Friday, January 29, 2010

sucikanlah niat di hati sehingga nyata benarnya janji Rabbi”.

Saya rasa seluruh ahli PAS dan rakyat Malaysia sudah maklum akan keputusan Jawatankuasa Disiplin PAS berhubung kedudukan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Mohd Ali.

Dr Hasan didapati bersalah di bawah Fasal 75 Perlembagaan PAS iaitu kerana mengkritik prosedur tatacara pendengaran SELCAT dan perlantikan pengurus besar PKNS, Liow Siew Moi. Kerana itu beliau dijatuhkan hukuman “amaran bertulis”.

Ramai yang bersyukur berikutan selesainya episod yang mencabar ini. Sebagaimana ditegaskan oleh Dr Hasan beliau menerima keputusan jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Dato Tuan Ibrahim Tuan Man ini dengan hati yang terbuka dan menganggap episod ini sebagai suatu proses pendidikan beliau dalam parti.

Saya yakin Dr Hasan tidak akan merayu hukuman ini.

Yang penting sekarang adalah untuk melaksanakan amanah selaku Pesuruhjaya PAS Selangor yang dilantik oleh Dato Seri Tuan Guru Presiden. Tugas sebagai EXCO kerajaan negeri dan ADUN perlu dijalankan dengan sebaiknya memenuhi aspirasi dan perjuangan parti serta amanah yang diberikan oleh rakyat.

Banyak lagi kerja yang perlu kita laksanakan di Selangor bagi memastikan PAS terus perkasa dan Pakatan Rakyat terus teguh sebagai pilihan rakyat. PAS insyallah akan bekerja dalam satu saf memastikan kesemua kerusi yang ia menangi di Selangor pada PRU lalu dapat dipertahankan selain berusaha menawan baki kerusi yang dimenangi Umno.

Amanah yang diberikan oleh Dato Seri Tuan Guru Presiden kepada PAS negeri perlu terus menjadi obor perjuangan. Lima tunggak yang beliau tegaskan semasa bertemu pimpinan dan jentera PAS Selangor baru-baru ini adalah:

PERTAMA: Pelihara hubungan dengan Allah swt yang mengurniakan kemenangan
KEDUA: Hubungan dan ikatan dengan parti mesti sentiasakukuh dan kemas
KETIGA: Hubungan dengan rakyat jelata mestilah baik
KEEMPAT: Hubungan dengan Raja mesti dipelihara
KELIMA: Hubungan dengan pegawai dan kakitangan kerajaan perlu sentiasa baik
Dalam buku “Manhaj Daurah Tadribiyah” yang merupakan salah sebuah kitab panduan usrah buat ahli-ahli PAS disebutkan berhubung persiapan wajib bagi para da’i. Antaranya :

"Akhlak perlu dipersiapkan dengan cara membersihkannya daripada sifat marah dank eras hati, membiasakan diri dengan sifat sabar dan pemaaf, menyucikannya dengan adab-adab yang mulia dan mempertingkatkannya dengan mentauladani jejak langkah Rasulullah saw.

Setiap da’i mestilah bijak mempelajari dan mengambil pengajaran daripada setiap pengalaman dan daya kepimpinan orang lain. "

Ayuh kita pacukan jentera perjuangan: “sucikanlah niat di hati sehingga nyata benarnya janji Rabbi”.


No comments:

Post a Comment

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI