Pelabuhan Klang - Sebuah lagi Perpustakaan Komuniti Seri Perantau telah beroperasi baru-baru ini.
Lokasi perpustakaan tersebut bersebelahan projek perintis Jawatankuasa Menangani Gejala Sosial Kerajaan Negeri Selangor iaitu Pusat Sehenti Generasi Idaman Selangor (GeMS) yang beroperasi sebagai pusat aduan masalah sosial setempat.
Cadangan penubuhan Perpustakaan Komuniti Seri Perantau ini adalah hasil daripada YB Dr Halimah Ali, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor.
Katanya, “tujuan utama kita wujudkan perpustakaan komuniti ini adalah untuk menjadikan Selangor sebagai Hub Ilmuwan, Hub Pendidikan”.
“Ianya juga berfungsi sebagai Pusat Penerangan Kerajaan Negeri Selangor dan sebagai rujukan Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) seperti Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS), Hadiah Pengajian IPT RM 1,000.00 (HPIPT) dan Skim Mesra Usia Emas (SMUE)”.
Selain daripada itu dapat mewujudkan suasana ilmu di kalangan penduduk Pangsapuri Seri Perantau terutama kanak-kanak dan remaja. Kita harap, dengan adanya perpusatakaan ini membolehkan mereka membuat rujukan dan percambahan pengetahuan dalam pelbagai cabang ilmu.
Disamping itu juga akan mengurangkan aktiviti kurang sihat dikalangan pelajar sekolah dan belia khususnya.
"Saya dan Kerajaan Negeri Selangor Pakatan Rakyat (PR) ingin melahirkan seramai mungkin rakyat Selangor yang berpengetahuan melalui pembukaan perpustakaan komuniti ini", ujarnya dalam Majlis perasmian Perpustakaan Komuniti Seri Perantau baru-baru ini.
Turut hadir bersama Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Puan Hajjah Mastura binti Mohammad. Antara kemudahan yang terdapat di perpustakaan komuniti ini selain bahan bacaan ialah Jalur Lebar percuma (wifi), set komputer, bilik bacaan dan aktiviti kanak-kanak serta set kerusi meja berbumbung di luar perpustakaan.
Dengan kemudahan-kemudahan yang disediakan menjadikan perpustakaan sebagai tempat yang santai untuk menarik remaja dan belia sesuai dengan tema Perpustakaan adalah Rumah Keduaku.
Editor : khaulah azwar
No comments:
Post a Comment