Sunday, May 16, 2010
Kerjasama erat PAS-PKR-DAP menangkan Pakatan di Sibu
Wednesday, May 12, 2010
Wajah sebenar 1Msia: SUPP Sedia Debat Jika Pas Gugur Al-Quran Sebagai Panduan
Parti Rakyat Bersatu Sarawak bersedia berdebat dengan Pakatan Rakyat hanya jika parti Islam Pas menggugurkan nilai-nilai Islam dari perlembagaannya.
Pengerusi Bahagian Sibu, Datuk Sri Wong Soon Koh berkata pihaknya hanya akan menjawab propaganda 'Negara Islam' yang SUPP sebarkan hanya jika Pas tidak lagi mengangkat Al-Quran sebagai panduan utama parti itu.
Akhbar Borneo Post hari ini melaporkan, SUPP menuntut parti Islam itu menggugurkan Al-Quran jika Pakatan Rakyat mahu mendebatkan isu 'negara Islam'.
Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang semalam mencabar SUPP mendebatkan isu ini, selepas BN didapati menyebarkan propaganda 'Satu Undi Untuk DAP ialah Undi Untuk Pas dan Negara Islam' dalam kempen pilihanraya Sibu.
Papan iklan berbaur hasutan turut dinaikkan di serata pekan Sibu, dengan mesej yang mendakwa, budaya masyarakat bukan Islam akan terhapus jika Pakatan Rakyat diberi peluang di Sarawak.
Di sidang akhbar hari ini, dengan nada yang amat kesal dengan provokasi SUPP ini, Kit Siang menyeru rakyat Sibu untuk menolak politik fitnah yang mengajak kepada permusuhan.
"Saya menyeru rakyat Sibu untuk menghapuskan 'senjata pemusnah' ini kerana ia fitnah sepenuhnya. BN telah menggunakannya di Semenanjung Malaysia, contohnya pada 1999, mereka dakwa tidak lagi boleh makan khinzir, tiada lagi tokong dan tiada lagi sekolah Cina. Ini adalah tidak benar, bahkan dinafikan oleh pemimpin Pas," tegas Kit Siang.
BN yang mewar-warkan agenda 1Malaysia menolak Fasal 3 perkara 1 Perlembagaan Pas, yang menyebut komitmen menyemai nilai murni agama dalam masyarakat Malaysia. BN juga menolak perkara 2 dari Fasal yang sama yang menetapkan komitmen Pas mempertahankan kesucian Islam dari dicabuli pihak tidak bertanggungjawab.
BN juga menuntut Pas supaya meminda Fasal 7 perkara 1 yang menetapkan bahawa panduan utama parti Islam itu adalah kitab suci Al-Quran dan Sunnah, prinsip yang turut dikongsi oleh semua penganut Islam di Malaysia.
SUPP mempropagandakan isu ini dalam usaha untuk menakut-nakutkan masyarakat Kristian supaya membenci Pas dan Pakatan Rakyat. Pemimpin Pakatan Rakyat memandang propaganda ini dengan serius, terutamanya mengira beberapa jam sahaja lagi menuju hari berdarah 13 Mei.
"BN masih lagi melihat ke belakang, walhal kita menuju ke hadapan. Pakatan Rakyat menunjukkan pendirian yang tegap dan tegas dalam semua isu terutamanya isu kalimah Allah. Yang paling utama, soal Negara Islam, bukan agenda Pakatan Rakyat. Apa yang kita mahu adalah mewujudkan kerajaan yang adil, saksama, bertanggungjawab dan bebas rasuah," jelas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Dzukefly Ahmad.
"DAP tidak sembunyikan apa-apa, kerana itu kita amat bersedia untuk debat terbuka. BN tanya mengapa kita takut pada 1Malaysia. Baik, saya cabar mereka untuk turun dan kita debat isu 1Malaysia. Ada berani?" soal Kit Siang.
Penganut Kristian membentuk 53 peratus dari jumlah pengundi berdaftar di Sibu. Tempoh kempen setakat ini menyaksikan Pas dan DAP giat merapati gereja dalam usaha menjalin hubungan yang lebih erat antara masyarakat Kristian dan Islam di sini.
Usaha ini adalah kesinambungan kempen Pakatan Rakyat untuk membentuk kerajaan baru, yang menjamin keadilan untuk semua dan bebas diskriminasi agama.
Kempen ini menyaksikan sokongan kepada Pakatan Rakyat meningkat 46 peratus, memaksa SUPP mengeluarkan amaran kepada Pas untuk tidak membawa politik Semenanjung ke Sarawak.
"Pakatan amat jelas dalam rangka dasar bersama. Kita tahu kita berdiri atas prinsip apa, untuk apa prinsip ini, dan bagaimana untuk mencapainya. Semua yang disebutkan dalam Model Ekonomi Baru bawaan Najib adalah idea yang menarik, namun bila ia memerlukan iltizam politik, Pakatan Rakyat jauh lebih baik," tegas Dr Dzulkefly.
Polis Enggan Mohon Maaf, Keluarga Amilnulrashid Terus Tindakan Perundangan
Tengku Marjan Minta Hishammuddin Beri Penjelasan Dakwaan Raja Perempuan
Monday, May 10, 2010
Sibu, Jom Ubah!
'Undi DAP bererti undi untuk negara Islam' muncul di Sibu
Anwar Turun Padang Temui Masyarakat Iban
Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim melanjutkan kempen Sibu Memimpin Perubahan Sarawak ke kampung-kampung Iban di serata Sibu.
Mantan Timbalan Perdana Menteri itu, bersama-sama calon Pakatan Rakyat Wong Ho Leng hari ini melawat rumah panjang Bawang Assan dan menikmati makan tengahari bersama penduduk setempat.
Bawang Assan terletak di barat bandar Sibu, berhampiran perkampungan Cina Sungai Bidut. Perjalanan sejauh 30 kilometer jika berkereta dari pusat bandar merentasi Jambatan Igan.
Tarikan utama Bawang Assan adalah 8 rumah panjang Iban, yang tertua darinya berusia 100 tahun. Beberapa rumah panjang terletak di tebing Sungai Bawang Assan yang mengalir ke Sungai Rajang.
Sebahagian besar penduduk bekerja di bandar Sibu atau di luar bandar. Sebahagian lainnya menjana pendapatan tambahan sebagai nelayan kecil-kecilan - menangkap udang sebesar ibu jari dan ikan di sungai yang teruk dicemari.
Ketibaan Anwar Ibrahim dan krew TV Selangor disambut dengan kemesraan oleh penduduk setempat.
"Saya datang untuk satu tujuan, merayu saudara semua supaya mengundi untuk calon yang berani bersuara untuk kepentingan masyarkat Iban. Pilih calon yang tidak berundur bila ditekan, yang tidak tunduk bila diancam, yang tidak membisu bila hak saudara dirampas. Calon itu adalah calon kita, Wong Ho Leng," kata Anwar disambut dengan tepukan gemuruh warga rumah panjang.
Anwar meyampaikan mesej yang jelas, bahawa Pakatan Rakyat membawa politik baru untuk Malaysia, dimana kepentingan rakyat mengatasi politik indidivu dan keluarga-keluarga kaya.
Iban, Melayu, Cina, India dan Kadazan mendapat keadilan dan layanan yang sama. Tanah-tanah yang mereka diami akan dihormati sebagai hak mutlak mereka.
Beliau dukacita melihat masih ramai masyarakat Iban yang hidup dalam kepayahan. Sungai yang menjadi nadi kepada kehidupan mereka teruk tercemar. Peluang pendidikan sempit. Elektrik dan air terbengkalai.
"Kekayaaan negeri harus kita bagi pihak Iban, pihak Cina, pihak Melayu-Melanau, India dan Orang Asli, bukan untuk diserahkan pada orang-orang kaya. Kontrak, tanah, balak, minyak habis semua sudah diambil kerajaan BN," kata Anwar lagi, dengan anggukan tanda setuju dari semua yang mendengarnya.
Anwar berkata kekayaan pemimpin BN seperti keluarga Taib Mahmud diketahui ramai. Kekayaan hasil bumi Sarawak juga diketahui di seluruh dunia. Begitu juga kemiskinan rakyat Sarawak, khususnya masyarakat Iban.
"Bagi orang Iban, tanah ini adalah nyawa. Kalau ikut BN, kita punya nyawa (tanah) pun dia sudah angkat bagi pada orang kaya," kata Anwar.
Bagi pemimpin reformasi ini, masa perubahan sudah tiba, dan penentu samada Sarawak berubah atau tidak kini dalam tangan masyarakat Iban di Sibu.
"Tengok apa yang kita ada sekarang ini. Tanya berapa BN bayar kita, tanya anak ada kerja atau tidak. Di kempen sebelum ini, orang Iban kata Pakatan Rakyat belum tahu memerintah. Sekarang kita sudah perintah beberapa negeri. Di Sarawak, BN sudah perintah berpuluh tahun. Di Selangor, kita perintah dua tahun, kita sudah bagi air percuma. Di sini, yang percuma adalah air sungai di tepi itu (sambil tunjukkan pada sungai di tebing rumah panjang)," kata Anwar disambut gelak tawa hadirin.