Tuesday, July 24, 2012

RM3.45 Juta Peruntukan PTRS Semenjak dilancarkan




Shah Alam : Semenjak Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) dilancarkan pada 2009 dengan peruntukan RM3.45 juta, seramai lebih 13 ribu pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Selangor menikmati manfaat  tersebut daripada kerajaan Negeri Selangor.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata, “Kerajaan Negeri melaksanakan PTRS atau Tuisyen Percuma dengan sasaran golongan pelajar yang akan menduduki SPM dan berasal dari keluarga berpendapatan kurang RM1,500 sebulan”.

Menurutnya, program tersebut dijalankan di seluruh Selangor mengikut DUN sebanyak 56 kawasan dengan setiap kawasan diberi kuota sebanyak 100 tempat sahaja.

“Kerajaan negeri konsisten memberikan peruntukan sama pada 2010, 2011 dan tahun ini bagi meneruskan perlaksanaan program ini. Selama tiga tahun perlaksanaannya, Kerajaan Negeri berjaya mengumpulkan seramai 13,367 peserta PTRS.

“PTRS dirangka khusus untuk membantu pelajar yang kurang berkemampuan dan mempunyai prestasi pencapaian pendidikan yang lemah. 

Objektif Kerajaan Negeri dalam melaksanakan program ini adalah untuk meningkatkan prestasi pencapaian pelajar dan memperbaiki sahsiah atau akhlak pelajar,” katanya ketika menjawab pertanyaan Yap Lum Chin (Balakong – BN) dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di  SUK Shah Alam baru-baru ini.

Dr Halimah menjelaskan PTRS menawarkan empat matapelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah dalam membantu pelajar meningkatkan pencapaian mereka.

Jelasnya, ini kerana penilaian ke atas pelajar hanya dapat dibuat melalui empat matapelajaran itu sahaja  dengan semua pelajar akan menduduki ujian prestasi dalam PTRS sebelum menghadapi SPM.

Prestasi keputusan SPM tahun lalu, tambahnya, melibatkan 4,526 pelajar PTRS mengikut pelajaran adalah Bahasa Melayu ialah 4,012 mencapai kredit dengan peningkatan 15 peratus, 411 lulus (menurun 33 peratus) dan 103 gagal (menurun 75 peratus); Bahasa Inggeris (3,292 kredit – meningkat 28 peratus, 1,029 lulus – tiada perubahan, 205 gagal – menurun 79 peratus); Matematik (3,600 kredit – meningkat 59 peratus, 926 lulus – meningkat 29 peratus), kosong  – menurun 100 peratus) manakala Sejarah (3,806 kredit – meningkat 61 peratus, 617 lulus – meningkat 20 peratus, 103 gagal – menurun 94 peratus).


 Editor : Khaulah Azwar

No comments:

Post a Comment

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI