Thursday, March 25, 2010

Selangor Ikhtiar Pilihanraya PBT

Mesyuarat Exco hari ini memutuskan untuk menyiarkan kepada umum surat yang dihantar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada Menteri Besar Selangor berhubung cadangan untuk mengadakan pilihan raya peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).

Tindakan ini bagi membolehkan orang ramai memahami isu ini secara mendalam.

Dalam surat setebal 11 muka surat bertarikh 23 Mac 2010 itu, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof memberikan maklumat dari perspektif perundangan dan had batasan berkaitan cadangan mengadakan pilihan raya PBT di Selangor.

Beliau membuat kesimpulan bahawa SPR dan negeri tidak mempunyai kuasa untuk mengadakan pilihan raya peringkat PBT bagi memilih ahli majlis.

Tan Sri Abdul Aziz juga berkata, SPR tidak boleh menjalankan kajian dan analisis seperti yang diminta Selangor kerana ia bukan bidang kuasa SPR seperti termaktub dalam Perlembagaan dan Akta Pilihan Raya 1957.

Kerajaan Negeri menegaskan surat SPR ini bukan noktah akhir kerana kerajaan negeri akan terus berusaha mencari jalan atau kemungkinan lain yang membolehkan pilihan raya PBT ini diadakan.

“Kita membincangkan isu ini dalam Mesyuarat Exco hari ini dan memutuskan jalan terbaik ialah dengan mencari pilihan lain dari sudut yang berbeza.

“Kami percaya dalam sebuah negara yang matang, fungsi sesebuah kerajaan perlu didemokrasikan dan ini baik kerana rakyat mempunyai banyak pilihan,” kata Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Pada 11 Mac lalu, Menteri Besar menulis surat kepada SPR untuk mendapatkan pandangan mengenai pilihan raya kecil PBT selain meminta SPR mengadakan kajian menyeluruh untuk kepentingan rakyat khususnya di Selangor.

Media Asing Dedah Najib Mahu Anjur Judi Sukan


KUALA LUMPUR 25 MAC: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diminta memberi penjelasan mengenai cadangan untuk mewujudkan perjudian berasaskan sukan di negara ini yang dedah media antarabangsa.

Najib dikatakan mendedahkan cadangan itu ketika menghadiri Persidangan Pelaburan Asia Credit Suisse ke-13 2010 di Hong Kong.

Presiden Umno itu dikatakan mahu mempertimbang cadangan melaksanakan perjudian melibatkan Fifa World Cup final di Afrika Selatan yang bermula 11 Jun sehingga 11 Julai ini.

Perkara itu dinyatakan Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke Siew Fook pada sidang media di lobi Parlimen sambil mempertikai mengapa Najib seolah-olah merahsiakan hal itu dari pengetahuan rakyat Malaysia.

Beliau merujuk laporan akhbar yang mengatakan Berjaya Group, sebuah syarikat berasaskan perjudian dikatakan berminat untuk melobi lesen judi dari kerajaan.

Berita itu ditemui dengan melayari www.asiaone.com dengan mengklik judul berita: 'Legal Sport Betting In Malaysia'

Berjaya Group yang dikepalai Tan Sri Vicent Tan diketahui umum sebelum ini kerana menjalankan perniagaan perjudian selama 20 tahun dengan hanya membayar cukai sebanyak RM25 juta.

Ketua Pemuda Umno Hentam TV Selangor






KUALA LUMPUR Kewibawaan dan keberkesanan TV Selangor dalam membawa berita alternatif dalam bentuk teks dan visual, mula mencemaskan pimpinan Umno-Barisan Nasional (BN) termasuk Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Sambil semberono menghentam TV Selangor, Ketua Pemuda Umno itu mempersoalkan mengapa laman tv web ini tidak memberi liputan kepada pemimpin UMNO Barisan Nasional sedangkan dakwaan itu tidak tepat.

Menantu bekas Perdana Menteri itu turut mempertikaikan sekatan yang dikenakan terhadap akhbar kawalan mereka, Utusan Malaysia yang tidak dibenarkan membuat liputan dalam majlis anjuran Pakatan Rakyat.


Wednesday, March 24, 2010

DAP minta UMNO kurangkan lesen judi

MP Umno diminta sokong kurangkan lesen judi

KUALA LUMPUR, : Pakatan Rakyat akan menghantar satu memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mendesak kerajaan mengawal pengeluaran lesen judi kepada syarikat-syarikat perjudian dan berharap Umno turut menyokongnya.

Memorandum yang akan diminta untuk ditandatangani oleh semua ahli parlimen (MP) Pakatan Rakyat itu juga bagi mendesak kerajaan membatalkan cabutan khas atau 'special draw' yang dikeluarkan pada tahun ini.

Desakan itu ekoran jawapan Najib yang juga Menteri Kewangan kepada dua soalan Lok Siew Fook (DAP-Rasah) di Dewan Rakyat pada 18 dan 22 Mac.

Bercakap dalam satu sidang media di lobi parlimen (gambar) pagi ini, Siew Fook berkata, tindakan kerajaan itu akan memberikan impak yang besar kepada masyarakat.

"Kita akan menghantar memorandum kepada Perdana Menteri dan akan meminta tandatangan semua ahli parlimen dan kita harap ahli parlimen Umno yang memperjuangkan agama, bangsa, dan negara akan menyokong memorandum bagi mengurangkan perjudian di negara kita.

"Pakatan Rakyat berpendapat kerajaan tidak sepatutnya menambah hari cabutan khas ini kerana ini menyebabkan masyarakat kita lebih banyak mengeluarkan wang untuk dipertaruhkan dalam perjudian dan memberi impak kepada masalah sosial yang semakin meningkat hari ini.

"Pakatan Rakyat mahu kerajaan menghapuskan kesemua cabutan khas ini dan. Kita juga berpandangan kerajaan seharusnya mengurangkan hari perjudian daripada tiga kali seminggu kepada dua kali seminggu," katanya.

Beliau juga berkata, tindakan kerajaan yang menggunakan cukai judi dan duti pertaruhan untuk pengurusan negara membuktikan kewangan negara berada di tahap yang teruk.

"Kerajaan kata nak salurkan hasil cukai ini kepada satu dana khas tapi sekarang mereka guna pengurusan negara menujukkan kerajaan sudah tidak ada duit," katanya.

Sementara itu, Dr Dzulkifly Ahmad (PAS-Kuala Selangor) membawa suara rakyat kaum Tionghua di kawasannya yang meminta beliau menyuarakan di Parlimen agar meminta kerajaan mengurangkan hari perjudian daripada tiga kali kepada dua atau sekali seminggu.

"Penduduk Tionghua yang berkerja sebagai nelayan di kawasan saya mahu kerajaan mengurangkan hari perjudian ini. Kerajaan membenarkan hari untuk berjudi sebanyak tiga kali seminggu menunjukkan wang diperas dari rakyat.

"Bila ada peluang untuk menjadi kaya dengan cara yang cepat, sudah pasti ramai yang tertarik untuk mempertaruhkan wang mereka untuk berjudi," katanya.

Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Machang) pula menegaskan, tindakan kerajaan mengutip cukai hasil perjudian dan menambah cabutan khas pada setiap tahun adalah langkah terdesak kerajaan akibat ketiadaan sumber kewangan.

"Kelihatannya membenarkan lebih banyak cabutan khas ini adalah satu langkah terdesak kerajaan untuk meningkatkan pendapatan cukai negara. Jalan pintas ini sangat tidak munasabah kerana akan menimbulkan kesan sosial yang tidak baik,��� katanya.

Najib dalam jawapannya kepada soalan Siew Fook pada 22 Mac memberitahu, jumlah cukai perjudian dan duti pertaruhan yang diterima kerajaan daripada semua operator nombor ramalan (NFO) pada 2009 berjumah RM1,199,574, 646.73.

Jumlah kutipan tertinggi ialah daripada syarikat Sports Toto.

Manakala bagi soalan Siew Fook pada 18 Mac mengenai tindakan kerajaan meluluskan 60 cabutan khas untuk tahun 2010, Najib memberitahu, hasil cukai yang dikutip oleh kerajaan memainkan peranan penting dalam memastikan semua program dan aktiviti pembangunan dan perbelanjaan mengurus negara dapat dilaksanakan seperti yang dirancang bagi memastikan objektif pertumbuhan ekonomi negara dapat dicapai.

Beliau turut meminta semua pihak menyokong sebarang aktiviti yang dikawal oleh kerajaan yang dapat meningkatkan hasil negara.

Saifuddin sewaktu membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong semalam turut membangkitkan perkara itu dan meminta penjelasan daripada Menteri Kewangan

Titi Tinggi: AMK Sentiasa Bersedia Hadapi Pilihan Raya

Lampu hijau. Itu sahaja yang diperlukan jentera nasional sayap pemuda Parti Keadilan Rakyat untuk turun menggempur Dewan Undangan Negeri Titi Tinggi, Perlis.

Dalam perkembangan terbaru di utara tanahair, Adun Titi Tinggi Yip Sun Onn meletakkan jawatan seraya mencetuskan kemungkinan pilihanraya kecil diadakan.

Menteri Besar Perlis Datuk Seri Mohd Isa Sabu mengesahkan Adun MCA itu telah menyerahkan surat perletakan jawatan. BN dalam usaha memujuk Sun Onn untuk menarik balik keputusannya itu.

Mohd Isa dan Pengerusi MCA Perlis Datin Paduka Chew Mei Fun menegaskan perletakan jawatan ini masih belum muktamad, malah Speaker Perlis Yazid Mat juga dilaporkan enggan menyerahkan surat perletakan jawatan Titi Tinggi kepada Suruhanjaya Pilihanraya.

Sekiranya surat itu sampai ke pihak SPR, suruhanjaya itu terpaksa mengumumkan piliharnaya kecil di kerusi itu dalam masa 60 hari.

"Sekiranya pilihanraya kecil diumumkan di Titi Tinggi, Angkatan Muda Keadilan akan turun padang sebaik sahaja mendapat restu dari pucuk pimpinan parti," kata Ketua AMK Shamsul Iskandar Md Akin.

Dalam PRU12 lalu, MCA menewaskan calon PKR, Keria Senawi, dan calon bebas Mohamad Razi dengan majoriti 1,814 undi.


Pulau Pinang Teruskan Pilihan Raya Tempatan

Kerajaan Pulau Pinang tetap dengan pendirian untuk mengadakan Pilihan raya Kerajaan Tempatan biarpun Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) menolak permohonan kerajaan negeri itu.

Ketua Menterinya, Lim Guan Eng tidak terkejut dengan keengganan SPR dan berkata kerajaan negeri akan membawa keputusan suruhanjaya itu ke mesyuarat Exco esok untuk tindakan lanjut.

“Kita tetap dengan pendirian mahu teruskan (pilihanraya kerajaan tempatan), dan ia akan dibawa dalam mesyuarat Exco untuk membincangkan perkara yang perlu dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai keputusan SPR menolak permohonan Pulau Pinang untuk mengadakan pilihanraya itu.

Malah SPR turut menolak permohonan Selangor untuk mengadakan pilihanraya berkenaan.

Guan Eng berkata, pihaknya juga akan meneliti surat alasan setebal 10 muka surat dari SPR.

"Kerana Akta Pilihanraya Kerajaan Tempatan 1960 masih wujud tidak dimansuhkan, oleh itu SPR perlu menjalankan pilihanraya kerajaan tempatan

“Kini SPR mengambil ketetapan akta ini sudah tidak digunapakai. Pilihanraya ini perlu dikembalikan, demokrasi kerajaan tempatan juga perlu dikembalikan, biar kerajaan tempatan yang dilantik rakyat berkhidmat untuk mereka,”katanya.

Dalam pada itu, Guan Eng turut meyifatkann tindakan SPR mengikut telunujuk Perdana Menteri, Najib Razak, yang tidak bersetuju dengan perlaksanaan pilihanraya tempatan.

“Sepatutnya, SPR bertindak sebagai sebuah badan bebas dan bukan buat keputusan mengikut kehendak PM,”katanya.

Malah apa yang lebih dikesalkan SPR membuat keputusan tanpa berbincang dengan kerajaan Pulau Pinaag walaupun sebelum ini Guan Eng secara terbuka menyatakan kesediaannya untuk bertemu suruhanjaya itu berhubung isu ini.

“Kita kesal SPR tidak berbincang seperti yang diminta sebaliknya menentang," katanya.


Friday, March 19, 2010

Lim Guan Eng tetap jadikan Khalifah Umar sebagai model pemerintahan

Khaulah said : Ya-ALLAH berikan cahaya hidayahmu terhadap insan ini agar dapat menyebarkan dakwah ISLAM lebih meluas dan mengamalkan cara kehidupan ISLAM secara keseluruhannya..AMIIN YA RAB..


WALAUPUN berstatus bukan Islam, tidak menghalang Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng untuk mencontohi cara pemerintahan idolanya, Khalifah Umar Abdul Aziz. Baginya Umar Abdul Aziz terlalu hebat untuk diikuti. Namun, beliau bertekad untuk melaksanakan cara kepimpinan Umar Abdul Aziz setakat yang terdaya.
Ikuti bahagian kedua temubual AHMAD LUTFI OTHMAN, MOHD RASHIDI HASSAN, WAN NORDIN WAN YAACOB, IZWAN ABDUL HALIM serta SABRI MOHD SAID menemui beliau di Pejabat Ketua Menteri, di Bangunan Komtar pada jam 8.30 malam, 3 Februari 2010.

Selama hampir dua tahun saudara sering menyebut mengenai meneladani kepimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz. Setakat mana ia telah diterap dalam kepimpinan di Pulau Pinang dan sejauh mana kepimpinan Umar Abdul Aziz dan prinsip CAT boleh diteladani pegawai-pegawai kerajaan di Pulau Pinang? Ada dakwaan mengatakan sesetengah kes tertentu ada sabotaj dari pegawai kerajaan?
LIM GUAN ENG: Yang utamanya kita cuba memupuk sikap profesionalisme. Sebab itu kita lantik tanpa mengira Melayu, Cina atau India.
Sebelum ini kita lantik Yang Dipertua MPPP (Majlis Perbandaran Pulau Pinang) dari setiausaha yang layak ketika itu seorang berbangsa Cina, kena hentam kromo, (saya dituduh) main perkauman.
Sebenarnya tidak, saya hanya lantik orang yang paling layak. Selepas dia bersara saya lantik dari orang Melayu, mereka sudah tidak bising, tapi ada sesetengah rakyat kurang puas hatilah sebab dia wanita pertama jadi YDP MPPP.
Saya lantik bukan dasar jantina, atau warna kulit. Saya lihat kebolehan, itu yang saya cuba hendak ubah. Jangan lihat kepada aspek bangsa sahaja, lihat sudut negara Malaysia dan kemampuan, sudut nilai sama ada bertakwa atau tidak. Lantik mereka yang mampu.
Kita ambil kepimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz melalui teladan, beliau adalah model. Beliau buat banyak perkara. Kalau saya cerita tak habislah.
Macam bila orang minta dia bina tembok, dia cakap luaran tidak penting, yang penting kita bina keadilan. Keadilan lebih penting dari tembok. Apa guna tembok besar-besar kalau anda tidak terapkan prinsip keadilan? Jika rakyat memberontak, tembok pun tak guna.

Maknanya, bagi saudara, yang penting adalah keadilan...

Ya, kalau sistem adil, tak payah tembok, pemerintahan anda akan terus berterusan. Jadi itulah cara dia yang kita amalikan. Prinsip dia tak bazirkan wang, dia tak gunakan untuk diri sendiri. Kita cuba amalkan, tapi tidak mampu amalkan semuanya. Dia hebat. Kita ikut sikit sikit.
Macam naik kapal terbang, naiklah kelas ekonomi. Saya balik dari Korea ini pun naik ekonomi. Kerana saya naik ekonomi ada orang kata saya tidak ada 'class'. Tak apalah, kalau naik tambang ekonomi tak ada 'class', tak ada 'class'lah.
Ada orang cakap Ketua Menteri tak ada 'class' bukan macam ada sesetengah Menteri dia naik kapal terbang macam sewa satu kapal terbang. Jadi saya naik kapal terbang naik ekonomi. Jadi itu kepimpinan berhemah, bersih, kita cuba amalkan.
Kita tak kata kita tak buat kesilapan, tetapi kesilapan ialah kerana kita manusia. Sabotaj tentu ada, bila kita buat sesuatu, ada yang buat khabar angin yang bukan-bukan. Macam cerita gerai, itu sangat jahatlah.
Bila kita lantik pegawai, mereka lihat dari sudut warna kulit bukan dari segi kemampuan dan prestasi masing-masing. Yang penting adalah kita boleh berusaha teruslah.
Saya yakin kalau ada peluang untuk terus memerintah, rakyat akan lihat perbezaan. Kita akan selalu naik pangkat mereka yang mahu buat kerja dan mampu buat kerja tak kira latarbelakangnya. Tak kiralah dia Melayu, Cina, atau India atau Umno, MCA atau MIC. akalau dia boleh buat kerja kita lantik.
Kita juga masukkan konsep profesionalisme macam Lembaga Rayuan yang ditubuhkan untuk mendengar aduan atau rintihan penduduk yang terjejas kerana keputusan yang dibuat PBT.
Dulu semuanya ahli politikus, sekarang kita semuanya lantik ahli profesional.
Kadang-kadang bila kita buat macam ini, BN bila yang dahulunya dapat lantikan dan habuan, ini kita tidak bagi sekarang.
Tapi saya percaya dalam Pakatan Rakyat semua faham kecuali sekerat dua yang jadi masalah. Saya rasa kita semua bersatu hati untuk menghadapi dan menanganinya.

Banyak kenyataan yang menghentam peribadi saudara, apakah ini memberi kesan kepada saudara?

Saya tidak terjejas kerana saya tahu siapa kawan saya. Yang itu bukan kawan saya sebab kawan jadi lawan, kerana mereka tak dokong amar maaruf nahi mungkar.

Biarpun kerana itu menyebabkan ramai yang tidak suka...

Saya selalu sebut bahawa kerana mengangkat amar maaruf nahi mungkar saya sanggup kehilangan kawan, malah bersedia untuk terima kawan jadi lawan.
Asalkan kita dapat laksanakan CAT dan amar maaruf nahi mungkar, ini perjuangan dan prinsip saya, saya ada kawan yang bersama, saya tak gentar kerana rakyat bersama kita dan kita terus pegang prinsip ini.
Jika berlaku sesuatu itu adalah ketetapan tuhan, yang penting kita dijalan benar.
Semua serangan ini ialah muslihat untuk mengalih perhatian kita dari kes Anwar Ibrahim, kerana kita seharusnya tumpu kepada kes Anwar, di mana Anwar dianiayai, saya kesali ialah ada mereka yang cakap dan rupa macam Pakatan Rakyat tetapi sebenarnya tidak lagi Pakatan Rakyat.
Sebenarnya hati mereka ini sudah berada di dalam Umno. Apa yang pasti, saya lihat PAS sangat baik, tiada masalah dengan kami. Hubungan kita dengan Ustaz Salleh Man sangat baik, ini semua memberi kerjasama dengan kami di kerajaan negeri.

Timbul dakwaan bahawa kontraktor Melayu hanya dapat dapat projek Kelas F?

Ini Kelas F, Kelas F hanya untuk orang Melayu sahaja. Jadi, Kelas F dahulunya anda tahulah, kroni Umno sahaja yang dapat dengan meluas, sekarang kita buat tender terbuka. Semuanya lebih senang, lebih cepat.
Kita ada kriteria, kita buat secara terbuka di mana Melayu, Cina, India boleh sama-sama buat tender.
Apabila kita proses ini tender, kita tidak lihat latar belakang. Kita hanya proses sahaja, tetapi bila kita dapat maklumat, terkejut bila dapat tahu daripada kontrak tender yang diberikan 67 hingga 70 peratus adalah daripada kontraktor Melayu.
Ini menunjukkan kontraktor Melayu mampu berdaya saing dengan kontraktor bukan Melayu. Apa yang kita hendak tegaskan ialah bukan tengok dari sudut bangsa, lihat dari sudut dasar-dasar yang gagal, dasar-dasar gagal yang masih diterima pakai.
Kalau dasar itu betul, rakyat akan berdaya saing. Jangan lihat dari sudut individu atau bangsa, lihat dari sudut dasar. Ini yang akan memartabatkan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

Menyentuh persoalan ekonomi, Pulau Pinang sejak lama dikenali sebagai negeri yang maju dengan industri. Sejauh mana FDI masuk ke dalam negeri ini sejak ditadbir Pakatan Rakyat?

Itu dahulu dikenali, kebelakangan ini sudah menjunam... 18 tahun sudah menjunam. Jadi saya ingat keempat atau kelima tapi saya ingat boleh pulih balik.

Sejak Pakatan Rakyat amalkan dasar ketelusan dan anti-rasuah, adakan pelaburan luar masuk?

Tahun 2008, tahun pertama kita berjaya menarik RM10.2 bilion iaitu rekod terbesar dalam sejarah Pulau Pinang. Tahun lepas kerana kekangan ekonomi kira-kira RM2 bilion, tetapi ini kejatuhan yang sekali dengan seluruh dunia dan di Malaysia.
Itu perkara biasa, semua unjur begitu. Tahun 2008 kita berada di tempat keempat, tahun 2009 masih kekal di tempat keempat, tidak ada perbezaan.
Sungguhpun kita tidak berpengalaman, kita berjaya tarik pelaburan dan saya amat-amat yakin bukan sahaja dari segi kuantiti tapi juga mutu pelaburan.
Kita nak tarik (pelaburan) yang berteraskan pengetahuan, yang berteknologi tinggi, yang inovatif dan kreatif. Kita berjaya beberapa syarikat yang berteknologi tinggi.
Kita juga galakkan Teknologi Hijau. Kita buat halal hub. Ini kejayaan yang paling menyerlah, kerana sebelum ini tidak ada usaha pun untuk buat halal hub. Bila saya jadi Ketua Menteri, saya lihat begitu banyak syarikat dari Pulau Pinang, tetapi kerajaan negeri (BN sebelum ini) tidak membantu.
Saya terkejut dan saya siasat. Saya tanya, mereka jawab sebelum ini tiada minat. Apa? Tiada usaha untuk masuk itu pasaran halal? Ini pasaran berbilion, kena masuk.
Dulu tidak masuk kerana tidak ada penekanan. Dia ingat orang Islam jaga orang Islam, orang bukan Islam tak boleh jaga orang Islam. Ini adalah pemikiran yang kolot.
Rakyat Malaysia mesti jaga satu sama lain. Tak bolehlah buat diasingkan. Jadi kita usahakan, saya minta Exco Agama bantu dapatkan sumber-sumber yang ada.
Dalam setahun kita telah cipta sedikit kejayaan, kita telah buat ekspo dan konvensyen. Saya juga telah peruntukan tanah untuk buat taman industri halal.
Itu yang kita telah buat daripada sifar dan telah memenangi hadiah pemudahcara paling baik dari HACC. Jadi itulah satu kejayaan yang kita rasa menyerlah.

Dari sudut peningkatan taraf hidup rakyat, Umno canang kerajaan negeri pimpinan saudara meminggirkan kaum Melayu, sejauh mana benar?

Dari segi aspek mana? Kita bela miskin tegar dia tidak buat dalam 51 tahun, kita buat dalam 1 tahun. Ini yang saya tidak faham. Bila kita beri wang kita bukan bagi kepada kroni-kroni tertentu, kita bagi semua orang.
Macam kifalah, kita nak mulakan selepas bulan Mac. Ini mendatangkan manfaat kepada rakyat. Microkredit kita beri semua kepada rakyat Pulau Pinang.
Tentu orang Umno akan cakap saya pinggirkan Melayu, MCA cakap saya pinggir Cina, MIC cakap saya pinggir India. Tetapi yang pinggirkan rakyat Malaysia ialah BN. Jadi itulah perbezaannya.
Di sini, apakah yang kita dapat kalau kita pinggirkan rakyat? Macam saya kata tadi takkanlah saya bodoh macam itu untuk pinggirkan rakyat. Tidak ada! Kita cuba bantu semua rakyat Malaysia. Itu yang kita usahakan.

Dalam 2 tahun kerajaan Pakatan Rakyat, hubungan Pakatan Rakyat dan dasar yang dijalankan, apakah ia akan menjadi sandaran terbaik kepada Pakatan untuk berdepan pilihan raya umum akan datang?

Ini terserah kepada rakyat, kita boleh merancang dan tuhan menentukan. Dalam dua tahun ini kita tahu siapa makruf dan siapa mungkar, kita datangkan prinsip yang baik bukan pecah perintah seperti BN.
Kita tegakkan kerajaan yang mengutamakan rakyat. Kita tegakkan prinsp 3P, iaitu perkasakan rakyat dengan ilmu pengetahuan, dengan masyarakat berilmu mereka boleh jaga hak, seterusnya, perkasakan hak kebebasan dan tanggungjawab rakyat dan ketiga perkayakan rakyat.

Sebab itu kita buat kifaalah warga emas. Kita telah pecahkan temberang Umno-BN, kita berikan wang bantuan kepada rakyat yang memerlukan. Kita hadapi cabaran yang mana mungkin ada yang masih terpesona dengan cara BN dulu yang mahu kronisme, berbanding kita yang mementingkan persoalan ketelusan, reformasi, hubungan erat antara Pakatan Rakyat. Bagi saya buang yang keruh ambil yang jernih. Terima kasih

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI