Monday, June 16, 2014
Noh Omar tidak boleh terima hakikat selangor di bawah pakatan rakyat
KUALA LUMPUR 16 JUN: Ahli Parlimen Tanjung Karang, Datuk Noh Omar menjadikan sesi perbahasannya untuk menghentam pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.
Perbahasan ahli parlimen BN itu dibidas oleh beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat kerana ia tidak menjurus kepada Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2014 bagi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Menurut Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, perkara yang menyentuh dasar Kerajaan Selangor sepatutnya dibahaskan di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dan bukannya di Parlimen.
Bahkan katanya, tindakan Ahli Parlimen Tanjung Karang terbabit sekali gus menafikan penglibatan Adun BN di dalam DUN Selangor.
“Kenapa tidak sahaja YB dedahkan perkara atau fakta yang ada kaitan dengan kerajaan Selangor di DUN. Di sini kita membincangkan soal dasar Kerajaan Persekutuan.
“Tindakan ini seolah-olah Tanjung Karang tidak percaya kepada Adun-Adun BN di DUN Selangor,” katanya dipetik Harakah Daily.
Suasana bertambah gamat apabila Khalid berkata Ahli Parlimen Tanjung Karang itiu tidak boleh menerima hakikat bahawa Kerajaan Selangor masih di bawah Pakatan Rakyat.
Sementara itu Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin bangun mencelah dan menyifatkan pendedahan Tanjung Karang telah menafikan hak Kerajaan Selangor untuk menjawab.
“Kita tidak ada Exco kerajaan untuk jawab pendedahan Tanjung Karang. Kenapa tidak dedahkan dalam sidang DUN? Kenapa Selangor, kita bincang di Parlimen?
“Adakah kerana sukar untuk pelaburan asing atau pelaburan Umno? Sebab menyukarkan Umnolah, meroyan semacam sahaja,” bidas Hanipa.
Pemimpin UMNO membisu lihat penduduk Kampung Chubadak meraung
"Kami kesal kerana tidak ada seorang pun pemimpin UMNO yang datang atau bersuara ketika kami meraung meminta bantuan agar rumah kami tidak dirobohkan,"
Itu kata seorang wanita yang dikenali sebagai Munah, salah seorang penduduk asal Kampung Chubadak Tambahan yang dipaksa keluar oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi memajukan kawasan tersebut.
Kata mudah, waktu pilihan raya, beberapa pemimpin UMNO pernah datang ke kampung tersebut untuk berkempen.
"Kami memang menyokong Barisan Nasional (BN) malah tempat ini juga turut dijadikan pusat kempen baik untuk Wanita, Pemuda mahu pun Puteri.
"Bila jadi macam ni, saat kami amat memerlukan mereka, tak seorang pun tampil apalagi hendak bersuara membela nasib kami.
"Berjaya atau tidak itu untuk menyelamatkan kami di sini itu soal lain tetapi apa peranan pemimpi-pemimpin ini yang pernah datang meminta bantuan kami," katanya penuh kesal.
Menurut Munah, apa yang berlaku memang sukar diterima penduduk kampung itu tetapi lebih menyedihkan perjuangan mereka sebagai bangsa Melayu tidak dipedulikan oleh pemimpin Melayu.
"Kami faham mungkin terdapat kerumitan untuk selesaikan tuntutan kami tetapi apalah salahnya jika ada pemimpin yang boleh membantu kami menangguhkan kerja-kerja menghalau kami?
"Satu dunia nampak apa yang berlaku di sini. Satu dunia nampak kami merayu pihak DBKL supaya tidak merobohkan rumah kami dan takkanlah tak ada seorang pun pemimpin Melayu yang boleh bersuara supaya kami tidak dihalau sebegini rupa?
"Tak lama lagi umat Islam akan menyambut puasa dan kemudian hari raya. Cubalah bayangkan bagaimana dan di mana kami hendak meraikan bulan-bulan kebesaran Islam itu setelah kami kini tiada tempat tinggal," katanya.
Jelas Munah, perkara sudah pun berlaku dan sudah terlambat untuk mana-mana pemimpin datang membantunya. Pemimpin yang datang dan berjuang bersama mereka ialah pemimpin pembangkang antaranya Tian Chua dan Pemuda Pas.
Ini bukan soal politik katanya tetapi lebih kepada misi kemanusiaan. Namun pemimpin UMNO yang diharapkan tidak pernah muncul apalagi untuk bersuara.
"Hati kami dah hancur lebur sama seperti hancurnya rumah kami yang dirobohkan DBKL tanpa ehsan. Lepas ni, tak payahlah susahkan diri datang jumpa kami nak hulur bantuan itu dan ini.
"Semuanya tidak akan dapat mengubat hati kami yang dah lebur. Kampung kami sudah hilang dan kini telah pun menjadi sejarah.
"Namun perasaan kesal tetap akan kekal dalam diri kami kerana sikap pemimpin yang jelas nampak hanya mementingkan diri sendiri daripada rakyat,” ujarnya
Thursday, June 12, 2014
Konsesi penswastaan UiTM, kroni untung rakyat rugi
KUALA LUMPUR: Salah satu belanja besar yang dimasukkan di dalam Belanjawan Tambahan kali ini ialah bayaran sewa tahunan kepada pemegang konsesi bagi enam kampus cawangan Universiti Teknologi Maran (UiTM) di seluruh negara.
Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkata, pada tahun 2014, pemegang-pemegang konsesi ini akan menerima bayaran sewa sebanyak RM234 juta seperti yang dipohon di dalam Belanjawan Tambahan yang sedang dibahaskan.
"Saya telah membidas kaedah pembiayaan melalui sistem konsesi untuk membina kampus-kampus cawangan UiTM dalam sesi-sesi perbahasan yang lepas," ujarnya pada sidang media di lopi parlimen.
Menurutnya, dalam jawapan Parlimen sebelum ini yang bertarikh 10 April 2014, Perdana Menteri mengakui bahawa:
1. Di antara tahun 2009 hingga 7 Mac 2014, 6 syarikat telah dilantik sebagai pemegang konsesi untuk membina 6 kampus cawangan UiTM di Pasir Gudang (Johor), Jasi (Melaka), Seremban II (Negeri Sembilan), Puncak Alam (Selangor), Tapah (Perak) dan Kota Samarahan (Sarawak).
2. Kos untuk membina setiap kampus ini hanyalah di antara RM280 juta ke RM315 juta.
3. Walau bagaimana pun, kerajaan telah menandatangani perjanjian konsesi selama 23 tahun dan bersetuju membayar sewa tahunan di antara RM56 juta sehingga RM69 juta setiap satu.
Tambahnya, ini bermakna Kerajaan Persekutuan selepas ini terpaksa menanggung bayaran konsesi tahunan yang dianggarkan berjumlah RM375 juta setahun (mengambil sewa tahunan purata setiap kampus sebanyak RM62.5 juta untuk 6 kampus cawangan) selama 23 tahun.
Menurutnya lagi, jumlah keseluruhan bayaran konsesi tahunan ini kepada 6 syarikat terbabit selama 23 tahun adalah RM8.6 bilion yang akan ditanggung oleh rakyat.
Sedangkan, katanya kos untuk membina 6 kampus cawangan ini dianggarkan hanyalah sebanyak RM1.8 bilion sahaja (mengambil kos purata iaitu RM298 juta setiap kampus untuk 6 kampus cawangan) sekiranya Kerajaan Persekutuan membinanya tanpa diswastakan kepada syarikat-syarikat melalui sistem konsesi.
"Ini bermakna, sistem konsesi yang sedang rancak digunakan oleh Barisan Nasional untuk membina kampus-kampus UiTM adalah penerusan kepada sistem penswastaan yang memberi keuntungan besar kepada syarikat kroni dan menjadi bebanan besar kepada rakyat," ujarnya lagi.
Dalam kes 6 kampus cawangan ini, kata beliau rakyat terpaksa menanggung bebaban kos sebanyak hampir 5 kali ganda lebih mahal (iaitu kos pembinaan kampus hanyalah RM1.8 bilion tetapi rakyat terpaksa membayar sewa tahunan sebanyak RM8.6 bilion kepada syarikat konsesi).
"Saya juga khuatir kerana bayaran sewa tahunan kepada syarikat konsesi ini bakal menjadi salah satu perbelanjaan terbesar yang bakal ditanggung oleh pengurusan UiTM," katanya lagi.
Contohnya, kata Rafizi bagi tahun 2014, bayaran sewa konsesi sebanyak RM234 juta adalah 11% dari keseluruhan peruntukan kepada UiTM tahun ini iaitu sebanyak RM2.15 bilion.
Justeru, bermula Isnin depan, beliau akan perincikan siapakah sebenarnya yang memiliki syarikat-syarikat konsesi yang menerima konsesi penswastaan 6 kampus UiTM ini.
Katanya, mereka adalah pemimpin-pemimpin Umno sendiri atau kroni terkenal mereka yang rapat atau memegang jawatan di dalam Umno.
"Barulah rakyat dapat memahami bahawa Umno tidaklah membela UiTM seperti yang selalu dilaungkan, malah sekarang Umno menggunakan UiTM dengan cara membebankan UiTM dengan bayaran konsesi untuk mengkayakan pimpinan-pimpinan Umno dan kroni mereka," ujarnya.
Subscribe to:
Posts (Atom)
