Sunday, August 29, 2010

Sedia Mohon Maaf, Teo Jernihkan Keadaan & Tohmahan

Sekalipun tidak pernah berhasrat mencemar kesucian Islam apabila memasuki bahagian dalam surau al-Huda di Kajang Central, Ahli Parlimen Serdang, Toe Nie Ching tidak keberatan membuat permohonan maaf jika tindakannya meresahkan umat Islam di negara ini.
.
Di sebalik percaya peristiwa itu dipersenda pihak tertentu atas matlamat politik, beliau sedia menjernihkan keadaan dan mengindar perasaan kurang senang sekali gus mengelakkan perselisihan di kalangan masyarakat Islam.

Dengan merendahkan diri dan bersikap beralah, beliau sedia memberi penjelasan dan permohonan maaf kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris berhubung peritiwa berkenaan.

Dalam kenyataan media, Teo Nie Ching menjelaskan tujuan beliau ke surau Al Huda adalah untuk menghulurkan sumbangan kerajaan negeri bagi memperbaiki surau dan menyertai program berbuka puasa.

“Pada Ahad 22 Ogos, saya sebagai ahli parlimen Serdang mengunjungi Surau Al-Huda, Kajang untuk menghulurkan bantuan berbentuk memperbaiki pagar surau dan berbuka puasa bersama ahli jawatankuasa dan jemaah surau.

"Oleh kerana saya dijemput untuk memberi sepatah dua kata, saya dengan secara ikhlas memberikan sedikit penjelasan mengenai program pendidikan kerajaan negeri yang memanfaatkan rakyat Selangor,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor , Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata Sultan Selangor murka dan dukacita terhadap tindakan Teo Nie Ching itu memberi ucapan dalam surau berkenaan.

Bagaimanapun, kemurkaan baginda bukan dititahkan baginda sendiri sebaliknya disampaikan Pengerusi Mais, sebuah badan agama yang diketahui umum, berkait rapat dengan kerajaan persekutuan.

Apapun, Teo Nie Ching kesal kerana kejadian itu sengaja dihangatkan pihak tertentu untuk tujuan politik sedangkan hasratn bertandang ke rumah ibaadat sebuah agama yang bukan anutannya, berniat murni.

“Saya menyesal bahawa perkara ini menimbulkan perasaan keresahan antara umat Islam negara kita dan isu ini telah diperhangatkan pihak tertentu atas sebab politik.

"Saya ingin menegaskan secara ikhlas dan murni bahawa lawatan saya ke Surau Al-Huda tidak berniat politik, tidak bermotif untuk menyebabkan kesucian surau dan masjid dipersoalkan,” katanya.

Sungguhpun begitu, beliau akan lebih berhati-hati pada masa depan supaya tindakannya itu tidak mudah dimanipulasi pihak tertentu.

“Saya menyambut baik pesanan, peringatan dan nasihat dari semua pihak mengenai perkara tersebut, dan akan dengan segala upaya, menjalankan tugas saya dengan lebih berhati-hati supaya tidak menimbulkan perasaan kurang senang dan perselisihan faham di kalangan umat Islam pada masa yang akan datang," katanya.

Nik Aziz: Bukan Islam Digalak Hampiri Masjid, Rapati Islam

Tidak faham agama itu puncanya.Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz berkata, isu bukan Islam memasuki masjid bukan satu kesalahan dalam Islam kerana ianya antara kaedah yang diguna Nabi Muhammad SAW dalam menyampaikan mesej dakwah.

Isu ini menjadi polemik dalam masyarakat akibat sentimen politik mengatasi kefahaman agama Islam yang murni.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching yang masuk ke Surau Al-Huda di Kajang Ahad lalu, yang kini hangat diperkatakan.

“Oleh kerana hubungan kita dengan Islam semakin jauh, belajar pun tidak, maka bila tiba perkara-perkara macam ini, terus timbul masalah.”

“Padahal kalau kita balik dari sejarah asal, ramai dari penduduk Arab Qurasy yang kafir datang jumpa Nabi. Nabi letak dalam masjid, mereka tidur dalam masjid, makan dalam masjid, bahkan kencing dalam masjid”.

Tambah Nik Aziz ,tindakan mempolemikkan isu tersebut juga bukan sahaja akan menjauhkan orang bukan Islam kepada Islam, malah bertentangan dengan sunnah Nabi.

“Jadi bila ada orang bukan Islam sekarang ni masuk dalam masjid, tak ada apa pun. Nak ceramah ke, nak apa ke, tak ada masalah apa pun,”

“Menjauhkan orang bukan Islam dengan masjid adalah budaya kita sahaja, bukan ajaran nabi,”

Dalam Islam menurutnya, Muaalaf ditafsir dengan tiga golongan iaitu mereka yang baru memeluk Islam, belum Islam tetapi cenderung memeluk Islam dan orang bukan Islam tetapi menghormati dan tidak menentang Islam.

Menyentuh mengenai tidak menutup aurat ketika memasuki masjid, Tuan Guru berkata, mungkin masalah penjaga masjid tidak memberitahu kepadanya.

“Jadinya dalam tiga ini hanya satu sahaja yang kita guna. Dua lagi kita biarkan menyebabkan masyarakat kita semakin jauh dengan yang bukan Islam,”

Bayaran elaun guru Pasti Kelantan dalam Dirham

KOTA BHARU, 29 Ogos: Selepas Persatuan Tahfiz al-Quran Malaysia (Permata) bercadang untuk membayar gaji kakitangannya menggunakan Dinnar dan Dirham, Guru-guru Pasti Kelantan juga turut menerima Dirham sebagai bayaran elaun bulanan mereka.

Mereka telah menerima elaun bulanan berupa tiga keping Dirham yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa.

Penyampaian dibuat pada satu majlis khas yang diadakan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), dekat sini semalam.

Pengagihan bayaran elaun menggunakan Dirham tersebut sebagai sokongan terhadap Dinar dan Dirham yang diperkenalkan kerajaan Kelantan.

Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Pasti Kelantan, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman, Chegu Mohd Nuri Yaacob serta lain-lain pimpinan Pasti peringkat negeri dan kawasan.

Husam ketika berucap pada majlis itu memberitahu, kerajaan negeri berusaha menghidupkan Dinnar dan Dirham setelah umat Islam telah ‘ditidurkan’ dalam tempoh yang panjang.

Katanya, sistem Dinnar dan Dirham sewajarnya dihidupkan semula oleh umat Islam zaman kini setelah yahudi mula melenyapkannya bermula tahun 1840 di zaman kerajaan Othmaniyah.

"Dinar dan Dirham yang diperkenalkan Kelantan menggunakan ukuran diperkenalkan Saidina Omar 4.25 gm dan akan bernilai di seluruh dunia.

"Sedangkan mata wang kita ada negara-negara tidak menerimanya sekiranya tidak membuat pertukaran terlebih dahulu sebelum ke negara terbabit,"ujarnya.

Husam turut mengingatkan masyarakat supaya tidak menggunakan Dinnar dan Dirham sewaktu nilaiannya jatuh dan menyarankan menggunakan Ringgit Malaysia,

"Jangan terpedaya dengan dakwaan pihak tertentu yang mengatakan rakyat akan rugi sekiranya mengunakan mata wang Dinnar dan Dirham.

"Kita harus ingat, sistem tersebut adalah ajaran Islam dan ianya terkandung dalam al-Quran sendiri,"ujarnya.

Tiada Ambang Merdeka, hormati kemuliaan Ramadhan

PULAU PINANG, 29 Ogos: Buat kali kedua, Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak menganjurkan program 'Ambang Merdeka' sebagai menghormati bulan Ramadhan yang sedang dihayati oleh umat Islam seluruh dunia, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Komtar, Ng Wei Aik.

Beliau yang lazimnya diamanahkan merancang program sedemikian menegaskan, keengganan Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang tidak bererti tidak menghayati saat-saat kemerdekaan tetapi kerana bulan Ramadhan bulan mulia, ia hanya disambut pada keesokan hari seperti pembarisan.

"Tahun ini merupakan tahun kedua kita tidak mengadakan sambutan ambang merdeka untuk menghormati bulan Ramadhan yang mulia. Jangan ada pihak pula mencetuskan isu kerajaan negeri tidak hormati kemerdekaan kerana di siang hari pembarisan tetap dilaksanakan," jelasnya ketika berucap pada majlis Ihya Ramadhan anjuran Lajnah Penerangan PAS di Tapak Ekspo, Seberang Jaya malam tadi.

Namun bagi sektor swasta ia disambut seperti biasa bagi mengenang kembali sejarah silam perjuangan Tunku Abdul Rahman melaungkan perkataan keramat merdeka sebanyak tiga kali menandakan bendera Malayan Union diturunkan.

Lagipun, katanya kerajaan negeri dapat menjimatkan perbelanjaan sekiranya sambutan sebegitu tidak dibuat.

Apa yang penting sekarang, ujarnya rakyat yang cintakan keamanan dan kemakmuran wajar mengukur tema hari kemerdekaan tahun ini iaitu '1Malaysia Menjana Tranformasi' .

Katanya, jika mahukan tranformasi berlaku, rakyat Malaysia usah lagi berpeluk tubuh tetapi bersama menjulang usaha memenangkan Pakatan Rakyat pada piliharaya umum ke 13 kelak untuk membuktikan tranformasi benar-benar menjadi kenyataan.

Tambahnya, bukan sekadar slogan rakyat disuruh melakukan perubahan sedangkan jiwa rakyat dibelenggu dengan hutang negara yang maskin bertambah.

"Akibat pembaziran Kerajaan Malaysia, setiap rakyat termasuk bayi yang baru dilahirkan terpaksa menanggung hutang sebanyak RM14,700. Apakah dosa bayi yang baru lahir walhal semuanya perbuatan kerajaan yang boros, " tegasnya.

Bagi mencapai matlamat negara maju pada tahun 2020 nanti, katanya tidak mustahil Malaysia akan dikenali sebagai negara maju yang bankrap apabila banyak pelabur asing keluar dari negara ke Indonesia dan Thailand.

Ini kerana, katanya pelabur yakin dengan ketetapan dasar atau polisi negara berkenaan walaupun sesiapa yang memerintah berbanding dasar di Malaysia yang senantiasa berubah mengikut gaya masing-masing.

"Di mana hilangnya Islam Hadhari ciptaan Tun Abdullah Ahmad Badawi bila dia bersara dan tidak mustahil slogan 1Malaysia pun akan hilang dari sebutan rakyat ketika mana individu lain pula memerintah menggantikan Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya yang juga setiausaha politik kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI