Sunday, May 19, 2013

Khalid Nasihat Agar Kerajaan Pusat Segera Lakukan Penstrukturan Air

SHAH ALAM 20 MEI:  Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menasihatkan agar Kerajaan Pusatmengutamakan isu penstrukturan semula industri air bagi membolehkan kerajaan Selangor memulihkan perkhidmatan bekalan air yang gagal diuruskan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).
Beliau berkata, kegagalan Syabas itu terbukti melalui pengakuan syarikat konsesi itu dalam kenyataan bahawa bekalan air bersih tidak mencukupi ekoran kelemahan menyelenggara loji rawatan air.
MB lagi
“Kenyataan Syabas ini juga mengesahkan dakwaan awal kerajaan negeri bahawa mereka gagal menyediakan sistem logistik yang berkesan termasuk keadaan paip air yang tidak memuaskan untuk menyalurkan air kepada pengguna.
“Syabas juga gagal menurunkan kadar air tidak berhasil (NRW) daripada 33 peratus kepada 15 peratus pada 2012 seperti dipersetujui dalam perjanjian penswastaan,” ujar Khalid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang dalam kenyataan medianya.
Kenyataan ini sebagai respon makluman Syabas yang menyatakan sejumlah 13,500 pengguna di Gombak dan Kuala Lumpur akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual, termasuk tekanan rendah, ekoran penurunan paras air di kolam utama syarikat itu sejak kelmarin.
Syabas menyebut kawasan yang terlibat di Gombak adalah Lembah Jaya Utara, Desa Lembah Permai, Kampung Muhibbah, Kampung Tasek Permai, Kampung Ampang Campuran, Kampung Tasik Tambahan, Taman Sri Baru dan Taman Dagang Jaya.
Di Kuala Lumpur pula Bandar Seri Permaisuri, Taman Shamelin, Jalan Ikan Emas dan Jalan Yaakob Latif manakala kawasan lain termasuk rumah pangsa lima tingkat di Desa Pandan, Taman Dagang dan Taman Nirwanasa Maju.
Syabas menyatakan gangguan ini berlaku disebabkan pengurangan pengoperasian di Rumah Pam Wangsa Maju sehingga menyebabkan penurunan paras yang kritikal di kolam utama Syabas sejak semalam.
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu menambah, penyelesaian utama dalam isu bekalan air ini ialah memastikan operator air berjalan dengan cekap dan berkesan.
“Saya ulang bahawa projek Langat 2 bukan penyelesaian kepada masalah air dan keutamaan kita pula adalah terhadap bekalan air terawat, bukan air mentah,” kata Pengerusi Pakatan Rakyat Selangor itu.
Sebelum ini, dalam satu kenyataan lain, Khalid menegaskan hasrat kerajaan Selangor untuk mengambil alih bekalan air daripada Syabas dengan meletakkan ‘Perdamaian Kebangsaan’ oleh Datuk Seri Najib Razak sebagai ujian pertama membela kepentingan rakyat negeri.


Editor : Khaulah Azwar

No comments:

Post a Comment

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI