Monday, May 10, 2010

Sibu, Jom Ubah!





Sarawak bersama Malaysia kini berada di persimpangan. Kita sepatutnya dan perlu mempunyai kerajaan negeri dan kerajaan pusat yang lebih baik. Sibu mempunyai peluang yang unik dan bersejarah untuk menjadi tapak permulaan bagi masa depan yang lebih baik dan obor harapan Sarawak khususnya dan Malaysia amnya.

Sarawak, dengan tanahnya yang paling luas di Malaysia dan mempunyai banyak sumber alam seperti minyak dan gas, kini tercorot di bawah bersama-sama negeri lain di Malaysia yang berada dalam tahap kemiskinan.

Pada tahun 2009, anggaran hasil negeri adalah RMRM3.726 bilion. Kita ada balak, minyak kelapa sawit, emas dan banyak lagi sumber alam. Tetapi, lebih dari 70% rumah panjang tidak ada bekalan elektrik dan banyak pula yang tidak mempunyai air paip bersih yang dirawat.

Sehingga hari ini, tidak ada jalan tar menuju masuk ke kampung-kampung Sarawak. Rakyat Sarawak adalah antara mereka yang paling miskin di Malaysia kerana gaji yang rendah, tidak banyak peluang pekerjaan dan peluang perniagaan pula dibolot oleh segelintir individu.

Hanya satu kesimpulan boleh dibuat. “Politik pembangunan” BN selama 47 tahun telah gagal teruk, bukan sahaja dari segi ekonomi tetapi lebih penting lagi, dari segi politik.

Sarawak adalah satu-satunya negeri di Malaysia di mana hanya satu keluarga sahaja yang menguasai kegiatan ekonomi dan politik negeri.

Sarawak bersama Malaysia amat memerlukan perubahan. Dengan itu pilihan raya kecil Sibu bukan soal siapa menang tetapi ia adalah soal masa depan anak-anak kita di Sarawak khususnya dan Malaysia amnya.


Demi Anak-Anak Kita, Sarawak, Malaysia

Alangkah baik jika anak-anak kita dapat tinggal di Sibu dan di Sarawak di mana mereka boleh menetap bersama keluarga, bermain dengan anak-anak jiran dan bekerja apabila sampai peringkat umur mencari nafkah.

Hari ini ramai anak-anak muda kita meninggalkan kampung halaman dan negeri untuk mencari nafkah di luar. Sesetengah dari mereka hanya mampu balik kampung sekali dalam beberapa tahun. Ramai pula yang tidak pulang-pulang setelah meninggalkan kampung halaman.

Ada lebih 300,000 anak muda Sarawak yang terpaksa bekerja di Semenanjung dan Singapura kerana tiada peluang pekerjaan di negeri sendiri.



Kerajaan yang baik menyediakan peluang peluang di negeri sendiri dan memupuk keluarga bahagia. Rakyat Sarawak mesti mempertahankan hak mereka yang dijamin oleh Perlembagaan dalam soal kebebasan beragama dan perlu menolak gejala ektremisme agama.

Hak rakyat Sarawak untuk mengamalkan agama masing-masing dalam bahasa masing-masing kini telah dicabar oleh kerajaan pusat BN yang mengharamkan kalimah “Allah” dalam kitab Injil Bahasa Malaysia.

Ramai rakyat Sarawak telah menjadi setinggan di tanah sendiri. Banyak pemilik tanah di Sarawak kini mengalami masalah besar dalam memperbaharui pajakan tanah kerana kerajaan negeri boleh menolak mana-mana permohonan tanpa sebarang sebab.

Jika kerajaan negeri enggan memperbaharui pajakan, tiada sebarang pampasan akan diberikan kepada pemilik tanah. Sebaliknya jika pajakan diperbaharui, pemilik tanah terpaksa membayar premium yang tinggi.

Bagi kaum Bumiputera Sarawak, tanah mereka adalah jati diri mereka. Di bawah “politik pembangunan” BN, tanah hak adat Bumiputera (NCR) telah menjadi aset ekonomi untuk dijual atau dipajak kepada syarikat-syarikat balak dan perladangan serta pihak swasta yang lain.

Malah, pemilik tanah NCR tidak diberi peluang pekerjaan di kawasan-kawasan “projek pembangunan” ini kerana pihak syarikat lebih suka menggajikan buruh asing yang murah.

'Undi DAP bererti undi untuk negara Islam' muncul di Sibu



SIBU, 10 Mei: Sebagaimana dijangka, SUPP memulakan serangan ke atas DAP dengan menggunakan isu yang sudah bukan menjadi isu di Semenanjung apabila berkata, 'Undi DAP bererti undi untuk PAS dan negara Islam'.

Kempen ini dimulakan oleh Ketua SUPP Sibu yang juga Menteri Kewangan Kedua Sarawak, Datuk Seri Wong Soon Koh.Pemimpin kanan DAP, Lim Kit Siang (gambar) dalam kenyataannya berkata, memang benar Negara Islam adalah matlamat PAS tetapi ia bukannya matlamat Pakatan Rakyat.Beliau mengaku, tema 'Undi DAP bererti undi untuk PAS dan negara Islam' berkesan dalam pilihan raya umum 1999 tetapi ia sudah dikebumikan apabila tsunami politik melanda negara dalam pilihan raya umum 2008.

Atas dasar itulah, katanya, di Kuala Sepetang, Perak, 84 peratus pengundi Cina telah memberikan undi kepada calon PAS, Datuk Seri Muhamad Nizar Jamaludin dalam pilihan raya kecil Bukit Gantang.Atas dasar itulah juga, 82.5 peratus penduduk Cina Rasa, Hulu Selangor memberikan undi kepada calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim.



"Nampaknya pemimpin SUPP yakin, apa yang tidak laku lagi di Semanjung masih lagi laku di Sibu," kata Lim Kit Siang dalam kenyataannya.Beliau yakin, SUPP sangat bimbang dengan perkembangan yang berlaku dalam pilihan raya Sibu apabila sokongan untuk calon DAP semakin meningkat.Dari 40% : 60% antara DAP : BN kini sudah meningkat kepada 44% : 56%.

Ini sangat bimbangkan SUPP sehingga mengeluarkan serangan yang dianggap sebagai senjata pemusnah (killer weapon) ini, kata Kit Siang.

Di Sibu, anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Samad antara pemimpin PAS yang paling diyakini untuk menjelaskan isu ini.Ini kerana, Khalid adalah antara pemimpin PAS yang mula-mula memasuki gereja untuk bertemu dengan pengundinya selepas menang di Parlimen Shah Alam dalam pilihan raya umum 2008 lalu.

Semalam, Khalid bersama Dr Mariah Mahmud, anggota Parlimen Kota Raja menemui penganut Kristian di gereja Sacred Heart, gereja yang terbesar di Sibu.Ekoran itu, Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Maximus Johnity Ongkili mempertikaikan tindakan PAS itu.

"Sebenarnya, mereka (PAS) patut datang ke Sabah dan Sarawak untuk belajar dari kita bagaimana cara untuk menguruskan hubungan antara agama. Ia bukan isu di sini," katanya kepada media.53 peratus dari 54,649 pengundi Sibu adalah Krsitian.

Isu nama Allah menjadi penting di sini apabila kerajaan BN yang dipimpin oleh Umno menolak penggunaan nama Allah oleh penganut agama Kristian.Ia bermula apabila majalah Kristian Herald yang berpangkalan di Sabah memohon perintah mahkamah agar mereka dibenarkan menggunakan perkataan Allah untuk ganti kepada 'God' dalam edisi bahasa Melayu majalah mereka.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) menolak permohonan itu. Dalam masa yang sama, pelbagai kenyataan dari pemimpin Umno mengguris hati penganut Kristian. Turut menimbulkan kemarahan adalah tindakan membakar beberapa gereja Kristian.Namun begitu, PAS dalam mesyuarat mereka telah memutuskan, penggunaan nama Allah tidak bertentangan dengan Islam dengan syarat ia tidak digunakan untuk mengelirukan umat Islam.

"Sejak isu itu, banyak ceramah oleh mubaligh Kristian dalam gereja mereka di Semenanjung dan Sabah serta Sarawak mengajak penganut Kristian menolak Umno atas tindakan mereka," kata seorang penganut Kristian di Kuala Lumpur.Kini, isu agama dimainkan semula di Sibu dan nampaknya ia akan memihak kepada calon DAP kerana terbukti, rakan SUPP di Semenanjung iaitu Umno yang sepatutnya dipersalahkan.

Anwar Turun Padang Temui Masyarakat Iban

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim melanjutkan kempen Sibu Memimpin Perubahan Sarawak ke kampung-kampung Iban di serata Sibu.

Mantan Timbalan Perdana Menteri itu, bersama-sama calon Pakatan Rakyat Wong Ho Leng hari ini melawat rumah panjang Bawang Assan dan menikmati makan tengahari bersama penduduk setempat.

Bawang Assan terletak di barat bandar Sibu, berhampiran perkampungan Cina Sungai Bidut. Perjalanan sejauh 30 kilometer jika berkereta dari pusat bandar merentasi Jambatan Igan.

Tarikan utama Bawang Assan adalah 8 rumah panjang Iban, yang tertua darinya berusia 100 tahun. Beberapa rumah panjang terletak di tebing Sungai Bawang Assan yang mengalir ke Sungai Rajang.

Sebahagian besar penduduk bekerja di bandar Sibu atau di luar bandar. Sebahagian lainnya menjana pendapatan tambahan sebagai nelayan kecil-kecilan - menangkap udang sebesar ibu jari dan ikan di sungai yang teruk dicemari.

Ketibaan Anwar Ibrahim dan krew TV Selangor disambut dengan kemesraan oleh penduduk setempat.

"Saya datang untuk satu tujuan, merayu saudara semua supaya mengundi untuk calon yang berani bersuara untuk kepentingan masyarkat Iban. Pilih calon yang tidak berundur bila ditekan, yang tidak tunduk bila diancam, yang tidak membisu bila hak saudara dirampas. Calon itu adalah calon kita, Wong Ho Leng," kata Anwar disambut dengan tepukan gemuruh warga rumah panjang.

Anwar meyampaikan mesej yang jelas, bahawa Pakatan Rakyat membawa politik baru untuk Malaysia, dimana kepentingan rakyat mengatasi politik indidivu dan keluarga-keluarga kaya.

Iban, Melayu, Cina, India dan Kadazan mendapat keadilan dan layanan yang sama. Tanah-tanah yang mereka diami akan dihormati sebagai hak mutlak mereka.

Beliau dukacita melihat masih ramai masyarakat Iban yang hidup dalam kepayahan. Sungai yang menjadi nadi kepada kehidupan mereka teruk tercemar. Peluang pendidikan sempit. Elektrik dan air terbengkalai.

"Kekayaaan negeri harus kita bagi pihak Iban, pihak Cina, pihak Melayu-Melanau, India dan Orang Asli, bukan untuk diserahkan pada orang-orang kaya. Kontrak, tanah, balak, minyak habis semua sudah diambil kerajaan BN," kata Anwar lagi, dengan anggukan tanda setuju dari semua yang mendengarnya.

Anwar berkata kekayaan pemimpin BN seperti keluarga Taib Mahmud diketahui ramai. Kekayaan hasil bumi Sarawak juga diketahui di seluruh dunia. Begitu juga kemiskinan rakyat Sarawak, khususnya masyarakat Iban.

"Bagi orang Iban, tanah ini adalah nyawa. Kalau ikut BN, kita punya nyawa (tanah) pun dia sudah angkat bagi pada orang kaya," kata Anwar.

Bagi pemimpin reformasi ini, masa perubahan sudah tiba, dan penentu samada Sarawak berubah atau tidak kini dalam tangan masyarakat Iban di Sibu.

"Tengok apa yang kita ada sekarang ini. Tanya berapa BN bayar kita, tanya anak ada kerja atau tidak. Di kempen sebelum ini, orang Iban kata Pakatan Rakyat belum tahu memerintah. Sekarang kita sudah perintah beberapa negeri. Di Sarawak, BN sudah perintah berpuluh tahun. Di Selangor, kita perintah dua tahun, kita sudah bagi air percuma. Di sini, yang percuma adalah air sungai di tepi itu (sambil tunjukkan pada sungai di tebing rumah panjang)," kata Anwar disambut gelak tawa hadirin.

Isu Negara Islam Jadi Bahan Kempen Pilihan Raya Sibu

Barisan Nasional menggunakan isu negara Islam untuk menakutkan pengundi Sibu.

Namun, dalam masa sesingkat dua hari sahaja, tinjauan DAP mendapati sokongan pengundi Sibu kepada Pakatan Rakyat meningkat dari 40 peratus kepada 44 peratus.

Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata mantera 'satu undi untuk DAP ialah satu undi untuk Pas dan Negara Islam' adalah senjata rahsia BN yang sepatutnya digunakan dua hari sebelum hari pengundian.

Senjata rahsia ini bagaimanapun dikeluarkan hari ini bagi mematikan momentum sokongan kepada Pakatan Rakyat.

Kit Siang berkata soal Negara Islam bukan lagi isu kerana umum menyedari BN memperkudakan agama demi kepentingan politik.

Pakatan Rakyat khususnya DAP dan gerakan Islam terbesar tanah air, Pas, bersetuju dalam dasar bersama mendaulatkan nilai sejagat Perlembagaan Negara yang turut memartabatkan Islam sebagai agama rasmi di Malaysia.

Semalam, calon Pakatan Rakyat Wong Ho Leng mendesak Robert mengumumkan pendirian berhubung isu kalimah Allah, namun desakan itu dipandang sepi.

Larangan penggunaan kalimah Allah kembali menerjah selepas calon tersebut membisu ketika diminta menjelaskan pencerobohan BN dalam kehidupan beragama masyarakat Kristian Sarawak.

Pas, DAP dan PKR dilihat aktif mengunjungi gereja di Sibu dalam usaha menarik sokongan masyarakat Kristian yang membentuk 53 peratus pengundi Sibu.

Kesudian Pas berdialog dengan masyarakat Kristian meresahkan SUPP yang memberi amaran supaya jangan membawa politik Semenanjung ke Sarawak.



Thursday, May 6, 2010

UMNO- BN Lulus Lesen Judi Untuk Bolasepak Piala Dunia ?

Kerajaan Umno-Barisan Nasioal mempertimbang mengeluarkan lesen untuk membenarkan pertaruhan atas kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 awal bulan depan dalam satu lagi langkah yang dikhuatiri akan membawa kepada pelbagai masalah social dan keselamatan kepada negara.
Alasan untuk pertimbangan itu, menurut Timbalan Menteri Kewangan Awang Adek Hussein, ialah bagi mengelak berleluasanya aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini.

"Ada beberapa perkara penting untuk dikaji sama ada perkara ini (mengeluarkan lesen membenarkan pertaruhan) baik bagi kerajaan atau jika kerajaan boleh cuba mengawalnya untuk mengetahui berapa banyak (jumlah wang daripada pertaruhan haram).

"Kerajaan sedang mengkaji perkara ini dan akan memutuskannya jika mahu membenarkan pertaruhan kerana kejohanan Piala Dunia ini semakin hampir," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Awang Adek berkata, jika lesen itu dikeluarkan, kerajaan dapat mengawal aktiviti perjudian, selain hasilnya boleh digunakan terutama untuk pembangunan bidang sukan di negara ini.

Beliau mengesahkan sudah ada pihak yang membuat permohonan untuk mendapatkan lesen itu tetapi beliau enggan mendedahkan lebih lanjut maklumat itu sehingga kerajaan membuat keputusan mengenainya.

Awang tidak menjawab persoalan lebih penting ialah risiko lesen perjudian baru memburukan masalah orang meminjam dari Ah Long dan mendedahkan generasi muda kepada budaya berjudi.

Hakikat adalah juga meskipun kerajaan menghalalkan lesen judi untuk pelbagai cabutan di negara ini, perjudian atau pertaruhan secara haram masih berleluasa, tanpa di kekang secara berkesan .

Wednesday, May 5, 2010

1,000 kenderaan konvoi untuk Gaza

KUALA LUMPUR, 6 Mei: Sejumlah 1,000 kenderaan bakal menyertai 'Konvoi Nasional Untuk Gaza' 8 Mei ini dari seluruh negara menuju ke Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam dan dijangka berkumpul di sana jam 5 petang.

Program tersebut adalah anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) sebagai tanda sokongan padu kepada umat Islam yang berada di Gaza Palestin yang sedang ditindas Zionis Israel.

Antara pengisian di masjid negeri sepanjang program tersebut adalah ceramah khas ’Palestin Terkini’, solat hajat, pameran dan lain-lain.

Pada 24 Mei ini, kumpulan konvoi 20 kapal laut yang dikoordinasi oleh badan antarabangsa Free Gaza Movementdijangka akan bergerak dari pelabuhan Turki ke pantai Gaza untuk menghantar bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza.

Menurut Setiausaha Agung Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid, Mapim sebagai sebuah wadah gabungan NGO Islam seluruh Malaysia sedang mengusahakan pengumpulan bantuan ubatan, makanan dan keperluan pendidikan yang bernilai RM1 juta untuk dihantar dari Malaysia bersama salah sebuah kapal tersebut.

"Menurut keputusan yang dibuat oleh Rabithah Ulama Palestin bahawa pembebasan Masjid Al-aqsa kiblat pertama umat Islam dan saudara yang terkepung di Gaza wajib fardhu ain dibebaskan oleh umat Islam seluruh dunia," katanya.


Detik 10am 6/5/10 Merakyatkan Informasi N. Selangor

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI