Tuesday, August 31, 2010

Orang Asli "Anak Yatim Piatu, Fakir Miskin Ibu Tunggal Menerima Bantuan Sumbangan Sempena Ketibaan Syawal"


Gombak - Seramai 250 orang golongan fakir miskin, anak yatim piatu dan ibu tunggal Orang Asli Batu 12 Gombak telah mendapat perhatian oleh Badan NGO Wirda Gombak dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Gombak Setia dengan menyampaikan wang sumbangan dan kelengkapan persiapan Hari Raya Aidilfitri.


Majlis sumbangan tersebut telah disempurnakan oleh Y.B Dato' Dr Hasan B. Mohamed Ali, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam merangkap ADUN Gombak Setia. Tuuan sumbangan diberi adalah untuk membantu golongan tersebut membuat persiapan ketibaan Bulan Syawal yang akan tiba tidak lama lagi.


Berucap di dalam Program Berbuka Puasa YB Dato’ Dr. Hasan berkata, "dalam kita membuat persiapan ahli keluarga jangan sekali kita lupa kepada golongan yang tidak berupaya dan golongan yang amat memerlukan pertolongan meskipun mereka tiada pertalian kekeluargaan dengan kita, tetapi jalankan tanggungjawab kita sebagai saudara sesama muslim dengan memberi bantuan kepada golongan tersebut".



Dengan memberi bantuan kewangan dan apa sahaja bentuk bantuan, saya yakin mereka akan menerima dengan hati yang gembira dan terharu kerana mereka merasakan ada insan yang mengambil berat dan prihatin terhadap kesusahan mereka alami.

Pemberi derma juga tidak akan merasa rugi bahkan ganjaran pahala dan rezeki semakin bertambah kerana ISLAM amat menggalakkan umatnya membuat amal jariah dan membantu golongan fakir miskin, anak yatim piatu dan ibu tunggal, katanya.

Jelas beliau lagi, Untuk meraih pahala yang lebih maka seharusnya mendidik diri kita dengan meringankan diri, dan tangan kita untuk memberi. Dengan memberi kita dapat mengeratkan siraturrahim bahkan pahala diberi dengan mengembirakan hati kepada penerima.



Ganjaran orang-orang yang suka memberi bantuan sedekah, ALLAH swt akan melipat gandakan rezeki yang lebih baik, membersihkan harta kita setelah mengeluarkan zakat fitrah malahan akan selamat daripada berbagai musibah, katanya.

Selain daripada itu, Y.D Dato' Hasan mengingatkan kepada semua yang hadir dalam majlis tersebut "Sempena Nuzul Al-Quran yang rata-ratanya umat ISLAM menyambutnya maka adalah lebih baik kita memperbanyakkan amalan kita samada bersedekah, berzkir, membaca Al-Quran, menghidupkan malam Lailatul Qadr dan sebagainya". Lakukan ibadah tersebut untuk mencari keredhaan ALLAH swt semata-mata, insya-ALLAH ganjaran pahala diberi berlipat kali ganda.

I

Ibubapa seharusnya menggalakkan anak-anak ke surau dan masjid pada waktu cuti sekolah untuk bersama-sama mengimarahkan masjid dan surau dengan mengikuti berbagai program yang telah disusunkan oleh pihak pengurusan masjid dan surau sempena Nuzul Al-Quran.

Anak-anak harus diberi didikan dengan mencintai rumah ALLAH. Didikan ini bukan sahaja hanya bulan ramadhan tetapi harus dikekalkan sampai bila-bila sahaja.



Apabila mereka diberi peringatan dengan amaran-amaran ALLAH dengan mendekati rumah ALLAH, insya-ALLAH akhlak mereka terjaga bahkan mereka tidak melakukan kemungkaran apabila didalam hatinya dibajai dengan iman dan ketaqwaan kepada ALLAH swt.

Bulan ramadhan merupakan bulan tarbiyah kepada semua umat ISLAM. ALLAH swt memberi peluang kepada kita semua 30 hari untuk merebut ganjaran pahala dengan melakukan ibadah setelah bulan-bulan lain kita dilalaikan hal keduniaan semata-mata.

Oleh itu, dengan menghampiri Fasa ke 3 ramadhan ini seharusnya kita memperhebatkan ibadah ini dengan bersungguh-sungguh untuk merebut malam Lailatul Qadr yang merupakan 1 malam yang amat mulia daripada bulan-bulan lain.

Amatlah rugi sekiranya umat ISLAM terus terleka dan tidak berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk merebut peluang tersebut, katanya dalam majlis penyampaian sumbangan kepada orang Asli di Surau Al-Hidayah Batu 12, Gombak.

Majlis tersebut juga telah diadakan dengan doa selamat dan majlis berbuka puasa bersama warga orang asli.



Editor :Khaulah Azwar

Saya Tidak Akan Letak Jawatan

Shah Alam - 'Saya tidak akan meletakkan jawatan dan tiada apa - apa kepentingan untuk melakukannya,"Kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal ISLAM, Adat Meayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam / ADUN Gombak Setia, Y.B Dato' Dr Haasan Mohamed Ali berhubung gesaan pemuda UMNO/BN Selangor.

Menurutnya, isu penyertaan Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching dalam majlis bantuan kewangan Kerajaan Negeri di Surau Al-Huda, Kajang dan ucapan ringkas beliau dengan menyampaikan sumbangan bantuan telah diberi penjelasan oleh Pentadbiran Surau Al-Huda.
Katanya lagi, berhubung dengan penjelasan itu, beliau mendapati Nie Ching dijemput sebagai tetamu untuk menyampaikan bantuan kewangan yang diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri dibawah parlimen Serdang.

Beliau (Nie Ching) dijemput masuk ke dewan solat surau untuk menyampaikan bantuan dan seterusnya menyampaikan ucapan ringkas yang tertumpu kepada usaha Kerajaan Negeri Selangor dalam membantu pelajar ke peringkat pengajian tinggi.
Perkara ini telah diekspolotasi oleh pihak yang ingin "menanguk air yang keruh" dan menimbulkan reakrasi segera di pihak Majlis Agama ISLAM Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama ISLAM Selangor (JAIS)", katanya dalam sidang akhbar baru-baru ini di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Menurutnya lagi, Pengerusi, Bendahari Surau dan Pembantu Khas Nie Ching telah dipanggil untuk memberi keterangan di hadapan Pengerusi MAIS, Pengarah JAIS dan Wakil Istana.

Katanya, Selepas pertemuan tersebut, keputusan telah dibuat iaitu membubarkan jawatankuasa surau dan MAIS mengambil alih pentadbiran surau tersebut.

"Sebuah akhbar melaporkan begitu berat sebelah mengenai kejadian ini apabila mendakwa Nie Ching menyampaikan "Tazkirah" dan beliau dilaporkan menyampaikan bantuan kewangan kepada ahli PAS".

"Sehubungan dengan itu, saya telah memanggil Jawatankuasa surau Al-Huda untuk menjelaskan kepada saya kejadian yang sebenarnya," katanya.

Menurutnya lagi, beliau menerima penjelasan dariapa Nie Ching dan menghormati hasrat beliau untuk menyembah ampun kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Katanya, beliau akan memanggil Pengarah JAIS Dato' Mohamammad Khusrin Munawi untuk mendapatkan penjelasan mengenai tindakan yang telah diambil oleh beliau berhubung perkara ini.

"Saya akan cuba menasihatkan semua pihak termasuk ahli politik demi menjaga sensitiviti setiap golongan rakyat agar mereka dapat memaklumkan rancangan kehadiran mereka kepada pihak berwajib supaya tatacara penggunaan surau dan masjid dapat dipatuhi.

Selain daripada itu, pihak pengurusan surau dan masjid harus memberi keterangan yang jelas adab-adab memasuki masjid dan surau kepada pengunjung Non Muslim. Jika perkara ini dilakukan saya yakin mereka akan mematuhi dengan baik.
'Dengan cara ini diharapkan kejadian yang telah berlaku di Serdangn tidak berulag lagi dan saya akan mencadangkan suapaya peraturan digubal lebih terperinci dengan langkah-langkah yang mesti dipelihara bagi mereka yang berhajat menggunakan kemudahan surau dan masjid", jelasnya.



Editor : Khaulah Azwar

Sunday, August 29, 2010

Sedia Mohon Maaf, Teo Jernihkan Keadaan & Tohmahan

Sekalipun tidak pernah berhasrat mencemar kesucian Islam apabila memasuki bahagian dalam surau al-Huda di Kajang Central, Ahli Parlimen Serdang, Toe Nie Ching tidak keberatan membuat permohonan maaf jika tindakannya meresahkan umat Islam di negara ini.
.
Di sebalik percaya peristiwa itu dipersenda pihak tertentu atas matlamat politik, beliau sedia menjernihkan keadaan dan mengindar perasaan kurang senang sekali gus mengelakkan perselisihan di kalangan masyarakat Islam.

Dengan merendahkan diri dan bersikap beralah, beliau sedia memberi penjelasan dan permohonan maaf kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris berhubung peritiwa berkenaan.

Dalam kenyataan media, Teo Nie Ching menjelaskan tujuan beliau ke surau Al Huda adalah untuk menghulurkan sumbangan kerajaan negeri bagi memperbaiki surau dan menyertai program berbuka puasa.

“Pada Ahad 22 Ogos, saya sebagai ahli parlimen Serdang mengunjungi Surau Al-Huda, Kajang untuk menghulurkan bantuan berbentuk memperbaiki pagar surau dan berbuka puasa bersama ahli jawatankuasa dan jemaah surau.

"Oleh kerana saya dijemput untuk memberi sepatah dua kata, saya dengan secara ikhlas memberikan sedikit penjelasan mengenai program pendidikan kerajaan negeri yang memanfaatkan rakyat Selangor,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor , Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata Sultan Selangor murka dan dukacita terhadap tindakan Teo Nie Ching itu memberi ucapan dalam surau berkenaan.

Bagaimanapun, kemurkaan baginda bukan dititahkan baginda sendiri sebaliknya disampaikan Pengerusi Mais, sebuah badan agama yang diketahui umum, berkait rapat dengan kerajaan persekutuan.

Apapun, Teo Nie Ching kesal kerana kejadian itu sengaja dihangatkan pihak tertentu untuk tujuan politik sedangkan hasratn bertandang ke rumah ibaadat sebuah agama yang bukan anutannya, berniat murni.

“Saya menyesal bahawa perkara ini menimbulkan perasaan keresahan antara umat Islam negara kita dan isu ini telah diperhangatkan pihak tertentu atas sebab politik.

"Saya ingin menegaskan secara ikhlas dan murni bahawa lawatan saya ke Surau Al-Huda tidak berniat politik, tidak bermotif untuk menyebabkan kesucian surau dan masjid dipersoalkan,” katanya.

Sungguhpun begitu, beliau akan lebih berhati-hati pada masa depan supaya tindakannya itu tidak mudah dimanipulasi pihak tertentu.

“Saya menyambut baik pesanan, peringatan dan nasihat dari semua pihak mengenai perkara tersebut, dan akan dengan segala upaya, menjalankan tugas saya dengan lebih berhati-hati supaya tidak menimbulkan perasaan kurang senang dan perselisihan faham di kalangan umat Islam pada masa yang akan datang," katanya.

Nik Aziz: Bukan Islam Digalak Hampiri Masjid, Rapati Islam

Tidak faham agama itu puncanya.Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz berkata, isu bukan Islam memasuki masjid bukan satu kesalahan dalam Islam kerana ianya antara kaedah yang diguna Nabi Muhammad SAW dalam menyampaikan mesej dakwah.

Isu ini menjadi polemik dalam masyarakat akibat sentimen politik mengatasi kefahaman agama Islam yang murni.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching yang masuk ke Surau Al-Huda di Kajang Ahad lalu, yang kini hangat diperkatakan.

“Oleh kerana hubungan kita dengan Islam semakin jauh, belajar pun tidak, maka bila tiba perkara-perkara macam ini, terus timbul masalah.”

“Padahal kalau kita balik dari sejarah asal, ramai dari penduduk Arab Qurasy yang kafir datang jumpa Nabi. Nabi letak dalam masjid, mereka tidur dalam masjid, makan dalam masjid, bahkan kencing dalam masjid”.

Tambah Nik Aziz ,tindakan mempolemikkan isu tersebut juga bukan sahaja akan menjauhkan orang bukan Islam kepada Islam, malah bertentangan dengan sunnah Nabi.

“Jadi bila ada orang bukan Islam sekarang ni masuk dalam masjid, tak ada apa pun. Nak ceramah ke, nak apa ke, tak ada masalah apa pun,”

“Menjauhkan orang bukan Islam dengan masjid adalah budaya kita sahaja, bukan ajaran nabi,”

Dalam Islam menurutnya, Muaalaf ditafsir dengan tiga golongan iaitu mereka yang baru memeluk Islam, belum Islam tetapi cenderung memeluk Islam dan orang bukan Islam tetapi menghormati dan tidak menentang Islam.

Menyentuh mengenai tidak menutup aurat ketika memasuki masjid, Tuan Guru berkata, mungkin masalah penjaga masjid tidak memberitahu kepadanya.

“Jadinya dalam tiga ini hanya satu sahaja yang kita guna. Dua lagi kita biarkan menyebabkan masyarakat kita semakin jauh dengan yang bukan Islam,”

Bayaran elaun guru Pasti Kelantan dalam Dirham

KOTA BHARU, 29 Ogos: Selepas Persatuan Tahfiz al-Quran Malaysia (Permata) bercadang untuk membayar gaji kakitangannya menggunakan Dinnar dan Dirham, Guru-guru Pasti Kelantan juga turut menerima Dirham sebagai bayaran elaun bulanan mereka.

Mereka telah menerima elaun bulanan berupa tiga keping Dirham yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa.

Penyampaian dibuat pada satu majlis khas yang diadakan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), dekat sini semalam.

Pengagihan bayaran elaun menggunakan Dirham tersebut sebagai sokongan terhadap Dinar dan Dirham yang diperkenalkan kerajaan Kelantan.

Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Pasti Kelantan, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman, Chegu Mohd Nuri Yaacob serta lain-lain pimpinan Pasti peringkat negeri dan kawasan.

Husam ketika berucap pada majlis itu memberitahu, kerajaan negeri berusaha menghidupkan Dinnar dan Dirham setelah umat Islam telah ‘ditidurkan’ dalam tempoh yang panjang.

Katanya, sistem Dinnar dan Dirham sewajarnya dihidupkan semula oleh umat Islam zaman kini setelah yahudi mula melenyapkannya bermula tahun 1840 di zaman kerajaan Othmaniyah.

"Dinar dan Dirham yang diperkenalkan Kelantan menggunakan ukuran diperkenalkan Saidina Omar 4.25 gm dan akan bernilai di seluruh dunia.

"Sedangkan mata wang kita ada negara-negara tidak menerimanya sekiranya tidak membuat pertukaran terlebih dahulu sebelum ke negara terbabit,"ujarnya.

Husam turut mengingatkan masyarakat supaya tidak menggunakan Dinnar dan Dirham sewaktu nilaiannya jatuh dan menyarankan menggunakan Ringgit Malaysia,

"Jangan terpedaya dengan dakwaan pihak tertentu yang mengatakan rakyat akan rugi sekiranya mengunakan mata wang Dinnar dan Dirham.

"Kita harus ingat, sistem tersebut adalah ajaran Islam dan ianya terkandung dalam al-Quran sendiri,"ujarnya.

Tiada Ambang Merdeka, hormati kemuliaan Ramadhan

PULAU PINANG, 29 Ogos: Buat kali kedua, Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak menganjurkan program 'Ambang Merdeka' sebagai menghormati bulan Ramadhan yang sedang dihayati oleh umat Islam seluruh dunia, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Komtar, Ng Wei Aik.

Beliau yang lazimnya diamanahkan merancang program sedemikian menegaskan, keengganan Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang tidak bererti tidak menghayati saat-saat kemerdekaan tetapi kerana bulan Ramadhan bulan mulia, ia hanya disambut pada keesokan hari seperti pembarisan.

"Tahun ini merupakan tahun kedua kita tidak mengadakan sambutan ambang merdeka untuk menghormati bulan Ramadhan yang mulia. Jangan ada pihak pula mencetuskan isu kerajaan negeri tidak hormati kemerdekaan kerana di siang hari pembarisan tetap dilaksanakan," jelasnya ketika berucap pada majlis Ihya Ramadhan anjuran Lajnah Penerangan PAS di Tapak Ekspo, Seberang Jaya malam tadi.

Namun bagi sektor swasta ia disambut seperti biasa bagi mengenang kembali sejarah silam perjuangan Tunku Abdul Rahman melaungkan perkataan keramat merdeka sebanyak tiga kali menandakan bendera Malayan Union diturunkan.

Lagipun, katanya kerajaan negeri dapat menjimatkan perbelanjaan sekiranya sambutan sebegitu tidak dibuat.

Apa yang penting sekarang, ujarnya rakyat yang cintakan keamanan dan kemakmuran wajar mengukur tema hari kemerdekaan tahun ini iaitu '1Malaysia Menjana Tranformasi' .

Katanya, jika mahukan tranformasi berlaku, rakyat Malaysia usah lagi berpeluk tubuh tetapi bersama menjulang usaha memenangkan Pakatan Rakyat pada piliharaya umum ke 13 kelak untuk membuktikan tranformasi benar-benar menjadi kenyataan.

Tambahnya, bukan sekadar slogan rakyat disuruh melakukan perubahan sedangkan jiwa rakyat dibelenggu dengan hutang negara yang maskin bertambah.

"Akibat pembaziran Kerajaan Malaysia, setiap rakyat termasuk bayi yang baru dilahirkan terpaksa menanggung hutang sebanyak RM14,700. Apakah dosa bayi yang baru lahir walhal semuanya perbuatan kerajaan yang boros, " tegasnya.

Bagi mencapai matlamat negara maju pada tahun 2020 nanti, katanya tidak mustahil Malaysia akan dikenali sebagai negara maju yang bankrap apabila banyak pelabur asing keluar dari negara ke Indonesia dan Thailand.

Ini kerana, katanya pelabur yakin dengan ketetapan dasar atau polisi negara berkenaan walaupun sesiapa yang memerintah berbanding dasar di Malaysia yang senantiasa berubah mengikut gaya masing-masing.

"Di mana hilangnya Islam Hadhari ciptaan Tun Abdullah Ahmad Badawi bila dia bersara dan tidak mustahil slogan 1Malaysia pun akan hilang dari sebutan rakyat ketika mana individu lain pula memerintah menggantikan Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya yang juga setiausaha politik kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Friday, August 27, 2010

Umno tentang Majlis Fatwa

KUALA LUMPUR, 28 Ogos: Tindakan Umno mengapi-apikan isu bukan Islam memasuki Masjid dilihat menentang keputusan muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Beliau mengulas laporan muka depan Utusan, mempolitikkan kunjungan Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching ke Surau Al-Huda di Kajang Ahad lalu.

Muzakarah Kali Ke-90 jawatankuasa tersebut yang bersidang pada 1 Mac 2010 lalu telah memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat keizinan pihak pengurusan masjid dan perlakuan serta tingkah laku mereka tidak mencemarkan kesucian masjid dan sentiasa terkawal dan beradab.

Walaubagaimanapun, mengikut keputusan itu, perbuatan berdoa atau bertafakur oleh pelancong bukan Islam mengikut cara agama mereka dalam keadaan yang boleh menimbulkan fitnah adalah dilarang.

"Nyatalah histeria Umno dan konco-konconya itu memalukan umat Islam dengan tindakan mereka yang bukan-bukan sehingga perkara yang diputuskan halal pun diharamkan oleh mereka," kata Mahfuz.

Keharusan tersebut juga sebagai cara menunjukkan keindahan Islam kepada bukan Islam.

Umat Islam juga dibenarkan melakukan ibadah sembahyang walaupun di dalam gereja kerana Saidina Umar al-Khattab pernah melakukannya.

"Umat Islam janganlah mengizinkan diri mereka diperbodohkan oleh politik perkauman Umno," jelasnya.

Dalam pada itu Teo Nie Ching menjelaskan beliau hanya mahu menyampaikan sumbangannya bagi memperbaiki pagar seperti yang diminta oleh pihak pengurusan surau tersebut.

Mengenai tindakan memasuki ruang solat utama di surau itu, Teo berkata, beliau hanya memenuhi jemputan.

"Pada hari tersebut mereka menjemput saya masuk.

"Saya tidak dinasihatkan oleh (pengurusan) surau untuk memakai tudung. Saya (pun pada mulanya) tidak menyangka saya boleh masuk surau itu," jelasnya.

Alhamdulilah diberi Kesempatan untuk meneruskan Kehidupan ini


Alhamdulilah dipanjat kesyukuran kepada ALLAH swt kerana hari ini merupakan cuti umum beberapa negeri smpena menyambut Nuzul Al-Quran dimana sejarah ISLAM terukir dengan Al-Quran di turunkan.

Sempena Nuzul Al-Quran ia memberi makna pada ana untuk tahun ini dimana secara kebetulan ia merupakan hari Ulangtahun ana yang jatuh pada hari Jumaat juga..

Alhamdulilah.. sujud syukur kpd ALLAH swt tanda berterima kasih kepadaNya yang memberi peluang utk ana meneruskan kehidupan yang banyak ujian dan rintangannya.

Dikesempatan yang ada ana manfaatkan masa cuti dengan menziarahi pusara ayahanda ana yang telah pulang kerahmatuallah.

Sungguh pantas masa berlalu kini genap 3 tahun arwah abah pergi meninggalkan kami semua. Ana bawa anak buah ana yang sentiasa menjadi body guard ana… kami membersih pusara abah..

Setitis demi setitis airmata ana mengalir mengigati arwah. Terlalu rindu padanya.Al-fatiha dan bacaan surah yasin dihadiahkan untuk dirinya dan umat ISLAM yang telah pulang kerahmatuallah. Semoga roh mereka ditempatkan di dalam golongan orang yang beriman dan beramal soleh.

Disebalik kesedihan terselit 1 kegembiraan. Dengan izin ALLAH, Alhamdulilah diberi peluang untuk ana meraikan ulangtahun ana bersama anak yatim piatu, warga emas dengan doa selamat yang telah dibacakan oleh Y.b Dato’ Dr Hasan Mohamed Ali, Exco Kerajaan Negeri Selangor/ADUN Gombak Setia.

Tersentuh hati ana apabila doa dibacakan, semoga doa tersebut dimakbulkan ALLAH swt hendaknya. Terima Kasih kepada beliau bersama semua yang hadir dan tidak lupa juga kepada pengikut-pengikut beliau yang setia bersamanya.

Sumbangan Wang dan persiapan Hari Raya telah disampaikan oleh Y. B Dato' Hasan dengan kerjasama Badan NGO WIRDA. Semoga sumbangan diberi dapat meringanakan kepada mereka untuk membuat persiapan hari raya nanti.

Semoga ALLAH memberkati diri Y. B Dato’ Hasan bersama ahli keluarganya. Diberi kekuatan dalam meneruskan tanggungjawabnya sebagai pimpinan..Terharu dengan apa yang dilakukan walaupun secebis doa dipanjatkan. Sedikit sebanyak terubat juga hati ini apabila diri yang sudah kehilangan seorang Ayah.

Ya-ALLAH ramatilah usiaku terimalah amal ibadahku, dan berkati kehidupanku, Amiin ya rab. Majlis bersurai Jam 8 selepas solat be jemaah. Ana bergegas nak pulang kerumah untuk bersama ahli keluarga ana untuk meraikan majlis di luar pula.

Sebelum ana meraikan majlis ini bersama keluarga, ana hantar makanan di surau TMNS untuk bersama meraikan sahabat-sahabat jemaah surau disini, alhamdulilah walaupun rasa penat dengan buat persiapan masak tapi hati cukup puas apabila dapat menjamu anak-anak yatim piatu, warga emas dan jemaah surau. Moga ALLAH terima amal ana. Ya-ALLAH terima kasih atas segalanya..



Wednesday, August 25, 2010

SELANGOR TUBUH RUMAH PERHENTIAN SEMENTARA UNTUK LINDUNGI BAYI YANG DIBUANG

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan menubuhkan Rumah Perhentian Sementara bagi melindungi bayi yang dibuang dan ditinggalkan oleh ibu bapa atau pihak lain yang tidak bertanggungjawab.


Anak syarikat Negeri Selangor, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) telah bersetuju untuk menyediakan Rumah Perhentian Sementara ini sebagai salah satu tanggungjawab sosial kepada masyarakat.


Rumah Perhentian Sementara ini akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan peralatan untuk penjagaan bayi dan Kerajaan Negeri berharap rumah ini dapat menolong mengurangkan kejadian bayi-bayi ini ditinggalkan di merata tempat.


Menteri Besar Tan Sri Dato Seri Abdul Khalid Ibrahim berkata langkah menyediakan rumah ini tidak bermakna Kerajaan Selangor menggalakkan maksiat atau mendorong kepada kes buang bayi sebaliknya sebagai langkah segera untuk menyelamatkan bayi yang ditinggalkan.


“Dengan adanya Rumah Perhentian Sementara ini ia akan dapat menjamin keselamatan bayi ini dan memudahkan tindakan susulan diambil oleh pihak berkuasa,” katanya.


Menteri Besar juga berkata Rumah Perhentian Sementara ini akan diuruskan oleh Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) yang diterajui oleh isteri beliau Puan Sri Salbiah Tunut.


Selain itu, satu talian bebas tol (tol free) akan diwujudkan untuk membolehkan orang ramai mendapatkan nasihat, maklumat dan perkhidmatan yang ditawarkan.


Pelajar-pelajar Kursus Kejururawatan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) akan membantu Pekawanis menguruskan rumah ini selain kerja sama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain.


SEKRETARIAT AKHBAR

PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR



--
Sekretariat Akhbar
Pejabat Dato' Menteri Besar Selangor
Tel: 03 5544 7452 Fax: 03 5510 9686
www.selangorkini.com.my
www.tvselangor.com
http://www.youtube.com/user/mbselangor

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI