Sunday, January 15, 2012

Guru Kontrak KAFAI Dakwa Jadi Mangsa SBPA




BANGI : Seramai tujuh orang guru sekolah KAFAI Bandar Baru Bangi mendakwa menjadi mangsa sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang di perkenalkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) baharu-baharu ini.

Kesemua guru terbabit melahirkan rasa tidak puas hati apabila mendakwa ada di antara kontrak mereka sebagai guru di sekolah berkenaan tidak disambung kesan daripada SBPA.

Sekolah KAFAI Bandar Baru Bangi mempunyai 79 guru, 16 daripada mereka adalah guru kontrak yang ditawarkan kerja selama dua tahun dengan kontrak mereka diperbaharui apabila tamat dua tahun.

Kebanyakan guru terlibat berkhidmat lebih dari lima tahun. Mereka diletak di bawah kategori DB27, iaitu guru SPM, STPM yang tidak mempunyai diploma pendidikan yang tangga gaji P1T1: RM1204.55 dan meningkat hingga P1T7: RM1603.85.

Terdapat empat orang yang berkategori sedemikain, manakala dua orang di bawah DB17 yang mempunyai diploma, tetapi masih tidak dilantik.

Satu halangan dari perlantikan semula, mereka dikehendaki mempunyai Diploma Pendidikan dan lulus bahasa Arab, selama ini tidak menghalang mereka dari disambung kontrak selama dua tahun.

Tetapi dengan SBPA, kategori guru kontrak berkenaan tidak lagi wujud. Guru-guru akan tamat tempoh berkhidmat dengan sendirinya apabila cukup dua tahun khidmat.

Mengulas perkara ini Ahli DewanUndangan Negeri (ADUN) Bangi, Dr Shafie Abu Bakar menyeru agar Jabatan Pendidikan mempertimbangkan semula nasib guru-guru terbabit.

Baru-baru ini, Jabatan Pendidikan megumumkan SBPA di tunda untuk kajian semula, bagi saya seharusnya SBPA tidak laksanakan kerana memberi bebanan kepada semua guru yang terlibat.

Beliau berkata demikian ketika menerima aduan guru-guru terbabit di pejabat beliau.

Menurut Dr Shafie, beliau sudah berbincang dengan Guru Besar sekolah berkenaan, Razali Ahmad Shibab berkenaan status guru-guru ini.

"Hasil pertemuan dengan Guru Besar disitu dan semua guru kontrak yang terlibat saya di fahamkan masalah yang dihadapi oleh guru-guru kontrak sedang dalam proses tindakan bahagian guru di Pejabat Agama Daerah Hulu Langat dan juga oleh Pengarah Sekolah Agama JAIS," katanya.

Namun jelas Dr Shafie, mereka yang terlibat akan di letakkan kategori guru KAFA, ini bermakna menurunkan pangkat dan pendapatan mereka.

Lebih membimbangkan salah seorang dari guru ini telah tamat tempoh dua tahun pembaharuan perlantikan, apabila ditanya pihak atasan, guru ini dinasihat tidak perlu lagi pergi berkhidmat.

"Kesan daripada itu, memberi masalah kepada guru itu kerana umurnya sudah meningkat, sukar baginya untuk mendapatkan pekerjaan yang baru. Selain daripada itu, setengah daripada mereka sudah membeli rumah dan juga kenderaan di samping tanggungan keluarga anak isteri.

"Tindakan ini, bagi saya adalah tidak adil, kita harap nasib semua guru kontrak perlu diberi penyelesaian segera. Jika tidak perkara ini akan dibawa ke Dewan Negeri bagi mendapat pandangan dan penyelesaian segera," ujarnya sambil mencadangkan guru terlibat membuat rayuan bagi meneruskan perkhidmatan.

Tambahnya lagi, kita harap untuk jangka panjang, semua guru kontrak tidak wajar dibiarkan mereka dalam keadaan kontrak berterusan.



Editor : Khaulah Azwar

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI