Tuesday, January 4, 2011

Tapak Pelupasan Sampah Haram terbakar..


Sg Kertas, Batu Caves - Pembuangan sampah secara haram semakin menular walaupun telah kerap kali diberikan notis oleh pihak berkuasa Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan pejabat Tanah Daerah Gombak (PTDG) kepada tuan tanah.

Krew Selangorkini difahamkan bahawa tanah ini adalah tanah "private" yang mempunyai keluasan 9 hekar yang mempunyai 4 lot tanah. Kawasan yang terlibat mengalami kebakaran seluas 1.3hekar.

Menurut seorang penduduk disini En Sham B. Abdullah, kejadian kebakaran ini berlaku pada 31hb Dis, 2010 sebelum menyambut Tahun Baru.

Ujarnya lagi "Pada awalnya saya ingat penduduk disini membakar sampah sahaja tetapi ianya berlarutan sehingga 3 hari pula, sehingga kami penduduk disini merasa sesak dan pening kerana menghidu asap yang tebal dan bertompok-bertompok".

Keadaan tompokan api disertai asap tebal dari sekam sampah sedalam kira-kira 20 meter di kaki bukit di situ menyukarkan pihak bomba memadamkan kebakaran.

Ini merupakan kali ke 2 terjadinya berlakunya kebakaran tersebut. Saya amat berharap pihak berkuasa membuat pemantauan dikawasan pembuangan sampah disini kerana kadangkala mereka yang membuang sampah secara haram disebelah malam juga, katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Caves, Amirudin Shari berkata, “Kita merasa kesal tindakan pengusaha yang tidak bertanggungjawab dengan memulakan aktiviti di situ kembali sejak pertengahan tahun lalu, walaupun kawasan ini sudah ditetapkan bukan tapak pembuangan sampah. Kita juga telah meletakkan penghadang agar mereka tidak memasuki kawasan ini, tetapi mereka memecahkannya".

Keutamaan hendak kita lakukan sekarang adalah untuk memadamkan api ini, kerana bimbang ia boleh menjejaskan kesihatan dan keselamatan terutamanya pelajar yang telah memulakan alam persekolahan, katanya. Aminudin berkata demikian ketika ditemui dalam lawatan turun padangnya bagi meninjau ke tapak berkenaan, semalam.

Hadir sama dalam lawatan berkenaan ialah Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Mohd Jaid Ehsan, pihak Pejabat Tanah dan Daerah Gombak, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Sebelum ini, aktiviti pembakaran sampah dilakukan di tapak berkenaan bukan perkara baru, berikutan pernah menggemparkan penduduk apabila ia berlaku awal tahun lalu, diikuti kebakaran kecil beberapa bulan lalu. Malah lebih membimbangkan ibu bapa apabila pernah pelajar sekolah berhampiran yang tidak tahan bau busuk dari asap tebal akibat pembakaran sampah itu, pening kepala dan muntah.

Dalam pada itu, Aminudin berkata, pihaknya akan meminta pihak dua buah sekolah berhampiran menutup sesi persekolahan sekiranya keadaan asap tebal itu semakin serius dan sukar dikawal.

“Pihak Pejabat ADUN Batu Caves juga akan membantu mengedarkan penutup hidung dan mulut kepada pelajar sekolah berhampiran,” katanya.

Terdahulu, menurutnya akan menggesa pihak Pejabat Tanah dan Daerah Gombak yang telah memberikan notis perampasan tanah kepada pemilik membenarkan pembuangan sampah dibuang di situ supaya mempercepatkan proses tersebut.

Mohd Jaid ketika mengulas tindakan akan diambil MPS pula berkata, pihaknya akan meletakkan anggota untuk mengawal sementara tapak berkenaan di pintu masuk ke situ, dari jam 9 pagi ke 9 malam setiap hari, hingga hujung bulan ini.

“Kita juga akan bekerjasama dengan Pegawai Daerah Gombak, Ahmad Zahari Mohd Saad selaku Pengerusi Bencana Alam Daerah Gombak dalam menyelesaikan masalah. Insya-allah mesyuarat bencana alam akan diadakan petang esok bagi mengatasi masaalah tersebut, katanya.

Manakala, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Selayang (BBS), Zakaria Aini berkata, bagaimanapun pihaknya belum dapat mengulas lanjut punca kebakaran atau menentukan sama ada ia terbakar sendiri atau satu sabotaj dari pihak yang tidak berpuas hati dengan tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa. “Kesukaran kita memadamkan api apabila sampah-sampah lama itu perlu dikorek supaya api (dalam sampah) itu boleh dipadamkan. Tetapi kita mendapat bantuan jentera pihak Syabas dan MPS untuk menghantar air,” katanya.

Menurut Zakaria, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Selayang bersama 15 anggota bertugas untuk memadamkan kebakaran dengan bantuan balai bomba berhampiran. Katanya, operasi pemadaman akan diteruskan bergantung kepada tahap kebakaran.

Sementara itu, Mohd Nazrul Mustapha daripada Pejabat Tanah Daerah Gombak berkata, pihak kami telah memberi notis 2 kali iaitu Notis 7A pada Bulan Julai, 2010 dan Notis 7B pada Bulan dis, 2010 tetapi tuan tanah tidak memberi kerjasama dan sukar dihubungi.


Editor :khaulah azwar

No comments:

Post a Comment

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI