Saturday, November 6, 2010

Mengapa PAS kalah di Galas

Pilihan raya kecil (PRK) N.45 Galas sudah berlaku pada 4 November lalu. Kekosongan kerusi yang berlaku sejak 27 September 2010 sudah diisi oleh seorang wakil rakyat dari Barisan Nasional (BN). Proses pengisiannya berlaku melalui pengundian yang tidak menyebelahi PAS. Kesannya membawa kemerosotan pencapaian PAS yang lebih teruk daripada pilihan raya kecil Manek Urai pada Julai 2009 yang lalu. Ia juga suatu gambaran penggunaan secara salah jentera Kerajaan Pusat di Galas yang mungkin bakal merebak dalam pilihan raya umum ke-13 nanti. Justeru itu, PAS yang mengawal sebuah ‘kerajaan kecil’ di Negeri menerima kekalahan di Galas. Mungkinkah ini punca sebenar kekalahan PAS dan Pakatan Rakyat di Galas?

Punca PAS kalah

Banyak jawapan yang boleh diberi oleh jentera kempen PAS semasa post-mortem bagi merasionalisasikan punca PAS kalah di Galas. Namun latar belakang punca kekalahan PAS pada asasnya perlu dilihat dahulu aspek kekuatan sebenar PAS di Galas. Pencapaian PAS tahun 1999 dan 2004 antara ukurannya.

Pada dua pilihan raya itu, kekuatan PAS hanya sekitar 36 peratus sahaja. Sedangkan pada pilihan raya umum 2008 PAS mencapai kemenangan pada paras 54 peratus. Berlaku penambahan peratus sokongan kepada PAS sebanyak 18 peratus. Apakah punca kemenangan itu?

Banyak pihak bersetuju, ia berlaku atas faktor calon sebagai peribadi yang mewakili PAS pada pilihan raya umum 2008 itu. Tokohnya ialah Arwah Che Hashim, seorang yang popular berkhidmat kepada rakyat dan diterima baik oleh semua pihak termasuk masyarakat Cina dan Orang Asli. Khidmatnya bermula sebaik sahaja beliau kalah dalam pilihan raya umm 2004. Maka tidak harianlah beliau berupaya menang ‘terkejut’ apabila mengalahkan penyandang wakil rakyat Galas ketika itu, Saufi Deraman.

Namun kemenangan PAS pada 2008 itu bukan bergantung sepenuhnya kepada faktor calon. Malah suatu faktor yang lebih bersifat strategik ialah gerakan kepartian dan penyusunan gerak kerja pilihan raya PAS di Galas antara 2004 sehingga pilihan raya 2008. Di antaranya nilaian strategik yang berjaya dilakukan ialah pendaftaran pemilih baru kalangan warga Galas, termasuk yang berada di perantauan. Hasilnya, pihak PAS dikatakan berjaya mendaftar lebih 1,000 orang pengundi baru. Justeru undi PAS tahun 2004 (kira-kira 3,000 undi) dijadikan teras ukuran sokongan rakyat apabila dicampur dengan 1,000 pengundi baru, maka logiknya PAS mencapai 4,000 undi pada pilihan raya umum 2008. Natijahnya, PAS mencapai kemenangan di Galas pada 2008 adalah tepat pada angka sokongan sebanyak 4,399 undi atau pada undi popular 53.96 peratus (54 peratus). Sedangkan undi popular PAS pada 2004 hanya 36 peratus. Bermakna PAS berjaya mencapai lonjakan agak besar iaitu 18 peratus.

Sehubungan itu, sumbangan 1,000 pengundi baru yang berjaya didaftarkan sepanjang 2004-2008 itu adalah bernilai 22.73 peratus apabila dinisbahkan dengan undi yang dicapai 4,399 pada pilihan raya umum 2008. Namun, selepas 2008 didapati usaha mendaftar pengundi baru tidak berlaku secara baik. PAS dikatakan hanya berjaya mendaftar sekitar 500 orang sahaja. Sedangkan pihak BN dikatakan berjaya mendaftar kira-kira 1,000 pengundi baru. Maka secara matematiknya, pihak BN sudah berjaya menyeimbangkan nilai undi yang dicapai tahun 2008 yang hanya kalah sebanyak 646 undi pada 2008. Justeru itu, semasa pilihan raya kecil Galas ini kekuatan PAS dan BN berada pada paras 50:50 dan pihak BN hanya memerlukan sedikit tambahan undi ke arah meraih majoriti.

Di atas rasionalisasi strategik tersebut, adalah amat mudah bagi BN meraih tambahan undi. Pendekatan rasional BN tidak lain ialah dengan cara memfokuskan faktor kekuatan dan peluang bagi BN meraih sokongan undi tambahan. Faktor kekuatan BN adalah jentera Kerajaan Pusat dan peluang bagi BN ialah pengundi Orang Asli dan pengundi terapung kalangan orang Melayu dan Cina. Pilihan raya kecil Galas kali ini jelas menyaksikan nilai rasionalisasi BN berjaya menggunakan sepenuhnya kekuatan jentera Kerajaan Pusat sekali gus berupaya meraih tambahan undi baru kalangan Orang Asli dan pengundi terapung orang Melayu dan Cina. Logiknya, inilah punca kekalahan PAS.

Meskipun diketahui PAS turut berusaha melakukan pendekatan terbaik bagi memenangi hati Orang Asli dan sejumlah pengundi terapung. Apa yang jelas, jentera kempen PAS hanya berjaya mempertahankan jumlah undi yang dicapai pada 2008 sekitar 4,000 undi. Sedangkan pencapaian BN melebih 5,000 undi adalah disumbangkan oleh peningkatan undi di semua saluran mengundi.

Keputusan pilihan paya kecil (2010)

Walau bagaimanapun, pilihan raya kecil kali ini menyaksikan PAS mendapat 4,134 undi berbanding BN memndapat 5,324 undi. Maka BN ialah 1,190 undi. Pilihan raya kali ini pula menyaksikan 83 peratus atau 9,950 keluar mengundi dan 132 undi rosak.

Menariknya daripada trend pengundian kali ini ialah tingginya keluar mengundi seperti mana juga pilihan raya umum 2008. Hal ini juga mempunyai penilaian politik tersendiri dalam konteks menjawab kenapa PAS kalah pada pilihan raya kecil Galas kali ini. Antara yang jelas adalah penggunaan jentera Kerajaan Pusat, khasnya Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Malaysia yang berjaya memunggah, mengumpul dan menjamu pengundi Orang Asli secara teratur sejak awal sebaik sahaja gendang pilihan raya dipalu.

Analisis mendapati jumlah keluar mengundi kelompok Orang Asli meningkat agak besar, 7.73 peratus, iaitu daripada 77.79 peratus (2008) kepada 85.52 peratus (2010). Sedangkan di semua peti undi bukan Orang Asli peningkatan agak kecil hanya 0.50 peratus, iaitu daripada 81.05 peratus (2008) kepada 81.55 peratus (2010). Menjadikan peningkatan keseluruhan keluar mengundi sebanyak 1.65 peratus, iaitu daripada 80.57 peratus (2008) kepada 82.22 peratus (2010).

Faktor agensi kerajaan pusat

Melihat kepada sosioekonomi di Galas adalah berada dalam situasi pesat membangun dengan penduduknya sekitar 37,600 orang. Ekonomi yang berasaskan ekonomi tradisi (perladangan, perkebunan, pembalakan, perlombongan dan perniagaan) membolehkan perkhidmatan agensi dan jabatan Kerajaan Pusat berperanan secara langsung menguruskan sosioekonomi rakyat Galas. Paling berkesan ialah agensi yang mewakili Kerajaan Pusat - Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Lembaga Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) serta Jabatan Hal Ehwal Orang Asal Malaysia (JHEOA).

Istimewanya Tengku Razaleigh dalam mencipta kemenangan semula BN ialah mengarahkan kesemua agensi Kerajaan Pusat sebagai agen BN. Kesan daripada peranan agensi Kerajaan Pusat telah banyak melakukan pendekatan pengundi kerana semua agensi tersebut memiliki peralatan cukup bagi membujuk dan menarik sokongan politik untuk manfaat calon BN.

Menggunakan kekuatan agensi seperti Risda telah mampu menguasai semula minda ekonomi politik pengundi Cina di Kampung Pulai yang rata-ratanya adalah pekebun getah. Demikian pula Kesedar telah mengumumkan perumahan rakyat bernilai RM180 juta dan JHEOA membuat kurungan khas (menjamu) pengundi Orang Asli sebelum mereka dihantar ke pusat mengundi. Sementara agensi seperti jabatan KEMAS, Penerangan, Pembangunan Wanita, RELA dan tidak ketinggalan Jabatan Pendaftaran Negara telah secara terang-terangan digunakan untuk tujuan kempen terhadap pengundi mahu pun menyediakan perkhidmatan meraih sokongan pengundi.

Keseluruhan faktor agensi di bawah Kerajaan Pusat itu dilihat berperanan, maka kemudahan termasuk peralatan dan kewangan telah disalurkan untuk kepentingan kempen BN di Galas.

Prestasi 2010 dibanding 2008

Punca PAS kalah di Galas secara mudah boleh difahami daripada prestasi undi yang raih antara dua pilihan raya, iaitu daripada pilihan raya umum 208 kepada pilihan raya kecil 2010. Jadual 1 berikut menunjukkan PAS berkurang undi hanya 265 undi sahaja. Ini mungkin faktor undi terapung yang beralih kepada BN. Puncanya ialah kerana kekuatan jentera kempen PAS yang tidak dapat menguasai undi terapung yang pernah dicapai 2008. Maka nilai 265 undi itu jika dinisbahkan dengan undi PAS 2008 ialah 6 peratus. Impaknya PAS kekurangan undi popular 10.25 peratus.

Jadual 1: Keputusan bandingan pilihan raya

2008-2010

Pilihan raya

PAS

BN

Beza

%PAS

2008

4,399

3,753

646

53.96

2010

4,134

5,324

-1,190

43.71

Perubahan

-265

1,571


-10.25

Apa pun disebabkan upaya BN menarik 1,571 undi atau 41.85 peratus dibandingkan dengan undi BN 2008, maka undi terapung, malah undi peribadi yang pernah dicapai Arwah Chek Hashim telah beralih kepada BN.

Demikian pula, analisis khas seperti Jadual 2 mendapati populariti PAS kalangan pengundi Orang Asli didapati hanya merosot pada kadar 17 peratus atau 66 undi dinisbahkan dengan undi PAS 2008 sebanyak 387 undi. Berbeza dengan BN yang mencapai lonjakan 75 peratus atau 567 undi dinisbahkan dengan undi BN 2008.

Jadual 2: Bandingan trend undi Orang Asli pilihan raya 2008-2010

Pilihan raya

PAS

BN

Beza

%PAS

2008

387

755

-368

33.89

2010

321

1,322

-1,001

19.54

Perubahan

-66

567


-14.35

Realiti tersebut membuktikan penggunaan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Malaysia dikira berkesan membawa kepada lonjakan undi maksimum pengundi Orang Asli keluar mengundi BN. Apakah isu ini wajar diamalkan dalam sistem demokrasi di Malaysia?

Sehubungan itu, pilihan raya kecil Galas kali ini menyaksikan suatu kerakusan kuasa state ke atas aparatusnya demi survival dominasi BN dalam mengukuhkan hegemoni! Jelas punca kekalahan PAS kali ini banyak disumbangkan oleh penggunaan maksimum jentera Kerajaan Pusat selain kelemahan persiapan dalaman PAS sendiri dalam menghadapi pilihan raya kecil.

Wan Nik Wan Yussof,

Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan.


Banjir: Selangor sumbang RM100 ribu pada Kedah

SHAH ALAM, 6 Okt: Kerajaan Negeri Selangor meluluskan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada Kerajaan Negeri Kedah bagi membantu mangsa banjir di negeri itu.

Bantuan itu diluluskan dalam mesyuarat Exco baru-baru ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri, Dr Halimah Ali kepada Harakahdaily.

"Saya sendiri akan menyerahkan RM40,000 di pejabat SUK Kedah tengah hari esok sebagai pendahuluan," katanya.

Sementara itu, PAS menganggap kenyataan Tan Sri Muhyidin Yasin satu fitnah apabila mengatakan kerajaan Kedah tidak buat apa-apa terhadap mangsa banjir di negeri itu.

Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, tinjauan beliau di kawasan mangsa banjir di mana petugas PAS dan kerajaan negeri bertungkus lumus membantu tanpa mengira ideologi parti dan agama.

Katanya, pihak kerajaan Kedah, pejabat daerah, pejabat zakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kesihatan, pihak polis, bekerjasama dengan baik untuk membantu di pusat perpindahan.

Yayasan Amal dan Unit Amal yang dianggotai oleh ahli PAS bercekang mata membantu mangsa banjir dengan tulang empat kerat tanpa diupah.

“Memang ada pusat yang dikendalikan oleh ahli Umno, yang tidak perlulah kita hendak ceritakan bagaimana rungutan mangsa banjir kepada kami.

“Bukan masanya untuk kita hendak mendedahkan keburukan yang dilakukan oleh pelaku ahli Umno sewaktu mengendalikan pusat banjir,” katanya.

Sehubungan itu, katanya PAS menasihatkan Muhyiddin janganlah membuat fitnah dan mendengar taklimat daripada ketua cawangan Umno.

“Usahlah berpolitik ketika rakyat ditimpa dengan banjir. Air banjir tidak kenal apa anutan ideologi,” ujarnya.


Program institusi keluarga mencari jalan penyelesaian permasalahan kekeluargaan

Gombak -Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil daya inasatif utama untuk menganjurkan acara 20 jam berturut-turut yang bertemakan ‘Memperkasakan Institusi Keluarga’ yang melibatkan sembilan kawasan daerah di Negeri Selangor.
YB Dato’ Dr. Hasan bin Haji Ali, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam merangkap ADUN Gombak Setia berkata "Bagi menjayakan program ini , Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Gombak, semua Tuan Nazir Masjid, Tuan Pengerusi Surau Daerah Gombak telah memberi kerjasama bagi memastikan program tersebut berjalan dengan lancar. Ini merupakan siri ke dua yang telah berjaya dilaksanakan setelah diadakan di K.Selangor pada bulan lepas.
"Tujuan utama mengadakan program institusi keluarga adalah mencari jalan penyelesaian permasalahan kekeluargaan yang boleh menyebabkan berlakunya gejala sosial keatas remaja-remaja sekolah".
Akibat keruntuhan rumahtangga yang dialami oleh ibubapa mereka sedikit sebanyak memberi impak negatif kepada diri, emosi anak-anak dan diri mereka sendiri.
Kepincangan rumahtangga inilah menyebabkan kes penceraian terutamanya di negeri selangor merupakan kes tertinggi tidak kira samaada golongan muda atau tua, ujarnya" .
Dato' Dr Hasan yang telah diberi mandat oleh Kerjaan Negeri Selangor bagi mengadakan program ini mengharapkan satu bentuk gerakan atau ‘movement’ akan berlaku setelah program ini dilaksanakan di seluruh negeri.
Katanya "Program Institusi Keluarga Gombak yang diadakan ini mendapat sambutan luar biasa sejak dari awal (khutbah Jumaat di Masjid Al-Syakirin Bt 6 Gombak) hingga keesokkan harinya telah diadakan Qiammulail dan munajat keluarga dirahmati yang telah dibimbing oleh Ustaz Osman Ibrahim yang merupakan pendakwah bebas pelapor zikir munajat".
"Terdapat berbagai pengisian yang amat bermakna telah dibincangkan dalam siri tersebut seperti Dailog usrah saadah yang telah dibimbing oleh Utz Zamri Hj Mohd Zainuddin, mari mengaji TV9 dengan mengupas isu sebab Anak menjadi liar, ciri-ciri calon dalam syariat islam, ciri-ciri ibubapa yang dirahmati, kegagalan pembentukkan keluarga sakinah dan lain-lain lagi".
Pada keesokan harinya program ini juga telah diadakan pengisian tazkirah subuh yang menyentuh ibubapa dan anak, Formula Keluarga Mithali yang telah disampaikan oleh Dato' Dr Hasan.
Dato' Dr Hasan yang ditemui dalam program tersebut berkata "Sebanyak 30 khemah beserta ruang dalam dan luar masjid dipenuhi oleh segenap lapisan masyarakat di Gombak termasuk pimpinan di peringkat daerah, pegawai daerah, ketua-ketua penolong pegawai daerah, jurutera-jurutera daerah, Sek. Ren. Agama, KAFA Integrasi serta orang ramai seluruh Daerah Gombak.
Ketua jabatan dan warga kerja masing-masing mengikuti program daripada awal hingga akhir termasuk Qiamulail dan munajat kekeluargaan yang bermula sejak 4 pagi Sabtu".
Katanya program forum ini telah dihadiri oleh penceramah-pencerah dan ahli-ahli panel seperti Ustaz Zamri (Mari Mengaji TV9) dan Ustaz Dr Sofi, Utz Zamri Bin Zainal Abidin (Radio Ikim) telah menyerikan acara-acara program.
Program terus-menerus 20 jam ini begitu diminati. Para hadirin yang hadir terpaku di tempat duduk masing-masing mengikuti kuliah yang disampaikan.
Pensyarah-pensyarah telah memberi contoh-contoh yang hidup dengan jenaka yang munasabah bagi mengelakkan kebosanan. Perbincangan 2 hala telah dibuka kepada yang hadir bagi membincangkan isu institusi kekeluargaan, katanya.
Selain daripada itu, seramai 50 orang fakir miskin telah menerima sumbangan bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan beberapa orang yag telah terpilih menerima sumbangan cheque untuk bantuan modal perniagaan sebanyak RM6,148.00, Bantuan bina rumah Rm38,000 yang telah disampaikan oleh Dato' Dr Hasan.
Mohd Syah Mohd Osman yang telah menerima bantuan bina rumah RM38,000 melahirkan rasa kegembiraan dan kesyukurannya kerana (LZS) dan Kerajaan Negeri telah memberi perhatian diatas kesusahan yang dialami . Beliau yang telah ditimpa musibah kemalangan jalan raya ketika membawa teksi telah mengalami kecederaan yang parah 1thn yang lalu.
Beliau yang tidak berupaya untuk meneruskan kehidupan dengan keadaan rumah yang sangat dhaif telah menyuarakan masaalah yang dialami kepada (LZS) agar dapat meringankan bebanan yang dialami seisi keluarga. Alhamdulilah atas keperihatinan tersebut rumah saya telah pun siap dibina untuk berteduh, katanya.


Koleksi Foto

















SIMFONI KASIH TAUTAN HATI