Thursday, October 6, 2011

Kesal Pemberian Hak Milik Tanah Buluh Akar tidak diketahui statusnya


Gombak : Seramai 32 orang peneroka telah membuat bantahan dengan mendesak Pejabat Tanah Daerah Gombak (PTDG) mengeluarkan status permohonan hak milik tanah yang telah sekian lama diterokai menjadi Kawasan Pertanian Dusun Tradisional Buah-buahan yang dikenali sebagai perkampungan Kampung Jaya.

Ibrahim Hj Bakri, Setiausaha Jawatankuasa Penduduk Kampung Jaya (JKPKJ) berkata, “Tanah seluas 35 hekar telah di beri kepada Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Bahagian Negeri Selangor tanpa pengetahuan penduduk semasa pemerintahan kerajaan terdahulu (UMNO-BN) oleh Mantan Menteri Besar Selangor dahulu, Dr Mohamad Khir Toyo”.

Beliau juga mendakwa, PERKIM gagal menunjukkan sebarang bukti semua dokumen yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri terdahulu 2008 semasa dibawah pengurusan MB negeri Selangor, Datuk Khir Toyo bagi mengesahkan tahah tersebut hak milik PERKIM yang diluluskan oleh Dr Mohamad Khir Toyo dengan pajakan 99thn yang berlaku pada 2010.

Ibrahim juga mempertikaikan mengapa tanah tersebut diluluskan dan diberikan kepada PERKIM sedangkan yang mengusahakan tanah tersebut adalah semua pengusaha dusun disini. Apa yang berlaku ini seolah-olah ingin membebankan kepada Kerajaan negeri Selangor Pakatan Rakyat (PR) untuk menyelesaikan isu sekian lama tidak diatasi semasa zaman Datuk Khir Toyo.

Apabila ditanya kepada Pejabat Pegawai (PTDG) Huzaimi Samsi dan Pembantu Pegawai Shamsul Arshad semasa pemerintahan kerajaan UMNO-BN terdahulu, mereka menyatakan PTDG tidak mempunyai hak kuasa sepenuhnya untuk memberi kelulusan hak milik kepada pemohon. Semua pemberian adalah dibawah kuasa pemerintahan kerajaan UMNO – BN terdahulu.

Menurutnya lagi semua pengusaha mempunyai dokumen yang sah bersama pejabat tanah semenjak 1980 sehingga kini yang sedang dalam proses permohonan dan telah mendapat sokongan daripada Pejabat Penghulu Mukim Setapak dan Menteri Besar Selangor, Datuk Tan Sri Khalid Ibrahim.

“Kami benar-benar rasa terkejut dan terkilan, tanah yang dahulu merupakan kawasan hutan tebal dan berbukit-bukau yang telah diusahakan secara bergotong-royong dengan tujuan menyahut seruan kerajaan negeri menggalakkan Bumi Hijau ketika itu dengan mengusahakan tanah yang terbiar telah diberi kepada PERKIM tanpa perbincangan kepada ahli jawatankuasa penduduk disini”,katanya.

Baru-baru ini, PERKIM telah mengeluarkan notis kepada kami agar semua pengusaha keluar daripada tanah ini dan mendakwa semua pengusaha dusun telah menceroboh kawasan tersebut.

“Walau apa pun terjadi kami pengusaha dusun enggan keluar kerana tiada hitam putih menyatakan tanah tersebut milik mereka”.

Dalam masa yang sama semua penduduk sentiasa berusaha membuat proses permohonan Hak milik tanah namun permohonan sehingga kini tidak diketahui statusnya, katanya.

Jelasnya lagi, kawasan tersebut adalah kawasan pertanian Bulu Akar, Mukim Setapak Daerah Gombak bagi lot tanah 3329, 3330, 3331, 3333, 3334, 3336 dan 3341 yang telah diusahakan kawasan Pertanian Moden semenjak 1980. Sebanyak 12 buah rumah kediaman juga telah di dirikan oleh penduduk di atas tanah lot 3330 dan lot 3341 dengan disediakan bekalan air dan elektrik oleh semua pengusaha di sini.

“Kami rasa sudah bosan dengan pengurusan PTDG yang tidak tulus kerana mengambil masa begitu lama untuk meluluskan permohonan kami tanpa sebarang jawapan walaupun sudah banyak kali berulang –alik ke PTDG".

"Kami rasa seolah pendatang haram dan di anak tirikan oleh PTDG”.

Terdahulu penduduk telah membuat permohonan kepada Pegawai (PTDG) Huzaimi Samsi dan Pembantu Pegawai Shamsul Arshad namun masih tiada jawapan.

Walaupun silih berganti tahun dan pegawai, namun penduduk tidak berputus asa untuk terus membuat permohonan hak milik tanah mereka.

Kami semua meletakkan harapan yang tinggi agar kerajaan negeri Selangor Pakatan Rakyat (PR) menerusi MB Selangor, Datuk Tan Sri Khalid Ibrahim yang tulus membantu rakyat dapat membantu kami menyelesai isu yang sekian lama tidak dapat diatasi oleh Pejabat Tanah.

Pihaknya juga telah membuat permohonan kepada Pegawai Tanah, Ahmad Zaharin Mohd Saad pada 7hb Mac, 2011 Bil (57) PT/MKS/BA/90 agar tanah yang telah di usahakan dapat diberikan kepada kami. Seperti yang telah di jangkakan permohonan kami sehingga kini tidak dimaklumkan statusnya.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali telah mengadakan mesyuarat bersama penduduk dengan pegawadi PERKIM.

Katanya, dalam mesyuarat tersebut Datuk telah meminta agar tanah yang telah diusahakan penduduk diberikan sebidang tanah atas belas ehsan kepada semua pengusaha. PERKIM bersetuju tetapi sehingga kini PERKIM memungkiri janji untuk menyerahkan sebidang tanah kepada kami, ujar Ibrahim.

Dengan desakan yang diberikan semua pengusaha maka saya usulkan surat kepada Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali pula. Beliau telah mengeluarkan surat kepada Pegawai Pejabat Tanah, Ahmad Zahrin Mohd Saad pada 18hb Mac, 2011 (PAR/DPTG/03-03/2011 (11) dengan meminta agar Pejabat Tanah memaklumkan status tersebut dan diberikan salinan kepada pejabat Ahli Parlimen Gombak dalam tempoh dua minggu. Tetapi sungguh mengecewakan kami semua kerana Pejabat Tanah hanya memberi salinan surat yang dikeluarkan oleh AhlI Parlimen dan tanda menerima surat tersebut tanpa sebarang maklum balas sehiingga sekarang.

Justeru itu, kami mendesak agar Pejabat Tanah (PTDG) dapat mengeluarkan status hak milik tanah secepatnya .

Sekiranya pihak PERKIM ingin juga tanah tersebut seharusnya mengemukakan bukti semua dokumen yang sah menyatakan tanah tersebut milik mereka yang di beri semasa pemerintahan UMNO-BN dahulu oleh Mantan MB Selangor Dr Mohamad Khir Toyo.

“Kami juga ingin menuntut ganti rugi kepada PERKIM dengan menggantikan sebidang tanah yang terlibat kepada semua pengusaha.

Selama ini kami semua bergantung harap dengan semua hasil jualan tanaman ini sebagai pendapatan harian untuk menampung sara hidup keluarga dan tidak mempunyai tanah sendiri dimana-mana”,

“Kemanakah kami hendak pergi jika sekiranya PERKIM menghalau keluar semua pengusaha dusun tanpa memberi sebarang pampasan”, kata Ibrahim kepada media petang semalam ketika ditemui di Kawasan Pertanian Tradisional (Dusun Buah-buahan) perkampungan Kampung Jaya selepas membuat bantahan bersama semua pengusaha dusun disini.

Sementara itu, Pegawai (PTDG) Ahmad Zaharin Bin Mohd Saad melalui pesanan SMS nya berkata, pihaknya masih mengumpul maklumat dengan membuat siasatan sehingga kini mengenai isu berbangkit.



Editor : Khaulah Azwar

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI