Saturday, September 21, 2013

Selangor tunaikan Manifesto Pilihan Raya menerusi pelan tindakan lima tahun

Kerajaan Selangor telah merangka Pelan Tindakan Lima Tahun untuk mengangkat taraf sosio ekonomi rakyat Selangor dan untuk memastikan taraf hidup rakyat mencerminkan sebuah negeri maju.

Pelan Tindakan Lima Tahun itu berdasarkan strategi dan langkah-langkah yang dicadangkan di dalam manifesto Pakatan Rakyat Selangor untuk Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang baru-baru ini dibincangkan dan dibahaskan pada sesi dialog awam yang telah diadakan di semua 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor.

Pelan tindakan ini dirangka pada sesi retreat EXCO selama tiga hari di Bangkok di mana semua EXCO menyuarakan isu-isu berkaitan yang perlu diberi keutamaan, kumpulan sasaran , program khusus dan unjuran implikasi kewangan sebagai sebahagian daripada strategi pelaksanaan.
EXCO (1)EXCO telah antara lain memutuskan untuk :

1. Meneruskan usaha untuk memuktamadkan penstrukturan semula industri air dan pengagihan saham air kepada rakyat Selangor.
 
2. Memberi rebat atau lain-lain jenis insentif kepada kakitangan awam yang menggunakan pengangkutan awam untuk berulang-alik ke tempat kerja di Bangunan SUK dan menyediakan bas pengantara dari stesen rangkaian pengangkutan awam terutama Terminal Bas di Seksyen 1 dan Stesen KTM di  
Seksyen 19 ke Bangunan SUK di bawah Majlis Pengangkutan Awam Selangor yang akan ditubuhkan tidak lama lagi.

3. Memusatkan semua aktiviti dan program keusahawanan di bawah Pusat Keusahawanan Negeri Selangor sebagai sebuah agensi sehenti bagi pembangunan keusahawanan.

4. Melaksanakan dasar baru bagi Rumah Mampu Milik Berkualiti (AQH) melalui unit semi autonomi di bawah Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

5. Membina pangkalan data bersepadu bagi semua program yang dibiayai kerajaan negeri termasuk statistik penerima kebajikan, dan memperkenalkan program baru atau meningkatkan program yang sedia ada untuk menukar minda kebajikan kepada minda Daya Kerja.

6. Menjalankan satu kajian menyeluruh dengan objektif menubuhkan Makmal Halal Saintifik Selangor untuk menangani isu-isu pensijilan halal.

7. Menambah daya polisi program komuniti yang dibiayai kerajaan negeri.

Saya mengucapkan terima kasih kepada semua EXCO, pegawai kanan kerajaan negeri dan kakitangan di atas sokongan, komitmen dan disipilin yang tinggi sepanjang tiga hari sesi ini berlangsung dan hasilnya kami berjaya menampilkan pelan tindakan berserta senarai program atau langkah-langkah yang akan dijalankan dalam jangka pendek , sederhana dan panjang.

Walaupun pelaksanaannya tidak akan mudah tetapi saya yakin bahawa kita semua akan bekerja keras untuk memastikan rakyat akhirnya akan menjadi penerima terbesar daripada pelan tindakan ini.

Kami juga telah mengadakan perbincangan dengan syarikat yang banyak memiliki pusat beli belah di Thailand, Kumpulan Central Pattana yang telah melabur RM500 juta melalui anak-anak syarikat di Malaysia untuk membina sebuah pusat membeli-belah di i -City Shah Alam- satu langkah yang dijangka akan menjadikan Shah Alam sebuah syurga membeli-belah baru di rantau ini.

Kerajaan negeri Selangor komited untuk menguruskan aset negeri dan sumber-sumbernya yang diamanahkan oleh rakyat untuk kebaikan rakyat khususnya untuk membantu rakyat Selangor yang terpinggir dan kurang bernasib baik selaras dengan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor.

No comments:

Post a Comment

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI