Sunday, March 28, 2010

Nik Aziz Kekal Mursyidul Am PAS (Berita Penuh)


KUALA LUMPUR - Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Dr Haron Din mengekalkan jawatan mereka masing-masing sebagai Mursyidul Am dan Timbalan Mursyidul Am PAS untuk sesi 2010-2015.

Keputusan ini dicapai dalam mesyuarat kedua Majlis Syura untuk sesi ini yang diadakan di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut pagi ini.

Mengumumkan keputusan itu pagi ini di lobi Parlimen ialah Presiden PAS, Datuk Seri Haji Hadi Awang bersama Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa.

Hadi berkata, Nik Aziz menjalankan tugas beliau dengan baik sepanjang menyandang jawatan itu dan menganggap Menteri Besar Kelantan itu sebagai pilihan terbaik lantaran Pas mengutamakan mempunyai keilmuan yang tinggi

"Kami membuat keputusan, yang penting, yang pertama melantik Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat terus memegang jawatan Musyidul Am dan menyambung lagi perlantikan Datuk Dr Haron Din menjadi timbalan,” katanya.

Pelantikan itu sekali gus menutup ruang spekulasi berhubung kedudukan tokoh popular PAS itu yang melanda sejak minggu lalu.

Mengikut laporan media sebelum ini, Nik Aziz tidak kisah sama ada dipilih Mursyidul Am atau sebaliknya.

Pada sidang media itu, Hadi turut ditanya mengenai sama ada tahap kesihatan Nik Aziz masih mengizinkan untuk berkhidmat dalam tempoh lima tahun lagi.

“Sehingga hari ini beliau boleh menjalankan tugas sebagai Menteri Besar. Maka tugas Mursyidul Am PAS juga boleh dilakukan,” tegas beliau.


Diasak dengan soalan wartawan media arus perdana yang cuba memutar belit fakta berhubung perlantikan Nik Aziz ini, Hadi berkata PAS mengutamakan pemimpin yang memiliki keilmuan yang tinggi dan Nik Aziz adalah pilihan terbaik.

“ Kita menganggap beliau meneruskan perjuangan. Yang penting ialah keilmuan dan kehormatan daripada ahli-ahli PAS”.

No comments:

Post a Comment

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI