Friday, October 16, 2009

Pemuda PAS Perak cabar Zambry dedah bukti PAS rasuah

IPOH, 16 Okt: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) mencabar Menteri Besar BN Perak, Datuk seri Dr. Zambry Abdul Kadir berdebat dengan Menteri Besar Pakatan Rakyat Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin berhubung tuduhan beliau bahawa PAS melakukan rasuah.

Ketua Pemuda DPPN Pk dalam satu kenyataannya juga meminta Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan Zambry bahawa beliau mempunyai bukti bahawa PAS telah melakukan rasuah.

"DPPN Perak mencabar Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir membuktikan tuduhan beliau bahawa PAS melakukan rasuah sepertimana kenyataan yang telah dikeluarkan oleh beliau baru-baru ini."katanya.

"Kami menyediakan pentas untuk Zambry bagi berdebat isu rasuah bersama Nizar jika beliau benar-benar berani dan mempunyai bukti. "

DPPN PK turut meminta Zambry mengemukakan bukti mengenai tuduhan beliau kononnya PAS terlibat dengan rasuah sewaktu memerintah negeri itu.

Tegasnya, jika benar dakwaan Zambry itu, SPRM seharusnya mengemukakan bukti siasat mengenai kes itu.

"Dimanakah laporan yang telah disiasat oleh SPRM berkaitan rasuah oleh PAS?"soalnya.

"DPPN Perak menganggap Zambry sekarang telah tersepit dan cuba memburukkan PAS dan Pakatan Rakyat yang telah diterima oleh rakyat untuk menerajui Kerajaan Negeri Perak selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke 12 tahun lepas."katanya lagi.

DPPN Pk juga menyokong kenyataan Nizar bahawa kemenangan Umno BN di Bagan Pinang 11 Oktober lalu sebagai kemenangan rasuah kerana calonnya Tan Sri Isa Samad yang dipilih untuk bertanding telah didapati bersalah kerana melakukan rasuah oleh UMNO sendiri.

Sehubungan itu, DPPN PK tegasnya berpandangan Umno BN yang telah serasi dengan budaya rasuah politik masih cuba menafikan perkara itu sebaliknya menuduh orang lain melakukan rasuah.

"Budaya rasuah politik ini tidak terpengaruh dalam PAS kerana adalah menjadi satu kesalahan besar bagi orang yang melakukannya."tegasnya._

Pahang diminta segera bayar saman, elak bebankan rakyat

KUALA LUMPUR, 16 Okt: Naib Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man meminta kerajaan Pahang membayar segera saman berjumlah RM65 juta kepada syarikat pembalakan Seruan Gemilang Makmur (SGM) bagi mengelakkan wang rakyat terus dikorbankan.

Beliau berkata, sikap kerajaan yang melengah-lengahkan bayaran saman tersebut sejak sekian lama akan mendatangkan lebih banyak masalah kerana faedah sebanyak RM8, 000 sehari terus berjalan seperti yang diputuskan mahkamah.

"Saya harap kerajaan negeri menyelesaikan kes ini dengan menjelaskan hutang yang tertangguh kerana jika kerajaan lambat memjelaskannya, kadar interest (faedah) sebanyak RM8, 000 terus berjalan," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Mahkamah Rayuan Putrajaya minggu lalu mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan pada 2007 yang mengarahkan kerajaan negeri membayar saman kepada SGM kerana melanggar perjanjian pemberian konsesi pembalakan di kawasan seluas 4,000 hektar di Mukim Bebar, Pekan.

Mahkamah Tinggi Kuantan pada 25 Mei 2007 mengeluarkan satu perintah kepada kerajaan negeri supaya membayar ganti rugi berjumlah RM37, 127, 471.60 kepada SGM dengan kadar faedah 8 peratus setahun mulai Disember 2000 (jumlah keseluruhan RM60juta).

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob bagaimanapun memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi bagi menangguhkan keputusan mahkamah itu namun gagal dalam rayuannya.

Sehingga 7 April 2008, pihak defendan (Adnan dan kerajaan negeri) gagal membuat sebarang bayaran ataupun menghubungi SGM menyebabkan kedua-duanya dianggap melanggar dan menghina keputusan mahkamah.

Seterusnya pada 20 April 2008 Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah mandamus (perintah akur bayar) terhadap Adnan dan kerajaan negeri bagi melunaskan bayaran RM63 juta kepada SGM dalam tempoh 14 hari mulai dari tarikh itu.

Adnan sekali lagi memohon mengenepikan kes melalui Mahkamah Rayuan dan beliau dilepaskan dari membayar hutang tersebut.

Hutang sebenar kerajaan negeri sekarang sudah menghampiri RM65juta kerana faedah sebanyak RM8, 000 sehari terus berjalan.

Menurut Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, meskipun mahkamah rayuan melepaskan Adnan daripada membayar hutang tersebut, namun kerajaan negeri tetap terpaksa membayarnya.

Ujarnya, keputusan mahkamah itu juga hanya untuk membersihkan nama Adnan sedangkan kerajaan negeri terus terbeban dengan hutang yang semakin meningkat sekaligus menyebabkan rakyat turut merasai tempiasnya.

"Keputusan mahkamah itu bersifat teknikal sahaja untuk membersihkan nama Adnan sedangkan kerajaan negeri tetap mengagung hutang," katanya.

Beliau juga mendakwa, akibat penyelewengan dan rasuah yang dilakukan kerajaan Umno BN menyebabkan wang rakyat terpaksa digunakan untuk menyelesaikan bebanan hutang.

"Disebabkan penyelewengan dan salahguna kuasa kerajaan negeri, rakyat yang terpaksa menanggung kerugian. Ini tak sepatutnya berlaku," tegasnya._



SIMFONI KASIH TAUTAN HATI