SHAH ALAM - Cadangan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sedang mengkaji sistem undi proksi bagi membolehkan seseorang pemilih diwakili oleh mana-mana individu yang layak pada hari pengundian disifatkan sebagai idea kurang masak oleh Syed Ibrahim Syed Noh.
Beliau selaku Perngerusi Badan Bebas Pemantau Pilihan Raya Malaysia (Mafrel) menjelaskan cadangan itu menimbulkan banyak persoalan dan belum dikaji sepenuhnya serta tiada perbincangan dengan pihak-pihak yang berkepentingan.
"Idea ini agak kurang masak lagi, kerana kita sekarang berada di mana terdapat banyak lagi isu yang pernah dicadangkan kepada SPR tetapi masih belum benar-benar dapat dilaksanakan," katanya ketika dihubungi Tv Selangor.
Beliau turut mengesa SPR supaya melaksanakan cadangan yang pernah diusulkan sebelum ini, seperti menggunakan dakwat dalam pilihanraya dan pendaftaran secara automatik bagi rakyat yang sudah berumur 18 tahun ke atas.
"Kalau tujuan SPR untuk dapatkan lebih banyak pengundi, saya rasa lebih baik lihat cadangan-cadangan yang pernah dikemukakan daripada cadangan yang belum ada kajian yang menyeluruh.
"Perkara ini mungkin akan mencetuskan debat yang hebat sebab proxy ni maksudnya dia mewakili, jadi apakah peraturan dan syarat-syarat menjadi wakil tu dan pada masa yang sama bagaimana kita boleh memastikan wakil ini benar-benar seorang wakil? ini akan menimbulkan pelbagai kecurigaan," katanya.
Syed Ibrahim turut khuatir cadangan ini akan menjejaskan kredibiliti pengundi kerana penggunaan wakil ini adalah perkara yang belum dapat dipastikan.
Beliau tidak menolak jika SPR mahu mengemukakan cadangan tetapi mereka hendaklah berhati-hati dan berfikir secara matang serta berbincang dengan pihak lain terlebih dahulu.
Akhbar hari ini melaporkan cadangan SPR dalam mengemukakan idea untuk memberi kelonggaran kepada pengundi bagi membenarkan mereka menggunakan wakil untuk mengundi bagi pihak mereka.
Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof. Ia sebahagian daripada pindaan-pindaan yang dipertimbangkan untuk dibawa suruhanjaya itu, dipercayai akan diguna pakai jika diluluskan semasa pilihan raya umum ke-13, yang disebut-sebut bakal diadakan akhir tahun ini.
“Kita punya sasaran (guna pakai pindaan ini) ketika pilihan raya umum ke-13 . . . insya-Allah, kita punya sasaran kita hendak bawa (luluskan) pindaan ini pada tahun ini, awal tahun ini, ia dibawa kepada Kabinet dan Parlimen.
“Harap-harap ia boleh dibawa ke sidang Parlimen Mac ini, jika tidak pada (sidang bulan) Jun,” kata beliau.
Beliau memberitahu, pindaan yang disyorkan mereka tidak dapat digunakan ketika pilihan raya negeri Sarawak yang akan diadakan bila-bila masa dari sekarang.
Mandat semasa Dewan Undangan Negeri Sarawak berakhir Julai ini.
No comments:
Post a Comment