Monday, June 7, 2010

Serangan Flotila : Najib Tidak Endahkan Amaran MAPIM

Perdana Menteri Najib Razak dimaklumkan mengenai kemungkinan besar rejim zionis Israel akan menyerang kapal misi kemanusiaan lima hari sebelum serangan itu berlaku namun tidak ada tindakan diambil oleh pejabat Perdana Menteri.

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) yang terbabit dalam misi itu telah menghantar surat berkenaan pada 27 Mei, namun tidak menerima sebarang maklum balas daripada Najib. Lima hari kemudian rejim Zionis melancarkan serangan ke atas Mavi Marmara dan membunuh sembilan orang.

Mereka turut merampas segala bantuan termasuk bekalan perubatan dan makanan untuk rakyat Palestin yang dianggarkan berjuta ringgit.

Pendedahan mengejut oleh MAPIM mencemari usul yang dibawa oleh Najib di Parlimen hari ini, membidas serangan itu dan meminta masyarakat antarabangsa untuk bertindak tegas terhadap Israel, tujuh hari selepas serangan berkenaan.

Dalam salinan surat yang diperolehi oleh TVSelangor, MAPIM memberitahu Najib bahawa Israel berkemungkinan besar akan melancarkan serangan ketenteraan bagi menghalang misi kemanusiaan itu dari sampai ke Gaza.

Justeru badan itu menggesa Najib untuk memohon Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, PBB memberi perlindungan kepada kapal-kapal yang terbabit dari misi itu daripada kekejaman Israel.

Malah Najib juga diminta untuk mengerahkan kapal pengiring khas untuk misi itu selain memohon bantuan daripada Persidangan Negara-negara Islam atau OIC, dan Kesatuan Eropah.

" 27 mei untuk memberitahu PM perlu mengambil perhatian serius mengenai keselamatan misi kapal kemanusiaan ini kerana jelas beberapa kenyataan Israel bahawa jelas tindakan secara ketentaraan akan berlaku. Jadi kita mendesak supaya PM atas negara Malaysia cepat bertindak untuk meminta PBB memastikan jaminan keselamatan ini tapi malangnya tidak direspon oleh PM sehinggalah insiden itu berlaku" ujar Mohd Azmi Abdul Hamid, Setiausaha Agung MAPIM.

Hari ini Najib berdiri di Parlimen untuk menyampaikan bantahan kerajaan pimpinannya terhadap serangan itu.

Namun yang menjadi pertikaian ialah sikap yang dipamerkan oleh kerajaan dalam memastikan keselamatan misi kemanusiaan berkenaan yang membabitkan sukarelawan dan wartawan malaysia.

" Kekesalan kita ialah apabila mesej kita kepada PM itu nampaknya tidak dijawab dan tidak respon bahawa insiden ini memang berlaku dan kita memang akan ambil tindakan" tambah Azmi.

Mengulas mengenai perkara itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia menjadi ukuran terhadap keikhlasan kerajaan pimpinan Najib bersabit misi kemanusiaan yang disertai 12 aktivis Malaysia.

" Bila perkara ini sudah meletup sedemikian rupa, orang sudah ditembak, rakyat sudah bangkit marah, barulah kerajaan nampak respon sedikit. Tetapi ini tidak boleh menutup kelemahan yang dibangkitkan oleh MAPIM".

" Ini harus didedahkan kepada awam. Rakyat harus tahu bahawa banyak usaha telah diambil oleh badan-badan Islam dan badan bukan kerajaan dan kerajaan seolah-olah hanya mahu lepas tangan dan tidak mahu langsung sentuh sensitiviti Israel dan Amerika Syarikat" ujar beliau kepada Tv Selangor.

Tambahnya, kerajaan Najib hanya bangkit setelah rakyat dan juga parti pembangkang membantah jenayah perang yang dilakukan oleh tentara Israel ke atas flotila bantuan ke Gaza.

Dalam pada itu Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub turut menuntut penjelasan daripada wisma Putra atas kegagalan kerajaan bertindak bertindak membantu kapal Mavi Marmara meskipun diberitahu mengenai rancangan rejim Zionis untuk menyerang misi kemanusiaan itu lebih awal.

" Walaupun kadang-kadang kita mempunyai keyakinan mungkin apa pun yang kita laksanakan Israel tetap dengan kezaliman dan kekerasan mereka, tetapi apa yang kita mahu biar ada satu catatan bahawa apabila kita mendapat satu isyarat daripada kapal tersebut, dan Wisma Putra dengan jelas menerima isyarat tersebut, maka mesti ada catatan yang Wisma Putra juga ada catatan mereka menghubungi pihak yang berkuasa" ujar beliau kepada Tv Selangor.

Salahuddin berkata masyarakat akan tentunya bertanya samada tragedi serangan ke atas kapal Mavi Marmara mungkin mempunyai kesudahan berlainan jika Wisma Putra telah bertindak lebih pro aktif.

" Apa yang penting dalam setiap situasi, kerajaan mesti bertindak proaktif dan pantas untuk mendapatkan bantuan-bantuan yang diperlukan contohnya badan-badan antarabangsa".


Anwar terus dedah agenda jahat Umno BN

KULIM, 7 Jun: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjelajah setiap kampung dan daerah bagi menjelaskan kepada rakyat agenda jahat dan keburukan Umno dan Barisan Nasional (BN) sekiranya digantung oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen, esok.

Menurutnya, segala kejahatan dan keburukan yang sekian lama menjadi amalan kepimpinan Umno dan BN harus terus dirobek dan dimaklumkan kepada rakyat supaya mereka mendapat penjelasan yang sebenar mengenai tindak-tanduk pemimpin negara.

"Banyak perkara yang tidak direlakan oleh rakyat telah dilakukan oleh kerajaan pimpinan yang ada sekarang. Arak dan judi semua ini membawa kesan negatif yang merosakkan akhlak dan kesejahteraan hidup rakyat, mereka tidak pedulikan walaupun ada bantahan dan bangkangan.

"Yang lebih teruk ialah sikap mereka yang tidak mempedulikan kritikan dan pembongkaran yang telah dibuat dalam Parlimen bahawa mereka mempunyai hubungan dengan negara Israel.

“Jika perkara ini tidak benar maka saya dengan ini mencabar Perdana Menteri untuk menafikan segala dakwaan tersebut dalam Parlimen," katanya pada majlis ceramah di sini, malam tadi.

Tambahnya, untuk menyelamatkan negara dari terus menjadi sebuah negara yang begitu sinonim dengan aktiviti rasuah oleh kepimpinan negara, maka pembohongan BN akan terus dibongkar dalam program ceramah isu semasa yang giat dijalankan dari masa ke semasa.

"Dari Sarawak sehinggalah ke Johor, Pakatan Rakyat (PR) akan pastikan dalam pilihan raya umum yang akan datang, tonggak pemerintahan negara akan berjaya dikuasai oleh PR,” ujarnya.

Sunday, June 6, 2010

Jangan Jadi Talam 2 muka (Munafik)




Alhamdulilah baru hari ini, ana berkesempatan untuk berkongsi pendapat & peristiwa yang berlaku di negara kita yang semakin hari semakin amat tenat apabila dilihat hukum -hukum ALLAH ditolak oleh barisan pimpinan UMNO / BN.


Walaupun mereka menyatakan perjuangkan ISLAM namun disebalik kata-kata mereka ibarat seperti orang munafik, kerana kita semua sudah lihat apa yang terjadi dinegara kita sekarang.

UMNO/BN telah menghalalkan Judi, mereka mengatakan merasa kesal dengan sikap Israil tetapi mereka jugalah yang menjalinkan hubungan dengan Israil laknatuallah yang tidak jemu untuk terus - menerus membunuh Umat ISLAM di bumi gaza/palestin. Apakah kita tidak merasa geram dengan apa yang berlaku??


Cuba Kita lihat Petugas sukarelawan yang telah selamat sampai di m'sia daripada lepasan gengaman Tentera Israil telah disambut dengan berbagai pimpinan seperti Pakatan Rakyat, Badan Ngo dan tidak ketinggalan UMNO/BN untuk menyambut ketibaan petugas sukarelawan. Mereka berpura-pura dengan rakyat . Bagi rakyat yang menyedari rasa benar-benar kecewa, meluat dengan lakonan yang dibawa oleh UMNO/BN.


Tetapi sedarkah kita bahawa UMNO/BN lah yang menjalin hubungan baik dengan tentera Yahudi ini dengan menglibatkan diri dengan APCO??

UMNO/BN butakan mata, pekakkan telinga mereka. Seolah tidak berlaku apa-apa kepada saudara SESILAM kita dibumi palestin.

Adakah UMNO/BN tidak merasa penderitaan yang telah berlaku di Bumi Palestin?? Begitu menyakitkan hati apabila Timb. PM menyatakan "beliau tidak pasti adakah barang-barang yang hendak dihantar ke Palestin untuk Umat ISLAM selamat / tidak.. berbagai fakta yang terkeluar membuat Umat ISLAM merasa terkilan kerana tidak merasa kesungguhan dihati untuk membantu umat ISLAM yang telah ditindas oleh tentera Yahudi".

Tidak cukup dengan itu, kini mereka memperluaskan segala bentuk judi dinegara kita. Mereka berpura-pura dengan rakyat.. tetapi rakyat kini lebih berfikiran terbuka dan dapat menilai apa yang berlaku di negara kita dibawah pimpinan Najib masa kini.

Sudah pasti dihati kita yang beriman, terasa amat sedih sekali apabila PM sendiri yang menjadi ketua kepalanya dengan merestui segala bentuk perjudian di negara kita, yang rata-ratanya tidak kira bangsa dan agama amat menolak & menentang sekeras-kerasnya perjudian.


ISLAM apakah yang diamalkan oleh Najib dan pimpinan UMNO/BN ini??

Tahukah kita semua, semenjak Najib mengambil alih mentadbir negara ini sebanyak 6 lesen Judi telah di luluskan dinegara kita?


Didalam Al-Quran terang-terang ALLAH swt mengingatkan kita dalam memilih pimpinan untuk menerajui negera diantaranya adalah orang yang Beriman, ISLAM, Waras, Menjalankan Hukum2 ALLAH dengan berpandukan Al-Quran & Al - Sunah, Mempunyai ciri-ciri pimpinan yang beribawa mampun menyelesaikan masalah rakyat, mampu membuat keputusan yang baik dan berbagai lagi. Tetapi, adakah ciri-ciri ini ada pada pimpinan UMNO/BN??


Kembalilah kita kepada fitrahnya, carilah pimpinan2 yang telah dinyatakan oleh ALLAH swt dalam kitabuallah agar negara & rakyat selamat. Jangan kita terus leka & bersetongkol dengan segala kezaliman yang dilakukan oleh mereka (UMNO/BN.



Sudah pasti kita yang beragama ISLAM dan beriman rasa tidak tahu bagaimana hendak disorokkan muka kita kerana PM yang beragama ISLAM menggalakkan perjudian dinegara kita. Adakah ISLAM di luaran sahaja, bagaimana dihatinya?? waallahhualam..


Tidakkah terdetik dihati kita merasa berdosa kerana meredhai perjuangan yang dibawa oleh PM dan pimpinan UMNO/BN.? Oleh itu sedarlah wahai saudara SEISLAMKU, bangunlah tolaklah perjuangan yang dibawa oleh UMNO/BN yang terang-terangan menentang hukum-hukum ALLAH, meredahai segala kemungkaran.


Selamatkan negara kita sebelum ditimpa bala seperti apa yang telah berlaku di Indonesia dan beberapa tempat sebagai tanda peringatan yang diberikan oleh ALLAH pada ummatnya agar tidak tersasar jauh.

Alhamduliah Pemuda PAS Kaw. Gombak yang telah diketuai oleh Utz Salehuddin Nasir, YDP PAS Kaw. Goambak, Utz Hasbullah Riduzan Ketua Pemuda PAS Negeri Selangor , Utz Zulkifli Ahmad, Utz Zakaria Saf Ulama', beberapa pimpinan PAS Pusat, Amal Gombak, Nisa' Gombak juga turut menghadirkan diri bagi menjayakan Demo Batahan Judi dengan mengambil inisatif yang amat baik dan telah mendapat sokongan dimerata kawasan untuk turut menyatakan suara hati rakyat di Masjid Amaniah baru -baru ini dengan membantah sekeras-kerasnya Piala Bola yang melibatkan perjudian.


Tidak kira peringkat umur samada muslimin/muslimat turut menghadirkan diri dengan menyertai himpunan bantahan Judi / KEJI di Masjid Amaniah yang telah dibanjiri dengan semua aktivis untuk menolak perjuangan yang dibawa oleh PM dengan meluluskan 6 lesen judi dinegara kita.

Harapan kami agar himpunan ini mendapat keberkatan daripada ALLAH swt selepas solat jumaat dan dilihat mata sendiri oleh rakyat di Zon Parlimen Gombak terutamanya penduduk Bt Caves, betapa rakyat m'sia menolak pentadbiran UMNO/BN.. insya-ALLAH..,

Semoga usaha-usaha murni yang diberikan oleh semua umat ISLAM (Pakatan Rakyat), Badan-badan NGO ini dinilai & diterima oleh ALLAH swt dalam menentang segala kemungkaran yang berlaku dimukabumi ini.

Mufti Selangor : Judi Harus Diperangi

Mana-mana orang Islam yang menghalalkan kegiatan judi wajib ditentang kerana telah melakukan jenayah kepada agama dan ummah, begitu kata Mufti Selangor Dato' Setia Mohd Tamyes Abd Wahid.

Menurut Mufti Selangor ini, tiada logik dan alasan yang munasabah untuk membenarkan kegiatan judi berleluasa kerana semua pihak akui bahawa judi membawa mudarat, walaupun keuntungan dari jenayah judi itu digunakan untuk tujuan kebajikan.

TV Selangor menghubungi Dato’ Setia Utama Diraja Mufti Negeri Selangor, Sahibus Samahah Dato’ Setia Haji Mohd Tamyes Abd Wahid untuk meminta panduan berhubung permintaan hartawan kaya Vincent Tan supaya kerajaan Selangor menarik-balik sekatan keatas pertaruhan judi bolasepak, yang diberi kepadanya oleh kerajaan Pusat.

Vincent Tan memberi jaminan bahawa beliau akan mendermakan RM525 juta hasil judi kepada badan-badan kebajikan.

"Sepatutnya maknanya tidak ada satu agensi atau lebih-lebih lagi agensi kerajaan yang hendak menghalalkan judi bukan senang orang Islam.Sepatutnya orang Islam mematuhi peraturan ketika hidup di dunia sebagaimana yang dikatakan hadis Rasullullah S.A.W : orang Islam ini mesti patuh kepada syarat yang ditetapkan oleh peraturan Allah Subhanallahi Taala. Melainkan satu syarat dia tidak ikut ,kalau ini dilanggar maknanya memang boleh diperangi, contohnya menghalalkan benda yang haram atau mengharamkan benda yang halal, jadi jika seorang Islam yang menghalalkan judi kita boleh memerangi mereka".

Mufti Selangor menasihatkan orang-ramai supaya tidak terkeliru dengan pelbagai alasan yang diberi oleh penguasaha dan penyokong judi sukan ini.

"Sebenarnya hasil judi ini,itu sudah jelas, maknanya hukumnya tetap haram,maknanya hasil judi ni apa cara sekalipun memang ia adalah salah satu sumber yang dilarang oleh agama" .

"Di samping itu juga maknanya tidak ada dosa yang sehebat judi tu, kerana itu kita disuruh memerangi judi itu” tambah beliau lagi.


Bantuan Tidak Sampai Ke Gaza, Muhyiddin Tidak Peduli?

Jawapan sambil lewa Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai status penghantaran bantuan kepada rakyat Palestin yang mungkin tidak sampai kepada mereka, ditegur pimpinan Pakatan Rakyat.

Mengulas kenyataan Muhyiddin itu, Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid kesal kerana Muhyiddin sebagai antara pimpinan negara seharusnya memberi jawapan yang lebih menyakinkan.

"Yakinkan rakyat yang memberi sumbangan ini,yang memberi sumbangan yang banyak kepada rakyat Palestin ini, harus dan wajib disampaikan ke matlamatnya," katanya kepada TV Selangor.

Sebelum ini, rakaman visual Muhyiddin menunjukkan beliau berkata begini: “Kita kurang pastilah...Bila kapal-kapal sudah ditahan begitu, dah dirampas, memang saya tak fikir dia akan hantar barang-barang ke Gaza. Jadi, kita kurang pasti perkara itu akan dilakukan oleh Israel. Jadi, kemungkinan tidak sampai..."

Abdullah Sani sebaliknya berkata, Muhyiddn juga harus menegaskan pendirian Malaysia bahawa negara tidak akan tunduk kepada kuasa Tel Aviv itu.

"Kita kena mainkan peranan. Kita mesti menggertak Israel Yahudi ini supaya mereka tidak sewenang-wenangnya menggunakan kuasa.

"Tujuan asal kita ialah barang itu kena sampai ke Palestin, itu penting. Dan kalau sekadar pergi KLIA, itu hanya sekadar retorik, tidak menyakinkan. Maknanya, Muhyiddin tidak buat kerjalah..." katanya.

Mengulas isu sama, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub pula menyifatkan jawapan Muhyiddin itu adalah jawapan klise.

"Kerajaan Malaysia seharusnya lebih pro-aktif dan bukan lagi memberi jawapan yang standard begitu, seolah-olahnya tidak berani menyuarakan pandangan atau tindakan yang lebih kehadapan," katanya.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu juga mahu membuat usul di Parlimen supaya Malaysia menjadi penganjur kepada misi bantuan kemanusiaan ke Gaza selepas ini.

"Kita harus meningkatkan kembali usaha tersebut. Saya rasa ada banyak lagi kapal yang ingin ke Gaza. Biar apa pun yang terjadi, walaupun mungkin akan menjadi korban tetapi biar dunia melihat, kita tidak berhenti setakat ini sahaja," katanya.

"Bagi saya, Malaysia harus untuk merancang, menganjurkan supaya lebih banyak kapal akan ke Gaza dan memastikan bekalan itu sampai kepada umat Islam Palestin di Gaza," katanya.


Saturday, June 5, 2010

Serangan rejim Israel buka mata pemimpin umat Islam

MARANG, 5 Jun: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, sejak tragedi serangan ganas komando rejim Israel terhadap sukarelawan yang menyertai konvoi bantuan kemanusiaan Gaza Isnin lalu telah berjaya membuka mata pemimpin-pemimpin orang Islam.


“Alhamdulillah, tanda-tanda yang menunjukkan negara orang Islam mula hendak sedar dan insaf. Mudah-mudahan, Allah SWT akan memberi taufik dan hidayah kepada pemimpin-pemimpin orang Islam supaya balik ke pangkal jalan,” ujarnya ketika merasmikan Kembara Tarbawi 4WD Ke Blok 6 Air Putih, Kemaman di Rusila, semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, tindakan kejam tentera Israel itu juga turut menguji kekuatan umat Islam secara amnya.

Ini, katanya kerana bangsa Yahudi juga bercita-cita untuk menakluki wilayah Palestin serta menjadi kuasa besar dunia yang berpusat di Israel.

Tambah beliau, penganut agama Yahudi hari ini mempercayai empat rukun yang telah dipinda serta disesatkan.

Pertama, katanya orang Yahudi menganggap mereka adalah bangsa yang dipilih oleh Allah SWT manakala bangsa-bangsa lain adalah ‘binatang-binatang’ yang dijadikan rupa manusia yang membolehkan mereka melakukan apa sahaja termasuk membunuh bangsa lain.

Mereka juga, katanya berhasrat untuk mendirikan Haikal Sulaiman iaitu kuil yang mereka dakwa pernah didirikan oleh Nabi Sulaiman a.s. dan tapak kuil itu ialah Masjidil Aqsa yang menjadi tempat Israk Nabi Muhamad s.a.w.

Rukun ketiga, jelasnya bangsa Yahudi mahu mendirikan negara besar dunia yang berpusat di Israel di mana seluruh dunia akan tunduk kepadanya.

“Keempat, mereka menunggu al-Maseh. Al-Maseh ialah yang memimpin Yahudi untuk menakluk dunia. Kepada kita orang Islam, al-Maseh ialah ‘dajjal’ yang dijanjikan oleh Nabi s.a.w.,” jelasnya.

Beliau juga menjelaskan Masjidil Aqsa yang merupakan kiblat pertama bagi umat Islam kini menjadi rebutan dengan bangsa Yahudi.

Ekoran itu, katanya, orang Yahudi bertindak ganas dengan merampas tanah-tanah umat Islam di Palestin serta mengorek di sekeliling Masjidil Aqsa.

Justeru, beliau menegaskan bahawa tidak ada lagi rundingan atau perbincangan dengan negara haram Israel yang berhasrat untuk menakluk dunia.

“Hari ini, saya pakai baju ‘peluru’ bukan hendak berperang di sini. Tetapi hendak jadi simbol bahawa kita tidak boleh ajar Israel melainkan dengan peluru.

“Tidak ada lagi rundingan, tidak ada lagi perbincangan dengan negara yang berhasrat meluaskan wilayah mereka di seluruh dunia.

“Kita hendaklah mendidik diri kita menjadi umat yang kuat, umat yang gagah, umat yang bersedia untuk mati bagi menegakkan agama Allah SWT,” tegasnya.

Judi sukan: Najib terhutang budi pada Kumpulan Berjaya

KUALA LUMPUR, 5 Jun: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mendakwa Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak merasa terhutang budi sehingga meluluskan lesen judi bola sepak Piala Dunia kepada Kumpulan Berjaya.

Beliau berkata, besar kemungkinan Kumpulan Berjaya turut memberikan sumbangan kepada Barisan Nasional (BN) untuk membiayai perbelanjaan menghadapi 11 pilihan raya kecil yang diadakan sebelum ini.

(Gambar: Khalid membahagi risalah GMJ kepada orang ramai.)

Tambahnya, Berjaya membayar sejumlah RM250 juta kepada kerajaan dalam tempoh setahun bagi lesen judi.

Baginya, tindakan kerajaan meluluskan lesen judi bola sepak itu kerana terdesak untuk mendapatkan duit kerana negara menghadapi masalah kewangan sekarang.

Jelasnya, kelulusan tersebut tidak pernah dibincang atau dibahaskan di Parlimen.

“Keputusan itu dibuat mendadak oleh kerajaan yang lahir dari sikap desperado, terdesak BN dalam keadaan negara menghadapi masalah kewangan,” ujarnya pada Pelancaran Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) di hadapan sebuah pasar raya di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini petang ini.

Turut berucap ialah Pengerusi GMJ, Mohd Azmi Abdul Hamid, Setiausaha JIM, Nahar Mohd Noor, wakil Jemaah Muafakat Muslim Perak, Zulkifli Ibrahim, Pengerusi Shura, Ustaz Abdul Ghani Samsudin, Setiausaha Agung Abim, Rahimi Abdul Rahim dan wakil Dewan Pemuda Masjid, Mohd Takiyuddin Abdullah.

Khalid berkata, ekoran kelulusan judi itu yang dianggap sebagai membalas budi, kemungkinan Berjaya akan terus memberikan sumbangan kepada BN.

Menurutnya lagi, penentangan terhadap kelulusan lesen judi itu bukan sahaja melibatkan Pakatan Rakyat tetapi MCA dan Gerakan yang merupakan komponen utama BN.

“Hanya Umno yang menyokong,” ujarnya.

Mohd Azmi sewaktu menjawab pertanyaan media berhubung sikap membisu pemimpin Umno berhubung kelulusan lesen judi bola sepak itu berkata: “Itu kena tanya Umno”.

Majlis berakhir dengan penyebaran risalah GMJ bertajuk Judi Meruntuhkan Masyarakat & Negara oleh anggota gerakan itu yang turut memaklumkan mengenai Himpunan 100,000 Rakyat Membantah Judi pada 3 Julai di Istana Negara sempena penyerahan memorandum bantahan judi itu kepada Yang di-Pertuan Agong.

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI