Thursday, January 28, 2010

SAFAR JUMAAT: Royalti-Mungkinkah Ku Li dipecat dari Umno?

SIAPAKAH di kalangan orang Umno yang sanggup mencadangkan supaya Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dipecat dari parti ekoran kesediaan beliau mengetuai kaukus royalti minyak Kelantan yang dicadangkan pakatan pembangkang?

Kelazimannya, mana-mana ahli parti tidak dibenarkan menyertai mana-mana majlis pembangkang, apatah lagi memainkan peranan penting seperti menjadi pengerusi, berucap dan mengambil bahagian – atas apa juga niat.

Semalam (Khamis), Tengku Razaleigh sudah pun berucap di hadapan 20,000 hadirin di Stadium Sultan Mohamed ke IV, Kota Bharu dalam Majlis Solat Hajat dan Ceramah Perdana Royalti Petroleum yang turut dihadiri Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan barisan Exco Kerajaan Negeri.

Khabarnya, bekas Ahli Parlimen Batu Berendam, Tamrin Tun Ghafar juga hadir mengiringi Tengku Razaleigh.

Apa yang diperkatakan Tengku Razaleigh ketika berucap di stadium tidak perlu diperbahaskan kerana beliaulah orang yang bertanggungjawab membuat perjanjian Petronas dengan Kerajaan Negeri Kelantan dahulu, tetapi suatu perkara yang perlu dibincangkan di sini ialah keberanian dan kesanggupan Ahli Parlimen Gua Musang ini untuk ‘membayar hutangnya’ kepada rakyat Kelantan.

Siapa selain Tengku Razaleigh dari kalangan mereka yang masih berada di dalam Umno sanggup ‘membayar hutang’ serupa kepada rakyat Kelantan, bercakap benar dalam isu royalti, bukan wang ihsan – seterusnya sanggup menerima hukuman dari parti yang mereka wakili, demi mendahulukan rakyat (Kelantan) dan mengutamakan pencapaian?

Tengku Razaleigh sebenarnya memang mempunyai keberanian yang mencukupi. Jika tidak kerana keberaniannya, mustahil beliau boleh menentang Dr. Mahathir Mohamad dalam perebutan jawatan Presiden Umno 1987 dahulu.

Atas sebab keberaniannya jugalah tertubuhnya Parti Melayu Semangat 46 (S 46) yang menyebabkan ramai juga yang menang kerusi DUN dan Parlimen atas tiket parti itu, termasuk Allahyarham Kahar Ahmad di Muar, Tarikh Junid di Selangor, seorang di Jerantut dan ramai dari Kelantan.

Hari ini, apabila Tengku Razaleigh menyanggupi tawaran mengetuai kaukus royalti minyak Kelantan ia sekaligus menafikan dakwaan beberapa pihak dalam Umno, kononnya Tengku Razaleigh hari ini bukan lagi Tengku Razaleigh yang pernah bertanding jawatan Presiden Umno dalam tahun 1987.

Malahan, Tengku Razaleigh sudah berjaya mencetuskan kontroversi kerana kesanggupannya menerima jemputan memberi ceramah sempena Majlis Solat Hajat dan Ceramah Perdana Royalti Petroleum, semalam.

Agaknya, Tengku Razaleigh sendiri sudah lama tidak berhadapan dengan 20,000 hadirin seperti mana majlis semalam, kerana jika program itu anjuran Umno atau BN, khalayak seperti itu mustahil akan dapat disaksikan!

Inilah kelebihan Pas – sikap dan disiplin penyokong-penyokongnya yang sentiasa bersedia memenuhi ruang untuk mendengar ceramah, lebih-lebih lagi dengan kehadiran tokoh-tokoh besar seperti Tengku Razaleigh duduk bersekali dengan Menteri Besar Kelantan.

Umno mungkin melihat Tengku Razaleigh tidak menyayangi parti itu lagi kerana sanggup menerima jemputan pembangkang, tetapi dalam masa yang sama, orang-orang Umno tidak pernah pun mahu memikirkan apakah yang mereka pernah beri kepada Tengku Razaleigh ketika Tengku Razaleigh yang mempunyai banyak pengalaman untuk berhadapan dengan rakyat.

Barangkali, mereka memikirkan, jika Tengku Razaleigh diberikan peranan, jawatan dan tugasan, menyebabkan Tengku Razaleigh akan menjadi popular hingga menyebabkan jawatan Presiden Umno tergugat.

Atau, mereka fikir, Tengku Razaleigh sudah tidak mempunyai apa-apa pengaruh lagi kepada khalayak yang menyebabkan mereka mahu Tengku Razaleigh dijauhkan dari mata dan ingatan rakyat!

Hari ini, jika Umno mahu menyenaraikan ‘musuh-musuh’ baru mereka, satu senarai panjang akan dilihat. Selain Tengku Razaleigh, Dr. Mahathir Mohamad juga bolehlah dianggap sebagai seorang bekas pemimpin Umno yang tidak memberi keuntungan kepada Umno.

Serangannya terhadap ura-ura Umno mahu mencalonkan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai calon BN di DUN Bagan Pinang tidak lama dahulu sudah cukup merimaskan. Ini belum lagi soal kekosongan jawatan Pengerusi dan Pengarah Urusan Petronas di mana beliau adalah Penasihatnya.

Dr. Mahathir juga dilihat sering berbalah dengan Menteri-Menteri Kabinet, antaranya Datuk Mohd Nazri Aziz – isu terbaru soal kursus anjuran BTN yang menyebabkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak campurtangan dan meminta semua pihak mengunci mulut dari memperkatakannya.

Ini belum masuk nama-nama seperti Datuk Seri Chua Jui Meng, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Saifuddin Nasution Ismail dan ramai lagi, mereka yang pernah memegang jawatan dalam parti dan kerajaan.

Tengku Razaleigh dan Dr. Mahathir masih ahli Umno. Namun, kecenderungan mereka bercakap benar menyebabkan Umno resah dan gelisah.

Tidak hairanlah kalau Tengku Razaleigh memberitahu kawan-kawan rapatnya, beliau perlu menjelaskan hutangnya kepada rakyat Kelantan dalam isu perjanjian royalti antara Kelantan dengan Petronas.

Hari ini, jika terlintas di fikiran Najib mahu memberikan jawatan kepada Tengku Razaleigh, mungkin ia sudah terlambat. Tengku Razaleigh tidak mungkin mahu berundur setapak ke belakang demi menerima jawatan dan tawaran.

Tengku Razaleigh bukan budak-budak yang boleh disuapkan dengan gula-gula untuk menutup mulutnya dari bercakap perkara-perkara yang benar. Malahan, Najib mungkin tidak mempunyai cukup keberanian untuk menawarkan apa-apa jawatan dan peranan kepada Tengku Razaleigh sekarang, selepas Najib berkeras tidak mahu memberikan royalti kepada Kerajaan Negeri Kelantan.

Siapa Datuk Seri Mustapa Mohamed, Datuk Dr. Awang Adek Hussein dan Datuk Ibrahim Ali yang mahu tampil bercakap soal royalti dan ihsan selagi Tengku Razaleigh ada di maya pada ini?

No comments:

Post a Comment

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI