Thursday, September 16, 2010

Pakatan yakin menang pilihan raya Sarawak

KOTA BHARU, 16 Sept: Pakatan Rakyat (PR) yakin mampu menewaskan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya Sarawak jika amalan demokrasi dilaksanakan dengan cara yang betul.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, PR bukan sahaja mampu menguasai Sarawak sahaja, sebaliknya seluruh Semenanjung sekiranya negara benar-benar mengamalkan prinsip demokrasi.

"Saya yakin Pakatan Rakyat ini betul, dan sekiranya negeri-negeri kita berdiri atas demokrasi yang betul, tidak ada rasuah, tidak ugut orang, maka tidak ada sebab rakyat hendak tolak Pakatan.

"Usahkan di Sarawak, di sini pun saya yakin Pakatan boleh menang kalau tiada amalan rasuah ataupun unsur ugutan," katanya ketika ditemui selepas melawat modul bangunan baru kondominium di Kubang Kerian, dekat sini, hari ini.

Beliau mengulas tahap keyakinan PR dalam menghadapi pilihan raya negeri Sarawak yang dijangka bakal diadakan pada tahun ini.

Desas-desus pilihan raya Sarawak semakin hampir dan mula menjadi perhatian umum berikutan kenyataan Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun), Datuk Sri Mohamad Asfia Awang Nassar, yang tidak menolak kemungkinan percutian Ketua Menteri, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud ke luar negera adalah untuk mencari ilham bagi pembubaran Dun.

Tempoh penggal Dun Sarawak akan tamat pada Julai tahun depan.

Bangunan kondominium setinggi 20 tingkat yang bakal dibina di tapak seluas kira-kira satu ekar itu akan dikendalikan pemaju, Ghazziz Sdn Bhd.

Kerja-kerja pembinaannya akan dimulakan pada Ahad ini dan dijangka siap pada tahun 2012.

No comments:

Post a Comment

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI