PUCHONG: Kerajaan Negeri Selangor telah menyumbangkan geran tanah bernilai RM50,000 kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Ming, Batu 16 dengan tujuan pembinaan dewan dan bilik darjah untuk murid-murid Tahun Satu di sekolah itu bagi mewujudkan suasana yang selesa.
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar (MB) Selangor berkata, pembinaan dewan dan bilik darjah tersebut adalah hasil usahasama kerajaan negeri yang dikendalikan Exco Selangor, Teresa Kok sejak tahun 2009 bersama pemaju, Bukit Hitam Development Sdn Bhd.
Jelasnya, ia adalah bagi menampung jumlah murid yang semakin bertambah saban tahun yang mendaftar di sekolah itu.
"Kerajaan negeri telah meminta lembaga pengelola sekolah untuk memberikan beberapa cadangan berhubung pembinaan dewan dan bilik darjah ini. Tetapi akhirnya, hasil rundingan antara kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) serta Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) bersama pihak pemaju, Bukit Hitam Develompent Sdn Bhd telah menemui penyelesaian.
Penyelesaian itu adalah merujuk kepada 1.8 ekar tanah yang diterima SJK(C) Sin Ming untuk menampung pembangunan di sekolah ini," katanya.
Justeru itu, beliau berharap supaya projek pembangunan ini dapat dilaksanakan dengan kadar segera oleh pihak pemaju bagi memastikan keselesaan murid-murid di sekolah itu sentiasa terpelihara.
Abdul Khallid menambah lagi, kerajaan negeri juga komited dalam usaha memelihara pembangunan pendidikan di negeri ini bagi memastikan pelajar tidak tercicir dari sudut akademik.
"Pendidikan adalah perkara utama yang dititik beratkan kerajaan negeri dan kita percaya dengan kerjasama antara ibu bapa dan pengelola sekolah, kita akan dapat memastikan semua anak-anak dapat memilih, menentukan serta menerima pembelajaran terbaik di sekolah yang dipilih," jelasnya.
Abdul Khalid berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah bagi projek membina dewan dan bilik darjah satu di SJK(C) Sin Ming di sini kelmarin.
Turut hadir sama, Exco Selangor, Ronnie Liu, Ean Yong Hian Wah dan Teresa Kok, Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian serta Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengelola SJK(C) Sin Ming, Chai Yoon Peng berkata, disebabkan ruang kelas yang terhad, sekolah itu terpaksa menolak pendaftaran baru sejak dua tahun lalu.
Difahamkan, sekolah itu mempunyai seramai 1,730 orang murid setakat ini.
Ujarnya lagi, pembinaan dewan itu nanti akan dijadikan bilik guru manakala bilik guru sekarang akan diubahsuai menjadi bilik darjah.
Bagaimanapun, pihak sekolah masih memerlukan dana sejumlah RM4 juta lagi untuk menampung kos keselurhan pembinaan yang menelan belanja RM7 juta yang dijangka siap tahun hadapan, kata Chai Yoon Peng.
Editor : khaulah Azwar
No comments:
Post a Comment