Sunday, March 17, 2013

Mandat Kerajaan 5 thn Sepanjang 12 Kali Pilihanraya


KUALA LUMPUR: Ketua Pemantau Pilihan Raya Kelantan, Mohammad Faizal Che Yusof dalam satu kenyataan nya berkata, dakwaan pihak-pihak tertentu menggunakan jentera kerajaan bagi tujuan politik sempit bukanlah baru di negara ini umumnya dan Kelantan khususnya.

“Semakin hampir PRU13, semakin banyaklah acara-acara yang dianjurkan atas nama kerajaan sebaliknya digunakan untuk berkempen bagi pihak tertentu.” 

Sehubungan itu, katanya sekali lagi Pemantau Pilihan Raya Kelantan menegaskan dan menggesa semua pihak terutamanya Umno dan Barisan Nasional yang menguasai kerajaan Persekutuan menghormati prinsip-prinsip demokrasi yang telah menjadi amalan di seluruh dunia hari ini.

Apatah lagi, kata beliau konvensyen yang terpakai kini meletakkan kerajaan selepas 8 Mac sebagai sebuah kerajaan sementara.

Beliau berkata, haruslah diingat sepanjang 12 kali pilihan raya umum sebelum ini, rakyat telah mempunyai suatu tanggapan sah legitimate expectationbahawa mandat mereka melalui peti undi adalah bagi tempoh lima tahun.

“Kami menegaskan bahawa legitimate expectation yang diiktiraf oleh undang-undang pentadbiran bersama konvensyen sejagat berkaitan caretaker government tidak harus dipandang enteng.

“Kami amat kesal dengan tindakan pihak-pihak tertentu yang terus memberi tekanan kepada penjawat awam melalui arahan-arahan jabatan untuk berkempen secara tidak sah bagi pihak Umno dan Barisan Nasional,” katanya.

Menurutnya, melalui sumber ibu bapa yang prihatin, pihaknya telah menerima satu rakaman program yang dianjurkan oleh sebuah jabatan kerajaan yang menghimpunkan penjawat-penjawat awam bagi mendengar kempen Umno Barisan Nasional.

Lebih mendukacitakan lagi, jelasnya kempen tersebut menjadi medan untuk pelbagai fitnah dan tohmahan liar dilemparkan terhadap Pakatan Rakyat berserta hasutan perkauman sempit yang amat membahayakan.

Justeru, kata beliau, pihaknya menyeru semua pihak menghormati hak-hak rakyat untuk terlibat secara adil dalam pembentukan sebuah kerajaan sebagaimana dinyatakan dalam Artikel 21, Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 yang diterimapakai di Malaysia melalui penguatkuasaan S.4 (4) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999.

Tambahnya, pelbagai amalan yang tidak demokratik dan menghasut hendaklah dihentikan serta merta.

Dalam tempoh yang ada, ujar beliau setiap jentera pentadbiran dan kakitangan awam perlu diberi kebebasan yang cukup bagi menjalankan tugas tanpa dikongkong dengan pelbagai kempen politik kepartian.

“Pilihan raya yang bebas dan adil adalah hak rakyat dan semua pihak mestilah menghormatinya,” tegasnya.

No comments:

Post a Comment

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI