Monday, January 17, 2011

Reaksi Pemimpin Wanita: Wanita PR Optimis Kemampuan Cikgu Normala


LABIS: Ketua Dewan Muslimat PAS, Noridah Salleh optimis bahawa calon wanita yang diletakkan untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang mampu untuk memberikan saingan kepada calon Barisan Nasional(BN) nanti.

Mengakui ia bukan tugas mudah, namun katanya wanita dalam Pakatan Rakyat akan sama-sama berusaha untuk memenangkan kerusi yang menjadi pintu masuk Pakatan Rakyat di Johor.

"Ini bukanlah sesuatu yang mudah seperti yang dikatakan oleh pimpinan-pimpinan sebentar tadi tetapi Insya-Allah pihak kami akan mengembeling tenaga dan usaha kita untuk mencapai kemenangan ini," katanya pada sidang media selepas pengumuman calon Tenang, di sini, malam tadi.

Normala Sudirman,37, yang lebih dikenali sebagai Cikgu Mala adalah guru lulusan Kolej Perguruan Tuanku Bainun, Pulau Pinang dan bertugas di Sekolah Kebangsaan LKTP Kemelah, Segamat, namun meletakkan jawatan beliau baru-baru ini kerana undang-undang pilihan raya melarang kakitangan kerajaan bertanding dalam pilihan raya.

Beliau yang dilahirkan pada 6 Jun 1973 merupakan Ketua Muslihat PAS Labis,dan tidak pernah bertanding dalam pilihan raya sebelum ini.

Sementara itu, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin berkata, pemilihan calon wanita di Tenang membuktikan bahawa Pakatan Rakyat bukan hanya sebuah gagasan yang mengutamakan perpaduan kaum malah sentiasa memberikan pengiktirafan kepada kaum wanita.

"Ini menunjukkan bahawa Pakatan Rakyat apabila memilih Normala sebagai calon dalam DUN Tenang iaitu seorang wanita, Pakatan Rakyat telah melepasi sempadan perkauman dan hari ini Pakatan Rakyat telah membuktikan bahawa kita telah melepasi garisan gender," kata Zuraida.

Manakala itu, Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff pula berpandangan, pemilihan Normala sebagai calon memberikan gambaran bahawa PAS sentiasa mempunyai wajah baru yang berkebolehan untuk diketengahkan dalam arena politik negara.

"Melihatkan perkara ini ia mencerminkan PAS tidak ketandusan calon yang mana kita mempunyai ramai muka-muka baru berkaliber dan kita yakin dengan kemenangan kita di DUN Tenang ini nanti membawa nafas baru dalam Dewan Undangan Negeri Johor, membuktikan muslimat mampu, wanita boleh," katanya.

No comments:

Post a Comment

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI