Wednesday, December 23, 2009

Penutup Majlis – Program Daurah Akan Melahirkan Generasi Solih Wa Muslih

Gombak – Program Daurah yang telah berjaya dilaksanakan selama sebulan pada musim cuti sekolah untuk anak-anak yang dianjurkan oleh Jais di 10 buah Masjid Negeri Selangor yang terpilih semakin berakhir. Terdapat 2 buah Masjid yang terpilih di Gombak iaitu Masjid Khairiah & Masjid Ar-Rahimah.

Sebelum Majlis penutup Program Daurah yang akan berakhir pada 24hb Dis, 2009 majlis ini telah diserikan dengan ruangan tazkirah yang disampaikan oleh Utz Najhan dan diimarahkan dengan Nasyid daripada para pelajar yang telah mengikuti program tersebut.

Kedatangan YB Dato’ bersama isteri beliau telah diiringi oleh En Radhi Pengarah Pusat Khidmat Masyarakat DUN Gombak Setia. Majlis penutup Daurah yang telah dilaksanakan oleh Yb Dato’ Hasan Bin Mohamed Ali Exco Kerajaan Negeri Selangor/Adun Gombak Setia telah disambut dengan ketukan rabana dan silat yang dimainkan oleh Pasukan Seri Silat Sending yang terdiri daripada pelajar berusia antara 10-12thn yang telah diketuai oleh Adik Mohd Ashraf Nabil B. Abd Rahman.


Untuk menyerikan suasana dan memberi sokongan kepada para pelajar yang telah mengikuti Program Daurah pihak pengajur telah memberi Hadiah untuk para pelajar yang telah mencapai Keputusan Cemerlang dalam akademi dan Displin sepanjang program dilaksanakan. Kelihatan betapa gembiranya wajah para peserta dengan mengikuti program yang berjaya dijalankan dengan sebaiknya.


Menurut Yb Dato’ 4 bln lepas setelah beliau membuat lawatan Di Negeri Syria, Jordan, Mesir beliau lihat betapa hidupnya majlis-majlis ILMU di masjid-masjid samada peringkat remaja mahupun ibubapa. Maka dengan itulah beliau telah mengusulkan idea yang bernas kepada pihak JAIS agar WAJIB diadakan program-program seperti ini untuk anak dan ibubapa apabila musim cuti sekolah kerana beliau risau dengan melihat generasi muda kini semakin tidak menjaga amal ibadat, akhlak dan apatahlagi untuk menghormati ibubapa mereka. Semakin membimbangkan beliau apabila dilihat ISLAM semakin terhakis dijiwa orang ISLAM apabila dilihat penghayatan ilmu ISLAM tidak dilakukan. Maka beliau akan berusaha untuk bekerjsama dengan pihak JAIS agar setiap cuti sekolah akan diadakan program-program yang bermanafaat untuk anak-anak agar mereka tidak membuang masa yang tidak berfaedah.

Harapan YB Dato’ semoga para pelajar yang telah mengikuti program selama sebulan ini hendaklah dimanfaatkan sebaiknya setelah berbagai ILMU dicurahkan dan kepada pihak ibubapa/penjaga semoga sentiasa memberi sokongan pada anak-anak, didik jiwa anak-anak untuk beribadah di surau/dimasjid dan diberi perhatian sebaiknya.


Majlis Penutup berakhir dengan juadah yang disediakan oleh pihak penganjur untuk bersama qariah, AJK Masjid & semua urusetia program.

KOLEKSI FOTO


Kedatangan YB Dato’ Hasan B. Mohamed Ali yang dinantikan setiap ibubapa/penjaga dan peserta Daurah disambut dengan ketukan rabana dan Seni Silat Sending.

Kusyuknya Ibubapa/penjaga & peserta Daurah mendengar taklimat daripada YB Dato’ dalam majlis penutup

Pemberian Hadiah kepada anugerah pelajar cemerlang & berdisplin serta penyampaian hadiah kepada YB Dato’ sebagai penutup majlis

Ketangkasan Generasi muda dalam kesenian silat yang harus dipertahankan

Urusetia, penceramah & faci sempat mengambil foto kenangan sebelum berkahirnya Program Daurah.


Editor : Khaulah Azwar

PR Jgan Pandang belakang lagi..TERUSKAN LANGKAH KITA..

Kalau menyertai konvensyen PR, 19 Dis di MBSA boleh dimasukkan sebagai pengalaman peribadi, saya tidak malu untuk berkata itulah pengalaman politik peribadi paling manis. Apa yang berlangsung itu melangkaui ufuk pemikiran orang politik biasa, apatah lagi musuh politik PR.

Masakan tidak. PAS dan DAP yang lebih dewasa daripada PKR meranduk sawah politik Malaysia ada sejarah ‘kelabu’ yang tersendiri. Sejarah kelabu itulah yang dicanang sehingga kini oleh Umno / BN untuk menidakkan muafakat antara PAS dan DAP.

Usah disebut lagi, usah diulang lagi sejarah kelabu itu. Biarkan dia berlalu. Biarkan sejarah merakamnya dan anak cucu kita membacanya. Cuma, kita ingatkan mereka supaya jangan mengulangi sejarah kelabu itu sama seperti kita tidak mahu menyebutnya lagi pada hari ini.

Ungkapan Karpal dalam ucapannya menjadi pengunci mati sejarah kelabu itu. “… saya bukan sahaja duduk di sebelah Nik Aziz tetapi antara Tok Guru Nik Aziz dan Tok Guru Haji Hadi hari ini”. Ucapan Tok Guru juga ada signifikannya, “Saya nampak ada bulan di dada Karpal”.

Mereka yang tidak dapat merasai kemanisan konvensyen kelmarin adalah mereka yang mati sensitiviti politiknya, walau pun dia mengaku dia adalah anggota ‘gerakan Islam’.

PR tidak boleh lagi menoleh ke belakang. Kita melangkah dengan harapan politik baru. Bukan politik perkauman senget, sempit dan songsang dendangan dan warisan Umno / BN.

Biarkan Umno dengan ratib Melayunya. Orang Melayu kehilangan biasiswa, kehilangan bumi, kehilangan bahasa, kehilangan wibawa, kehilangan harga diri, Umno masih juga terhinggut-hinggut dengan ratibnya.

Melayu rosak dan hilang bukan kerana DAP. Melayu rosak dan hilang kerana Umno, kerana politik perkauman senget, sempit dan songsang Umno. Umno menipu orang Melayu dengan ‘dacing kandar’ nya itu.

Betul, Umno memang membela Melayu tetapi Melayu atasan, Melayu elit, Melayu di sekeliling pinggang pemimpin Umno. Melayu marhaen termasuk pengundi Umno di desa tiada tempat dalam kamus pembelaan Umno. Ketika Melayu merempat ini pun, Umno masih juga meratib ‘Melayu’. Poooraahhh…

PR mesti memberi fokus kepada agenda pelaksanaan dasarnya. Jangan menoleh lagi. Teruskan perjalanan, tukar gear satu demi satu. Berhenti sekejap bila bertemu lampu isyarat kemudian terus semula perjalanan. Jangan fikir untuk berpatah balik. Lupakan sekejap gear undur itu.

Cuma jangan ditanggal gear undur. Bila berhadapan tembok, undur sedikit, jangan undur terus. Kemudian sambung semula perjalanan ke hadapan.

Jangan bimbang rakyat bersama kita selama mana kita bersama mereka. Dan, mereka tetap akan bersama kita sekiranya kita bukan sekadar membawa harapan tetapi membawa sinar kepada kehidupan mereka.

Anwar Melayu, Abdul Hadi Melayu, Karpal Singh Benggali, Kit Siang Cina, Guan Eng Cina, persetankan itu semua. Bangsa dan darah keturunan bukan urusan kita. Darah kita sama merah dan kita semua adalah manusia.

Melayu tak akan hilang kemelayuannya sama seperti Cina dan Benggali. Tetapi kita boleh kehilangan kemanusiaan apabila kita menindas mereka yang sepatutnya dibela. Hari ini dan kelmarin, dan tidak mustahil besok juga, rakyat pernah merasai mereka diperlakukan seperti ‘kaldai penanggung barang’ oleh Umno.

Apa buktinya? Salah satu ialah GST. Semua akan merasai perit GST tanpa mengenal Melayu, Cina atau Benggali. GST ini bikinan siapa kalau bukan parti berkuasa hari ini, Umno?

Anwar Islam, Abdul Hadi Islam, Nik Abdul Aziz Islam. Karpal Singh, Kit Siang, Chua Jui Meng bukan Islam. Takdir Tuhan mereka dilahirkan daripada rahim ibu masing-masing yang menganut agama masing-masing.

Justeru kelainan agama itu urusan kitakah? Tidak, itu urusan Tuhan Pencipta kita. Tuhan lebih mengetahui tindakan-Nya. Dia lebih maklum hikmah di sebalik itu semua.

Kewajipan kita kini ialah menampilkan kerahmatan Islam. Pada hari ini, di Malaysia, jangankan orang bukan Islam, orang Islam sendiri pun tidak dapat menikmati sepenuhnya kerahmatan Islam itu. Orang Islam tidak dapat merasai nikmat kewujudan ratusan masjid, apatah lagi orang bukan Islam.

Siapa yang memerintah negara ini selama ini? Bukankah Umno yang mengaku menjadi tulang belakang BN?

Kalau ada orang bukan Islam yang tidak senang dengan Islam, itu kerana mereka tidak merasai kemanisan rahmat Islam. Mereka mendapat maklumat mengenai Islam daripada sumber yang salah. Sumber itu ialah Umno.

Tak percaya? Cuba baca kenyataan Ketua Penerangan Umno tahun 2009 yang berfikiran macam orang yang hidup pada abad ke 17.

“… perasaan orang Melayu dan Islam terhiris dengan tindakan pemimpin DAP dan PKR yang mempermainkan ayat al-Quran dengan membacanya demi menarik sokongan pengundi…”

Saya tidak percaya pada zaman ini ada lagi orang seperti ini. Hah… Orang bukan Islam tak boleh baca ayat al-Quran? Woi, siapa ajar kamu begitu…?.

Kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Abdul Hadi, saya dan kami bangga dan berterima kasih setinggi-tingginya. Kebijaksanaan kedua-dua Tuan Guru adalah jasa terbesar kepada anak cucu kami dan kita, anak cucu Karpal dan Kit Siang juga.

Kerana mereka mendapat gambaran benar mengenai Islam sebagai rahmat untuk semesta alam. Kalau pun mereka mungkin menemui Tuhan dalam keadaan tidak menerima Islam, sekurang-kurangnya mereka dapat merasai nikmat rahmat Islam di dunia ini. Bukankah itu lebih baik daripada tidak mendapat langsung?

PR, jangan pandang belakang lagi. Kita berasa di atas landasan yang betul. Persetankan suara anjing yang menyalak di kiri kanan perjalanan kita. Galaslah harapan kami ini kerana kami telah berputus harap kepada Umno.


Hebatnya Malaysia, boleh 'menghilangkan' enjin jet tentera

Lepas satu, satu lagi episod lawak antarabangsa dihidangkan oleh pemerintah 1Malaysia untuk hiburan penduduk bumi di abad ke 21 yang setiap saatnya terkandung ribuan juta informasi.

Episod kali ini melibatkan agensi pertahanan negara yang tidak sepatutnya menjadi aktor dalam cerita komedi ini. Tapi inilah realitinya bila pemerintah negara dipilih dari kalangan "badut berbibir merah".

Mungkin secara sinisnya kehilangan enjin jet pemintas berharga RM50 juta pada ketika DS Najib sebagai Menteri Pertahanan dan TS Azizan sebagai Panglima TUDM tidak ubah seperti hilangnya carburetor pada enjin motosikal EX5.

Atas alasan itulah mereka-mereka yang bertanggungjawab terhadap agensi itu boleh tidur nyenyak seolah-olah aset berharga RM50 juta itu tidak bernilai langsung kepada negara.

Di ketika 1Malaysia kecoh dengan perkhabaran itu, PM 1Malaysia tampil memberikan jaminan tidak akan menutup kes yang berlaku pada 2007 ketika beliau masih lagi menjadi menteri berkenaan.

Kata Najib, beliau sendiri yang mengarahkan aduan polis dibuat apabila menyedari tentang kejadian tersebut. Tapi tidak pula dinyatakan tarikh sebenar laporan itu dibuat, menurut sumber setahun selepas insiden itu berlaku. Kalau betul sumber itu, mengapa perlu ambil masa yang terlalu lama untuk buat laporan polis?

Atau mungkin laporan itu dibuat sehari selepas Menteri Pertahanan sekarang ini, DS Zahid Hamidi mendedahkannya Sabtu lalu, enjin pesawat pemintas F-5E yang disedari hilang pada 2007 telah dijual kepada syarikat antarabangsa dari negara yang berpengkalan di Afrika Selatan.

Walau apa pun, insiden kecurian ini mendedahkan kepada umum kepincangan yang ada pada agensi keselamatan negara kini dan sekaligus mengakibatkan rakyat hilang keyakinan terhadap tahap keselamatan negara.

Saranan Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato' Mahfuz supaya dipanggil Sidang Khas Parlimen ada asasnya. Insiden ini perlu dibincangkan di peringkat pembuat dasar agar keselamatan negara dapat dibaikpulih dengan segera.

Dalam konteks keselamatan ini kepentingan umum perlu didahulukan. Insiden-insiden pencerobohan markas ATM dan berulangnya episod-episod kelakar kebelakangan ini membuktikan pencapaian prestasi Kementerian Pertahanan bukan menjadi keutamaan kepada mereka.

Ini perlu dibincangkan hingga selumatnya, keselamatan negara bukanlah perkara yang boleh dimain-main. Siasatan menyeluruh berkaitan kes akan dapat merungkai kekalutan yang ditimbulkan.

Oleh itu, perlunya pembentukan satu jawatankuasa khas yang diberi kuasa penuh untuk menyiasat sesiapa saja tanpa mengira status atau kedudukannya. Agensi yang bertanggungjawab iaitu PDRM tidak boleh diharap langsung, gagal berfungsi dan memainkan peranannya. Ini terbukti bila PM mendedahkan laporan polis yang telah dibuat ketika beliau masih lagi menteri di kementerian itu.

Polis perlu sedar, organisasi mereka kini sedang diheret untuk dikambing hitamkan. Mereka perlu tampil menjelaskan kepada umum, mengapa sampai sekarang tidak ada satu pun kenyataan mereka berkaitan siasatan kes ini? Sekiranya ada penyiasatan, kenapakah ianya tidak menemui pengakhirannya? Atau, mungkinkah polis mengkategorikan kes ini sama seperti kes kehilangan duit syiling dalam poket seluar di rumah?

Insiden sebesar benua asia ini harus dipertanggungjawabkan terus kepada mereka yang tertinggi dalam agensi keselamatan negara, bukannya ditujukan kepada anggota bawahan lain-lain pangkat seperti kenyataan DS Zahid Hamidi.

Terbaru Zahid memberitahu, empat anggota ATM telah ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes ini dan tidak menolak kemungkinan ramai lagi anggota bawahan lain-lain pangkat yang turut terlibat menghilangkan enjin pesawat pemintas F-5E milik TUDM.

Situasi sebeginilah sudah pasti menimbulkan kegelisahan kepada anggota-anggota bawahan ATM, sekiranya nasib tidak baik akan tersenarai dalam 'ramai lagi anggota bawahan' yang akan dikambing hitamkan bagi menutup kelemahan mereka yang berada di atas.

Menteri dan panglima yang terlibat ketika kejadian mesti tampil mengaku kelemahan dan bertanggungjawab di atas segala kecelaruan yang berlaku. Janganlah pula hilang sebagaimana hilangnya enjin-enjin jet F-5E (meminjam kata-kata Mahfuz) yang bukannya sebesar '├žarburetor motosikal EX5'.

Enjin F5E- PAS mahu Najib letak jawatan

KUALA LUMPUR, 23 Dis: PAS mahu Datuk Seri Najib Tun Razak meletakan jawatan serta merta berhubung kes kehilangan dua enjin pesawat pemintas F5E pada 2007 iaitu semasa beliau memegang Menteri Pertahanan dan Timbalan Perdana Menteri.

Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad dalam satu kenyataan memberitahu, Najib sepatutnya berbuat demikian pada tahun 2008 lagi sewaktu kehilangan itu dikesan.

Namun dakwanya, Najib seperti merahsiakan perkara itu kerana mahukan laluan mudah menjadi Perdana Menteri menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

"Selaku Menteri beliau bertanggungjawab penuh diatas kecuaian terbesar yang berlaku dalam sejarah pentadbiran Kementerian Pertahanan. Sewajarnya beliau meletakan jawatan pada tahun 2008 iaitu ketika kehilangan enjin berkenaan disedari hilang bagi memberikan laluan kepada siasatan menyeluruh kes ini.

"Jelas beliau cuba merahsiakan perkara ini dari rakyat bagi memastikan laluan mudah agar dirinya dilantik sebagai Perdana Menteri mengantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi.Kelicikan politik beliau dalam menyembunyikan kes ini jelas memperlihatkan agenda beliau itu.

Kes kehilangan ini juga jelasnya tidak boleh dianggap remeh kerana ia adalah simbolik disebalik kegagalan sistem pertahanan negara dibawah pentadbiran Najib.

"Dibawah pentadbiran Najib, kita sudah lali mendengar kisah ruang udara negara diceroboh, helikopter nuri terhempas, kapal terbang terhempas, dan juga kisah-kisah perbelanjaan Kementerian Pertahanan yang dihalang untuk di Audit oleh Jabatan Audit negara.

Katanya rakyat tidak harus membiarkan pemimpin yang mementingkan politik peribadi dari keselamatan negara dan rakyat.

Apatah lagi, dizaman beliau juga bermacap program dilaksanakan yang akhirnya merugikan rakyat dan negara.

"Zaman Najib menjadi menteri pertahanan juga menyaksikan munculnya projek Angkawan Negara yang berakhir dengan kisah Pelancong Angkasa. Program Latihan Khidmat Negara juga dicipta dengan begitu banyak tragedi sedangkan manfaat yang diterima kurang dari 10 peratus dan masalah sosial generasi muda hari ini kian membarah. Zaman beliau begitu banyak kecuaian, kerugian, penipuan dan pembaziran," katanya lagi.

"Jika 2 unit enjin pesawat yang besar boleh hilang dari kawalan pasukan keselamatan negara, esok lusa apa pula yang hilang jika Najib masih kekal menjadi Perdana Menteri," katanya.

Kerajaan Sembunyikan Pembaziran RM2.4 Juta Wang Rakyat

KUALA LUMPUR, 23 Dis: Bendahari PAS, Dr. Hatta Ramli mendakwa kerajaan cuba menyembunyikan isu pelupusan dakwat kekal bernilai RM2.4 juta yang tidak digunakan pada pilihanraya umum ke-12 yang lalu daripada pengetahuan umum.

Dr. Hatta yang merupakan salah seorang jurucakap Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) berkata, tindakan kerajaan itu jelas berniat untuk menyembunyikan pembaziran yang dilakukan apabila ianya hanya diketahui umum apabila dibangkitkan di Persidangan Dewan Negara baru-baru ini.

"Dalam hal ini kita pun tidak sedar bahawa dakwat ini telah dilupuskan begitu sahaja sehinggalah ia ditimbulkan di Dewan Negara baru-baru ini.Jadi ertinya kerajaan cuba menyembunyikan isu ini. Mereka seboleh mungkin mahu menyorokkan isu ini,"

"Jelas ini satu pembaziran akibat perancangan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang tidak bijak dalam merancang perbelanjaan wang rakyat," katanya ketika dihubungi Harakahdaily petang tadi.

Dr. Hatta yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai turut mempersoal keberkesanan tindakan tersebut sedangkan katanya ianya boleh dijual semula bagi mengelakkan pembaziran.

"Siapakah yang akan bertanggungjawab di atas kehilangan wang kerajaan sebanyak RM2.4 juta ini dan kenapakah dakwat itu tidak boleh dikembalikan dan tidak dijual semula untuk mengelakkan pembaziran,"katanya.

Perkara ini juga tegasnya menunjukkan Kementerian berkenaaan gagal mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) yang baik.

Ini melibatkan KPI Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan SPR.Kalau dalam kes biasa dalam mana-mana jabatan kerajaan tindakan boleh diambil terhadap mereka yang gagal dalam merencanakan penggunaan wang kerajaan," tegasnya.

Bagaimanapun beliau berkata, meskipun dakwat itu telah dilupuskan, BERSIH akan tetap menuntut penggunaan dakwat kekal dalam PRU ke-13 nanti.

"Untuk pilihanraya akan datang, BERSIH akan terus menuntut penggunaan dakwat kekal ini. Kita akan mendesak agar SPR membeli dakwat yang baru dan membenarkan penggunaannya," katanya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong sebelum ini berkata, dakwat yang tidak dapat digunakan kerana masalah keselamatan dan perundangan itu telah dilupus pada 25 November lepas.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Senator Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim menegenai keputusan yang dibuat terhadap dakwat kekal yang telah dibeli dan kemudian mahu dijual semula sehingg tarikh luputnya telah berlalu.

Pada PRU ke-12 yang lalu, SPR bersetuju menggunakan dakwat kekal setelah dituntut BRSIH, namun membatalkannya di saat akhir menjelang hari pengundian atas alasan terdapat individu yang dilaporkan membeli dakwat ini secara haram dari negara luar dan berniat membuat kacau.

Namun sehingga sekarang, kerajaan masih gagal membuktikan kebenaran akwaan tersebut malah tida tangkapan spesifik dibuat terhadap individu yang didakwa melakukan kesalahan itu.

Mahathir dan Pak Lah, kedua-dua perlu disiasat

KUALA LUMPUR, 23 Dis: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mahu kedua-dua mantan Perdana Menteri, Tun Dr mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi dihadapkan ke Suruhanjaya Diraja untuk disiasat berhubung dakwaan penyelewengan wang sewaktu pemerintahan zaman masing-masing.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, satu Suruhanjaya Diraja harus ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan itu kerana siasatan melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia tidak dapat dijamin ketelusannya.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika diminta mengulas berhubung dakwaan Tun Mahathir bahawa Pak Lah telah menghabiskan sebanyak RM270 bilion dalam masa lima tahun untuk kegunaan peribadi beliau.

Namun katanya, apa yang berlaku sekarang ini, kedua-duanya saling tuduh menuduh berhubung jumlah yang dihabiskan pada zaman masing-masing.

Mahathir juga sebelum ini didakwa menghabiskan 100 bilion dalam masa 23 tahun pemerintahannya.

"Kedua-dua mereka harus dihadapkan ke muka pengadilan iaitu perlu kepada satu proses penyiasatan yang telus ke atas kedua-dua bekas perdana menteri itu. Ianya perlu kepada satu penubuhan Suruhanjaya Diraja.Bagi saya kedua-duanya ada masalah dan mereka perlu menghadapi satu siasatan dan siasatan itu perlu telus, bukan polis, bukan SPRM," katanya.

Menurut Mahfuz juga, jika Suruhanjaya Diraja tidak dapat ditubuhkan, satu jawatankuasa siasatan di peringkat Parlimen harus ditubuhkan dn laopran siasatan berkenaan diletakkan di bawah biang kuasa Speaker Dewan Rakyat untuk dibahaskan," katanya lagi.

"Paling kurang pun satu jawatankuasa siasatan peringkat parlimen yang dianggotai pelbagai latar belakang, diletakkan di bawah parlimen dan laporan (siasatan) dihantar ke parlimenuntuk diperiksa dan dibahaskan," tambahnya.

Mahfuz juga menyifatkan kedua-dua mantan Perdana Menteri itu sebagai penyamun yang saling menuduh sedangkan kedua-duanya terlibat dalam salah guna kuasa dan penyelewengan wang rakyat.

"Sekarang ni penyamun sedang tuduh penyamun.Seorang kata hang yang samun lebih, seorang lagi kata hang yang samun lebih.Dua-dua pun penyamun.

"Kalau Tun Mahathir kata Pak Lah habiskan 28 bilion, sudah tentu beliau (Tun Mahathir) habiskan lagi banyak sebab beliau 22 tahun memerintah berbanding Pak Lah yang hanya lebih kurang 4 tahun," ujarnya.

Mahfuz turut menegaskan, siasatan terhadap projek pembinaan rumah Pak Lah yang berjumlah RM12 juta juga perlu disegerakan kerana pembinaanya dibuat sewaktu Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ini katanya membuktikan Najib juga terlibat dalam penyelewenagn dana awam.

"Siasatan ini juga termasuk rumah Pak Lah RM12 juta.Tapi rumah Pak Lah itu dibina di zaman Najib. maksudnya dalam pengetahuan Najib."katanya.

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI