Sedikit renungan untuk diriku yang terlalu sederhana dalam AMAL tapi untuk mencapai duniawi ingin yang paling tertinggi. Inginkan darjah yang tinggi, kalau larat nak ambil Phd, nak bergelar doctor macam sahabat-sahabat yang lain. Inginkan anak yang ramai, yang cantik-cantik dan comel, yang pandai dan cerdik. Inginkan suami dan keluarga yang sentiasa di sisi, menyanyangi dan membelai sentiasa dan mendapat layanan first class dari mereka. Inginkan rumah yang indah dan besar. Inginkan bibik yang ramai. Inginkan kereta yang terbaik. Semuanya runtutan perasaan duniawi yang berhendak pada yang yang hebat-hebat. Tapi malangnya AMAL yang membawa kebahagiaan abadi tidak pernah diangan-angankan untuk mencapainya ke peringkat yang paling tertinggi.
Pernah suatu ketika dahulu daku berkesempatan mengedit buku Arab terjemahan ayahandaku berjudul al-Munthalaq karangan Muhammad Ahmad al-Rasyid. Buku tersebut diterjemahkan kepada jodol Langkah Bermula. Dan pagi ini terlintas untuk mencari sesuatu yang tidak kena pada diriku. Dua tiga hari ini aku semakin giat berbisik dan berdoa... Ya Allah ilhamkan daku ketaqwaan. Ya Allah Ilhamkan daku ketakqwaan.. .. daku perlu muhasabah diri yang semakin jauh dari Allah, amalan biasa-biasa sahaja. Solat, tilawah, zikir sikit-sikit, mengajar anak-anak mengaji, mengurus rumahtangga, melayan suami, menulis sikit-sikit, usrah sekali-sekala. Rasanya dah cukuplah tu kan.... Orang perempuan kalau buat tiga perkara ini pun sudah membolehkannya masuk ke syurga. Taat Allah, puasa solat tutup aurat dan taat suami. Cukuplah. Rasanya inilah yang telah, sedang dan akan ku lakukan. Zahirnya kalau ikut hadith tu memang ahli syurga lah. Insya Allah, mereka semuanya akan memasuki syurga.
Namun aku malu sendiri, sesimple inikah hidup. Sudah yakinkah dengan amalan-amalan ini yang boleh membawa daku kesyurga. Aku terketuk dengan kata-kata ini :Samakah golongan yang menjadi barisan pertama memasukinya dengan golongan yang dapat memasukinya hanya setelah bertahun-tahun menunggu di padang mahsyar?
Kenapa terlalu sederhana yang hendak dicapai, sedangkan Allah memberi kemampuan berfikir dan bercakap, memberi ilmu dan rehlah ilmiyyah yang jauh-jauh ke negeri orang juga rezeqi yang tidak pernah terputus-putus. Semoga beberapa helaian dari buku al-Munthalaq ini menjadi tazkirah buatku juga sahabat-sahabat yang ingin berkongsi... . Renungan bagi kita, mudah-mudahan tergolong dalam ulul albab... Amin... ana lampirkan sebahagian dari bab 6, semuanya ada 17 bab. Buku ini terbitan Pustaka Usrah. Selamat merenung dan iqra’ dengan sabar.
BAB 6 : Pelukan Cendekiawan
Orang yang beriman sentiasa berharap semoga Allah mengampuni segala dosanya dan memasukkannya ke dalam syurga. Keampunan Allah dan syurga itu adalah kejayaan yang besar yang hanya tercapai setelah dia dapat melintasi pintu syurga beberapa langkah sahaja.
Tetapi, rasa ketamakan terhadap apa yang ada di sisi AlIah itu adalah satu keinginan yang manis dan lazat. Apabila harapan itu ada bersama kita, kita tidak merasa cukup hanya setakat melintasi pintu syurga, tidak cukup rasanya kalau sekadar tinggal di tingkat syurga yang rendah darjatnya, bahkan kita bercita-cita untuk masuk ke syurga‘illiyyin (yang tertinggi) dan syurga Firdaus yang yang tertinggi.
Di sinilah lojiknya kata-kata:
“Sesiapa yang inginkan darjat yang tertinggi di syurga, dia hendaklah berada dimartabat yang tertinggi di dalam kehidupan dunia.
Satu dengan satu
Setiap barang ada harganya
Tidak ada martabat yang tertinggi di dunia ini kecuali martabat dakwah denganmelakukan kerja-kerja dakwah kepada Allah. Demikianlah tulisan Syeikh AbdulQadir al-Kailani Rahimahullah di dalam bukunya yang bertajuk “Futuh ul-Ghaib”.
Beliau adalah seorang da’I dan reformis. Oleh itu, kita dapati setiap bukunya tertumpu kepada pengertian dakwah dan kewajipan dakwah. Menurut pandanganAbdul Qadir al-Kailani, ‘orang yang berjaya’ ialah orang yang dipilih oleh Allah:
“…dan Allah menjadikannya seorang cendekiawan yang menyeru manusia kepada
Allah, memberi peringatan dan ancaman kepada mereka, menjadi hujah (dia telah
menyampaikan Islam), pembawa hidayah dan menyampaikannya.” Kemudian beliau
berkata: “Itulah matlamat tertinggi di kalangan bani Adam. Tiada darjat lain mengatasai
mereka kecuali darjat kenabian.”
Mukmin Bisu adalah Ketinggalan
Syeikh Abdul Qadir Kailani menganggap golongan bukan da’i berada dimartabat lain. Golongan itu merupakan orang mukmin yang mempunyai hati tetapi tiada lidah untuk menyampaikan dakwah. Mereka adalah di antara makhluk Allahyang terlindung daripada makhluk dan terdinding di sebalik tirai. Kekurangan mereka menutup mata dan hati mereka dari menerima hidayah.
Oleh kerana mukmin tersebut tidak mempunyai lidah, turunlah martabatnya dan ketinggalanlah dia. Dia tidak mendapat gelaran yang hebat dan agung. Mukmin dan golongan yang pertama (yang berdakwah) dikatakan sebagai ‘jahbaz’ iaitu paracendekiawan, ‘da’i’ dan ‘hujah’ ibarat sinaran yang terang-benderang. Mukmin yang kedua (yang tidak berdakwah) dikatakan mukmin yang ‘mastur’ atau yang terselindung. Perbezaan bunyi dan sebutan di antara dua kategori panggilan tersebut amatlah jauh sekali umpama langit dan bumi.
Jarak dan jurang antara keduanya sangat jauh dan luas. Antara martabat dakwah dengan martabat iman yang tertutup dan menjauhkan diri. Jurang luas itu tidak lain melainkan disebabkan oleh faktor lidah yang menyatakan kebenaran. Tiada sebab lain. Sesiapa yang mempunyai lidah berani menyatakan kebenaran maka dia akan berada di hadapan kumpulan yang berjalan menujuAllah. Memang setiap orang beriman berjalan menuju kepada keredhaan Allah.Cuma soalnya, samakah siapa yang berada di hadapan dengan yang ketinggalan di belakang?
Insya Allah, mereka semuanya akan memasuki syurga. Tetapi samakah golongan yang menjadi barisan pertama memasukinya dengan golongan yang dapat memasukinya hanya setelah bertahun-tahun menunggu di padang mahsyar?
Kerana itulah Syeikh Abdul Qadir Kailani Rahimahullah cuba memahamkan bahawa perasaan seorang da’i terhadap kemestian untuk mengubah perkara yang batil dan mememangkan hak merupakan satu kurniaan Allah bagi sesiapa yang ada kebaikan di dalam hatinya. Pengertian ini dibentuk dengan kata-kata yang lebih mudah, tetapi berharga. Iaitu:
“Apabila betulnya hati seorang hamba itu kepada Allah S.W.T. dan berjaya menghampirkan diri kepadaNya, Dia akan mengurniakan kepada hamba tersebut kerajaan dan kekuasaan di seluruh alam. Dia menyerahkan kepadanya kerja mengembangkan dakwah kepada makhlukNya, dikurniakan kepadanya kesabaran terhadap gangguan manusia, serta diserahkan kepadanya urusan mengubah kebatilan dan menegakkan kebenaran.”
Demikianlah tingginya bahasa bila ia terbit dari pelita kenabian, sama ada keluarga dari aspek nasab atau ilmu. Syeikh Abdul Qadir berada di kemuncak kemuliaan kerana nasabnya dari keturunan Ali r.a. Tambahan pula, beliau
menguasai ilmu hadis dan memahami kata-kata Imam Ahmad bin Hanbal Rahimahullah:
“Sesungguhnya peluang untuk mengembangkan dakwah itu adalah taufiq dari Allah. Allahlah yang memudahkannya bagi siapa yang didapati ada kebaikan dalam hatinya hatinya. Tugas itu adalah satu penghormatan dari Allah kepada seorang hamba, bukannya bebanan.”
Renunglah dengan teliti terhadap kata-kata al-Kailani diatas yang bermaksud:
“… serta diserahkan kepadanya urusan mengubah kebatilan dan menegakkan kebenaran...”
Kebatilan wajib diubah oleh da’i. Ubah ertinya hendaklah diperangi, dihapuskan dan dikuburkan. Jika sekiranya kamu berharap agar kebatilan itu sendiri meninggalkan tempatnya dan menyerahkannya kepada kamu atau jika kamu berharap kamu akan dapat berbicara dengannya mengunakan bahasa diplomasi... .. Maka sesekali ianya tidak akan berlaku. Cara ini tidak akan mendatangkan sebarang faedah. Hanya perkataan ‘mengubah’ sahaja yang disebutkan dalam undang-undang dakwah.
Kita Hubungkan Generasi Lalu Dengan Generasi Seterusnya
Sesungguhnya, Islam hari ini sangat-sangat memerlukan kepada satu kumpulan da’i yang memiliki kefahaman ‘mengubah’ ini, memahami betul-betul kewajiban membawa petunjuk kepada manusia, tahu kedudukan mereka di dalam angkatan dakwah yang berjalan dan mengerti bahawa mereka adalah mata rantai yang menghubungkan angkatan dahulu dengan angkatan yang akan datang nanti.
Mereka bersama mengumandang nasyid:
Kita ini adalah angkatan musafir di dalam hidup ini
Menjadi penghubung barisan yang mendatang dengan mereka yang telah lalu
Mereka yang terdahulu telah menunjukkan jalan ini kepada kita Wajib pula kita menunjukkan jalan kepada generasi depan.
Betul....golongan yang terdahulu telah bersusah payah menyampaikan akidah tauhid kepada kita, mendidik kita, membersihkan akidah kita, membentuk kita dan menyelamatkan kita dari bahaya yang membinasakan. Oleh itu, sepatutnya kita setia kepada mereka, menyempurnakan janji kita dalam melaksanakan tugas dakwah yang telah diserahkan kepada kita supaya kita bekerja dan beramal seperti mana yang pernah mereka lakukan.
Mereka yang menanam pohonnya, kita yang menikmati hasilnya. Seterusnya,kita pula akan menanam pohon supaya buahnya boleh dimakan oleh generasi yang datang.
Penanaman itu memerlukan kita bergaul dengan orang ramai, berbicara dengan mereka dan mengucapkan kalimah kebenaran dengan tegas dan terus terang.Tetapi, bagi sesiapa yang memilih untuk bersembunyi, mengasingkan diri dan enggan menentang pemikiran sesat dan kerosakan akhlak yang berlaku, maka orang itu samalah seperti yang dikatakan oleh Mustafa al-Rafi’ie:
“Orang itu menyangka bahawa dia telah lari dari kehinaan menuju kemuliaan, tetapi pelariaannya dari memerangi kehinaan itulah kehinaan bagi dirinya. Apa ertinya kesucian, amanah, al-sidq, kesetiaan, kebaikan, ehsan dan lain-lain kemuliaan bagi seorang yang berada keseorangan di padang pasir atau di puncak gunung?
Bolehkah dianggap al’-sidq itu satu kemuliaan pada seseorang manusia jika di sekelilingnya hanya ada ketulan-ketulan batu? Demi Allah, sesungguhnya siapa yang langsung tidak memerangi keburukan, maka dia sebenarnya langsung tidak mempunyai kebaikan dan kelebihan.”
Apakah bezanya antara orang yang mengasingkan diri di puncak gunung dengan orang yang membisu seribu bahasa di tengah-tengah orang ramai?
Masalah umat Islam hari ini sebenarnya bukanlah disebabkan kurangnya bilangan mereka. Begitu juga masalah dakwah Islam pada hari ini juga bukan disebabkan oleh kurangnya orang yang berpegang teguh dengan Islam di tengah-tengah kegawatan umat yang meninggalkan solat, mengamalkan bid’ah dan mendukung pemikiran kufur dan teori jahiliah. Tidak sekali-kali, kerana setiap tanah umat Islam di seluruh dunia ini sentiasa mempunyai ramai angkatan muda Islam yang baik.
Masalah yang berlaku ialah mereka ini tidak menzahirkan keIslaman mereka, tidak menyampaikan dakwah Islam kepada orang ramai atau mereka melakukan kerja-kerja dakwah tetapi tanpa adanya penyelarasan di kalangan mereka.Seorang mujahid dakwah dan ahli fiqh Islam, Al-Syahid Abdul Qadir Audah telah menunjukkan makna ini kepada kita lalu berkata:
“Di dunia Islam pada hari ini ada generasi terpelajar yang mempunyai ilmu Islam yang tinggi. Mereka bersungguh-sungguh mengembalikan semula kedudukan Islam yang telah hilang.Dalam menegakkan kebenaran, mereka tidak takut kepada cercaan orang ramai. Namun, kekurangan mereka yang ketara ialah mereka terpengaruh oleh pendekatan generasiterdahulu. Kebanyakan kerja-kerja mereka tertumpu kepada soal ibadah dan nasihat sahaja. Adalah lebih baik bagi mereka dan bagi agama ini sekiranya mereka tumpukan sebahagian besar usaha mereka bagi mengingatkan orang Islam terhadap perlunya menghidupkan semula syariat mereka yang telah dipinggirkan dan menghapuskan undang-undang mereka yang bertentangan dengan Islam.”
Kesimpulan ana, sesungguhnya Allah sangat cintakan orang-orang yang beramal jamaie, berdakwah dengan tanzim dan mengikut tanzim, menyumbang tenaga, fikrah dan sebagainya secara berjamaah, bekerja dalam organisasi jamaah. Dalam satu soff. Itulah antara amalan yang boleh membantu kita mencapai martabat tertinggi di sisi Allah SWT. Wallahu a’lam.
No comments:
Post a Comment