Thursday, December 30, 2010

Perlantikan Khusrin Langkah Pertama Umno-BN Rampas Selangor




SHAH ALAM : Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak akan mengulangi tindakan jahatnya merampas kuasa di Perak, apabila meletakkan dirinya sendiri sebagai Ketua Perhubungan Umno Selangor serta melantik seorang yang tidak layak menjadi Setiausaha Kerajaan Negeri(SUK) ke jawatan tersebut.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata dalam satu sidang media petang tadi di Shah Alam, perlantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai SUK merupakan tindakan pertama Najib dalam usaha merampas kembali negeri Selangor daripada Pakatan Rakyat.

"Tindakan melantik Datuk Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor adalah diantara tindakan-tindakan yang pertama dilakukan oleh Najib untuk melaksanakan perancangan nak jatuhkan kerajaan negeri Selangor ini," dakwa beliau.

Tegasnya, ini merupakan satu petanda bahawa Umno di bawah pimpinan Najib akan menggunakan apa jua cara sekalipun untuk merampas kembali kuasa di Selangor.

"Ini merupakan satu petanda kepada kita bahawa Umno nak rampas kuasa kembali di negeri Selangor dengan apa jua cara sekalipun. Dia nak ulangi apa yang dilakukan di Perak," katanya.

Beliau menambah, perlantikan Khusrin adalah semata-mata untuk menimbulkan kekecohan hingga Dewan Undangan Negeri Selangor berjaya dibubarkan.

"Apabila didapati bahawa kerajaan-kerajaan Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan mungkin tidak akan turut sama dalam pilihanraya yang akan diumumkan di peringkat federal kerana kita ada hak untuk kekal selama lima tahun, maka dia nak wujudkan satu suasana yang akan memaksa kerajaan negeri untuk bubar secepat mungkin lalu dia lantik seorang yang tidak layak menjadi setiausaha negeri sebagai setiausaha negeri," jelasnya.

Beliau turut mendakwa Umno telah mempergunakan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dalam permainan politik sehingga sanggup melibatkan Sultan dalam perlantikan Khusrin.

"Seperti biasa, Umno-BN nak mencemar institusi kesultanan Melayu dengan mengheret masuk institusi Sultan dalam persoalan ini dan apabila mendapat restu daripada Sultan, maka digunakan kembali isu derhaka kepada Sultan dan sebagainya sekiranya kerajaan negeri Selangor menolak Khusrin sebagai calonnya," tegas beliau lagi.

Khalid seterusnya menjelaskan, tindakan kerajaan pusat merupakan satu tindakan yang membelakangkan rakyat negeri Selangor, kerajaan Selangor dan mencemar serta mencalar institusi kesultanan itu sendiri sambil memastikan segala perancangan kerajaan Selangor gagal dilaksanakan.

"Jahat dan buruknya sikap kerajaan pusat jelas terbukti melalui tindakan ini dan ianya tidak akan berhenti di situ, seperti mana yang disebutkan tadi, ianya merupakan tindakan awal untuk menentukan bahawa apa yang dikehendaki dan diusahakan oleh kerajaan negeri Selangor akan digagalkan," jelas beliau lagi.

DPPNS kesal perlantikan Khusrin tanpa berbincang


SELAYANG – Dewan Pemuda Pas Negeri Selangor (DPPNS) merasa kesal dengan perlantikan jawatan Ketua Setiausaha Negeri Selangor, berkuatkuasa 1 Januari nanti, tanpa berbincang dengan Kerajaan Negeri Selangor .

Berkata, Utz Hasbullah Mohd Ridzwan, "perlantikan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohd Khusrin Munawi ke jawatan berkenaan sepatutnya perlu dibincangkan terlebih dahulu khususnya melalui Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim".

“Kita (DPPNS) berasa kesal apabila Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan membuat pengumuman perlantikan (Khusrin) itu, tanpa merujuk ketua Kerajaan Negeri Selangor, iaitu MB yang menerajui negeri ini.

“Ia menunjukkan semangat federalisme (persekutuan) dan profesionalisme yang diketepikan." Sedangkan di peringkat kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor, kita sangat menghormati kehendak perlembagaan dan undang-undang berhubung perkara berkaitan,” katanya.

Hasbullah berkata demikian ketika menghubungi media, semalam bagi mengulas berhubung perkara tersebut. Menurutnya, pihaknya juga mempertikaikan senarai nama-nama calon Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) telah dihantar kepada KSN, tetapi tidak dipertimbangkan tanpa adanya jawapan balas.

“Kita pelik apabila pihak sepatutnya bertanggungjawab perlantikan ini seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), hanya mendiamkan diri daripada memberikan penjelasan,” katanya.

Menurut Hasbullah, biarpun sepatutnya SPA dan JPA yang patut mengulas isu pertikaian berkenaan, pihak sebaliknya pula dilihat memberikan kenyataan. Dalam pada itu tegasnya, DPPNS meminta supaya semua pihak tidak menggunakan isu timbul ini untuk mendakwa atau melagakan PR dengan Sultan Selangor, yang dikatakan telah memberikan perkenaan perlantikan dibuat.

“Kita bukan mempertikaikan perkenan Sultan terhadap individu dilantik, tetapi hanya mempersoal kenapa tidak mempertimbangkan cadangan PR, berkenaan cadangan perlantikan ini. “MB sepatutnya lebih mengetahui siapa lebih layak. Mengenai sebab Khusrin patut dilantik atau tidak ke jawatan tersebut berdasarkan perkhidmatannya selama ini, itu kita tidak mahu mengulas lanjut,” katanya.

Menurut Hasbullah lagi, pihaknya akan mengambil tindakan lanjut selepas ini sekiranya masih tiada sebarang penjelasan atau maklum balas memuaskan berhubung pertikaian yang timbul, ujarnya.


Editor :khaulah azwar

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI