Saturday, January 15, 2011

Pengurusan Masjid: 'Isu Azan Sudah selesai, Tiada Masalah Lagi'


KUALA LUMPUR : Isu laungan azan Masjid Al-Ikhlasiah, Kampung Kerinchi, yang tercetus ekoran dakwaan arahan supaya tidak lagi menggunakan pembesar suara disebabkan aduan seorang ahli MCA, telah pun selesai, kata pengurusan pihak masjid itu.

Menurut laporan Malaysian Insider , Pembantu imam Masjid Al-Ikhlasiah Ramli Kadni berkata, azan di masjid itu yang terletak di kawasan majoriti orang Melayu, berkumandang seperti biasa susulan perbincangan dengan pihak berkuasa.

"Sudah kembali seperti biasa, azan Subuh sampai Isyak semua macam dulu.

"Kita boleh anggap perkara ini sudah selesai, tiada masalah lain lagi," katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai kejadian itu, Ramli berkata, pengurusan masjid telah mendapat arahan supaya berhenti daripada menggunakan pembesar suara sejak tiga minggu lalu ekoran aduan seorang ahli MCA yang juga seorang peguam, yang tinggal di kawasan berdekatan.

Bagaimanapun, Ramli tidak dapat mengesahkan siapa yang mengeluarkan arahan itu.

"Kita cuma dapat arahan daripada imam, menyuruh kita perlahankan bunyi azan tapi tiada surat ditunjukkan.

"Saya difahamkan bahawa surat arahan itu ada, apa pun perkara ini sudah selesai. Jadi saya minta ia tidak berulang lagi," katanya.

Semalam, kira-kira 100 orang berhimpun di pekarangan Masjid Al-Ikhlasiah mengadakan tunjuk perasaan selepas solat Jumaat mendesak agar peguam terbabit ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Namun Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Datuk Che Mat Che Ali menafikan pernah memberi arahan kepada Masjid Al-Ikhlasiah agar menghentikan penggunaan pembesar suara ketika azan.

Malah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyifatkan isu azan Masjid Al-Ikhlasiah didakwa diarah menghentikan penggunaan pembesar suara sebagai "mainan politik" pihak tertentu untuk melaga-lagakan orang Islam dan orang bukan Islam.

Beliau menegaskan tiada arahan dikeluarkan kepada pengurusan masjid agar memperlahankan laungan azan atau tidak lagi menggunakan pembesar suara.

"Ini adalah mainan politik yang cuba dikalutkan oleh pihak tertentu yang mahu melaga-lagakan orang Islam dan orang bukan Islam.

"Ini adalah proses politik yang dimainkan, memang tiada arahan apa pun daripada kita," katanya.

No comments:

Post a Comment

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI