat Islam bekerja di tempat menjual minuman keras namun arahan itu telah ditarik balik oleh Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Ronnie Liu.

Dalam hal ini, katanya DPPWP merasa kagum terhadap Hasan Ali yang bertegas dengan prinsip Islam.

Tambahnya, hukum Islam telah jelas menyatakan haram bagi umat Islam bekerja di premis yang menyediakan minuman keras apatah lagi meminumnya.

“Tindakan beliau dengan jelas membuktikan bahawa PAS tidak pernah menggadaikan prinsip dan maruahnya meskpiun bersahabat dengan pelbagai parti politik.

“Dasar PAS yang berjuang untuk Islam sejak dahulu hingga kini tidak pernah berubah walaupun bermacam halangan yang melanda,” ujarnya.

Ini juga, tambahnya membuktikan bahawa PAS dan Pakatan Rakyat jauh bezanya dengan Umno dan Barisan Nasional.

DPPWP juga, katanya menyokong dan mengucapkan tahniah kepada MPSJ kerana mahu melaksanakan larangan ini.

“Penguatkuasaan ini akan mampu mengelakkan umat Islam terjebak dengan maksiat dan dosa kerana bergelumang dengan perkara-perkara yang haram.

“Perkara-perkara haram sebeginilah yang menyebabkan kurangnya keberkatan kepada rezeki yang diperolehi sehingga melahirkan generasi yang rosak akhlak dan akidah,” katanya.

Beliau menambah, DPPWP turut mengharapkan agar Ronnie Liu melaksanakan segera peraturan mengharamkan umat Islam bekerja di premis jualan minuman keras demi kemaslahatan umat Islam.

Menurutnya lagi, umat Islam di Selangor khususnya terlalu lama menginginkan kehidupan yang diberkati, jauh daripada dosa dan perkara-perkara yang haram.

SUK: 10,000 akan berhimpun desak KSN tarik balik

KUALA LUMPUR, 14 Jan: Seramai 10,000 orang dijangka akan berhimpun di Stadium MPPJ di Kelana Jaya pada 23 Januari ini, bagi membantah perlantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor yang baru.

Perhimpunan tersebut dirancang oleh sebuah kumpulan pendesak baru yang dikenali sebagai Hormati Suara Rakyat Selangor (HSRS), bertujuan untuk memberikankan tekanan kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan supaya menarik balik perlantikan Khusrin.

Presiden HSRS, Haris Ibrahim menjelaskan, pihaknya berharap agar dapat mengumpulkan sekurang-kurangnya 10,000 orang ke perhimpunan itu yang akan diadakan pada jam 4.00 hingga 7.00 petang.

Menurut beliau, perlantikan Khusrin adalah kemuncak percubaan kerajaan persekutuan BN bagi menggagalkan pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dalam melaksanakan dasar dan programnya.

Katanya, dalam kes perlantikan SUK yang baru, faktanya, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim tidak menerima senarai nama yang disyorkan dari Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, tetapi tiba-tiba Khusrin yang diumumkan memegang jawatan itu.

"Tindakan itu jelas bertentangan dengan undang-undang dan ketetapan konvensyen. Oleh itu, Sidek perlu membatalkan kembali perlantikan Khusrin itu kerana ia dibuat dengan tidak mengikut peraturan," katanya pada sidang media yang diadakan di Dewan Perhimpunan China KL-Selangor, di sini, hari ini.

Menurutnya, Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor memerintah negeri itu atas pilihan atau mandat rakyat (menerusi PRU Ke-12) lalu. Oleh itu, seluruh rakyat Selangor berhak mendapatkan perkhidmatan terbaik dari kerajaan pilihan mereka.

"Tetapi tindakan yang dilakukan oleh kerajaan Pusat itu jelas menafikan hak Tan Sri Khalid selaku Menteri Besar Selangor dan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor. Jadi, ia sebenarnya samalah juga seperti menafikan dan mengabaikan hak-hak seluruh rakyat Selangor," jelasnya.

Rakyat Selangor, katanya, tentunya amat kecewa dengan tindakan yang dilakukan oleh kerajaan Pusat itu, sedangkan sebelum ini kerajaan Pusat telah banyak melakukan tindakan sabotaj terhadap dasar Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor menerusi pegawai-pegawai yang bersekongkol dengannya.

Oleh itu, beliau berharap agar orang ramai dan rakyat Selangor akan datang beramai-ramai pada perhimpunan itu bagi menyuarakan rasa ketidakpuasan hati mereka dengan tindakan yang dilakukan oleh kerajaan Pusat ke atas Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Pada perhimpunan itu, pihaknya akan turut mendedahkan pelbagai penindasan dan penyelewengan kerajaan Pusat terhadap rakyat Selangor yang melibatkan JKR, polis, Syabas, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan perumahan.

Antara isu yang akan dibangkitkan itu termasuklah, pengabaian kerajaan Pusat kepada kumpulan yang layak menerima bantuan kebajikan, pengabaian kerajaan Pusat terhadap langkah-langkah untuk mengatasi kesesakan lalu lintas, menggugurkan projek yang tidak sepatutnya digugurkan.

Akan turut dibangkitkan juga, penolakan kerajaan Pusat terhadap cadangan Majlis Kerajaan Tempatan untuk menyediakan polis tambahan bagi kepentingan penduduk serta mengurangkan jenayah di Selangor, bekalan air, penindasan ke atas peniaga dan penjaja.

HSRC ditubuhkan pada 11 Januari lalu dengan dianggotai beberapa pertubuhan lain termasuk Bersih, Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit), Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM), Conpac, CGG, GEL, Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Civil Right Commitee, Kuala Lumpur & Selangor Chinese Assambely Hall, LLG Cultural Development Centre Bhd dan Malaysian Civil Liberties Movement.

Thursday, January 13, 2011

Akhbar tiruan Selangorkini akan muncul

KUALA LUMPUR, 14 Jan: Selangorkini, akhbar rasmi kerajaan negeri Selangor kini terbukti berkesan apabila ada pihak dikatakan sedang berusaha untuk menerbitkan akhbar yang seumpama itu.

Menurut sumber, akhbar tiruan itu dinamakan Selangor Terkini dan edisi pertamanya bakal terbit mulai Januari ini.

Selangor Kini yang diterbitkan oleh pejabat MB Selangor yang mula diterbitkan pada hujung 2008 kini dicetak 120,000 naskah dua kali sebulan.

Ia diedarkan secara percuma melalui pejabat Adun Pakatan Rakyat di seluruh negeri itu disamping diletakkan juga di tempat-tempat lain yang dikunjungi oleh orang ramai di negeri itu.

Melihat kepada kandungan edisi pertamanya, penerbit akhbar ini dipercayai mempunyai kaitan dengan Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Noh Omar kerana gambar beliau ada pada muka depan dan belakang akhbar ini.

Pihak kerajaan negeri Selangor dikatakan tidak membantah penerbitan begini kerana ia menunjukkan media mereka berkesan tetapi penggunaan logo rasmi kerajaan negeri adalah tidak betul.

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI