Saturday, June 12, 2010

Golongan Siapakah Yang Layak Mentadbir Masjid Dan Surau??


Gombak – Masjid Ar-Rahimah, Greenwood baru-baru ini telah mengadakan Majlis Penyerahan Tugas Surau-surau Kariah bagi sesi 2010-2013.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh YB Dato’ Dr. Hassan bin Haji Ali, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam.

Menurut Hj Abd Rahman Nazir MAsjid Ar-Rahimah, sebanyak 9 buah surau yang telah berdaftar iaitu Surau Darul Falah Tmn Berjaya, Surau Al-Ehsan Tmn Desa Minang, Surau Al-Husna Tmn Selasih Fasa 1, Surau Ar-Rasyidin Tmn Gombak, Surau Al-Ehsan Flat Samudra, Surau Al-Ikhwan Tmn Samudra, Surau Al-Ehsan Apartment Casmaria & Tmn Samudra, Surau An-Naim Apartment Fiona Tmn Samudra, Surau Darul Muhajirin Tmn Selasih Fasa 2. Manakala 2 surau masih belum berdaftar iaitu Surau Sri Bt Caves & Surau Al-Izzah di Tmn Selasih Fasa 2.

Hj. Abd Rahman berkata, alhamdulilah sepanjang pentadbiran Y.B Dato’ Hasan di dalam Dun Gombak Setia, beliau banyak membantu mengimarahkan masjid dan surau-surau seperti memberi sumbangan dengan menaiktaraf infrastruktur surau dan masjid, menghadirkan diri untuk menyampaikan kuliah serta membantu raktyat.

Semoga segala tanggungjawab,amanah dan peranan yang telah Y.B Dato’ laksanakan telah memberi kepuasan kepada rakyat gombak dan seluruh selangor insya-ALLAH, katanya.

Sehubungan dengan itu, Y.B Dato’ Hasan telah memberi penekanan kepada semua yang hadir dalam ucapannya dalam Majlis Penyerahan tugasan surau-surau iaitu Matlamat sebenar pembinaan sesebuah masjid, peranan dan tanggungjawab AJK Masjid /surau dalam mengimarahkan masjid. Firman Allah swt dalam surah Al-Jinn ayat 18 yang berbunyi:

Ertinya:

Dan bahawa sesungguhnya masjid-masjid itu untuk tempat (ibadat kepada) Allah semata-mata; maka janganlah kamu seru dan sembah sesiapapun bersama-sama Allah.

Sesuai dengan kedudukannya yang mulia iaitu sebagai rumah Allah swt dimuka bumi maka seluruh umat Islam sejak dulu hingga sekarang yang benar-benar faham akan kelebihan mengimarahkan nya tidak akan melepaskan peluang menyertai segala kegiatan suci yang diadakan didalam nya seperti menunaikan solat berjemaah, mendirikan solat jumaat, mengikuti majlis-majlis pengajian ugama disamping melakukan berbagai-bagai amal ibadah yang lain yang tujuannya semata-mata untuk menuntut keredhaan Allah swt iaitu Tuhan yang mencipta dan mentadbir alam ini. Beruntunglah mereka yang merebut peluang ini didunia dan diakhirat.


Y. B Dato’ juga sering mengingatkan kepada qariah yang hadir dalam kuliah-kuliahnya mengenai
Amaran Allah terhadap orang yang menghalang penggunaan Masjid.

Dalam surat Al-Baqarah, ayat 114, Allah berfirman, Mafhumnya


Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalangi dari menggunakan masjid-masjid Allah untuk (sembahyang dan) menyebut nama Allah di dalamnya, dan ia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu? Orang-orang yang demikian, tidak sepatunya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dengan rasa penuh hormat dan takut kepada Allah (bukan secara yang mereka lakukan itu). Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar. - Al-baqarah (114).


Dalam ayat ini menyebut nama Allah termasuklah berzikir, mengadakan majlis ilmu, tazkirah dan seumpamanya yang secara umumnya dikatakan mengimarahkan Masjid mempunyai pengertian yang amat luas iaitu merangkumi berbagai-bagai aspek diantaranya;


1. Mengusahakan pembinaannya;
2. Meluas dan mengubahsuai binaannya;
3. Memasang hamparan-hamparan yang munusabah didalamnya;
4. Menyalakan lampu-lampu pada waktu malam;
5. Mengunjunginya beramai-ramai pada tiap-tiap waktu solat;
6. Duduk didalamnya dengan niat ‘itikaf;
7. Berbuat amal ibadah didalamnya;
8. Mengikuti majlis-majlis pengajian ugama didalamnya;
9. Berkhidmat menjaga kebersihannya; dan
10. Mengawal ketenteraman dan kehormatannya.


Kelebihan orang yang mengimarahkan masjid masa hidup didunia

Sebuah hadith riwayat At-Tabrani dari Abu Dardak bahawa Rasulullah saw bersabda maksudnya,
Masjid-masjid itu sebagai rumah orang yang bertaqwa, Allah swt menjamin orang yang menjadikan masjid sebagai rumahnya dengan ketenangan hati, kesenangan dan kepuasan, mudah menyeberang sirot menuju tempat keredhoan Allah dalam syurga.

Kelebihan orang yang mengimarahkan masjid diakhirat

Ketika menjelaskan 7 (tujuh) golongan hamba Allah yang diberi peluang bernaung dibawah ‘arash diakhirat kelak, Rasulullah saw bersabda, satu dari 7 golongan tersebut adalah:


Orang yang hatinya sentiasa berpaut (teringat) dengan masjid iaitu orang yang setiap kali lepas menunaikan solat berjemaah dimasjid sebelum keluar, ia berazam hendak berjemaah lagi dimasjid diwaktu berikutnya.

Siapakah yang benar-benar berkelayakan mengimarahkan masjid?


Ciri-ciri kelayakan orang yang dapat mengimarahkan masjid dalam erti kata yang sebenarnya menurut Al-Quran surah At-Taubah, ayat 18 berbunyi,

Ertinya,

Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan solat dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.


Orang-orang beriman pergi kemasjid tujuannya hanya satu iaitu menuntut keredhoan Allah swt dengan melakukan berbagai-bagai jenis ibadah didalamnya seperti mendirikan solat, membaca Al-Quran, membaza solawat, bertasbih, berzikir, berdoa, mengikuti majlis ilmu dan sebagainya. Disamping beribadah mereka juga sentiasa berwaspada menjaga adab kesopanan semasa berada didalam masjid sesuai dengan kedudukannya sebagai rumah Allah, tempat yang mulia dimuka bumi.

Y. B Dato’ Hasan juga amat berharap agar pengerusi-pengerusi surau baru yang telah dilantik dapat menjalankan tugas dan amanah ini dengan sebaiknya dan tidak merasa kecewa apabila dikritik. Anggaplah setiap kritikan orang pada kita adalah satu motivasi untuk memperbaiki diri kita kearah kebaikan.

Selain daripada itu beliau juga mengharapkan agar penegerusi-pengerusi masjid & surau perlu membuat penilaian pentadbiran dalam menjalankan tugasan bagi mencapai KPI yang kita “turget” untuk mencapai matlamat yang lebih baik, katanya.

Semoga dengan penyampaian ucapan tazkirah ini dapat membuka pintu hati, minda kita dalam menjalankan tanggungjawab, amanah yang telah diberikan. Sesungguhnya amanah itu amat berat tetapi akan menjadi ringan apabila dilaksanakan dengan baik.

Editor : Khaulah Azwar

Petugas PAS Gombak Membantu SPR Untuk Daftar Pemilih

Gombak - Cuti hujung minggu bukan hanya dibuangkan masa begitu sahaja tanpa mengisi akiviti-aktiviti yang berfaedah. Bagi yang tahu menilai masa dengan berharga mereka akan mengisi masa dengan sebaiknya.

Baru-baru ini Petugas-petugas PAS yang terdiri daripada muslimin dan muslimat telah bekerjasama dengan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dun Gombak Setia bagi membantu pihak SPR untuk membuat Daftar Pemilih kepada penduduk-penduduk gombak yang masih tidak berdaftar.

Menurut En Omar Satari Pegawai Khas PKM Dun Gombak Setia menyatakan operasi turun padang daripada rumah ke rumah di sekitar zon gombak telah bermula pada 25hb May, 2010 .

Tujuan utama adalah inisatif daripada PKM Dun Gombak Setia setelah berbincang dengan YB Dato’ Hasan Mohd Ali Adun Gombak Setia untuk membantu pihak SPR dalam membuat Penyemakan Daftar Pemilih . Aktiviti ini akan berterusan setiap hujung minggu.

Petugas-petugas kami semua akan turun padang daripada rumah kerumah mengikut zon di sekitar gombak dan insya-ALLAH kita akan membantu rakyat untuk mendaftarkan diri mereka sekiranya mereka masih belum mendaftarkan diri lagi. Rakyat boleh mendaftarkan diri juga di Pejabat PKM Dun Gombak Setia, Pej Ahlli Majlis MPS Zon 11 di Tmn Selasih Fasa 2, Pejabat PAS Kaw. Gombak.

Berkata Y.B Dato’ Hasan Mohd Ali, dalam mesyuarat bersama setiap hari selasa, beliau meminta agar semua petugas dapat membantu dan mencari inisatif lain untuk mendaftarkan rakyat agar mereka tidak ketinggalan untuk mengundi pada PRU ke 13.

“Kita tidak kisah siapa dan parti apakah yang mereka hendak pilih, tetapi yang penting adalah semua rakyat Wajib mendaftarkan diri kerana ini adalah tanggungjawab kita sebagai rakyat m’sia”.

Rakyat berhak memilih siapakah pemimpin yang layak mentadbir negara ini dengan sebaiknya tanpa menjalankan aktiviti-aktiviti yang kurang sihat sehingga boleh mencemarkan imej negara kita.

Rakyat harus memilih dengan bijak seperti apa yang termaktub dalam Al-Quran dalam memilih pemimpin antaranya adalah “Pemimpin yang beriman yang sentiasa berpandukan Al-Quran & Al – Sunah dalam mentadbir negara, beribawa, mendahulukan rakyat daripada kepentingan diri sendiri dan keluarga, adil dalam memberi khidmat kepada masyarakat tanpa mengira parti dan bangsa dan lain-lain lagi”.

Oleh itu adalah wajar kepada kita menjalankan tangungjawab kita sebagai rakyat dengan cara mendaftarkan diri agar apabila tiba Pilihan Raya kita telah membuat keputusan sendiri bagi melihat negara m’sia ini ditadbir oleh siapakah yang layak menerajuinya.

Beliau berkata lagi, pihak kami telah mengambil inisatif dengan turun padang daripada rumah ke rumah , dan didapati mendapat sambutan baik dan dapat kerjasama semua pihak.

Petugas-petugas terutamanya Muslimat mereka paling banyak membantu dalam membuat kerja-kerja untuk bertemu penduduk. Tak semua orang mampu bertemu dengan penduduk, mengetuk pintu membuat rayuan dan sebagainya.

Inilah kelebihan muslimat yang kita hargai, tidak mengira penat lelah setelah penat bekerja di pejabat dan menjalankan tanggungjawab dirumah tetapi mereka masih mampu meluangkan masa tidak kira waktu untuk menjalankan tanggungjawab mereka dalam jemaah dan membantu PKM Dun Gombak Setia untuk megadakan aktiviti bersama rakyat. Inilah hasil tarbiyah dan dakwah yang telah diserapkan dalam diri mereka melalui usrah-usrah yang dijalankan diperingkat Cawangan dan Dun.

Sehubungan itu, beliau juga melahirkan rasa syukurnya kerana semua petugas telah bekerjasama tidak kira muslimin/muslimat yang telah banyak membantu beliau dalam menerajui Dun Gombak Setia. Semoga amalan yang dilakukan dinilai oleh ALLAH swt dan bekalan kita dalam menuju alam barzakh nanti, insya-ALLAH, katanya.

Editor : Khaulah Azwar


Friday, June 11, 2010

Nik Aziz dicadang jadi Mursyidul Am Pakatan

KOTA BHARU, 12 Jun: Muktamar PAS kali ke-56 pagi ini hari mencadang diangkatkan kedudukan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Mursyidul Am Pakatan Rakyat memandangkan kewibawaan yang ada pada dirinya.

Perwakilan Perlis berkata, Menteri Besar Kelantan itu wajar diberi kedudukan lebih tinggi bukan lagi sekadar Mursyidul Am PAS sahaja memandangkan penerimaan pelbagai parti terhadap kepemimpinannya.

Sebelum ini Tuan Guru Nik Abdul Aziz disenaraikan dalam kumpulan 500 pemimpin dunia Islam oleh sebuah majalah antarabangsa.

Perwakilan itu juga berkata, pemimpin-pemimpin PAS usah berkokok berderai derai tetapi ekor berlumuran tahi, dengan hanya menyalahkan orang lain semata-mata secara terbuka.

Sedangkan kata beliau orang PAS sudah alami pelbagai proses tarbiah dan tidak perlu dilabelkan mereka dengan macam-macam tomohan.

"Saya juga kecewa kerana pemimpin kita lambat mengeluarkan kenyataan bagi menyatakan pendirian PAS terhadap isu semasa yang berlaku, lebih malang lagi ada pula percanggahan kenyataan di kalangan pimpinan.

"Oleh itu saya cadangkan ketangkasan ini perlu ada bagi menangani isu semasa yang berlaku. "Pemimpin perlu cepat menjawab isu, jangan biarkan ahli menjadi keliru," katanya.

Perwakilan Sabah, Muhd Nasir berharap ada seorang anggota parlimen PAS bertugas secara khusus untuk membongkar isu yang berlaku di Sabah terutamanya membabitkan permasalahan pengambilan tanah-tanah rakyat dan gejala sosial.

Kata beliau hampir 30 kawasan tanah di Sabah dirampas kerajaan negeri, sedangkan tanah itu diusahakan lebih 30 tahun dan membuahkan hasilnya.

"Tetapi malangnya tiba-tiba hak rakyat itu telah dinafikan begitu sahaja oleh kerajaan negeri. Contohnya di Landau peserta yang memohon 370 peserta tetapi telah dinafikan hak mereka mengusahakan tanah sekian lama.

"Peserta berkenaan datang ke Kuala Lumpur menghantar memorandum bantahan kepada kerajaan. Kita mahu anggota-anggota parlimen PAS membela masalah itu dan dibawa ke parlimen untuk diketengahkan sebagai isu rakyat," katanya.

Beliau juga melahirkan rasa syukur kerana Ahmad Dollah dilantik sebagai wakil Sabah dalam jawatankuasa PAS Pusat.

Katanya diharap Ahmad dapat memainkan peranan dengan lebih berkesan dalam jawatankuasa berkenaan dengan membawa suara-suara daripada Sabah.

Thursday, June 10, 2010

Mengekal Adat Istiadat Melayu


Mengekalkan Warisan Adat Istiadat Melayu bukan semudah itu jika tidak diambil berat oleh masyarakat. Oleh itu untuk mengekalkan warisan ini Persatuan Kompang Ezhar telah mengambil inisatif untuk mengadakan Majlis Latihan Gabungan Ezhar Zon Gombak.

Majlis tersebut telah diadakan baru – baru ini di Balai Raya Kg Kerdas yang telah mendapat sambutan daripada penduduk sekitarnya.

Kemeriahan majlis tersebut telah dirasmikan oleh YB Dato’ Dr. Hassan bin Haji Ali, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam.

Turut menghadirkan diri dalam majlis tersebut adalah Pengerusi Persatuan Ezhar En. Johari , Pengerusi -Pengerusi Cawangan Persatuan Kompang Ezhar, Tok Empat Kg Tengah En Idrus Bin Md Yusof.

Sebanyak 4 cawangan di peringkat Zon Gombak yang telah berkejasama untuk memeriahkan majlis tersebut iaitu Cawangan Persatuan Kompang Ezhar Bt 6 1/5 Gombak, Persatuan Kompang Ezhar Bt 9 Air Panas, Persatuan Kompang Ezhar Sinar Budi & Persatuan Kompang Sri Changkat.

Menurut Pn. Liza AJK Persatuan Ezhar Kompang Kg Tengah, tujuan mengadakan Majlis Perasmian Latihan Kompang Ezhar adalah untuk mengeratkan siraturrahim antara ahli- ahli persatuan cawangan kompang, memahirkan kemantapan pemain kompang dengan mengadakan latihan. Insya-ALLAH latihan ini akan diadakan antara cawangan-cawangan agar pemain kompang merasa yakin dan lebih mahir apabila dijemput dalam sesuatu majlis rasmi.

Setakat ini, alhamdulilah seramai 170 orang yang telah menjadi ahli Kompang Ezhar. Didapati jumlah keahlian semakin meningkat. Dan kita lihat anak-anak muda tidak kira samada muslimin/muslimat begitu berminat untuk menyertai persatuan ini, katanya.

Berkata Y. B Dato’ Hasan Mohd Ali yang merupakan Penaung Persatuan Kompang Ezhar, alhamdulilah walaupun zaman semakin berkemajuan namun Adat Istiadat Melayu ini masih dikekalkan oleh generasi kita sehingga kini. Dan diharap pada masa akan datang anak-anak generasi ini akan meneruskan warisan nenek moyang kita agar tidak dilenyapkan begitu sahaja.

Selain daripada itu, dengan penglibatan anak-anak muda dengan persatuan kompang mereka akan terbuka minda dengan mempelajari cara pukulan kompang yang betul mengikut rentak lagu-lagu yang telah terpilih.

Bukan itu sahaja, dengan penglibatan anak-anak muda dengan aktiviti ini, sekali gus mereka dapat mengisi aktiviti-aktiviti yang berfaedah dan tidak melibatkan diri dengan merosakkan akidah mereka sendiri.

Penglibatan pergaulan yang tidak terbatas, kurang pendididkan & pengetahuan agama juga, pasti akan melibatkan gejala sosial yang semakin meningkat. Ini amat membimbangkan semua pihak untuk mengatasi masalah ini lebih-lebih lagi isu gejala sosial yang kita dapati terutamanya pengambilan dadah, pecah rumah, kes pembuangan bayi yang semakin hari semakin meningkat.

Sehingga kini, semua pihak masih tidak bertemu lagi formula untuk mengatasi masalah ini melainkan sikap tanggungjawab semua masyarakat untuk membimbing, memberi teguran dengan menjalankan amal maaruf nahi mungkar, majlis-majlis ilmu agama juga yang seharusnya perlu ditingkatkan dalam setiap majlis tidak kira di sekolah, ipt dan surau/ masjid untuk mengingati antara satu sama lain, katanya.

Kesian apabila kita lihat anak-anak kecil yang tidak berdosa dibuang begtu sahaja, dibunuh dengan berbagai cara tanpa belas ehsan. Penglibatan remaja-remaja yang mengambil dadah sekali gus membuat masyarakat dan penduduk sekitar merasa tidak aman kerana timbulnya kecurian dan sebagainya. Inilah natijahnya jika kita memberi tumpuan pada anak-anak dan penglibatan remaja-remaja dengan mengadakan hubungan seksual dengan meletakkan nafsu dihadapan tanpa takut hukuman ALLAH yang akan diberi mungkin tidak terima didunia tetapi diakhirat nanti, setiap amal perbuatan kita akan di persoalkan.

Jadi amatlah wajar pada kita sebagai masyarakat terutamanya ibubapa /penjaga menggalakkan anak-anak mereka melibatkan diri dengan berbagai aktiviti dan persatuan-persatuan yang mendatangkan kebaikkan pada mereka dan masyarakat.

Sekiranya ibubapa/penjaga tidak mengambil daya inisatif untuk membawa anak-anak mereka melibatkan diri dengan aktiviti yang berfaedah, tidak diberi teguran dan peringatan saya yakin anak-anak generasi kita akan tersasar lebih jauh kerana kehidupan mereka tidak dikawal rapi akibat sikap kita sendiri, katanya dalam majlis tersebut.

Tahniah dan syabas kepada pihak penganjur Persatuan Kompang Ezhar yang masih mengekalkan warisan ini dan berjaya mengumpulkan anak-anak muda, yang kita lihat hari ini begitu ramai menyertainya.

Semoga usaha murni ini diberkati ALLAH swt dan diharap pihak penganjur akan berusaha lebih gigih lagi dengan mengadakan aktiviti -aktiviti sampingan yang melibatkan adat istiadat melayu agar mereka tidak melupakan adat ini, katanya. dan terus menerus mengekalkannya walaupun kita tiada lagi didunia ini satu hari nanti.

Editor : Khaulah Azwar

Bendera Israel berkibar di Malaysia?


KAPAL Zim USA yang didaftarkan di Israel ini kali terakhir memasuki Pelabuhan Klang pada 20 Jun.


BENAR seperti kata negarawan ulung, Tun Dr. Mahathir Mohamad, kita mudah lupa. Ingat lagi semasa Gaza diserang bertalu-talu, seluruh rakyat Malaysia, terutamanya orang Islam bagai nak gila. Demonstrasi sana-sini. Minta diboikot itu dan ini, barangan yang dikeluarkan oleh Yahudi dan yang diasaskan dari Israel.

Lepas sebulan serangan ke atas Gaza tamat, pemikiran kita mula lembam, enam bulan selepas itu sedikit demi sedikit mula lupa dan selepas setahun terus lupa.

Kempen-kempen boikot dan amarah kita sudah hilang sehinggalah seminggu ini. Sejak minggu lalu kita bangkit semula. Solat hajat diadakan semula di sana-sini. Televisyen dan akhbar-akhbar penuh dengan berita dan komentari (termasuklah Cuit ini hari ini) mengenai kisah Israel, Yahudi dan kekejamannya. Jika Israel tahu mengenai sindrom mudah lupa kita, sudah pasti mereka akan ketawa terbahak-bahak. Tapi bangsa Yahudi ini bijak, mereka memang tahu tabiat kita, terutamanya umat Islam dan orang Melayu kita ini. Kita ini hanya akan melompat ikut musim. Itu pasal Israel suka menyerang ikut musim. Ada musim-musim tertentu mereka akan bertindak dan sekali gus dunia (terutamanya dunia Islam) akan melompat. Kemudian senyap.

Tujuan mereka ialah supaya semua orang ingat akan (kewujudan) negara Israel itu.

Dari segi dasar kerajaan, Malaysia memang konsisten. Kita adalah antara segelintir negara Islam dan di dunia yang tidak menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel. Langkah kerajaan itu amat kita sanjung. Kita berharap selagi ada negara Yahudi haram itu, kita tidak akan mengiktiraf kewujudannya sampai bila-bila.

Begitu juga hubungan dagangan dengan negara itu. Secara automatik hubungan itu tidak berlaku, kerana kita tiada hubungan diplomatik. Mengikut undang-undang antarabangsa, Israel tidak boleh juga menahan rakyat kita kerana kita tiada hubungan yang sah dengannya. Dalam kes yang berlaku ke atas kapal misi kemanusiaan ke Gaza itu, rakyat Malaysia ditahan di laut antarabangsa - bukan dalam kawasan perairannya, itu lagi salah.

Namun, walaupun kita tidak mempunyai hubungan itu, difahamkan ada juga barangan dari negara rejim Yahudi ini memasuki negara ini. Mungkin bukan terus, tapi dari negara ketiga.

Tapi benarkah kapal Israel dibenarkan memasuki ke pelabuhan kita dan melakukan perdagangan dengan negara ini secara terus?

Benarkah itu berlaku? Apakan kerajaan sedar ia berlaku?

Melalui maklumat seorang sahabat yang terlibat secara terus dalam bidang perkapalan, saya melakukan siasatan. Satu maklumat kepada saya kemudiannya mendedahkan senario bagaimana halusnya rejim itu menjalinkan hubungan dagang dengan kita.

Kita jangan cakap perkakasan yang canggih dan besar-besar yang dihantar untuk kegunaan kita di sini dari negara ketiga. Kita cuma bercakap mengenai soal buah epal dan buah oren yang dihantar oleh kapal mereka ke pelabuhan kita. Rakan yang mendedahkan maklumat itu geram kerana kapal kemanusiaan kita dihalau dan diserang, sebaliknya kapal Israel sewenang-wenangnya berlayar dan berdagang di negara ini! Bolehkah pula kapal MISC kita memasuki Pelabuhan Haifa di Israel? Jawapannya, tidak.

Begini bunyi maklumat itu (yang diterjemah dalam bahasa Melayu):

Zim Israel Navigation Company ialah syarikat perkapalan milik Israel. Statusnya lebih kurang macam MISC, syarikat perkapalan nasional kita.

Maklumat mengenai syarikat perkapalan Zim boleh dilayari melalui www.zim.co.il. Di bawah tajuk sejarah, ditulis: Bermula dengan permulaan bersejarah pada 1945 sebagai kapal pengangkut imigran (kaum pendatang) dari wilayah berperang Eropah ke negara harapan bernama Israel, ZIM kini menjadi salah sebuah syarikat perkapalan terbesar yang beroperasi di seluruh dunia. (From historic beginnings in 1945 as a carrier of immigrants from war-torn Europe to the nascent state of Israel, ZIM has become one of the world‘s largest shipping companies with operations throughout the world.)

Kelmarin (7 Jun kapalnya bernama Zim Genova) berlabuh di Pelabuhan Klang membawa kargo-kargo yang besar.

Secara puratanya kapal itu panjangnya kira-kira 253 meter, lebar 32 meter dan boleh membawa muatan sebanyak 4,000 Teu atau bersamaan 4,000 buah kontena 20 kaki. Ia berlayar keluar dari pelabuhan itu kira-kira pukul 7 pagi semalam (8 Jun).

Selain Zim Genova, kapal-kapal Zim lain yang berulang-alik ke Pelabuhan Klang ialah Zim USA (didaftarkan di Israel), Zim Kingston, Zim Monaco (pelabuhan terakhir: Pelabuhan Klang enam hari lalu), Zim Dalian dan Zim Lovorno (yang kesemuanya didaftarkan di beberapa buah negara lain).

Zim USA, misalnya kali terakhir memasuki Pelabuhan Klang ialah sekitar 20 Mei lalu, kira-kira tengah hari (Sila layari http://www.marinetraffic.com/ais/shipdetails.aspx?mmsi=428000109).

Di serombong asapnya (funnel) terpampang bendera Israel – tujuh bintang yang dengan megahkan berlabuh di pelabuhan kita!

Kebanyakan pegawai kapal-kapal itu terdiri daripada rakyat Israel.

Satu lagi e-mel yang diterima berbunyi:

Zim Israel Navigation Company atau Zim Lines juga mempunyai anak syarikat penuhnya iaitu Gold Star Line. Nama kapal-kapalnya ialah: New Asia Middle East Express, China Vietnam Express, East Mediteranean Express, Far East Africa Express dan Chittagong Malaysia Express.

Gold Star Line ini berpangkalan di Hong Kong. Di negara Islam seperti Pakistan, Bangladesh, Indonesia - Zim beroperasi di bawah nama Gold Star Line.

Menurut sumber itu, ada antara kargo dari kapal Zim dikatakan melalui proses pelabelan semula (relabelling) di Singapura sebelum memasuki Malaysia. Difahamkan antara kargo yang dibawa masuk ke Malaysia ialah buah oren dan epal di bawah nama HIFA.

E-mel itu menulis lagi: Sekiranya kita tiada hubungan dua hala dengan Israel, mengapa dibenarkan kapal-kapal mereka memasuki perairan kita? Mengapa berdagang dengan mereka? Apa yang berlaku ini?

Saya tidak boleh jawab soalan itu. Saya hanya boleh tulis dan sampaikan. Jika betul, kita minta -- Kementerian Pengangkutan, Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) serta pengendali pelabuhan yang diswastakan iaitu Pelabuhan Barat (West Port) dan Pelabuhan Utara (North Port) - sila jawab, jika salah sila jelaskan.


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0609&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_08.htm

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI