Monday, May 17, 2010

Sibu: Sokongan Melayu untuk Pakatan meningkat



ANALISIS KUALA LUMPUR, 17 Mei: Menjelang pilihan raya kecil Sibu, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyidin Yassin dengan bongkaknya berkata, PKR bermakna Parti Kian Runtuh. Namun, belum sempat keputusan pilihan raya Sibu diumumkan secara rasmi, Muhyidin sudah terbang pulang ke Kuala Lumpur selepas sedar pengundi Sibu menolak BN.

Cakap sombong Muhyidin ditempelak pengundi Sibu beberapa jam sahaja selepas itu apabila calon BN, Robert Lau Hui Yew kalah dalam pilihan raya kecil ini. BN kalah 398 undi walaupun dalam pilihan raya lalu calon BN, Robert Lau Senior menang dengan majoriti lebih 3200 undi.

"Walaupun dalam pilihan raya kecil ini DAP menang 398 undi sahaja tetapi memandangkan BN menang 3,200 lebih dalam pilihan raya umum lalu, ia satu swing yang besar," kata seorang penganalisis politik dari UKM dalam program Analisis di Astro Awani malam tadi.

Yang menarik juga dalam pilihan raya ini, peningkatan besar sokongan pengundi Melayu kepada calon DAP kali ini. Ia memberikan satu indikasi baru bahawa Melayu tidak lari dari Pakatan bahkan sokongan mereka meningkat terhadap Pakatan hatta DAP sekalipun.

Di Kampung Hilir Nangka, Sibu, tempat majoriti Melayu Melanau, DAP berjaya menaikkan undinya sebanyak 34% berbanding undi yang diperolehinya pada pilihan raya umum 2008 lalu. Calon BN juga berjaya menaikkan undinya tetapi sedikit sahaja iaitu 12%.

Dalam pilihan raya lalu, calon DAP hanya mendapat 256 undi tetapi kali ini calonnya, Wong Ho Leng menambahkan undinya kepada 344 undi. Walaupun jumlah undi yang diperolehi oleh BN lebih besar tetapi peningkatan ini amat ketara memandangkan serangan perkauman yang dimainkan oleh Umno melalui NGOnya terhadap Pakatan.

Di peringkat Pusat, Perkasa memainkan peranannya. Di Terengganu pula Gertak pula memainkan peranannya untuk memainkan sentimen perkauman Melayu Umno melalui program 13 Mei yang telah dibatalkan selepas didedahkan PAS.

Terbukti pilihan raya kecil ini memberikan pengajaran besar kepada Umno bahawa sentimen perkauman tidak boleh menyelamatkan BN. Ia hanya untuk kepentingan peribadi Umno sahaja. Ini kerana, ketika Umno memainkan sentimen perkauman, parti-parti komponen BN yang mengalami masalahnya.

Selain peningkatan sokongan Melayu, pengundi Cina juga menambahkan sokongan mereka kepada DAP. Kalau diambil sampel di kawasan pilihan raya Rejang Park iaitu kawasan pengundi Cina, undi untuk DAP meningkat sebanyak 25%.

DAP hanya kurang undi mereka di kawasan majoriti Iban namun penurunannya tidaklah ketara sangat iaitu 12% sahaja. Mungkin ini adalah kesan dari kongkongan yang dibuat oleh petugas BN di kawasan pilihan raya ini. Para pemimpin DAP sejak beberapa hari lalu membuat laporan petugas mereka disekat dari memasuki rumah-rumah panjang tempat tinggal pengundi Iban.

Menurut Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, petugas PAS sendiri terasa sekatan ini apabila bilik yang disewa petugas PAS telah ditarik balik.



"Apabila petugas kita pergi untuk persiapan hari mengundi, ada pihak yang menyekat kita masuk ke rumah panjang itu walaupun kita sudah sewa salah satu biliknya untuk petugas kita," kata Mustafa kepada Harakahdaily. Mustafa telah berada di Sibu seawal hari pengenalan calon DAP lagi. Sejak itu, dia berulang alik antara KL dan Sibu. Beliau baru sahaja pulang dari Sibu dan bertemu dengan Harakahdaily sehari selepas hari mengundi1.

Pada awalnya, Timbalan Pengarah Pilihan raya PAS, Datuk Wan Rahim yang mengetuai petugas PAS di sana namun selepas deman dan pulang ke Kota Bharu, Setiausaha Jabatan Pilihan Raya PAS, Nasir Daud mengambil alih tugas beliau mengkoordinatorkan petugas PAS di sana.Timbalan Pengarah III Jabatan Pilihan raya PAS, Dr Mariah Mahmud kekal berada di Sibu sejak sebelum hari penamaan calon hinggalah ke hari mengundi. Peranan beliau bersama Muslimat PAS menganjurkan pelbagai jenis program diakui oleh jentera DAP sendiri.Para pemimpin PAS pula silih berganti datang. Hanya Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Aziz yang tidak dapat datang namun telah mengirimkan amanatnya. Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pula diberikan tepukan gemuruh dan standing ovation oleh para pengundi ketika beliau berucap di majlis kempen terakhir Pakatan.Kesemua mereka berpusat di sebuah rumah yang dijadikan markas PAS di Kampung Hilir dalam Dun Nangka. Hampir semua pemimpin PAS, PKR da DAP ke rumah itu memandangkan kedudukannya yang sangat strategik di Sibu.

Dengan kemenangan di Sibu, Mustafa yakin adalah sukar untuk mana-mana pihak memecahkan semangat setiakawan Pakatan khasnya antara DAP dan PAS.

"Pilihan raya Sibu telah menjadi sangat manis apabila melihat petugas kita menjalankan tugas dengan baik dan DAP pula memberikan sepenuh keyakinan kepada mereka.

"Yang manis lagi, selepas berpenat lelah, kita diberikan kemenangan," kata beliau kepada Harakahdaily.

Kini, tumpuan PAS adalah untuk menghadapi serangan Umno di kalangan orang Melayu pula. Mustafa sedar, Umno telah menjadikan orang Melayu sebagai sasaran mereka.



"Umno nampaknya berbuat apa sahaja untuk mengekalkan kuasa politiknya dengan cara mendapatkan sokongan orang Melayu seramai mungkin hatta melalui tindakan perkauman mereka walaupun boleh menyebabkan rakan-rakan mereka dalam BN hilang sokongan

"Kelebihan kita adalah kita berpolitik berasaskan Islam bukan Melayu. Bila Islam, kita konsisten dalam menentukan sikap. Umno pula membuat sikap politik berdasarkan Melayu," kata Mustafa mengulas isu nama Allah yang turut menjadi isu panas di Sibu.

PAS kini sedang membuat persiapan untuk membuat retreat khas bagi membincangkan isu pengundi Melayu ini. Mereka yakin, sokongan pengundi Islam akan kekal bersama PAS kerana terbukti Umno hanya mahu mengekalkan kuasa semata-mata sebagaimana di Sibu.

Tindakan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak menjanjikan puluhan juta untuk pengundi Cina tetapi mengabaikan begitu sahaja pengundi Melayu di Sibu membuktikan perkara ini.

"Sebab itu saya katakan kepada pengundi Sibu, jika mereka inginkan pembangunan kalahkan BN. Ketika itu mereka akan datang dan berbuat apa sahaja untuk dapatkan kembali sokongan," kata Mustafa.

Sunday, May 16, 2010

Masih Ada Yang Mengambil Berat

Gombak – Masih ada yang mengambil berat dan keperihatinan terhadap kehidupan masyarakat yang kurang upaya miskin dan kehidupan sederhana.

PKM Dun Gombak Setia telah mengunjungi beberapa kawasan setiap bulan bagi membuat rawatan kepada rakyat yang tidak berkemampuan untuk menanggung kos perubatan yang semakin hari semakin meningkat .

Walaupun kita di m’sia diwawarkan dengan adanya klinik 1 m’sia untuk membantu rakyat, namun ianya tidak memberi kepuasan kepada rakyat berikutan dengan bekalan ubat yang diberikan kepada klinik-klinik yang ditubuhkan tidak mengcukupi seperti berlaku di Titiwangsa dan beberapa kawasan.

Ekoran daripada itu, ramai rakyat membuat aduan apabila bekalan perubatan yang dibekalkan tidak mengcukupi telah membuat mereka terpaksa mengambil ubat di farmasi yang memakan belanja yang banyak.

Retetan daripada itu, Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dun Gombak Setia telah mengambil inisatif untuk memberi bantuan dan perhatian perubatan kepada warga emas , ibu tunggal dan pesakit-pesakit yang lain.

Lawatan Ziarah Medic yang telah berjalan Fasa ke 2, telah diketuai oleh Pn. Nik Rusyidiah wakil daripada DMPG dan beberapa orang daripada Penghulu Kg serta petugas sukarelawan untuk memberi khidmat amal kepada rakyat bagi mewakili Y.B Dato’ Hasan Mohd Ali yang tidak dapat bersama untuk turut menghadirkan diri ketika ini kerana beliau menghadiri 1 program yang penting.

Menurut Nik Rusydiah, lawatan ziarah medic ini telah berjalan pada bulan April baru-baru ini dan bulan ini merupakan fasa ke 2 untuk kita mengunjui rakyat yang kurang upaya, ibu tunggal, warga emas bagi membantu mereka.

Bagi Fasa ke 1, seramai 60 pesakit telah kita kunjungi ke rumah mereka di kawasan Simpang 3, Kg Changkat, Sg Pusu, Bt 8 Gombak yang telah dihadiri oleh Doktor-doktor panel yang mempunyai kepakaran dalam bidang perubatan.

Bagi Fasa ke 2 kawasan yang terlibat adalah di Kg. Kerdas 2 dan 3 . Didapati ramai rakyat yang berstatuskan ibu tunggal dan warga emas telah menerima rawatan percuma.

Katanya lagi, tujuan kita mengadakan lawatan ziarah medic adalah untuk memberi khidmat kepada masyarakat yang tidak berupaya dan tidak berkemampuan. Insya-ALLAH lawatan ziarah ini akan berjalan berterusan daripada 1 tempat ke tempat yang lain di sekitar gombak.

Pn. Fatimah Junin 68thn darpada Kg kerdas3, yang telah menerima rawatan untuk mengubati penyakitnya iaitu Tiroid. Beliau telah mengalami kesakitan ini selama 3bulan. Suaminya (En Abd Aziz Osman, 79thn) pula mengalami Darah Tinggi. Dengan penyakit yang ditanggung ini hati mereka, sering menjadi rungsing dan kadangkala fikiran beliau menjadi buntu.

Menurut Doktor yang telah membuat rawatan keatas Pn. Fatimah, atas kebuntuan yang sering menghantui hati dan jiwanya membuatkan penyakitnya semakin menular. Kini Beliau disahkan oleh Doktor bahawa Biji Mata beliau didapati semakin hari semakin besar berkemungkinan gangguan saraf mata. Salah satu simtom-simptom tiroid juga.

Bagi pihak pengunjung yang telah membuat lawatan ziarah medic ini, terasa juga kesakitan yang dialami oleh Pn. Fatimah. Untuk meringankan bebanan mereka sekeluarga pihak PKM Dun Gombak Setia telah memberikan sumbangan ikhlas dan rawatan percuma.

Semoga bantuan diberi akan meringankan bebanan mereka sesisi keluarga. kepulangan kakitangan PKM, petugas sukarelawan dan Doktor yang mengunjungi membuat hati beliau tersentuh, dan merasa terharu. Kesedihan dan kerisauan dihatinya telah disuntikkan dengan kata-kata semangat oleh Khaulah bagi meneruskan kehidupan.

Harapan pihak kami kepada ahli keluarga mereka agar sabar diatas ujian yang menimpa. Mohon pertolongan daripada ALLAH swt agar diberi kekuatan iman dan keredhaan diatas musibah yang menimpa.

Editor : Khaulah Azwar

PRK Sibu: Petunjuk Jelas Tolak BN

Sesungguhnya perubahan bermula di Sibu, tsunami pilihan raya Semenanjung sudah melanda Sarawak. Paling daramatik, trend sikap politik senyap kalangan pengundi Cina di Hulu Selangor menolak Barisan Nasional (BN) turut melanda hati budi pengundi Cina Foochow Sibu. Segala-galanya terjawab dalam pilihan raya kecil (PrK) Sibu.Tahniah, syabas dan selamat untuk warga Sibu.

Tahniah kepada semua pimpinan, dan petugas Pakatan Rakyat. Syabas kepada DAP kerana kemenangan calonnya, Wong Ho Leng yang berjaya meraih kemenangan dengan peningkatan undi selesa. Ucapan selamat pula kepada seluruh rakyat Sarawak, semoga keputusan PrK Sibu adalah petunjuk jelas betapa rakyat Sarawak telah bersedia melakukan perubahan dalam pilihan raya negeri nanti.
Analisis angka dan peratus

Jadual 1 di bawah adalah gambaran bagi kemenangan DAP yang mewakili Pakatan Rakyat pada pilihan raya kecil (Pr) P.212 Sibu yang diadakan pada 16 Mei 2010. Jadual di bawah juga menjelaskan kedudukan keputusan PrK secara bandingan dengan pilihan raya umum (PRU) pada 8 Mac 2008.



Jadual di atas mempamerkan keputusan pengundian bagi PrK Sibu adalah:
1. Undi BN merosot sebanyak 691 undi
2. Undi DAP bertambah 2,942 undi
3. Perubahan majoriti bagi DAP dari kalah kepada menang 398 undi
4. Pertambahan undi sah sebanyak 1,671 undi atau 1.81 peratus.
5. Petunjuk asas dari PrK Sibu adalah berlaku peningkatan sikap pengundi menolak BN dalam pilihan raya negeri Sarawak akan datang.

Petunjuk menolak BN

Namun begitu, di sebalik analisis angka dan peratus sebenarnya ia menggambar suatu kekecewaan besar Barisan Nasional (BN). Nilai kecewa itu adalah:

1. Bermula dengan keazaman tinggi Perdana Menteri selaku Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Mohd Najib yang disokong kuat oleh kerja keras timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengulangi kemenangan di Hulu Selangor, tetapi ia tidak disambut oleh majoriti pengundi Sibu.

2. Kekecewaan BN juga dapat dilihat apabila DAP yang diserang habis-habisan tidak memberi kesan. Sebaliknya DAP telah mendapat tambahan sebanyak 2,942 undi sehingga berjaya meningkat undi dari kekalahan 3,235 kepada kemenangan 398 undi majoriti. Meskipun berlaku pertambahan jumlah undi sah dari 66.79 peratus (PRU 2008) kepada 68.61 peratus (PrU 2010), namun tambahan itu berpihak kepada DAP.

3. Kekecewaan pihak pemimpin BN juga boleh dilihat sebagai manifestasi sokongan yang merosot rakyat Sarawak kepada igauan 1Malaysia momokan Datuk Seri Najib. Meskipun Datuk Seri Najib melakukan turun padang sampai paling kerap dalam sejarah pilihan raya dan sanggup terlibat dengan upacara agama perarakan Tua Pek Kong. Namun, sikap politik senyap pengundi Cina Foochow telah meleyapkan promosi 1Malaysia di bumi Sarawak.

4. Paling kecewa dan perit untuk diterima oleh pemimpin BN adalah kesan kekalahan di Sibu turut memberi palitan kepada kepimpinan Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud yang paling lama menerajui kerajaan negeri. Petunjuk jelas pengundi Cina yang membentuk 67 peratus daripada 54,695 pengundi Sibu menolak calon SUPP dijangka akan membuat perubahan yang bakal menyebelahi Pakatan Rakyat dalam pilihan raya negeri nanti.

Sama-sama kita tunggu dalam pilihan raya negeri Sarawak nanti (mungkin seawal September atau dilewatkan ke penghujung tahun depan ekoran kekalahan di Subu).

Semoga Tuhan Yang Esa memelihara umatnya yang sentiasa beriltizam dengan kebenaran dan kesabaran di dalam menegak keadilan dan meruntuhkan kemungkaran di bumi.

Oleh:
Wan Nik Wan Yussof
Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan
merangkap Timbalan Pengarah 1 JPN PAS Kelantan

Kerjasama erat PAS-PKR-DAP menangkan Pakatan di Sibu



SIBU, 17 Mei: Kerjasama erat antara PAS, PKR dan DAP tidak boleh dinafikan antara faktor penyumbang kemenangan Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu semalam.

Timbalan Pengarah III Jabatan Pilihanraya PAS Pusat, Dr Siti Mariah Mahmod(gambar) berkata seluruh peringkat bermula dari pimpinan tertinggi ketiga-tiga parti hingga ke peringkat jentera, mempamerkan semangat berpasukan yang tinggi sepanjang kempen di sini.

"Kita sangat berpuas hati dengan keputusan yang kita dapat."Pilihan raya ini kita dapat lihat kerjasama cukup padu dan jitu dalam Pakatan Rakyat," katanya.

Usaha kuat ketiga-tiga jentera parti dalam Pakatan Rakyat ini juga jelasnya turut dirasai calon DAP yang telah menang, Wong Ho Leng dan diakui oleh Setiausaha DAP, Lim Guan Eng sendiri.Dengan keadaan masyarakat Sibu yang kurang terdedah dengan maklumat dan hanya mendengar sebelah pihak.

Kemenangan kali ini dianggap berbaloi dengan usaha yang telah dilakukan jentera Pakatan Rakyat.Ianya juga membuktikan, strategi kempen rumah ke rumah sangat berkesan menangkis tohmahan BN yang meggunakan seluruh saluran yang mereka ada.

"Kalau melihat kepada bendera di rumah-rumah, kita rasa memang kita kalah."Rupa-rupanya mereka tidak mahu dilihat bersama dengan Pakatan Rakyat, tetapi mereka sebenarnya mengundi kita," katanya.

Selain itu, mengulas ringkas kekalahan memalukan BN pula beliau berkata, antara lain dilihat berpunca dari protes kaum Melayu terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.Menurutnya, masyarakat Melayu di beberapa tempat sepeti di Nangka.

Pelawan dan Seduan kecewa dengan layan tidak sama rata Najib yang beberapa kali datang berkempen.Najib, katanya seperti meminggirkan masyarakat Melayu Melanau di situ kerana mungkin yakin mereka pengundi tegar BN.

"Saya belum lihat secara keseluruhan lagi, cuma mungkin pengundi Melayu protes terhadap Najib."Najib datang tiga kali tapi bertemu dengan bukan Melayu dengan menawarkan pelbagai insentif," ujarnya.

Dalam pilihan raya kecil semalam, Wong Ho Leng yang juga Adun Bukit Assek, memperoleh 18,845 undi menewaskan calon BN, Robert Lau Hui Yew, yang mendapat 18,447 undi manakala calon Bebas, Narawi Haron memperoleh 232 undi.

Wednesday, May 12, 2010

Wajah sebenar 1Msia: SUPP Sedia Debat Jika Pas Gugur Al-Quran Sebagai Panduan


Parti Rakyat Bersatu Sarawak bersedia berdebat dengan Pakatan Rakyat hanya jika parti Islam Pas menggugurkan nilai-nilai Islam dari perlembagaannya.

Pengerusi Bahagian Sibu, Datuk Sri Wong Soon Koh berkata pihaknya hanya akan menjawab propaganda 'Negara Islam' yang SUPP sebarkan hanya jika Pas tidak lagi mengangkat Al-Quran sebagai panduan utama parti itu.

Akhbar Borneo Post hari ini melaporkan, SUPP menuntut parti Islam itu menggugurkan Al-Quran jika Pakatan Rakyat mahu mendebatkan isu 'negara Islam'.

Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang semalam mencabar SUPP mendebatkan isu ini, selepas BN didapati menyebarkan propaganda 'Satu Undi Untuk DAP ialah Undi Untuk Pas dan Negara Islam' dalam kempen pilihanraya Sibu.

Papan iklan berbaur hasutan turut dinaikkan di serata pekan Sibu, dengan mesej yang mendakwa, budaya masyarakat bukan Islam akan terhapus jika Pakatan Rakyat diberi peluang di Sarawak.

Di sidang akhbar hari ini, dengan nada yang amat kesal dengan provokasi SUPP ini, Kit Siang menyeru rakyat Sibu untuk menolak politik fitnah yang mengajak kepada permusuhan.

"Saya menyeru rakyat Sibu untuk menghapuskan 'senjata pemusnah' ini kerana ia fitnah sepenuhnya. BN telah menggunakannya di Semenanjung Malaysia, contohnya pada 1999, mereka dakwa tidak lagi boleh makan khinzir, tiada lagi tokong dan tiada lagi sekolah Cina. Ini adalah tidak benar, bahkan dinafikan oleh pemimpin Pas," tegas Kit Siang.

BN yang mewar-warkan agenda 1Malaysia menolak Fasal 3 perkara 1 Perlembagaan Pas, yang menyebut komitmen menyemai nilai murni agama dalam masyarakat Malaysia. BN juga menolak perkara 2 dari Fasal yang sama yang menetapkan komitmen Pas mempertahankan kesucian Islam dari dicabuli pihak tidak bertanggungjawab.

BN juga menuntut Pas supaya meminda Fasal 7 perkara 1 yang menetapkan bahawa panduan utama parti Islam itu adalah kitab suci Al-Quran dan Sunnah, prinsip yang turut dikongsi oleh semua penganut Islam di Malaysia.

SUPP mempropagandakan isu ini dalam usaha untuk menakut-nakutkan masyarakat Kristian supaya membenci Pas dan Pakatan Rakyat. Pemimpin Pakatan Rakyat memandang propaganda ini dengan serius, terutamanya mengira beberapa jam sahaja lagi menuju hari berdarah 13 Mei.

"BN masih lagi melihat ke belakang, walhal kita menuju ke hadapan. Pakatan Rakyat menunjukkan pendirian yang tegap dan tegas dalam semua isu terutamanya isu kalimah Allah. Yang paling utama, soal Negara Islam, bukan agenda Pakatan Rakyat. Apa yang kita mahu adalah mewujudkan kerajaan yang adil, saksama, bertanggungjawab dan bebas rasuah," jelas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Dzukefly Ahmad.

"DAP tidak sembunyikan apa-apa, kerana itu kita amat bersedia untuk debat terbuka. BN tanya mengapa kita takut pada 1Malaysia. Baik, saya cabar mereka untuk turun dan kita debat isu 1Malaysia. Ada berani?" soal Kit Siang.

Penganut Kristian membentuk 53 peratus dari jumlah pengundi berdaftar di Sibu. Tempoh kempen setakat ini menyaksikan Pas dan DAP giat merapati gereja dalam usaha menjalin hubungan yang lebih erat antara masyarakat Kristian dan Islam di sini.

Usaha ini adalah kesinambungan kempen Pakatan Rakyat untuk membentuk kerajaan baru, yang menjamin keadilan untuk semua dan bebas diskriminasi agama.

Kempen ini menyaksikan sokongan kepada Pakatan Rakyat meningkat 46 peratus, memaksa SUPP mengeluarkan amaran kepada Pas untuk tidak membawa politik Semenanjung ke Sarawak.

"Pakatan amat jelas dalam rangka dasar bersama. Kita tahu kita berdiri atas prinsip apa, untuk apa prinsip ini, dan bagaimana untuk mencapainya. Semua yang disebutkan dalam Model Ekonomi Baru bawaan Najib adalah idea yang menarik, namun bila ia memerlukan iltizam politik, Pakatan Rakyat jauh lebih baik," tegas Dr Dzulkefly.

Polis Enggan Mohon Maaf, Keluarga Amilnulrashid Terus Tindakan Perundangan

SHAH ALAM 12 MEI: Keengganan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar memohon maaf kepada keluarga Aminulrashid Amzah, remaja berusia 15 tahun yang mati ditembak polis, hanya mendorong keluarga mangsa meneruskan tindakan perundangan.

"Kita kemungkinan untuk ambil tindakan kepada IGP dengan CPO sebab masih gagal dan enggan memohon maaf dan mengaku percakapan mereka tentang isu ini adalah salah," kata Lateffa Koya kepada TV Selangor.

Lateffa Koya adalah antara peguam keluarga mangsa.

Berikutan kenyataan terbaru kedua-dua pegawai polis ini, beliau berkata, keluarga Allahyarham sedang mempertimbang untuk mengambil tindakan perundangan.

Lateffa Koya juga kesal kerana kedua-dua pegawai atasan polis ini, membuat kenyataan sembarangan tanpa bersandarkan bukti.

"Kita tak faham macam mana mereka boleh cakap macam itu. Mereka tidak boleh cakap sewenang-wenangnya. Sekurang- kurangnya kena tunjuk bukti, mana parangnya? Mana benda-benda yang dia kata?

"Kalau semua benda itu tidak muncul dan tak dapat dibuktikan, maksudnya ini adalah keterangan palsu," katanya lagi.

Selepas pendakwaan Koperal Jenain Subi atas tuduhan menyebabkan kematian Aminulrashid, Musa Hassan dan Khalid Abu Bakar terus menolak permintaan keluarga mangsa untuk memohon maaf kerana melabel Aminulrashid sebagai “penjenayah”.

Malah, mereka tetap mempertahankan kenyataan mereka atas alasan perbuatan melabel Aminulrashid sebagai penjenayah yang disyaki, bukan satu kesalahan.

Mereka juga enggan memohon maaf walaupun diminta keluarga Aminulrashid, dengan alasan bimbang ia akan memberi implikasi perundangan.

Aminulrashid sebelum ini didakwa sebagai memiliki parang dalam kereta selain didakwa mengundurkan kereta hingga hampir melanggar kenderaan polis pada malam kejadian.

Tengku Marjan Minta Hishammuddin Beri Penjelasan Dakwaan Raja Perempuan

KOTA BARU: Kekanda Sultan Kelantan, Tengku Merjan Almarhum Sultan Yahya Petra meminta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberi penjelasan berhubung dakwaan Raja Perempuan Kelantan bahawa baginda dikasari polis.

Ini berikutan laporan sebuah akhbar tabloid berbahasa Melayu yang memetik sumber Istana Mahkota bahawa, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid dikasari anggota polis di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini pada Selasa lepas ketika Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra dimasukkan ke HUSM untuk rawatan susulan masalah jantung. Tengku Merjan berkata, pendedahan gambar kecederaan Raja Perempuan Kelantan yang disiarkan akhbar itu hari ini perlu dijelaskan oleh polis untuk mengetahui keadaan sebenar yang berlaku.

"Saya mengharapkan Hishammuddin dapat memberi penjelasan segera insiden anggota polis (didakwa) mengasari Tengku Anis," katanya ketika dihubungi Bernama.

Sultan Kelantan dibawa pulang ke Istana Mahkota Isnin lepas setelah menjalani rawatan susulan di HUSM seminggu lepas dan diletakkan di bawah pengawasan 10 doktor panel.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Amir Hamzah Ibrahim menafikan dakwaan laporan akhbar berkenaan bahawa Tengku Anis dikasari polis pada Selasa minggu lepas.

Beliau berkata, pihak polis tidak pernah mengasari Raja Perempuan Kelantan dan tiada insiden seperti itu dilaporkan.Amir Hamzah menegaskan dan mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa pihak polis tidak pernah mengasari kerabat Diraja Kelantan.

"Jika berlaku sebarang insiden seharusnya mereka membuat laporan polis agar pihak polis boleh segera menyiasat," katanya ketika dihubungi. - BERNAMA

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI