Wednesday, March 17, 2010

Anak adalah 1 amanah ALLAH pada kita

SEBAGAI manusia yang normal akal fikiran dan perasaan, membaca dan melihat laporan akhbar mengenai anak yang anak kecil didera dan diperlakukan secara kejam sememangnya membangkitkan kemarahan yang meluap-luap Kepada si pendera.








Soalan yang pasti timbul di dalam sanubari kita ialah mengapakah ada manusia sanggup memperlakukan anak sekejam itu? Tidak kasihankah dengan anak kecil yang tidak berdosa itu? Dan bermacam-macam lagi persoalan yang bermain dalam hati sehinggakan ada antara kita menganggap si pendera seumpama berhati haiwan.


Sekurang-kurangnya haiwan pun sayangkan anak mereka, dijaga dan ditatang sehingga anak mampu berdikari. Inikan pula manusia yang dianugerahkan akal dan hati untuk berfikir dan merasa.

Inilah natijahnya apabila hati dan nafsu tidak mampu bersabar mengekang perasaan amarah dan akal tidak mampu membezakan kebenaran dan kebatilan. Apabila anak-anak tidak dianggap sebagai amanah yang perlu dijaga sebaik- baiknya, maka banyaklah kerosakan yang berlaku yang bakal berlaku.
Anak sebagai amanah, bukan sekadar anugerah

Sudah banyak kali kita membincangkan tentang peri pentingnya memelihara anak seperti permata. Anak-anak kecil sememang tidak bersalah kerana mereka masih tidak matang dan tidak mampu mengawal emosi mereka.
Orang dewasalah yang sepatutnya mengemudi anak-anak mereka dengan tingkah laku yang baik supaya anak-anak membesar dengan binaan sikap, pendirian dan emosi yang teguh apabila menjejak alam remaja dan dewasa.

Peringatan seperti ini sememangnya perlu diulang-ulang bagi menyedarkan golongan dewasa dan ibu bapa.
Mungkin sesetengah ibu bapa lupa bahawa anak itu adalah amanah Allah yang tidak ternilai harganya. Ramai yang tidak mempunyai anak sangat kepinginkan cahaya mata lalu pelbagai cara diusahakan untuk mendapat anak. Ada pula apabila sudah mempunyai cahaya mata, tidak menjaga dan mendidik anak dengan betul dan sempurna.

Mendidik dalam erti kata mestilah mengajar anak akan nilai asas dalam kehidupan, melimpahkan kasih sayang yang sewajarnya kepada anak-anak, membina kekebalan diri anak-anak dari anasir-anasir tidak baik. Mengajar anak akan yang salah dan benar, serta memberi panduan dan pedoman berterusan agar anak membesar menjadi insan yang beriman dan teguh pendirian.

Sememangnya ia tidaklah semudah seperti yang disebutkan. Namun itulah hakikat tanggungjawab ibu bapa terhadap anak-anak. Mendekati remaja menerusi pendidikan perlu bermula pada awal umur lagi.

Jangka waktu yang paling kritikal bagi anak-anak mencapai tahap remaja ialah sejak lahir sehingga ke peringkat akil baligh. Akil baligh merupakan puncak suatu proses membentuk manusia yang sudah boleh berdiri atas kaki sendiri.

Di peringkat inilah perkembangan kognitif (akal-fikir) berlaku dengan subur yang membolehkan anak-anak membuat tanggapan terhadap sesuatu.

Ajaran Islam umumnya tidak menghalang ibu bapa menghukum anak-anak, tetapi mestilah bersifat mendidik, tidak didorong perasaan amarah dan tidak melampaui batas syarak dan kemanusiaan.

Ini kerana trauma daripada zaman malang kanak-kanak boleh menghantui alam remaja serta dewasa seseorang dan lukanya sukar disembuhkan. Ada juga anak-anak yang membesar dengan kejadian dera dan pengabaian menjadi seorang yang agresif, sangat ofensif, serta tidak boleh menerima pendapat orang lain.

Anak-anak bukan sahaja anugerah yang tidak ternilai daripada Allah, malah mereka adalah amanah yang perlu dipelihara sebaik-baiknya. Mereka perlu dididik supaya sentiasa kembali dan berdamping ke jalan Allah dan pangkuan keluarga, sekalipun ada membuat kesalahan agar proses pembaikan boleh berlaku.

Oleh itu, tanggungjawab ibu bapa berjalan sepanjang hayat mereka, bukannya melepaskan tanggungjawab itu kepada pihak lain seperti sekolah atau penjaga.

Ada pula yang menganggap anak-anak sudah pandai berfikir sendiri akan baik buruk sesuatu perkara dan secara mudah menyalahkan anak-anak sekiranya berbuat salah. Walhal ibu ayah sendiri tidak membekalkan anak-anak dengan nilai-nilai asas dalam kehidupan dan didikan agama yang mencukupi.

Watak ibu dan ayah saling melengkapi
Justeru peranan ibu dan ayah amatlah penting dalam pembentukan watak dan pendirian anak. Ibu sering dirujuk sebagai faktor penting dalam pendidikan.

Bapa juga tidak kurang penting membentuk anak dalam kepemimpinan. Bapa adalah lambang ketua dalam sebuah rumah tangga. Didikan ibu dan kepemimpinan bapa boleh memberi perlindungan kepada isteri dan contoh kepada anak.

Pada diri seorang ibu ada unsur penting dalam proses didik, asuhan, kasih sayang, kesabaran dan memiliki kasih sejati terhadap anak. Allah telah memberikan kekuatan dan kesabaran yang tinggi kepada wanita yang bergelar ibu untuk menanggung kesusahan dan kepayahan demi anaknya.

Masakan tidak, seorang ibu sanggup melalui tempoh mengandung dengan susah payah sehinggalah melahirkan anak dalam kesakitan dan kepedihan. Ibu jugalah yang penat berjaga malam untuk menyusu dan menyalin lampin anak, dan bersengkang mata sekiranya anak kurang sihat.

Naluri seorang ibu sememangnya berkehendakkan anaknya sentiasa dalam keadaan sihat dan sempurna.

Ibu adalah pelengkap kepada watak bapa. Ia menjadi faktor penting dalam proses pembangunan zuriat, anak dan generasi. Ibu yang berilmu dan berketerampilan memahami proses pertumbuhan dan pembesaran anak baik dari sudut minda, psikologi, emosi dan tabiat, serta memiliki cara dan kaedah berkesan bagaimana anak harus 'diremaja' dan 'didewasakan'.

Begitu juga dengan si ayah. Menjadi seorang ayah adalah peranan yang payah. Menjadi seorang ayah tidaklah bererti memonopoli segala hak dan tanggungjawab, tetapi dikongsi dan dilalui bersama-sama secara sukarela dan penuh faham tanggungjawab.

Watak ayah tidak sama dengan watak ibu, tetapi Allah menjadikan mereka berpasang-pasang untuk melakukan peranan saling melengkapi.

Dalam masa yang sama, ayah harus berasakan bahawa ibu adalah amanah Allah yang besar. Ibu juga perlu dikasihi dan disayangi. Semangat kebapaan memberi perlindungan, tunjuk ajar, bimbingan dan rasa persefahaman dengan ibu. Ia bakal mewujudkan suasana rumah tangga harmoni dan damai dan memberi contoh yang baik kepada proses pendewasaan anak-anak.

Sekiranya pertumbuhan dan kesuburan yang sedang berlaku kepada anak-anak tidak didekati dengan ilmu dan keterampilan menerusi watak keibuan dan kebapaan nescaya pembesaran anak-anak bakal mengalami kelompangan yang mudah dimasuki oleh unsur-unsur negatif.

Ilmulah yang mampu memberi kekuatan kepada anak-anak supaya apabila besar nanti ia tidak menyebabkan lahirnya kecelaruan di kalangan mereka.

Oleh itu, anak perlu dipedomankan sekiranya berbuat salah, bukannya menghukum sesuka hati apatah lagi mendera dan mengasari mereka tanpa belas kasihan.

Kesimpulan
Bergelar ayah dan ibu adalah nikmat Allah yang tidak ternilai kepada manusia. Bagi mereka yang mengetahuinya, amatlah besar ganjaran yang bakal diperolehi jika menjaga dan mendidik anak-anak dengan sesempurna mungkin.

Tidak dinafikan bahawa kerosakan yang terjadi dewasa ini kebanyakannya berpunca daripada keruntuhan institusi kekeluargaan, ceteknya didikan agama dan moral serta dan kurangnya sikap kepedulian sesama kita.
Tuntasnya, tanggungjawab seorang ibu dan ayah adalah tanggungjawab seumur hidup. Anak-anak kadangkala tergelincir daripada landasan, maka ibu bapalah yang perlu sentiasa mengawasi dan menasihati mereka supaya jalinan corak kehidupan anak-anak menjadi kembali teratur dan harmoni.U/M

Khalid Dedah Penyelewengan Umno-BN Lagi




SHAH ALAM - Kerajaan Selangor hari ini mendedahkan minit mesyuarat majlis kerajaan negeri pada 1987 mengenai status pengasingan tanah di Subang Jaya iaitu Taman Rekreasi Subang Ria.

Maklumat yang diklasifikasi mengikut Akta Rahsia Rasmi itu menunjukkan bagaimana kerajaan Selangor ketika masih dicengkam pimpinan Umno-Barisan Nasional (BN) menjual tanah terbabit kepada Sime Darby UEP.

Mendedahkan hal itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, bayaran tanah yang dijual kepada Sime Darby pula jauh lebih tinggi dari nilai sebenar.

Mengikut minit mesyuarat itu, katanya, United Estate Berhad memohon tanah seluas 76.5 ekar di Petaling yakni ekarang Subang Jaya pada 1987 untuk kegunaan rekreasi.

Beliau berkata, bayaran premium yang dikenakan untuk tanah tersebut ketika itu berjumlah 4.95 juta sedangkan nilai pasaran hanyalah 1.57 juta.

"Bagaimanapun, urusan itu tidak melibatkan wang, sebaliknya Sime Darby membeli 10 rumah untuk digazetkan sebagai kuaters kakitangan pejabat daerah petaling ketika itu.

Khalid berkata, rumah itu diserah kepada kerajaan Selangor dan digazet sebagai rumah untuk Penolong Pegawai Daerah Petaling dan Setiausaha Majlis Daerah Petaling.

"Kesemua unit runah ini terletak di SS 19 Subang Jaya. Cadangan ini telah diluluskan Mesyuarat MMKN ketika itu," katanya.

Katanya, ia mencetuskan kontroversi berikutan Taman Rekreasi Subang Ria hendak dimajukan sebagai kawasan perumahan oleh Sime Darby mendapat tentangan hebat penduduk.

"Sebagai pemilik tanah yang berhak, Sime Darby UEP tidak boleh dihalang dari membuat pelan pembangunan. Bagaimanapun, kerajaan negeri akan memastikan penduduk di Subang Jaya mendapat kawasan hijau secukupnya.

"Kerajaan Selangor komited memastikan pembangunan tidak akan menjejaskan hak rakyat dan semua keputusan dibuat secara telus dan tanggungjawab dan selari dengan agenda merakyatkan ekonomi Selangor.

Polis Israel terus sekat laluan Masjid al-Aqsa


WANITA Palestin berjalan di depan anggota polis Yahudi yang meronda di pintu masuk Kota Lama Baitulmaqdis, kelmarin, dan menghalang akses ke Masjid al-Aqsa. - AFP


BAITULMAQDIS 15 Mac - Polis Israel terus menyekat laluan ke Masjid al-Aqsa, kawasan ketiga paling suci buat umat Islam untuk hari keempat berturut-turut hari ini, di tengah-tengah ketegangan di Baitulmaqdis.

Pihak berkuasa bimbang pertempuran baru akan tercetus berikutan pembukaan rasmi sebuah rumah ibadat di dalam tembok kawasan kota lama, dekat timur Baitulmaqdis.

"Menimbangkan risiko tercetusnya masalah, kami mengekalkan keadaan berjaga-jaga dan terus menyekat akses ke Lembah Suci," kata jurucakap polis, Micky Rosenfeld.

Sejak Jumaat lalu, lelaki di bawah umur 50 tahun dilarang memasuki kawasan tersebut begitu juga golongan bukan Islam.

Lembah Suci yang menempatkan Masjid al-Aqsa dan Masjid Quba, merupakan kawasan ketiga suci buat umat Islam selepas Mekah dan Madinah di Arab Saudi.

Polis bertempur dengan penunjuk perasaan di kawasan berkenaan 5 Mac lalu dan kali terakhir Jumaat lepas.

Ketegangan tercetus berikutan pengumuman Israel yang mahu membina 1,600 kediaman baru untuk peneroka haram Yahudi di timur Baitulmaqdis, yang disifatkan penduduk Palestin bakal menjadi ibu negeri Palestin yang baru.

Penduduk Palestin turut merancang untuk mengadakan bantahan selama dua jam di Baitulmaqdis hari ini.

Keputusan untuk membina semula sebuah rumah ibadat purba pada tahun 1694, turut memarakkan lagi ketegangan.

Rumah ibadat tersebut buat kali pertama dimusnahkan oleh pihak berkuasa Uthmaniyyah selepas 21 tahun ia dibina, tetapi dibangunkan semula pada 1864 sebelum musnah pada 1948 dalam pertempuran antara tentera Israel dengan Jordan. - AFP

NS taja RM120,000 Utusan Melayu Mingguan

Khaulah Said : Erm.. ana bersimpati atas apa yg berlaku keatas rakyat sekarang, apabila sentiasa mengikuti perkembangan N.Sembilan since kemenangan BN yang bermain politik kotor dalam PR kecil yg lalu, membuat hati ana sering tertanya2.. sekarang rakyat di Negeri sembilan tak perlu mengeluh panjang menyesal dan sebaginya kerana ini pilihan mereka semasa PR kecil yang lalu..

Kalau mereka bagi kerjasama sudah faham tipu daya UMNO sudah pasti masalah ini dapat diatasi.. semoga kita semua ambil iktibar.. jgn mudah terpedaya janji kosong UMNO yang manis mcm gula tapi akhirnya menjadi pahit kopi dan sgt kelat..tajaan yg mereka perolehi utk diedarkan akhbar Utusan sudah pasti dengan berita UMNO Haprak yang banyak menipu tiada kebenarannya.. so lagi le org2 N. Sembilan terpedaya dgn berita utusan lebih2 lagi org2 tua di kg yg tidak berapa peka dgn berita politik.. so ana hrp semua jentera PAS bekerja kuat tidak kira di mana negeri sekalipun harus main peranan utk mengedar risalah memberi keterangan kepada semua rakyat kalau tidak pasti mereka akan terus menerus menjadi hamba tipu daya UMNO....teruskan perjuangan sebarkan dakwah utk membuka pintu hati2 rakyat agar tolak pimpinan UMNO yang kini semakin rapuh..


MOHAMAD Hasan menyampaikan replika cek RM120,000 tajaan Utusan Melayu Mingguan kepada Othman Mohamad (kanan) di Sekolah Menengah Rendah Agama Rantau, semalam.


SEREMBAN 13 Mac - Kerajaan Negeri Sembilan hari ini menaja akhbar Utusan Melayu Mingguan untuk diedarkan ke 152 sekolah di seluruh negeri ini bermula 22 Mac ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tajaan bernilai RM120,000 itu bagi membolehkan pelajar memahami tulisan jawi, selain mengembangkan minda mereka terhadap berita dan isu semasa.

Katanya, adalah diharap sekolah yang menerima akhbar Utusan Melayu Mingguan itu dapat menggunakan naskah tersebut sebagai satu lagi bahan pengajaran khususnya tulisan jawi agar ia kembali diperkasakan.

"Gunakanlah sebaik mungkin akhbar Utusan Melayu Mingguan yang disumbangkan ini dan jadikanlah ia sebagai alat pembelajaran yang berkesan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung PIBG Serentak Sekolah Menengah dan Rendah Dewan Undangan Negeri Rantau di Sekolah Menengah Rendah Agama Rantau dekat sini.

Tajaan tersebut disampaikan oleh Mohamad kepada Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Othman Mohamad.

Melalui sumbangan tersebut, setiap sekolah yang tersenarai ini akan menerima 20 naskah akhbar Utusan Melayu Mingguan yang menjadi sisipan akhbar Utusan Malaysia pada setiap Isnin.

Tempoh tajaan berkenaan selama setahun dan ia akan mula diedarkan sebaik cuti persekolahan ini berakhir pada 22 Mac depan.

Akhbar Utusan Melayu Mingguan kini telah melalui proses pembaharuan bermula dari muka hadapannya termasuk corak dan pengisian yang dipaparkan kepada pembaca.

Ia lebih bercorak interaktif dan mempunyai pelbagai ruang baru, di mana menjurus kepada keperluan pembaca dan kehendak rakyat.

Dengan perubahan ini, Utusan Melayu Mingguan kini lebih 'remaja' dan memberi banyak input kepada pelbagai lapisan usia sejajar dengan hasratnya untuk mengembalikan minat kepada tulisan dan pemahaman jawi kepada generasi muda.

Guru Kafa Negeri Sembilan miskin tegar

SAYA salah seorang guru Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa) di Negeri Sembilan (NS), ingin melahirkan rasa sedih di atas apa yang berlaku kepada kami yang hanya mendapat elaun bukan gaji sebanyak RM500 sebulan.

Bagi kami di NS, sudah berapa kali disajikan dengan cerita kenaikan tetapi sampai sekarang masih tiada apa-apa berita.

Pada awal tahun, penyelia Kafa telah memberi jaminan jika Kafa Wilayah Persekutuan mendapat kenaikan elaun maka kami di Negeri Sembilan mungkin akan mengikut jejak yang sama.

Kemudian pertengahan tahun, kami diberitahu bahawa Jakim akan menyemak elaun kami dan daripada pihak Cuepacs pun ada mencadangkan agar guru Kafa dijadikan jawatan tetap.

Tetapi apa yang amat menyedihkan sampailah surat ini ditulis, semua khabar itu umpama mainan politik sahaja.

Apakah kami yang lulusan agama ni tidak layak untuk menikmati kemudahan seperti kakitangan awam yang lain.

Cubalah pembaca sekalian mencongak apa yang kami boleh buat dengan elaun RM500 itu?

Tidak cukup sampai hujung bulan pun, kami termasuk dalam kategori rakyat termiskin.

Memanglah kami mengajar hanya 10 jam seminggu tetapi sepenuh masa di dalam kelas walaupun ada pertukaran kelas.

Tidak seperti guru KPM yang mengajar sebelah pagi walaupun 6 jam di sekolah bukan sepenuh masa ada kelas, sekurang-kurangnya mereka ada masa untuk berehat.

Hari ini kakitangan sokongan mendapat duit raya sebanyak RM500 walaupun gaji mereka hampir RM1,000 sebulan.

Guru Kafa mahu merasa duit raya, nampaknya tidak adalah.

Alasan yang selalu diberi biarlah kita ini bekerja kerana Allah.

Maaflah andai surat ini mengganggu JAKIM, JAINS dan sesiapa yang terlibat, tetapi inilah luahan rasa hati kami guru-guru KAP yang sekadar bergantung kepada elaun RM500 untuk hidup.


SIMFONI KASIH TAUTAN HATI