
Analisis:
Biarpun ramai pihak menjangkakan PAS mungkin berdepan kesukaran untuk
mengekalkan jumlah majoriti sedia ada apatah lagi mahu menang lebih
bergaya pada Pilihan Raya Kecil Sungai Limau kali ini, namun keputusan
sebenar hanya akan deketahui malam ini.
Beberapa faktor dilihat menjadi teras penting dalam mencorak keputusan yang akan diperoleh malam ini.
Sepanjang
11 hari kempen, kedua-dua pihak dilihat berhati-hati dalam pendekatan
mereka kerana masing-masing tahu, sebarang kesilapan akan bakal membawa
padah yang membawa kalah.
Kedua-dua pihak sedia maklum dengan
ketokohan Allahyarham Ustaz Azizan yang dihormati kawan dan lawan, maka
ianya menjadi pokok kepada kerangka strategi kempen yang akan
dijalankan.
Kesilapan BN dan PASDi pihak
Umno BN, mereka tahu Sungai Limau adalah kubu kuat PAS, dengan kata
lain kubu kuat Ustaz Azizan juga. Jadi pendekatan mereka, turut
menaikkan baner ucapan Alfatihah kepada Allahyarham sebagai tanda
simpati yang dipuji oleh PAS itu sendiri.
Tidak cukup dengan itu,
pendekatan sederhana Ustaz Azizan sebagai seorang pemimpin agamawan
juga cuba ditiru oleh Umno apabila mereka termasuk Menteri Besar Datuk
Mukhriz, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin dan calon Sohaimi
Lazim dipotret dengan imej berkopiah putih, iaitu imej yang luar dari
kebiasaan Umno yang bersongkok hitam tinggi.
Namun strategi fasa
pertama BN itu rosak sama sekali dengan kenyataan Muhyiddin yang
mengaitkan keputusan kerajaan menaikkan harga gula dengan pemotongan
kaki Allahyarham Ustaz Azizan.
Tindakan itu dilihat bukan sahaja
menghina Allahyarham dan keluarga, tetapi sekaligus mencemar perinsip
awal kempen BN yang tidak mahu mencalar peribadi Ustaz Azizan.
Selepas
didesak berkali-kali, Muhyiddin akhirnya sedar tindakannya yang tidak
sepatutnya itu telah merugikan BN, lalu beliau terpaksa meminta maaf
secara terbuka dan ianya dikira selesai apabila diterima keluarga
Allahyarham.
Selain pengumuman projek berjuta-juta, BN juga
meneruskan tradisi kempen mereka dengan mendoktrin bahawa pembangunan
lebih senang jika wakil rakyat di Sungai Limau dari pihak yang sealiran
dengan kerajaan negeri dan pusat.
Secara tidak semena-mena pula Mukhriz berkempen akan menjadikan Sungai Limau sebagai Dun angkat Menteri Besar jika BN menang.
Kenyataan itu dibidas PAS yang mempersoal keikhlasan Mukhriz yang baru sahaja bercakap nada itu pada PRK kali ini.
"Kalau
dia ikhlas, waktu Allahyarham Ustaz Azizan tidak sihat hari tu, Mukhriz
sudah isytihar Dun Sungai Limau ini Dun angkat menteri besar, tapi
kenapa baru sekarang," soal Mahfuz yang juga pengarah jawatankuasa induk
PAS bagi PRK ini.
Bagi pihak PAS pula, kesilapan turut dikesan
termasuk isu risalah profile calon yang memuat gambar calon yang
‘disuperimpose’ sehingga menjadi laporan muka hadapan beberapa akhbar
perdana.
Akur dengan kesilapan terlepas pandang itu, PAS juga turut memohon maaf secara terbuka pada sidang medianya.
Kesemua
ini, sama ada kesilapan dari pihak Umno BN atau PAS, kesan kedua-duanya
hanya akan dilihat pada undi yang akan diterjemahkan hari ini.
Tabur duitTindakan
agresif BN dalam menarik undi rakyat dengan pengumuman projek,
pemberian wang dan barangan keperluan dari rumah ke rumah sudah tentu
sedikit sebanyak memberi kesan.
Senjata ampuh itu sebelum-sebelum
ini pun terbukti telah berjaya mengunci pengundi lama BN dan menarik
pengundi atas pagar untuk mengundi mereka.
Faktor ini juga antara
yang sering menjadi kebimbangan lawan kepada BN yang biasanya
menurunkan seluruh jentera kerajaan berkampung di setiap PRK.
"PRK ini kita bukan lawan Umno BN, kita lawan jentera kerajaan.
"Putrajaya
yang duk kat KL tu depa bawa semua mai duk Sungai Limau," kata seorang
petugas PAS ketika berbual di Markaz Induk PAS di Batu 16 di sini.
Pengundi luarSatu lagi faktor yang boleh dikira sebagai penentu adalah kepulangan pengundi luar.
Dianggarkan
lebih 3,000 pengundi Sungai Limau berada di luar kawasan. Dengan
majoriti pada PRU13 lalu 2,774 undi, sudah tentu kepulangan mereka
dinanti PAS itu sendiri kerana secara umumnya pengundi luar dilihat
lebih cenderung kepada Pakatan Rakyat.
Faktor ini menjadi
kebimbangan kepada sesetengah pihak sehingga SMS palsu tersebar sejak
semalam yang memberitahu pengundi luar agar tidak perlu balik mengundi
kerana calon PAS sudah menang.
Sabotaj dalamanSatu
maklumat yang mungkin memberi sedikit kelegaan kepada PAS apabila
terdengar cakap-cakap di kalangan pemimpin Umno di sini yang mahu BN
kalah pada PRK kali ini.
Asas kepada harapan itu adalah kerana
tidak mahu Datuk Mukhriz terlalu angkuh dengan jawatan menteri besar
segera yang dipegangnya ketika ini.
Mukhriz didakwa semakin sombong selepas baru lima bulan menjawat jawatan itu.
"Mujur dia tewas pertandingan naib presiden Umno tempoh hari, kalau tidak lagi naik toncang la dia.
"Kami
suka kalau PRK ini BN kalah. Biar Mukhriz dilihat gagal mendapat
sokongan rakyat," kata sekumpulan "jentera pelancong" Umno yang ditemui
si Sungai Dedap di sini.
Bagaimanapun, dengan mengenepikan faktor
berapa majoriti yang bakal diperolehi PAS, secara atas kertasnya
melalui kajian dan survey yang dibuat, calon PAS, Ustaz Mohd Azam
dikatakan akan menang di Sungai Limau.
PAS yang berada pada
posisi mempertahan kedudukan kerusi tradisi lima penggal tentunya lebih
tertekan berbanding Umno yang berada di posisi merampas.
Mengambil
kata-kata seorang penganalis politik ketika mengkaji kempen di Pilihan
Raya Kecil di Manek Urai, Kelantan penggal lalu, "tak kisah majoriti
berapa, lebih satu undi pun dikira menang. Yang penting menang, majoriti
itu nombor dua".
Pada PRU13 Mei lepas, Ustaz Azizan yang
mendapat 13,294 undi menang dengan majoriti 2,774 undi menewaskan calon
BN, Mohd Fazillah Mohd Ali (10,5204 undi) serta dua calon Bebas, Sobri
Ahmad (100) dan Abdullah Hashim (84).