Friday, December 17, 2010

BN bimbang 'skandal besar' negara?

KUALA LUMPUR, 18 Dis: Parti Islam SeMalaysia (PAS) merasa kesal dan sangat terkejut dengan tindakan penggantungan Ahli Parlimen dari Pakatan Rakyat dan berkemungkinan kerana pemimpin BN takut akibat terlibat dengan 'skandal besar' negara?

Tindakan sedemikian telah menunjukkan bahawa Barisan Nasional (BN) sedang berada pada tahap paranoid dan takut kalah serta sudah hilang pertimbangan waras dalam tindakannya.

Demikian kata kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bagi mengulas pergantungan empat pemimpin utama Pakatan dari PKR dan DAP semalam dari DEwan Rakyat.

Mereka yang digantung selama enam bulan adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim (Permatang Pauh), Karpal Singh (Bukit Gelugor), Azmin Ali (Gombak) dan R Sivarasa (Subang).

PAS, katanya, menganggap kebimbangan berlebihan Umno dan BN ini menyebabkan mereka akan melakukan apa sahaja tindakan terdesak walaupun melanggar norma perundangan dan batas-batas demokrasi di Malaysia.

PAS yakin, BN tidak akan berhenti dengan 'tragedi demokrasi' di
parlimen sahaja, bahkan akan bertindak lebih daripada itu. Ini terbukti dengan tragedi 'rampasan kuasa' di Perak tidak lama dahulu.

Kini mereka bertindakmerampas suara rakyat di Parlimen Malaysia pula, tambahnya.

Mungkinkah kerana mereka gusar dengan konsep keadilan menyeluruh yang hendak dilaksanakan oleh PAS bersama dengan Pakatan Rakyat sehingga wujud kebimbangan di kalangan pemimpin-pemimpin BN yang berkemungkinan terlibat dengan 'skandal besar' negara?, tambah Abdul Hadi yang juga anggota Parlimen Marang.

"Saya menyeru kepada UMNO supaya kembali ke pangkal jalan dan beriman dengan Al Quran yang menyatakan bahawa tidak ada kuasa yang kekal di atas dunia ini termasuklah kekuasaan kerajaan nabi-nabi dan juga orang zalim," katanya.

Nabi Sulaiman AS yang dikurniakan kekuasaan yang meluas meliputi kerajaan manusia, haiwan dan jin itupun sudah tidak ada sekarang ini. Begitu juga dengan kerajaan zalim Firaun.

Bahkan kuasa besar dunia juga tumbang. Apatah lagi kekuasaan UMNO-BN yang ada pada hari ini, tambah beliau.

"Oleh itu, saya menyeru pemimpin UMNO-BN supaya segera insaf dan bersedia untuk menyerahkan kuasa secara terhormat sebelum kekuasaan itu ditarik oleh Allah SWT dengan jalan yang tidak disangka-sangka," katanya.

Ambil pedoman Al Quran sepakatkan Pakatan

KOTA BHARU, 18 Dis: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyeru anggota konvensyen Pakatan Rakyat mengambil pedoman dari falsafah yang ditonjolkan Islam menerusi al-Quran bagi menjaga kesepakatan hubungan dalam Pakatan Rakyat.

Tuan Guru juga seterusnya berkata, bersesuaian dengan Islam agama perpaduan, anggota Konvensyen Pakatan Rakyat perlu meletakkan keagamaan sebagai asas dalam menguruskan Pakatan.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan harapan kepada perwakilan Konvensyen Ke-2 Pakatan Rakyat yang bakal berlangsung pada 19 di Kepala Batas, Pulau Pinang.

2000 perwakilan dan pemerhati dari PAS, PKR dan DAP akan menyertai konvensyen yang akan diadakan di Dewan Millenium Kepala Batas bermula jam 8.30 pagi hingga malam itu.

Konvensyen ini dijangka mempersembahkan cerita kejayaan Pakatan Rakyat dalam mentadbir beberapa negeri di samping merancang bersama persiapan menghadapi pilihan raya.

“Anggota konvensyen perlu mengambil pedoman daripada falsafah al-Quran itu sendiri sebagai penghubung penyelesaian ummah di samping meletakkan asas keagamaan teratas dalam menguruskan Pakatan Rakyat,”ujarnya lagi.

Beliau seterusnya berkata, Allah telah menciptakan manusia dalam sifat yang berbeza.

Sebagai contoh katanya, 10 manusia yang diciptakan Allah, didapati 10 kepala (pemikiran) yang bebeza.

“Bagaimanapun, rupa yang berbeza dan pendapat yang berbeza itu tidak akan memberi masalah sekiranya ia berpandukan ajaran Islam dan al-Quran, kerana Islam itu untuk semua,” ujarnya lagi.

Katanya, manusia akan selamat kehidupan mereka dunia dan akhirat sekiranya mengikut kehendak Islam yang syumul.

BERIKUT KENYATAAN PENUH NIK ABDUL AZIZ

KENYATAAN RASMI TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT

Harapan Konvensyen PR ke-2: Islam sebagai asas

Bersempena dengan Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-2 pada 19 di Kepala Batas, Pulau Pinang ini, semua pimpinan dan perwakilan hendaklah mengambil pedoman dari falsafah kesepakatan menurut Islam, iaitu mengutamakan peri pentingnya menjaga hubungan sesama anggota di dalam Pakatan Rakyat.

Ia juga bersesuaian dengan keutamaan ajaran Islam sebagai agama perpaduan, maka Konvensyen Pakatan Rakyat perlu meletakkan keagamaan sebagai asas dalam menguruskan kesepakatan politik.

Pimpinan dan perwakilan parti-parti Pakatan Rakyat––PAS, KEADILan dan DAP––yang menghadiri konvensyen itu nanti perlulah mengambil pedoman daripada maksud al-Quran yang sewajarnya dijadikan rujukan dan penghubung di dalam penyelesaian permasalahan ummah. Justeru ajaran Islam dan asas-asas keagamaan dapat dijadikan rujukan utama dalam menguruskan kesepakatan hubungan antara parti-parti Pakatan Rakyat.

Bagi PAS, amat meyakini bahawa Allah telah menciptakan manusia dalam sifat yang berbeza-beza. Misalnya, sepuluh manusia yang diciptakan Allah, didapati sepuluh kepala (pemikiran) yang bebeza. Bagaimanapun, perbezaan itu tidak akan memberi masalah sekiranya ia berpandukan ajaran Islam dan menjadikan al-Quran sebagai panduan, kerana Islam itu untuk semua kaum. Firman Allah SWT (surah Ali-Imran ayat 103):

Bermaksud: “...dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara...”

Sewajarnya juga kita mengambil pengajaran dari sabda Nabi Muhammad SAW:

Maksudnya: “Janganlah saling benci membenci, saling iri hati dan saling membuat keracunan. Jadilah hamba-hamba Allah yang saling bersaudara, dan tidak boleh seorang Muslim menghindari saudaranya lebih dari tiga hari.”

Demikian lagi, firman Allah SWT (surah al-Maidah ayat 48):

Maksudnya: “Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing) dan kalau Allah menghendaki nescaya Dia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama yang satu), tetapi Dia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Dia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya”

Oleh itu, atas nama kesepakatan politik yang berpandukan hubungan antara parti di dalam Pakatan Rakyat yang mengutamakan asas-asas keagamaan hendaklah bersetuju dan bekerjasama di dalam setiap perkara yang memberi manfaat bersama untuk ummah di Malaysia hari ini. Sehubungan itu, saya yakin manusia akan selamat sepanjang hidup mereka di dunia dan sejahtera di akhirat kelak sekiranya mengikut kehendak Islam yang syumul.

Selamat berkonvensyen, semoga berjalanlah ia dengan keberkatan Allah SWT.

TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT,

Al-Mursyidul Am PAS.

Kota Baharu, Kelantan.

12 Muharam 1432H/18 Disember 2010M.

Thursday, December 16, 2010

Kenyataan Akhbar Lebuhraya Besraya di Pandan Indah : Cadangan baru untuk merobohkan rumah-rumah di Taman Bakti akan dibantah Kerajaan Negeri Selangor.

Kenyataan Media

17 Hb Disember 2010

Lebuhraya Besraya di Pandan Indah : Cadangan baru untuk merobohkan rumah-rumah di Taman Bakti akan dibantah Kerajaan Negeri Selangor.

Kerajaan Negeri Selangor tidak akan bersetuju sebarang cadangan baru untuk merobohkan 80 buah rumah di Taman Bakti, Ampang bagi membina Lebuhraya Besraya yang baru dari Sg. Besi ke Pandan Indah.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) telah membentangkan cadangan alternatif yang tidak melibatkan perobohan rumah di mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) pada 25 November 2010. Sebelum itu saya dan penduduk tempatan telah membantah cadangan asal yang melibatkan perobohan rumah.

Cadangan asal itu telah dibuat ketika pentadbiran kerajaan Barisan Nasional di Selangor. Walau bagaimanapun, kerajaan sekarang telah mengarahkan LLM membentangkan cadangan alternatif kepada MTES.

Oleh itu, setelah cadangan alternatif dipersetujui, kerajaan negeri tidak akan bersetuju jika LLM mahu lebuhraya itu dibina menurut cadangan asal yang akan merobohkan rumah-rumah penduduk.

Saya difahamkan Menteri Kerja Raya akan melawat Taman Bakti esok maka oleh itu saya hendak mengingatkan beliau agar tidak akan mengubah laluan lebuhraya yang telah dipersetujui di antara kerajaan negeri sekarang dan LLM pada mesyuarat MTES itu.

Y.B. Tuan Iskandar Abdul Samad

EXCO / Pengerusi Jawatankuasa Tetap

Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan

Sekretariat Akhbar Kerajaan Negeri Selangor

400 orang menerima buku latihan percuma oleh Kerajaan Negeri Selangor

Bandar Baru Selayang- Bagi membuktikan kebenaran menyatakan negeri dibawah Pakatan Rakyat (PR) mengamalkan konsep negeri berkebajikan seperti yang telah diperjuangkan saf pimpinan (PR) dalam manesfesto PRU ke 12 yang lalu terutamanya di negeri selangor untuk membantu rakyat maka satu majlis rasmi telah diadakan dengan menyampaikan 14,000 buah buku latihan kepada rakyat di Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Tmn Templer.
Majlis penyerahan buku latihan percuma tersebut telah disampaikan oleh Tn Hj Mohamad Abd Rahman, Penyelaras DUN Tmn Templer merangkap YDP PAS Kawasan Selayang disini hari ini .
"Hasil Negeri Untuk Rakyat" telah diberikan kepada rakyat selangor tanpa mengira bangsa, agama mahupun ideologi politik yang berbeza. Ia adalah perkongsian Kerajaan Negeri kepada rakyat seperti Skim Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS), Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Pusat Krisis Sehenti (OSCC), Bekalan Air Percuma Bagi 20m, Hadiah Anak Masuk University, Tabung Pendidikan Pekerja Ladang, Program Peningkatan Hasil Bahan Mineral & Galian, Pinjaman Skim Mokro Kredit".
Mohamad melahirkan terima kasih kepada kerajaan negeri selangor yang menjalankan tugas dan amanah dengan baik. Katanya, "Kerajaan negeri begitu prihatin terhadap tekanan-tekanan yang dihadapi rakyat terutamanya yang berpendapatan rendah pada masa ini. Bebanan yang diberikan oleh Kerajaan Pusat (UMNO/BN) dengan menaikkan harga minyak, barang keperluan dapur seperti gula, dan ingin menaikkan 37% air kepada rakyat memberi tekanan yang besar kepada rakyat selangor. Oleh itu, untuk mengurangkan bebanan tersebut kerajaan negeri akan meneruskan agendanya iaitu Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES)".
Sudah hampir 3 thn dalam mentabir negeri selangor, rakyat sudah menerima berbagai bantuan. Setiap tahun mereka menerima bantuan persekolahan seperti beg sekolah, kasut sekolah dan kelengkapan peralatan sekolah yang lain. Tahun ini Kerajaan Negeri bersetuju untuk memberi buku latihan percuma kepada rakyat berpendapatan rendah RM1500 kebawah dan fakir miskin".
"Setiap penerima akan menerima 20 buah buku mengikut bilangan anak mereka yang bersekolah. Di DUN Tmn Templer pihak kami telah memilih 119 buah keluarga yang layak menerimanya dan didapati bilangan yang layak menerima adalah 400 pelajar yang akan menerima bantuan tersebut", katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau juga melahirkan rasa kesal kerana ada menerima maklumat aduan rakyat menyatakan kerajaan negeri selangor tidak akan memberi bantuan sumbangan sekolah lagi. Ini adalah satu kenyataan yang tidak benar sama sekali.
"Rakyat yang menerima maklumat ini seharusnya mendapatkan kebenaran setiap kenyataan yang mereka terima melalui (PKM) yang terhampir sebelum membuat berbagai andaian kerana ini adalah satu agenda UMNO/BN yang sengaja membuat provokasi agar rakyat membuat andaian negatif kepada kerajaan negeri (PR)".
"Kalau benar kenyataan tersebut mana mungkin rakyat menerima bantuan hari ini. Selalunya penyampaian bantuan diberi sebelum buka cuti sekolah kerana jika diberi awal buku tersebut akan disalah guna oleh anak-anak. Oleh itu kerajaan negeri berikan 2 minggu sebelum semester persekolahan dibuka", ujarnya.

Walaupun DUN Tmn Templer dimenangi oleh UMNO/BN namun Dun Tmn Templer tidak ketinggalan menerima berbagai bantuan oleh Kerajaan Negeri . PKM DUN Tmn Templer yang merupakan DUN angkat kepada Y.B Iskandar A.Samad, Exco Kerajaan Negeri Selangor.
Beliau sentiasa memberi kerjasama, tunjuk ajar dalam melaksanakan kerja yang lebih efektif bahkan mengambil berat terhadap rakyat dan pengurusan PKM disini. Maklumat kerajaan negeri yang terkini sentiasa diberikan kepada PKM agar dapat disebarkan kepada rakyat disini. Cuma apa yang kita kesalkan cuma kerajaan UMNO/BN sahaja begitu sukar untuk memberi kerjasama dengan PKM dalam berbagai aspek, katanya disini selepas penyampaian buku latihan percuma di sini.
Sementara itu, Mohd Firdaus Hilmi telah menerima bantuan sebanyak 60 buah buku tulis percuma untuk 3 orang adiknya. Beliau melahirkan rasa gembira kerana setiap tahun ibunya yang merupakan ibu tunggal telah menerima bantuan yang diberikan oleh PKM.
Katanya, ibu bukan sahaja menerima bantuan persekolahan malahan bantuan ibu tunggal, dan lain-lain lagi. Terima kasih diatas keperihatinan Kerajaan Negeri dan pengurusan PKM DUN Tmn Templer yang sentiasa memberi perhatian kepada kesusahan rakyat tanpa mengira perkauman, ujarnya.

Editor : Khaulah Azwar

Perkara 44: 'Gantung' semua MP Pakatan

KUALA LUMPUR, 16 Dis: Semua ahli parlimen Pakatan Rakyat hari ini keluar dari Dewan Rakyat selepas Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia didakwa menggunakan perkara 44 Peraturan Mesyuarat.

Perkara 44 (4) antara lain memberi kuasa kepada Speaker 'menggantung' ahli parlimen yang ada dalam dewan dengan menyebut nama ahli parlimen tersebut.

Speaker sewaktu kekecohan sedang berlaku, didakwa membuat ugutan terhadap ahli parlimen Pakatan Rakyat dengan mendakwa akan membaca senarai nama semua ahli parlimen pakatan kerana tidak mengendahkan arahannya.

Beliau juga dilihat mengarahkan dan meminta setiausaha dewan mendapatkan senarai nama ahli parlimen Pakatan Rakyat untuk dibaca.

Ekoran itu, dalam keadaan dewan terus kecoh, semua Ahli Parlimen Pakatan Rakyat keluar dewan sebagai protes kepada tindakan Speaker itu.

Bagi Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar, tindakan Speaker itu menggambarkan kelemahan beliau mengawal keadaan dan berniat untuk menggantung semua wakil rakyat pembangkang.

Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli ketika diminta mengulas perkara itu pula berkata, episod yang berlaku hari ini sangat malang dan memalukan.

"Kita minta Speaker membuat beberapa rulling sebelum perbahasan tetapi tidak diendahkan.

"Tetapi oleh kerana dia gagal mengawal keadaan, dia menggunakan kuasanya menggunakan perkara 44 Peraturan Mesyuarat untuk menekan dan mengugut MP Pakatan untuk menggantung mereka walaupun tidak menyebut tempoh," katanya yang juga Bendahari PAS Pusat.

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahudin Ayub pula turut melahirkan rasa kecewa di atas apa yang berlaku di dewan rakyat hari ini apabila Speaker bertindak demikian.

"Kita lihat Speaker guna perkara 44, kita tidak dengar tadi dia guna ke tidak sebab suasana sangat kecoh.

"Kita akan cuba mendapatkan kepastian setiausaha dewan," katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Kekecohan hari ini berlaku ekoran MP Pakatan Rakyat membantah usul untuk menggantung Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Subang, Gombak dan Bukit Gelugor.

Sehubungan itu, semua Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang bertindak keluar dewan tidak akan meneruskan persidangan hari ini.

Untuk rekod, hari ini adalah hari terakhir Persidangan Dewan Rakyat untuk Penggal ke-3 Parlimen ke-12 dan akan disambung semula Mac 2011.

Tuesday, December 14, 2010

Sekatan polis, namun ribuan dengar Anwar

KUALA LUMPUR, 15 Dis: Walaupun penuh dengan sekatan polis, ia tidak menghalang orang ramai memenuhi kawasan lapang taman Melati dekat sini untuk mendengar sendiri penjelasan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan-rakannya tentang tuduhan terbaru para pemimpin Singapura melalui WikiLeaks.

Dan di majlis itu, Anwar tidak hilang karismanya sebagai pemimpin apabila berkata, “Adakah kamu fikir saya ini bodoh untuk memasuki perangkap apabila tahu ianya perangkap? Jangan cabar saya terlalu berlebihan! Saya akan dedahkan kes pembunuhan yang telah dilakukan dan cuba ditutup rapat.”

“Wikileaks, apa bukti kamu, bawa Lee Kuan Yew ke mahkamah. Saya tidak peduli, kamu fikir saya buat atau tidak. Itu bukan urusan saya. Kamu ada rakaman video atau catatan doctor, bawa ke mahkamah,” kata Anwar disambut tepukan gemuruh para penyokongnya.

Anwar merujuk kepada dakwaan para pemimpin Singapura dan diplomat mereka dalam apa yang dinamakan sebagai pendedahan oleh WikiLeaks melalui media Australia yang antara lain mendakwa Anwar telah diperangkap oleh musuhnya dalam kes sodomi dan Anwar sendiri memasuki perangkap itu.

Walaupun cuba diterangkan oleh para pemimpin Pakatan mengenainya, namun semua media tradisional negara menutupnya. Laporan WikiLeaks juga diambil tentang dakwaan Lee Kuan Yew terhadap Anwar sahaja tetapi laporan tentang pembunuhan Altantuya Shariibuu tidak disiarkan.

Di samping Anwar, turut berceramah adalah anggota Parlimen Shah Alam Khalid Samad, anggota Parlimen Batu Tian Chua, Tan Tee Kwong, Shamsul Iskandar dan juga Teresa Kok.

Tian Chua dalam ceramah itu berkata, pihaknya sedang berusaha supaya laporan WikiLeaks ini dibincangkan di Dewan Rakyat. Satu usul telah dibentangkan bagi membincangkan hal itu.

“Kita mahu Dewan Rakyat bincangkan laporan terhadap Anwar dan juga dakwaan terhadap Najib berkaitan dengan pembunuhan terhadap Altantunya yang juga disebutkan dalam dokumen WikiLeaks ini,” kata Tian.

Siang tadi, peguam Anwar mengumumkan pihaknya akan menyaman Lee Kuan Yew dan juga Tun Dr Mahathir yang berkata beliau yakin pemimpin Singapura itu tahu Anwar melakukan sodomi itu.

Anwar mula menjelajah negara mulai semalam. Esok 16 Disember, Anwar akan berada di Dataran Muhibbah, Kampong Ismail, Ampangan, Negeri Sembilan dalam siri Ceramah Perdananya sehinggalah 19 Disember ini yang akan berakhir di Pulau Pinang.

Sunday, December 12, 2010

14,000 latihan buku percuma untuk pelajar selangor



Batu Caves - Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanya RM650,000 untuk membiayai sejuta buku latihan yang akan diberikan kepada pelajar yang kurang berkemampuan diseluruh Negeri Selangor.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Caves Y.B Amiruddin Shari berkata "Kerajaan Negeri sentiasa bercita-cita untuk membantu meringankan kesusahan rakyat dinegeri selangor ini".
"Oleh itu Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Dr. Xavier Jayakumar berkata, penyerahan buku latihan itu merupakan tanda keperihatinan Kerajaan Negeri kepada golongan fakir miskin, pendapatan rendah RM1500 kebawah".
Katanya lagi, "Kerajaan Negeri Selangor Pakatan Rakyat (PR) akan meneruskan agenda kerajaan Negeri untuk tahun ketiga bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan. Rakyat yang tersenarai dalam golongan tersebut akan menerima buku latihan sebanyak 20 buah buku seorang. 14,000 buah buku latihan akan diberikan kepada 700 pelajar sekolah rendah dan menengah di 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Selangor sebelum sesi persekolahan 2011 dibuka".

Terdahulu, Kerajaan Negeri bukan sahaja membantu pelajar bahkan rakyat diselangor telah pun mendapat berbagai manfaat dengan hasil usaha daripada pentadbiran kerajaan negeri selangor pada masa ini untuk dikongsi bersama rakyat.
Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Tabung Warisan Anak Selangor, (TAWAS) bantuan kemasukan IPT, pemberian air meter padu percuma, bantuan ibu tunggal dan sebagainya telah pun diberikan kepada rakyat bagi meringankan bebanan mereka, katanya semasa dalam majlis perasmian Hari Mesra JKP Zon 13 & 14 Majlis Perbandaran Selayang (MPS) di Dewan JKKK Kg Baru Batu Caves, disini pagi semalam.
Sementara itu, Utz Hasbullah Ridzuan Ahli Majlis Perbandaran Selayang Zon 13, berkata selain mengadakan hari mesra MPS, diadakan juga Pertandingan Futsal, manakala seramai 45 orang kanak-kanak telah menyertai Pertandingan Mewarna diantara umur 5-12thn bagi mengcungkil bakat mereka yang sediaada.
Disamping itu, diadakan juga majlis penyerahan sijil penghargaan kepada AJK JKP yang telah menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik selama berkhidmat di zon kawasan ini.
Menurutnya lagi, Kaunter pemeriksaan kesihatan juga dibuka untuk rakyat yang hadir. Mereka diberikan rawatan kesihatan pecuma dan paling meriah sekali diadakan Majlis berkhatan Tradisional beramai - ramai. Seramai 36 orang kanak - kanak diantara umur 7-12thn telah menyertai majlis tersebut.
Bagi memeriahkan majlis ini Momtaj semburan air kepada kanak-kanak telah dilakukan untuk menyejukkan mereka sebelum majlis berkhatan dilaksanakan. Mereka diiringi dengan menaiki lori dan irama kompang untuk mengelilingi di sekitar Kawasan DUN Batu Caves.
Hasbullah berkata "Alhamdulilah, dengan kerjasama semua pihak terutamanya rakyat sekitar zon 13 dan zon 14 MPS, Bomba, Polis, Pejabat Kesihatan maka program ini dapat dilaksanakan dengan sempurna tanpa mengira parti. Semoga program yang dianjurkan oleh JKP/MPS untuk menyatukan rakyat terus dapat dilaksanakan dengan kerjasama semua pihak", ujarnya.
Sementara itu, Adik Abd Rahim B Ahmad Hussin 11thn yang telah menyertai program berkhatan beramai-ramai menyatakan perasaan gembira kerana buat pertama kalinya dapat naik lori beramai-ramai dengan rakan-rakan sebaya.
Menurutnya lagi kami telah diarak dengan irama kompang sepanjang jalan dan kemudiannya diberi peluang untuk bersalaman dengan pimpinan disini terutamanya ADUN Batu caves, Ahli-ahli Majlis Zon 13 & 14 MPS, Ketua Kg, Nazir Masjid Tmn Amaniah. Dengan perjumpaan seperti ini kami dapat mengenali saf-saf pimpinan di zon kami.
"Ibu dan ayah saya juga telah menyarankan agar melakukan khatan secara tradisional, katanya agar dapat mengekalkan adat istiadat melayu. Lagipun program ini dibayar dengan murah sahaja dengan harga RM60. Kalau diklinik swasta sudah pasti harganya RM150 seorang. Dengan pendapatan ibuayah saya, mungkin tidak mampu untuk membiayai kos tersebut".
"Untuk menjimatkan kos perbelanjaan memandangkan tidak lama lagi sekolah akan dibuka maka sudah pasti ibuayah saya memerlukan kos yang banyak untuk membayar yuran dan melengkapkan barang keperluan sekolah kami.
Oleh itu, saya setuju untuk mengikuti program ini bagi meringankan bebanan ibuayah saya, ujarnya ketika menanti gilirannya untuk berkhatan".


Editor :khaulah azwar

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI