Sunday, November 1, 2009

Jln Dakwah Hanya 1






Jalan dakwah hanya satu. Jalan inilah yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda. Demikian juga kita dan para pendokong dakwah, sama-sama melaluinya berpandukan taufik dari Allah s.w.t. Kita dan mereka melaluinya berbekalkan iman, amal, mahabbah (kasih sayang) dan ukhuwwah (persaudaraan).

Rasulullah s.a.w. menyeru mereka kepada iman dan amal, kemudian menyatupadukan hati-hati mereka di atas dasar mahabbah dan ukhuwwah. Berpadulah kekuatan iman, kekuatan akidah dan kekuatan persatuan. Jadilah jamaah mereka jamaah yang ideal sebagai model. Kalimahnya mesti lahir dan dakwahnya pasti menang walaupun ditentang oleh seluruh penghuni muka bumi ini.

Penjelasan Umum Mengenai Jalan Ini

Dakwah Ikhwanul Muslimin merupakan satu suara dakwah dari siri dakwah dan seruan Rasulullah s.a.w. yang pertama, yang tersemat kukuh di hati mukminin dan berulang kali menjadi sebutan di lidah mereka. Mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk menanam keimanan di hati umat Islam supaya mengamalkannya dalam setiap kegiatan hidup mereka, supaya hati-hati mereka berpadu di atasnya. Sekiranya mereka dapat berbuat demikian Allah akan menolong dan membantu mereka serta menunjukkan mereka jalan yang benar dan lurus. Marilah kita beriman dan beramal. Marilah kita berkasih sayang dan bersaudara.

Hala Tuju: Inilah setinggi-tinggi hala tuju yang kita harus berusaha kepadanya. Lantaran itu, Allahlah tujuan kita. Tidak ada suatu yang kita tuju kecuali Allah. Kita beriman kepadaNya. Kita melihat segala sesuatu untuk Dia di dalam hidup kita. Kita beribadah kepadaNya dengan sepenuh hati. Kita mencari keredhaanNya dalam setiap usaha kita dari sekecil-kecil perkara hingga kepada sebesar-besarnya dalam setiap kegiatan hidup kita dengan penuh ketulusan dan keikhlasan yang sempurna serta benar-benar yakin bahawa disitulah terletaknya kebahagiaan yang sejati, hidayah yang hakiki dan kejayaan yang sebenar.

"Maka segeralah kembali kepada (mentaati) Allah. Sesungguhnya aku seorang pemberi peringatan yang nyata dari Allah untukmu " (AzZaariyat: 50)

Tugas dan Kepentingannya adalah besar dan agung iaitu memimpin dunia, mengajar seluruh manusia kepada sistem Islam, cara hidup Islam dan ajaran yang baik di mana manusia tidak mungkin bahagia tanpanya. Tugas ini bukan tugas juz 'iah, bukan separuh-separuh dan bukan sebahagian-bahagian. Bukan hanya untuk mencapai tujuan-tujuan terbatas di dalam jurusan politik, sosial dan ekonomi sahaja. Bukan juga hanya untuk satu tempat atau satu daerah tertentu. Bukan juga terbatas kepada satu bangsa dan tanahair yang tertentu. Tetapi ia satu tugas agung yang meliputi setiap aspek kehidupan demi kebaikan yang paling sempurna dan paling bahagia kepada seluruh manusia dan manusia sejagat, bahkan bagi seluruh makhluk Allah kerana sesungguhnya Rasulullah itu diutus untuk membawa rahmat ke seluruh alam. Balasannya sangatlah besar. Selain daripadanya adalah kecil belaka. Segala yang ada dalam kehidupan kita di dunia, semua nikmat, harta benda, kekuasaan, kesenangan dan kemewahan semuanya kecil belaka. Balasannya di sana adalah syurga yang seluas langit dan bumi. Di dalamnya disediakan apa yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas oleh fikiran. Di sana kita akan bersama dengan para anbiya', para siddiqin, para syuhada' dan para salihin kerana merekalah sebaik-baik sahabat. Kita akan terselamat dari azab neraka yang bahan bakarnya terdiri dari batu dan manusia. Kemuncak dari itu semua ialah 'keredhaan Allah'.

"Dan keredhaan Allah adalah lebih benar, itu adalah keberuntungan yang besar.”

Petikan Tulisan Syeikh Mustafa Masyhur

Rapatkan Saff Mantapkan Ukhuwwah-pesanan dpd pimpinan Utz Nasharudin Hasan Tantawi.




1. Kewajipan ternyata lebih banyak dari masa yang ada pada kita . Justeru itu , jangan lengah , alpa dan bersahaja .Sebaliknya tangkas , tuntas dan cergas .

2. Jangan buka terlalu luas ruang untuk berkhilaf kerana disana terlalu banyak sudut yang boleh kita bersama .

3. Padam secepat mungkin api fitnah yang semakin merebak dan membinasakan jamaah . Sebaliknya , segeralah nyalakan obor persaudaraan [ ukhuwwah fillah ] dan sematkan jiwa berjuang untuk menjulang panji perjuangan ke arah membina negaraToiyyibah [ sejahtera ] dan mengharapkan curahan Maghfirah [ keampunan ]

4. Peliharalah wadah perjuangan suci ini daripada panahan syaithan dan racun iblisagar ia tidak musnah binasa . Korbankanlah perasaan dan apa jua kepentingan diri dan dunia kita andai ia membuatkan jamaah terpelihara , lantaran pengorbanan adalah syarat kemenangan bagi perjuangan suci ini.

5. Mengorbankan tenaga , masa dan wang ringgit barangkali mudah bahkan jauh lebih mudah berbanding korban perasaan terutama saat berdepan keputusan yang tidak memihak kepada kemahuan dan keinginan kita . Sungguhpun demikian , mengorbankan perasaan untuk menerima keputusan mesyuarat [ syura ] sebagai contoh , adalah sebahagian dari ketaatan yang dituntut oleh syara' biar dikala sukar dan getir .

6. Suatu yang paling bernilai dan penting dalam jamaah kita ialah persaudaraan [ ukhuwwah fillah ] dikalangan kita . Ukhuwwah yang diperkaya dengan nilai mahabbah [ kasih sayang ] dan tasaamuh[tolak ansur ] yang tinggi . Jauh dari bayangan hasad dengki , dendam dan khianat .

7. Seketika jamaah kita terpaksa mengharungi zon sukar . Badai yang mampu menghancurkan seluruh struktur utama jamaah , jika pemimpin dan anggota tidak benar - benar mempertahankannya dengan semangat cintakan Islam dan jamaahnya .

8. Jamaah yang benar dan suci ini mengundang dendam dan cemburu yang sungguh dahsyat dari musuh durjana . Inilah yang telah didedahkan oleh Allah swt di dalam kitab suciNya . Kelicikan mereka dengan bara dendam yang tidak kunjung padam terhadap cita - cita perjuangan Islam ini bisa sahaja membuatkan mereka berani dan nekad menyusup masuk , menyelinap dari celah saf pejuang - pejuang kita lalu membisikkan sejuta fitnah yang menjarakkan mereka malah mencetus sengketa .

9. Sejarah semalam memang masih membekas bahkan pedihnya masih terasa angkara panahan fitnah . Namun bukankah kita selalu dituntut agar berkorban demi perjuangan ? lalu , lupakan lah sengketa lama dan padamkan lah api kebencian . Kita tautkan kembali ikatan ukhuwwah yang longgar akibat gegaran semasa melintasi zon sukar tersebut . Kini kita fokus tanggungjawab dan amanah perjuangan yang belum selesai ditunaikan . Mentari esok masih sedia menyinar . Terpulang kepada kita , apakah mahu terus melangkah atau kita masih tidak mahu mengalah .

10. Fikirkan masa depan perjuangan ini buat generasi akan datang . Janganlah kita rosakkan segalanya kerana mengidam sebuah kepuasan yang belum pasti . Hulurkan tangan kalian , kita bersilang menderap langkah tanpa menoleh lagi mengenang tragedi silam demi masa depan Islam yang gemilang . Ayuh , kita hadapi musuh tanpa ragu !

Note daripada Khaulah Azwar : Semoga suntikan tersebut membuka minda pembaca & pengunjung blog yg cintakan perjuangan ISLAM. Jgn biarkan musuh memasuki ruang walaupun sedikit. Jgn kita terleka walaupun sesaat. Kita semua diamanahkan oleh ALLAH swt utk teruskan perjuangan demi ISLAM jgn mengalah dan menunding jari ingatlah saat kita menunjuk 1 arah pd org lain dan 4 lagi itu kita tujukan pada diri kita sendiri... muhasabah perlu ada,, perbaiki diri iman dan amalan kita untuk meneruskan tgjwb yg amat berat ini... UKHWWAH FILLAH...Ya-ALLAH berikan kami kekuatan meneruskan perjuangan & amanah ini dgn baik, 1kanlah hati2 kami dan pimpinan kami jauhkan dpd segala fitnah dunia akhirat pd kami semua dalam membantu agamamu..amiin ya rab..

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI