Thursday, July 11, 2013

Jawapan Bertulis Soalan Parlimen [MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN]

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN
DEWAN RAKYAT
PERTANYAAN : BAGI JAWAB LISAN
DARIPADA : Puan Nurul Izzah binti Anwar

[ Lembah Pantai ]
TARIKH : 11 Jul 2013 (Rabu)
SOALAN : 63 – PR-1311-L54444


Puan Nurul Izzah binti Anwar [ Lembah Pantai ] minta MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN menyatakan :-


(a) langkah-langkah terperinci yang akan diambil oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mengatasi masalah banjir, banjir lumpur dan tanah runtuh seperti di Bukit Gasing;
dan


(b) kesediaan DBKL mewujudkan tabung ganti rugi banjir bagi meringankan beban rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.

JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat Lembah Pantai, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengeluarkan Kelulusan Kerja Tanah kepada pihak pemaju atau konsultan yang berkelayakan dengan syarat-syarat menjalankan kerja tanah yang ketat tertakluk kepada UNDANG-UNDANG KECIL KERJA TANAH (WILAYAH PERSEKUTUAN, KUALA LUMPUR) 1988 dan AKTA JALAN, PARIT DAN BANGUNAN 1974 (AKTA 133).

Tindakan keras akan diambil jika pemaju atau konsultan pada bila-bila masa gagal untuk mematuhi syarat-syarat yang dikenakan termasuk memberhentikan kerja dan tindakan undang-undang boleh diambil terhadap pesalah-pesalah berkenaan.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga, Tabung Bencana Alam Kuala Lumpur secara rasmi ditubuhkan pada 17 Januari 1986. Tabung ini bertujuan untuk memberi bantuan kewangan ihsan kepada mereka yang ditimpa bencana alam yang berlaku di Kuala Lumpur.

Wang ihsan yang disalurkan kepada mangsa-mangsa bencana alam adalah sebanyak RM300 bagi setiap keluarga yang terlibat daripada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Pihak Jabatan Penguatkuasaan, DBKL akan membuat bancian dan mengesahkan maklumat mangsa bencana sebelum bantuan disalurkan. Ini bertujuan bagi mengelakkan penipuan berlaku.

No comments:

Post a Comment

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI