Minggu lalu satu fenomena baru telah muncul di tanah air kita, iaitu fenomena “kangkung”. Fenomena ini lahir dari satu gimik politik Barisan Nasional yang berniat mengalih pandangan rakyat dari kegagalan dasar pentadbiran Datuk Seri Najib Razak untuk menangani masalah kenaikan harga barang.
Mana taknya, simbol sayur harian difikirkan memadai untuk meredakan kemarahan rakyat yang semakin kuat.
Namun akhirnya gimik tersebut menjadi sebuah “meme” dan terus menjadi “viral”, yakni merebak ke seluruh pelusuk negara dan menjadi buah mulut dan bahan ketawa marhaen.
Ada yang membuat grafik King Kong memeluk bangunan Umno sambil memegang kangkung, ada yang mengolah gambar seorang makcik Umno yang cukup bersyukur kerana harga kangkung punyalah murah, ada yang membuat t-shirt dengan gambar Najib dan kangkung. Dengan kata lain, gimik itu menjadi “keris yang makan tuan”.
Sudah pasti para konsultan dan pemikir di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri tidak tahu betapa besarnya impak gimik tersebut. Sayangnya, impak yang dicapai bukanlah impak yang diidamkan!
Dek gimik sayur kangkung inilah Najib dan Putrajaya menjadi bahan berita seluruh dunia, hingga dipetik BBC dan lain-lain saluran berita antarabangsa – bukan untuk memuji langkah fiskal atau urustadbir yang semakin baik, tetapi untuk menunjukkan bagaimana rakyat Malaysia menzahirkan rasa tidak puas hatinya mereka dengan pentadbiran Najib yang telah menaikkan harga petrol, gula, dan macam-macam lagi.
Di sini amat penting kita perhati, perhalusi, dan pelajari kesalahan yang dilakukan Najib dan para konsultan dan pemikir beliau.
Pertama: Jangan ingat rakyat tidak faham isu
Ekonomi perkara yang cukup rumit dan sukar difahami. Namun, aspek ekonomi yang paling mudah dirasai ialah harga jumlah barang keperluan harian yang dibeli setiap minggu.
Di sini mungkin tidak salah bagi Najib, para konsultan dan pemikir beliau menggunakan barangan seharian dalam hujah. Akan tetapi, persepsi bahawa pelbagai perkara lain yang punyai impak lebih besar kepada keluarga dibiarkan naik harganya (petrol, gula, elektrik, dan lain-lain) tidak dapat diatasi. Ini sepatutnya diambil kira dalam penyediaan hujah.
Kedua: Jangan perbodohkan rakyat
Kalau kita dengar cara penyampaian hujah kangkung oleh Najib, dengan serta-merta kita akan faham kenapa orang ramai begitu marah hingga akhirnya Najib menjadi bahan ketawa. Cara Najib mengangkat bercerita tentang kangkung cukup “condescending”, terlalu meninggikan diri dan bagai merendah-rendahkan pendengar dan penonton.
Setiap ahli politik harus memahami bahawa untuk mengangkat sesuatu hujah, anda perlu membuat “persembahan”. Ia seperti teater di mana sesebuah naskah itu akan berjaya atau gagal dihidupkan di atas pentas dengan keupayaan dan kemahiran si pelakon.
Yang pasti terlintas di fikiran penonton dan pendengar – “Aduh, Perdana Menteri aku anak bangsawan. Isteri gemari beg mahal dan gaya hidup mewah. Tahun baru mereka sering sambut di luar negara. Ni nak cakap pasal naik turun harga kangkung kat aku?”
Di zaman YouTube dan Facebook, maklumat dari mana-mana pihak tidak lagi hanya dibaca di dada akhbar yang statik, tetapi ia “hidup” sebagai imej yang tidak akan hilang.
Maka setiap kali orang membuka video Najib bercakap tentang kangkung, apa yang saya sebut tadi akan hidup semula dalam fikiran si penonton video. Orang akan berkata, “Perdana Menteri aku tidak berpijak di bumi yang nyata”.
Ketiga: Tahu bila untuk berhenti
Beberapa teman ada mengajukan teori konspirasi bahawa hujah kangkung ini adalah cubaan dalaman untuk menggulingkan Najib. Saya tidak begitu yakin.
Tetapi apa yang menarik ialah percubaan untuk “menenggelamkan” isu kangkung ini, sama ada dengan teknik “deep packet inspection” terhadap laman web BBC Trending yang mengangkat kisah kangkung (dinafikan SKMM), atau dengan memainkan sentimen perkauman seperti yang dilakukan Umno Pulau Pinang melalui sepanduk-sepanduk yang dikibarkan sewaktu bantahan terhadap “flash mob” Lee Khai Loon. Dahlah silap sasaran kerana menyalahkan DAP (Lee tu Adun Keadilan), salah hujah pulak tu!
Puak ini tidak faham. Isu kangkung tiada kaitan dengsn bangsa mahupun agama. Isu kangkung ini isu ekonomi rakyat. Mungkin Umno sudah terlalu jauh dari rakyat dan dari bumi yang nyata untuk benar-benar memahami isi hati rakyat.
Sebenarnya apa yang patut dilakukan Najib dan Umno ialah meminta maaf kepada rakyat Malaysia kerana menaikkan harga petrol, gula dan yang sewaktu dengannya. Bukan hujah tambahan, “Saya suka makan kangkung!”
Bagi Keadilan dan Pakatan Rakyat, kita wajib pelajari dari kesilapan ini. Ayuh kita teruskan agenda reformasi dengan memberi fokus kepada amalan urustadbir yang lebih telus, ekonomi yang lebih merakyat, dan kebajikan rakyat yang terus terbela. – 20 Januari, 2014.
Catatan Sahabat seperjuanganku
* Fahmi Fadzil adalah Pengarah Komunikasi PKR
No comments:
Post a Comment