Ia adalah kejutan yang boleh berlaku di mana – mana. Para sahabat al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam mengalaminya di medan Uhud dan di medan Hunain. Kejutan itu daripada Allah. Kita menjangkakan kemenangan selesa sehingga petang dan UMNO mengakuinya, tetapi Allah datang di hujung senja dengan kehendakNya. UMNO kalah kerana itulah kesudahan musuh Allah. Kita pula kalah dalam dan dengan strategi kita sendiri. Allah memenangkan agamaNya. Pastinya bukan kita!
Bagi seorang mukmin yang peka dan khusyu’, mengambil ibrah dan pengajaran adalah lebih jitu dan berguna daripada menikmati kemenangan. Kemenangan adalah anugerah dan hadiah, sedang ibrah adalah amanah dan tanggung jawab. Menang di dunia bukan bererti menang di akhirat, sedang mengambil ibrah di dunia pasti beroleh kemenangan di sana.
Uhud mengajar sahabat erti taat dan tidak gelojoh. Hunain mengajar mereka erti berani dan tidak ujub. Itulah yang utama. Daripada ibrah itulah para sahabat membina diri menjadi tentera Allah yang siap siaga memacu perjuangan dan dakwah.
Allah menghendaki kita mengambil ibrah dari Manek Urai melebihi kegelojohan kita untuk menikmati kemenangan darinya.
Saya harap post mortem terhadap keputusan pilihan raya N41 Manek Urai akan menghasilkan jawaban yang tepat demi mengekalkan kita dalam landasan perjuangan.
Faktor rohani hendaklah diutamakan. Itulah makna perjuangan Islam.
Perhatikan persoalan – persoalan berikut:
1) Mengapa begitu mudah pengundi culaan milik kita di Manek Urai menukar undi kepada BN sedangkan Manek Urai adalah kubu kita di selatan sejak dulu? Di mana nilai agama?
2) Mengapa kita bermudah dengan penceramah DAP, tetapi tidak sesama kita? Tidakkah sebelum ini kita mudah dengan DAP dan lebih mudah sesama kita, dan terbukti telah berjaya?
3) Mengapa perselisihan dalaman dihidupkan sepanjang kempen di Manek Urai sehingga media massa dan musuh seronok memainkannya. Itukah kematangan?
4) Kesatuan adalah syarat kemenangan. Adakah kita meraikannya?
5) Mengapa kita gagal membatasi leluasa politik wang UMNO sehingga pengundi tak pun terasa haram menjual undi mereka? Kita di Kelantan, kubu Islam.
Strategi adalah penting. Tetapi ia bukan bandingan iman di dada. Iman menjadi lemah apabila penyakit hati melanda. Allah melihat hati kita sebelum strategi kita. Apabila iman lemah, tiada yang indah pada strategi. Justeru Allah menegur pada iman, bukan pada strategi.
Kepada anak – anak muda di medan perjuangan, juga di pusat – pusat pengajian, marilah belajar beribrah daripada kejadian hari ini agar kita mantap menyambung tali perjuangan masa depan. Moga kita lebih matang dan bersedia nanti.
PRK tak sama dengan PRU. PAS Kelantan biasanya kalah dalam PRK, tetapi tidak PRU. Kali ini kita menang sebagaimana di Pulai Chondong dulu. Saya yakin Abe Uji mampu memainkan peranan besar membina kembali keyakinan rakyat kepada PAS. Beliau calon yang betul untuk rakyat Manek Urai, insya Allah.
No comments:
Post a Comment