Sunday, August 16, 2009

Jaga, kita di bulan puasa- Perang Badar berlaku dlm bln ramadhan, jgn jdkan puasa utk tidak berjuang ke jln ALLAH.. SLMT BERJUANG!!!


Mohd Nor Yahya
Sat | Aug 15, 09 | 3:40:06 pm MYT
ImagePENGKALAN CHEPA, 15 Ogos: Para juru kempen dalam pilihan raya kecil Permatang Pasir digesa menghormati bulan Ramadan sepanjang kempen nanti dan mengawal diri agar tidak terjejas puasa masing-masing.

Antaranya mereka diminta tidak menyerang pribadi apatah lagi membuat fitnah kerana perbuatan begitu boleh menjejaskan puasa masing, kata Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Ahmad Yaakub.

�Di pihak Dewan Ulamak berharap pilihan raya kali ini tidak akan berlaku serang menyerang secara peribadi, tetapi ia dilakukan berdasarkan perjuangan parti masing-masing dan keberkatan bulan Ramadhan seharusnya dijaga secara teratur,�ujar beliau.

Puasa adalah ibadah penting dalam Islam. Semasa berpuasa, umat Islam ditegah dari melakukan perbuatan keji termasuklah mengumpat apatah lagi memfitnah orang lain.

Pilihan raya kecil Permatang Pasir akan berjalan dalam bulan Ramadan kali ini yang akan bermula Sabtu depan.

Dewan Ulamak PAS Pusat telah merangka pelbagai program untuk membantu calon PAS dalam pilihan raya kecil N11 Dun Permatang Pasir walaupun ia berlaku dalam bulan Ramadhan, kata Ahmad yang juga timbalan MB Keantan.

Menurut Ahmad, Lajnah Politik Dewan Ulamak yang bersidang pada 8 Ogos baru-baru ini telah menetapkan program seperti ziarah dari rumah kerumah, menyampaikan tazkirah di setiap kawasan peti undi dan membantu jentera parti di peringkat pemuda dan muslimat.

Beliau juga berkata jentera Dewan Ulamak yang akan turun kali ini membantu PRK Permatang Pasir akan ditumpukan kepada bertemu dengan pengundi.

Menyentuh pilihanraya yang diadakan pada bulan Ramadhan, beliau berkata, Islam tidak menegah mana-mana aktiviti harian yang dilakukan asalkan ia boleh membawa kepada kebaikan masyarakat.

�Zaman Rasulullah dulupun pernah berlaku perang Badar dalam bulan Ramadhan dan kekuatan umat Islam ternyata bertambah kuat dalam bulan Ramadhan dan kita juga berharap jentera parti nanti tidak menjadikan alasan berpuasa sebagai untuk mengurangkan aktiviti kempen nanti,�katanya.

�Memandangkan kempen akan berlaku dalam bulan Ramadhan, pihak Ulamak akan menjadikan program bertadarus dan menyampaikan tazkirah sebagai program utama nanti,�katanya lagi.

PAS yang sentiasa berjuang dalam menegakkan hukum-hukum Allah akan menjadikan pilihanraya kecil ini sebagai landasan untuk menyebarkan dasar perjuangan parti dan pendedahan kepada masyarakat bahawa Al-Quran dan Sunnah adalah dasar perjuangan yang dibawa oleh PAS. _

Menentang musuh ALLAH laungkan TAKBIR..ALLAHHUAKBAR!!!..TEGAKKAN ISLAM AGAMA TERCINTA,
AYUH KITA JULANG KEMBALI ISLAM PASTI GEMILANG...




Terkini Permatang Pasir


Zulkifli Sulong
Mon | Aug 17, 09 | 9:02:56 am MYT

Dikemaskini 10.20 pagi Calon Bebas dan pakar motivasi Kamarul Ramizu Idris, yang pernah bertanding di Bukit Gantang dan Penanti tidak dapat menyerahkan borang pencalonan kerana lewat dan hadir selepas pukul 10.00 pagi tadi.

10.05 pagi

Suasana sekitar penamaan calon hari ini, diwarnai dengan pemakaian topeng 'H1N1' oleh kebanyakan pemimpin dan penyokong kedua-dua parti - PAS dan Barisan Nasional bagi mengelak angkitan wabak influenza A itu.

Ini termasuklah para petugas terdiri daripada anggota pasukan keselamatan, kakitangan pilihan raya dan pengamal media juga mengenakan topeng perlindungan pernafasan sebagai langkah berjaga-jaga.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof semalam meminta semua parti yang bertanding mengawal penyokong iringan bagi mengawal ketenteraman dan mengelak jangkitan wabak itu..

9.45 pagi

Calon PAS, Salleh Man pula tiba bersama para pemimpin parti tersebut dan Pakatan Rakyat.Ketua Umum PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim tiba kira-kira jam 8.45 pagi. Turut hadir sama ialah Naib Presiden, Salahuddin Ayub dan Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali dan

Rohaizat menyerahkan borang pencalonnya pada jam 9.03 pagi ini, diikuti oleh Salleh selepas itu.

9.20 pagi

Polis menganggarkan terdapat kira-kira lebih 5,000 orang hadir untuk menyokong calon PAS, Ustaz Mohd Salleh Man, berbanding Barisan Nasional (BN), yang mempunyai anggaran kira-kira 800 penyokong sahaja.

9.15 pagi

Mursyildul Am dan Presiden PAS tiba ke pusat penamaan calon. Sebelum itu, calon PAS dan rombongan masuk ke pusat penamaan calon. Kedua-dua mereka dikatakan tersekat di tengah-tengah penyokong yang ramai sebelum ini. Lim Guan Eng juga tiba ke pusat penamaan calon. Beliau diiringi lain-lain pemimpin DAP, PKR dan PAS.

Jam 8.52 pagi

Calon BN, Rohaizat Othman, memasuki kawasan penamaan calon di dewan Institut Kemahiran Belia Negara IKBN Bukit Mertajam dan menyerahkan borang pencalonannya.


Nik Aziz, Hadi, Anwar dan Guan Eng iringi calon PAS


Sun | Aug 16, 09 | 9:42:38 pm MYT
PERMATANG PAUH, 16 Ogos: Menjelang hari pernamaan calon pilihan raya kecil Permatang Pasir esok. Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng antara pimpinan utama Pakatan yang dijangka akan mengiringi calon PAS Ustaz Saleh Man esok.

Selain mereka, kesemua pemimpin PAS di peringkat pusat yang lain di samping para pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat juga dijangka akan hadir perarakan calon tersebut.

Majlis esok akan bermula jam 7.45 pagi di mana kesemua penyokong Pakatan Rakyat diminta berkumpul di Simpang Tiga Berapit sebelum berarak ke Jalan Mengkuang.

Penempatan itu adalah seperti yang dipersetujui pada perbincangan antara wakil-wakil calon bertanding dengan pihak polis. Manakala pusat penamaan calon adalah dewan Institut Kemahiran Belia Negara IKBN Bukit Mertajam.

Setiausaha PAS kawasan Permatang Pauh Ahmad Kamal Bin Ahmad ketika ditemui memberitahu, PAS negeri itu menganggarkan lebih 10,000 penyokong Pakatan Rakyat akan hadir esok.

Beliau turut memberi jaminan perhimpunan esok juga akan berlangsung aman. Bagaimanapun bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini, 300 petugas Unit Amal akan ditempatkan mengawal keadaan.

Semalam Pegawai Turus Trafik Pulau Pinang DSP Wari Kiew memberitahu, dua jalan utama ke pusat penamaan ditutup kepada lalulintas iaitu Jalan Berapit di hadapan perkuburan Cina Berapit dan simpang tiga Jalan Berapit/Jalan Mengkuang mulai pukul 6 pagi hingga 3 petang esok.

Sehubungan itu kesemua penyokong Pakatan Rakyat diminta merancang perjalanan dan mengikut arahan pucuk pimpinan._mna_


Friday, August 14, 2009

Permatang Pasir: Erti kemenangan untuk Pakatan

PERMATANG PASIR, 14 Ogos : Bagi PAS, kemenangan di Permatang Pasir nanti adalah untuk orang Melayu dan Islam. Bagi DAP, kemenangan nanti bererti sokongan kepada kerajaan pimpinan Setiausaha Agungnya, Lim Guang Eng di negeri itu. Bagi PKR, kemenangan di sini bererti sokongan terus menerus kepada anggota Parlimennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Inilah perspektif yang ada kepada semua parti-parti dalam Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil Permatang Pasir nanti.

Perspektif inilah yang bakal menyatukan mereka dengan satu tujuan iaitu memenangkan calon PAS yang akan mewakili Pakatan Rakyat melawan calon Umno yang akan mewakili Barisan Nasional (BN).

Walaupun siapapun mewakili PAS, perpekstif ini jelas di kalangan pemimpin Pakatan Rakyat yang berbengkel sehari suntuk semalam di Petaling Jaya.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof menyatakan bahawa kemenangan Dewan Undangan Negeri (Dun) N11 Permatang Pasir adalah kemenangan bagi orang Melayu dan umat Islam di Pulau Pinang.

Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, adalah menjadi keperluan supaya kerusi Dun Permatang Pasir kekal kemenangannya di tangan PAS kerana ia adalah satu keperluan walaupun hanya dengan satu kerusi yang ada di Pulau Pinang.

"Dengan kemenangan tersebut walaupun dengan satu kerusi yang ada maka PAS dapat memberi pandangan, teguran dan memberi pembelaan kepada nasib orang Melayu dan umat Islam khususnya di negeri ini.

Image"Perkara ini bukan hanya setakat amalan soleh sahaja malah ia adalah suatu keperluan untuk membela dalam banyak perkara dan isu yang berkaitan dengan orang Melayu dan umat Islam di Pulau Pinang.

"Tetapi sekiranya ia di menangi oleh pihak yang lain maka mereka tidak dapat memberi pembelaan apa-apa kepada orang Melayu dan umat Islam kerana mereka itu bukannya parti yang memerintah di negeri Pulau Pinang," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ceramah di Masjid Batu, Kampung Pertama, Permatang Pauh iaitu dalam kawasan pilihan raya Permatang Pasir.

Tidak boleh 'over confident'

PAS juga mengarahkan seluruh jenteranya meletakkan keputusan Pilihan Raya Umum 2004 sebagai kayu ukur yang hanya menang 500 lebih kerusi berbanding PRU 2008 dengan memperolehi lebih 5000 majoriti undi. Image

Demikian dinyatakan Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad pada satu pertemuan dengan kesemua jentera kempen bagi Pilihan Raya Kecil Permatang Pasir malam tadi.

"Kita turun bukan dalam keadaan selesa. Kita mesti turun dengan semangat 2004 bukan 2008. Kita tidak boleh 'over confident' sangat," ujarnya kepada seluruh jentera.

Oleh itu katanya, jentera PAS perlu bekerja kuat menggunakan segenap ruang sepanjang tempoh berkempen untuk menarik pengundi baru dengan tidak mengabaikan pengundi sedia ada.

Melihat kepada senario dan politik semasa, PAS yakin isu pengkhianat melayu akan terus dicanang habis habisan oleh Umno BN pada pilihan raya kali ini.

"Kita yakin isu pengkhianat melayu akan dimainkan Umno BN, sebab itu kita perlu bersedia awal berdepan dengan serangan itu," tambah Ustaz Idris. Image

Dalam pada itu, Majlis pengumuman calon PAS bagi pilihanraya kecil N.11 Permatang Pasir akan diumumkan oleh Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang jam 9 malam ini dalam satu majlis yang akan berlangsung di Pusat Khidmat DUN Permatang Pasir.

Dijangka kesemua pemimpin utama pakatan rakyat akan hadir kecuali Penasihat Parti KeADILan Rakyat, Dato' Seri Anwar Ibrahim kerana mempunyai urusan di luar negara.

Tinjauan wartawan ke tapak majlis pada malam ini mendapati, persiapan rapi sedang giat dijalankan oleh jentera khususnya bagi menerima kehadiran ramai penyokong tempatan dan dari luar. - azm _


Thursday, August 13, 2009

Pengkhianat sebenar adalah Muhyidin?

Ali Hashim
Fri | Aug 14, 09 | 7:56:44 am MYT

PERMATANG PAUH, 14 Ogos: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Seri Nizar Jamaluddin menyelar pemimpin Umno yang menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pengkhianat kerana pengkhianat sebenar adalah Umno dan Muhyidin Yassin adalah salah seorang darinya.

Ini kerana beliau dan Umnolah yang diberikan mandat untuk menjaga kepentingan agama, bangsa dan negara selama ini.

Nizar tidak menyebut secara jelas tetapi dipercayai kerana peranan Muhyidin dalam hubungan antara Malaysia dan Singapura serta kedudukan orang Melayu di Johor.

"Umno dan Barisan Nasional adalah parti yang telah mengkhianati orang Melayu dan Umat Islam dalam negara ini. Mereka telah mengkhianati amanah dan tanggungjawab yang sepatutnya mereka laksanakan sebagai pemimpin dan khalifah di muka bumi ini.

"Sebagai pendokong amanah mereka sepatutnya adil tanpa mengkhianati dalam apa jua aspek. Tapi kita lihat bagaimana sikap dan tindakan mereka apabila adanya bantahan dan rakyat tidak menyokong kepimpinan mereka maka amanah yang sepatutnya mereka laksanakan itu mereka kesampingkan walaupun yang mengharapkan sokongan daripada mereka itu adalah orang Melayu dan umat Islam sendiri."

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyidin Yassin memulakan serangan ke atas Anwar dan menyifatkan beliau pengkhianat. Ia dibuat menjelang pilihan raya kecil Permatang Pasir, Dun yang terletak dalam kawasan Parlimen Anwar iaitu Permatang Pauh.

Ia juga dibuat serentak dengan serangan berterusan terhadap Pakatan Rakyat khasnya dalam usaha yang dilihat sebagai mahu memecahkan hubungan antara parti-parti itu.

Ini kerana, Pakataan dilihat sebagai cabaran utama kepada BN dan Anwar adalah pemimpin utamanya.

Nizar yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang berkata Umno dan Barisan Nasional perlu sedar bahawa rakyat sudah tidak menyokong mereka lagi untuk terus mentadbir negara ini.

"Sehubungan dengan itu sekali lagi dalam pilihan raya kecil yang kelapan dalam negara yang akan diadakan selepas Penanti baru-baru ini, Umno dan Barisan Nasional harus diberi pengajaran dan kesedaran kepada mereka di kerusi Permatang Pasir pula bahawa rakyat sudah tidak memerlukan mereka untuk meneruskan perjuangan sebagai pemerintah dalam negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ceramah dalam majlis 'Sepetang Bersama Menteri Besar Pakatan Rakyat Negeri Perak' anjuran Dewan Muslimat kawasan Permatang Pauh. _

Hassan Ali, Ronnie Liu sepakat isu 'Arak' selesai

Hazayani & Dzulfikar Mashoor| Foto Wan Zahari
Thu | Aug 13, 09 | 2:49:57 pm MYT

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Hrkh) - Pesuruhjaya PAS Selangor Dato' Dr Hassan Ali bersama Exco DAP Ronnie Liu menyatakan kata sepakat isu penjualan Arak dianggap sudah selesai.

Kedua-dua mereka dilihat berjabat tangan dan berdamai secara terbuka di satu sidang media bersama di Tropicanna dekat sini petang tadi.

Dalam kenyataan kedua-dua belah pihak, mereka bersetuju bahawa penjualan arak dibenarkan bagi orang bukan Islam.

Namun ianya mesti dikawal dan tidak dibenarkan kepada orang Islam. Dalam masa yang sama, difahamkan, kedua-duanya bersetuju bahawa tidak ada permit baru akan dikeluarkan bagi tujuan penjualan minuman beralkohol itu.

Turut hadir di sidang media yang dibuat sejurus selepas Seminar Pakatan Rakyat di Tropicana, ialah Penasihat KeADILan Dato' Seri Anwar Ibrahim, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung PAS Dato' Mustafa Ali beserta barisan pimpinan parti masing-masing.
Image

Dalam sidang media itu Anwar menyatakan bahawa penubuhan Jawatankuasa Displin Pakatan Rakyat akan ditubuhkan di peringkat pusat bagi memantapkan lagi dasar dan pelan tindakan pemimpin Pakatan Rakyat.

Seminar itu juga adalah bertujuan memperkukuhkan Pakatan Rakyat sekaligus cuba menangkis pelbagai tohmahan dan serangan 'pyswar' yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) dan Umno mutakhir ini. - azm

Pergi tak Kembali..Al-Fateha Buat Allahyarham Asri Ibrahim..

kemaskini 4.35pm Pemimpin Rabbani, Mohamad Asri Ibrahim, 40, meninggal dunia dalam perjalanan ke Pusat Perubatan Pantai (PMC), Kuala Lumpur kira-kira jam 11 pagi kerana sakit jantung.

Penyanyi utama kumpulan itu pengsan kira-kira 10.30 pagi setelah 20 minit menyertai program Syahadah musim kelima di Angkasapuri dan seterusnya dikejarkan ke hospital swasta itu.

Menurut Mohd Asri Ubaidullah, seorang anggota Rabbani yang ditemui di hospital itu, allahyarham mengalami muntah-muntah dan mengadu sakit sejak Subuh tadi.

Allahyarham kemudian mengambil susu, madu dan limau untuk mengurangkan kesakitan tersebut, tambahnya.

Sewaktu tiba di stesen RTM untuk program tersebut, Asri sudah dalam keadaan lemah tetapi berkeras ingin menjayakan rakaman program tersebut - yang akan disiarkan pada bulan Ramadhan tidak lama lagi.

"Pada kira-kira jam 10.30 beliau jatuh pengsan. Tapi ambulans tiba agak lewat, kira-kira 20 minit selepas itu. Apabila sampai ke hospital beliau sudah disahkan meninggal dunia," kata Mohd Asri.

Seorang lagi anggota Rabbani, Mohamad Afandi Shahbudin, berkata jenazah beliau akan dikebumikan di Bukit Lancong dekat Shah Alam petang ini.

Seorang saudara angkat allahyarham Shariman Wahab, berkata beliau antara individu terakhir yang dihubungi oleh allahyarham, yang mengadu berasa letih dan sedih dalam perbualan telefon mereka pagi ini.

Menurutnya lagi, allahyarham pernah tinggal bersama keluarganya di Taman Datuk Harun, Petaling Jaya selama kira-kira 15 tahun sebelum ini.

Adik ipar allahyarham Adha Buyong dilaporkan berkata Asri menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis.

Ibu allahyarham, yang berkerusi roda, kelihatan masuk ke Hospital Pantai, jam 1 tengah hari tadi, diikuti ahli keluarga lain termasuk balu allahyarham Haliza Shahzan, 38.

Sebelumnya, turut menziarahi jenazahnya di situ, Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahya bersama pegawai-pegawai Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan serta rakan-rakan artis termasuk Amy Search, Yassin dan Nash.

Penyanyi lagu 'Pergi tak kembali' itu lahir pada 3 Ogos 1969 di Klang, Selangor dan menyertai Rabbani sejak ia ditubuhkan pada 1 Mac 1997 dengan dianggotai lapan lagi anggota.

Beliau, yang mempunyai enam anak, sebelum itu bersama satu lagi kumpulan nasyid terkenal Nadamurni.

Selain Asri dan Mohd Asri, kumpulan nasyid itu turut disertai Azadan Abdul Aziz, Muhammad Luqman Abd Aziz, Muhammad Rithauddeen Yaakob, Mohamad Afandi Shahbudin, Ahmad Shafie, Nazrul Azhar Tamrin dan Zulkiflee Azman.

Lebih 12 tahun dalam industri ini, Rabbani menghasilkan 19 album, antaranya Arah: Dari Mana Ke Mana (1997), Pergi Tak Kembali (1999),Intifada (2000), Yalla Beena (2004) dan yang terbaru Nostalgia Nadamurni.

Allahyarham dalam coretan terakhir di blognya (asrirabbani.blogspot.com) mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan yang menjayakan konsert terakhirnya di Stadium Malawati, Shah Alam, 28 Februari lalu.

Pencapaian kumpulan itu, yang bernadikan Asri, termasuklah beberapa anugerah utama industri muzik - album nasyid terbaik selama tiga tahun dan album terbaik (2001).


SIMFONI KASIH TAUTAN HATI