Thursday, December 29, 2011

Pakatan cat flat RM360 ribu, PM janji RM1.2 juta

GOMBAK, 30 Dis: Kerajaan negeri Selangor berjaya menyelesaikan kerja mengecat semula Flat Samudera dengan kos RM360,000 berbanding janji Perdana Menteri yang memperuntukkan RM1.2 juta untuk projek yang sama.

Sehubungan itu, PAS kawasan Gombak menyelar tindakan Umno Gombak yang masih memanipulasikan isu kerja mengecat semula Flat Samudra.

Salehuddin Mohd Nasir, YDP PAS Kawasan Gombak berkata, PAS Kawasan Gombak merasa hairan terhadap tindakan Umno Gombak yang terus menerus mempolitikan isu ini.

Menurut beliau, isu ini telah pun selesai apabila kerajaan negeri Selangor telah bersetuju memperuntukan sejumlah RM360 ribu untuk tujuan tersebut dalam Majlis Pelancaraan Program Ceria (fasa kedua) baru-baru ini.

Jumlah ini jauh lebih rendah berbanding dengan jumlah anggaran peruntukan yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika lawatan beliau ke Gombak tempoh hari, iaitu sejumlah RM1.2 juta.

"Mungkin cat tersebut diimport daripada luar negara untuk membantu rakyat di situ," kata Salehudin (gambar), yang juga seorang penceramah agama terkenal.

Jelasnya lagi, kerajaan negeri Selangor bersetuju untuk membiayai 80% daripada jumlah RM360 ribu tersebut, manakala baki 20% (RM72 ribu) juga telah diselesai tanpa perlu ditanggung oleh penduduk setempat.

Hasil permufakatan bersama Baki RM72 ribu tersebut telah berjaya diperolehi daripada pelbagai pihak yang terlibat, iaitu Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) ADUN Gombak Setia, Persatuan Penduduk, Ahli Majlis Perbandaran Selayang Zon Gombak, katanya.

"Walaubagaimanapun kita tidak akan menolak sebarang bentuk sumbangan yang ingin dihulurkan oleh penduduk Flat Samudera kearah kebaikan bersama," katanya.

PAS Gombak juga mencabar Umno Gombak untuk turut menyumbang kearah kebaikan penduduk Flat Samudera.

“Sumbangan yang diminta pun jauh lebih kecil daripada wang RM1.2 juta yang Perdana Menteri janjikan," kata Salehudin.

PAS Gombak juga bersyukur kerja-kerja mengecat Flat Samudera dapat di selesaikan dibawah pengurursan kerajaan negeri Selangor setelah hampir 20 tahun tidak dicat semula.

Walaupun baru hampir empat tahun Pakatan Rakyat memerintah tetapi ia dapat diselesaikan berbanding dengan kerajaan sebelum ini, ujarnya.

Siti Fatimah Bashir, 16 tahun saya duduk disini. Berbagai cara kami minta kerajaan untuk membantu mengecat flat samudra. Namun tiada tindakan dibuat. Pandangan flat yang begitu buruk membuatkan penduduk tidak begitu selesa.

Menurutnya, terdapat enam buah blok dengan mempunyai lebih kurang 3000 penduduk tidak puas hati dengan cara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah berjanji untuk memberi peruntukan mengecat rumah tidak menjadi kenyataan.

Tiga bulan sudah berlalu namun tiada sebarang bantuan diberikan kepada penduduk untuk mengecat Flat ini. Janji tersebut merupakan jani kosong PM pada rakyat. Saya mewakili penduduk disini terus mendesak agar PM lunaskan janjinya, katanya.

Azmi Ismail Setiausaha JKP Zon 11, tindakan UMNO Gombak yang memasang kain rentang dengan mewawarkan kepada rakyat Gombak bahawa bantuan mengecat rumah Flat Samudra amat kita kesal dan diselar. Tindakan mereka ini benar-benar mengelirukan rakyat Gombak, dan tidak sepatutnya berlaku.

Suka saya jelaskan bahawa kerajaan negeri Selangor telah memberi bantuan sebanyak RM360 ribu untuk tujuan tersebut dalam Majlis Pelancaraan Program Ceria (fasa kedua) telah dilunaskan.

Kerja mengecat rumah juga telah dijalankan. Usaha murni kerajaan negeri membantu menyelesaikan kemelut penduduk disini amat kita hargai, namun penduduk masih terus menagih janji PM untuk memberi bantuan RM1.2 juta.

Justeru itu, saya cabar Najib untuk melunaskan janji mereka kepada rakyat, kata Azmi kepada media.

Editor :Khaulah Azwar

Isu Hasan Ali Selesai

BACHOK: Isu kontraversi yang melanda PAS melibatkan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hassan Ali dianggap telah selesai dalam keakraban silaturrahim dan harmoni.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Dr Hassan Mohd Ali telah bertemu dengan pimpinan tertinggi PAS kelmarin dan menarik balik segala kenyataannya terhadap PAS sebelum ini.

"Saya sendiri akan membuat kenduri makan tengahari kecil-kecilan di JKR 10 hari ini tanda kesyukuran penyelesaian kes ini dan juga berharap PAS Pusat boleh menganjurkan kenduri besar-besaran untuk meraikannya dan ahli-ahli PAS boleh memberi sumbangan untuk menjayakan kenduri kesyukuran ini.

"Saya melahirkan rasa syukur di atas rasa rendah diri Datuk Hassan Ali yang bersedia memohon maaf serta menarik balik kenyataan negatifnya terhadap parti sebelum ini," kata Nik Aziz kepada wartawan di sini.

Kemelut isu tersebut mula berada pada tahap kritikal apabila Dr Hassan membuat ulasan menolak konsep Negara Berkebajikan dan mendesak parti itu kembali kepada matlamat asal untuk menubuhkan sebuah negara Islam pada 20 Disember lalu.

Tindakan itu bagaimanapun disanggah beberapa kepimpinan tertinggi parti termasuk Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyifatkan dakwaan itu tidak berasas.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam kenyataannya sebelum ini menegaskan 'Negara Berkebajikan' diputuskan semasa Muktamar tahunan PAS dan disahkan oleh Majlis Syura Ulama.

Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu bagaimana pun menarik balik kenyataannya sebelum ini yang mengatakan bahawa konsep 'Negara Berkebajikan' itu adalah tersasar daripada matlamat perjuangan parti.

"Bukan mudah bagi orang yang melakukan kesalahan serta mengakuinya dan memohon maaf, jadi tindakan beliau itu begitu mengharukan saya.

"Saya juga berharap, orang lain yang mempunyai masalah seperti ini berlapang dada seperti Datuk Dr Hassan," kata Nik Aziz.

Nik Aziz bercakap kepada pemberita ketika melawat kesan hakisan ombak di Pantai Irama, Bachok hari ini.

Menurut beliau, pertemuan itu berlangsung di JKR 10 semalam di mana Hassan dan Ustaz Nasharudin Mat Isa bertemu dengan tiga pemimpin tertinggi PAS di Kota Bharu.

Dua lagi pemimpin adalah Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din.

Dalam perkembangan yang sama, Nik Aziz yakin hikmah disebalik kemelut ini menjadikan jurang perbezaan pendapat dalam parti semakin ditutup rapat dan tidak mungkin untuk Umno menyerang PAS dengan taktik yang sama.


Editor : Khaulah Azwar

Kerajaan negeri sediakan tanah simpan untuk pembinaan sekolah

SHAH ALAM, 30 DIS: Kerajaan negeri Selangor memiliki beberapa rizab tanah simpanan yang boleh dibangunkan untuk pembinaan sekolah baru di negeri ini.

Dr Xavier Jeyakumar, Exco Kesihatan, Pekerja Ladang dan Kemiskinan, berkata” beberapa pemaju besar di negeri ini memiliki kapisiti tanah yang besar yang boleh dibangunkan Jabatan Pendidikan sebagai kawasan sekolah pada bila-bila masa”.

"Walaupun kita telah menyediakan beberapa tanah untuk pembinaan sekolah di Selangor, malangnya ianya dibiarkan dan pembinaan sekolah kita tidak nampak.

Juteru itu kita, membuat keputusan di mana tanah-tanah sekolah yang dikemukakan pemaju kepada kerajaan negeri dalam pelan-pelan mereka untuk kelulusan daripada perancang bandar negeri, semua tanah itu akan disimpan dibawah pejabat tanah dan galian”.

"Bila Jabatan Pendidikan bersedia untuk membina mana-mana sekolah, kita akan beritahu mereka tanah yang telah disiapkan untuk sekolah," katanya.

Menurut beliau, kerajaan negeri juga sedang merancang pembinaan beberapa sekolah tamil baru seperti Sekolah Tamil Coalfields, Ijok memandangkan terdapat pembangunan pesat di kawasan antara Kuala Lumpur dan Kepong.

Di jangkakan pembinaan akan bermula pada tahun hadapan dan siap dalam tempoh satu tahun setengah, kata Dr Xavier.

Dr Xavier merupakan AhlI Dewan Undangan Negero (ADUN) Sri Andalas, berkata lagi, “Kerajaan negeri sudah memberikan tanah kepada tiga tempat dan telah dimaklumkan kepada Jabatan Pendidikan untuk pembinaan.

“Antaranya satu di Sentosa (3 ekar), Desa Mentari (1 ½ Ekar) sementara di PJS 1 yang telah diberikan sejak zaman UMNO- BN.

"Kita juga telah membuat semakan status tanah. Tiga jenis sekolah akan dibina di kawasan itu iaitu sekolah kebangsaan, sekolah cina yang sudah dibina, dan sekolah tamil.

"Malangnya dalam tiga tahun setengah ini walaupun kita telah menghubungi pihak Jabatan Pendidikan namun sampai sekarang kita tidak nampak perancangan oleh kerajaan pusat untuk membina sekolah," katanya.

Kesan daripada ini katanya, pihak PIBG sekolah terpaksa mengutip dana untuk membina kelas tambahan dan ini menjadi beban besar kepada mereka.

Sementara itu, Dr Xavier berharap agar projek pembinaan SRJK(T) Ladang Midlands, Seksyen 7, Shah Alam dapat disiapkan lebih awal pada Februari 2012 memandangkan jangkaan asal projek ini bakal siap pada Mac 2012.

"Saya teruja melihat perkembangngan projek ini memandangkan sebelum ini khususnya sekolah tamil, tidak ada sekolah tamil dibina dengan kelengkapan sepenuhnya

Saya di maklumkan tarikh akhir yang telah diberikan kepada MBSA ialah pertengahan bulan Mac.

"Tapi saya minta pihak kontraktor untuk mempercepatkan proses penyerahan pada bulan Februari sebab kita ada perancangan untuk mengadakan perasmian pembukaan yang akan dilakukan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim," katanya.

Sekolah ini memiliki 24 buah kelas, satu dewan besar yang boleh memuatkan 130 buah meja, makmal sains, bilik guru dan beberapa infrastruktur lain.

Tambah beliau lagi, kawasan permainan akan dinaiktaraf di kawasan ini memandangkan pembinanan sekolah ini menggunakan sedikit ruang kawasan yang menempatkan tapak permainan untuk penduduk setempat.

Kerajaan negeri memberikan peruntukan pembinaan sekolah sebanyak RM3 juta sementara pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah turut mengadakan kutipan dana untuk menampung perbelanjaan.

Tanah ini juga akan diwartakan kepada nama sekolah setelah ianya siap sepenuhnya, kata Dr Xavier ketika lawatan turun padang semalam untuk projek pembinaan sekolah di Shah Alam.

Editor : Khaulah Azwar

Nurul Izzah Nafi Surat Layang beracun


KUALA LUMPUR 29 Dis: Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menafikan kandungan satu surat layang beracun yang sedang tersebar dalam internet sekarang.

"Ingin saya jelaskan di sini bahawa dakwaan dalam surat tersebut adalah palsu dan tidak benar," kata Nurul dalam satu kenyataan ringkasnya hari ini.

Nurul dipercayai mengulas satu surat beracun (email) yang diedarkan kepada ahli-ahli PKR yang mendakwa beliau yang kononnya saya sedang memujuk Datuk Zaid Ibrahim menyertai PKR semula.

Dalam surat itu, Nurul dikatakan berjanji kepada Zaid untuk diberikan kerusi parlimen Petaling Jaya Selatan.

Ekoran itu, surat itu mengajak ahli PKR membantah tindakan Nurul Izzah itu.

Pagi tadi, Datuk Zaid Ibrahim menafikan beliau bertemu dan berbincang dengan Nurul Izzah sebagaimana yang didakwa surat itu.

“Saya tidak tahu apa-apa tentang dakwaan ini sebab sejak meninggal PKR, saya tidak berhubung langsung dengan Nurul (Izzah Anwar) ke, Anwar (Ibrahim) ke atau pun Kak Wan (Datuk Seri Wan Azizah).

“Jadi jangan kaitkan saya, dia orang kena selesaikan lah sendiri masalah mereka,” kata Datuk Zaid Ibrahim kepada laman web The Malaysian Insider.

Nurul dalam kenyataannya hari ini juga meminta semua rakyat Malaysia jangan melayan surat itu.

"Saya menggesa semua rakyat Malaysia untuk menumpu segala usaha demi merealisasikan Malaysia yang lebih baik," katanya.

Editor : khaulah Azwar

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI