Wednesday, June 9, 2010

Sabah bakal musnah paya bakau pelindung Tsunami

TUARAN: Lebih 1,000 penduduk dari empat kampung di sini yang mengharapkan sumber hutan dan sungai untuk hidup, bakal kehilangan mata pencarian jika kerajaan meneruskan hasrat meluluskan pemberian kawasan paya bakau 400 hektar berhampiran perkampungan itu kepada syarikat swasta untuk dimajukan sebagai destinasi pelancongan.

Mereka membabitkan 400 penduduk Kampung Simpangan, Kampung Sudot (200), Kampung Indai (200) dan Kampung Termenung (300). Sebahagian besar penduduk menyifatkan langkah menjadikan kawasan itu sebagai destinasi pelancongan bukan langkah bijak kerana menjejaskan pendapatan harian mereka yang menjadikan sungai sebagai lubuk menangkap ikan, ketam dan siput sejak sekian lama.

Berikutan itu, mereka merayu kerajaan membatalkan kelulusan pemberian kawasan berkenaan bagi mengelak pelbagai kesan buruk kepada ekonomi masyarakat setempat.

Penduduk Kampung Simpangan, Marsah Muyong, 60, berkata jika tanah terbabit dijadikan destinasi pelancongan, penduduk akan terkapai-kapai kerana kehilangan sumber pendapatan hakiki.

"Malah, tindakan meluluskan pemberian kawasan paya bakau 400 hektar itu juga akan menyebabkan kami kehilangan tanah warisan untuk diperturunkan kepada anak cucu.

"Kerajaan sepatutnya memberi tanah itu kepada penduduk kampung berhampiran tidak bertanah untuk dijadikan tapak mencari rezeki," katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Difahamkan, syarikat yang diberi kelulusan memajukan kawasan itu sudah mula menemuduga pekerja bagi mengawasi hutan paya bakau itu daripada diceroboh.

Empat kampung berada dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman diwakili Datuk Hajiji Mohd Noor dan Parlimen Tuaran diwakili Datuk Wilfred Bumburing.

Marsah yang mendakwa sudah 50 tahun mendiami perkampungan berhampiran kawasan paya bakau itu berharap kerajaan membuat pertimbangan sewajarnya bagi membolehkan mereka tidak terputus sumber pendapatan.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Simpangan, Rusnin Laseh, 54, berkata pemberian tanah warisan penduduk itu kepada syarikat swasta tidak seiring dengan konsep 1Malaysia yang mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian.

"Berdasarkan pengalaman lalu, beratus hektar tanah di daerah ini yang sepatutnya dikekalkan sebagai tanah penduduk kini menjadi milik syarikat swasta, kononnya untuk dimajukan sebagai pusat peranginan.

“Langkah itu tidak memberi manfaat kepada penduduk setempat," katanya.

No comments:

Post a Comment

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI