Monday, July 18, 2011

Pertahan Kampung Baru wasiat terakhir Dr Lo' Lo'

KUALA LUMPUR, 18 Julai: Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof menegaskan, muslimat bertekad untuk memenuhi pesanan terakhir Allahyarhamah Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali agar mereka meneruskan perjuangan mempertahankan Kampung Baru yang merupakan amanah daripada penduduk.

Siti Zailah berkata, penduduk kampung Baru di bawah Parlimen Titiwangsa amat bertuah mempunyai wakil rakyat yang sanggup berjuang membela hak mereka walaupun dalam keadaan sakit.

"Wasiat beliau kepada kami supaya kami bersama rakyat mempertahankan maruah Kampung Baru. Itulah di antara wasiat beliau yang terakhir kepada kami.

"Jadi saya rasa penduduk Kampung Baru amat bertuah kerana walaupun wakil rakyatnya meninggal dunia tapi beliau memperjuangkan nasib Kampung Baru sehingga ke akhir nyawa dan kami akan menyambung perjuangan beliau untuk mempertahankan tanah Kampung Baru," katanya.

Sejak mula dipilih sebagai ahli parlimen Titiwangsa, Allahyarhamah sangat komited dalam membantu penduduk kawasan itu mempertahankan tanah mereka daripada dirampas BN.

Beliau merupakan ahli Parlimen yang lantang membawa suara rakyat ke Parlimen bagi menolak Rang Undang-undang Perbadanan Kampung Baru dan pelan perancangan membangunkan kampung tersebut.

Selain itu, beliau memberikan sokongan penuh dengan menghadiri sesi dialog penduduk dengan peguam dalam memberikan penjelasan mengenai status tanah yang diwarisi daripada nenek moyang mereka.

Selain itu Siti Zailah menyifatkan Allahyarhamah sebagai seorang yang sangat tabah dan cekal menghadapi segala cacian pihak lawan dalam emnegakkan kebenaran.

"Beliau tokoh mujahidah Islam yang cukup sabar, cukup tabah walaupun dalam keadaan kesakitan tapi masih cukup memberi semangat dan dorongan kepada kami dan banyak memberi pandangan bernas demi kebangkitan Islam," katanya.

Sambil menyifatkan pemergian Allahyarhamah sebagai kehilangan sebutir permata berharga, beliau berkata Allahyarhamah sentiasa memberikan semangat kepada kepimpinan muslimat untuk meneruskan perjuangan.

"Kami doakan roh beliau dicucuri rahmat, ditempatkan di kalangan orang yang soleh dan apa yang beliau tinggalkan adalah amal jariah yang kita akan teruskan.

"Bagi kami kehilangan beliau satu kehilangan permata yang amat berharga untuk negara kita

"Di antara pesanan beliau kepada kami ialah supaya kami meneruskan perjuangan dan melaksanakan yang terbaik untuk masa depan Islam dan rakyat dan mengingatkan kami supaya sabar dan tabah dalam mengharungi perjuangan dan tidak patah semangat," katanya yang juga ahli Parlimen Rantau Panjang.

Sementara itu, ahli Parlimen PAS akan mengagihkan tugas untuk membantu menguruskan Parlimen Titiwangsa setelah pemergian Dr. Lo' Lo' Mohd Ghazali.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, PAS akan mengaihkan tugas sebaik mungkin bagi memastikan tugas-tugas di kawasan tersebut tidak tergendala.

"Sudah tentu tidak akan ada pilihan raya kecil di Titiwangsa jadi oleh sebab itu tugas untuk memantau kehidupan masyarakat di Titiwangsa ini akan diagihkan kepada beberapa ahli parlimen PAS khususnya bersama rakan-rakan pakatan Rakyat," kata beliau ketika ditemui di majlis pengebumian allahyarhamah di Tanah Perkuburan Islam Kampung Datuk Keramat, pagi tadi.

Beliau juga berkata, kehadiran orang yang sangat ramai untuk memberikan penghormatan terakhir menunjukkan allahyarhamah seorang yang sangat disayangi dan pemergiannya amat dirasai.

"Bertuah rakyat Titiwangsa memiliki wakil rakyat seperti ini yang sukar dicari ganti. Kehadiran orang ramai hari ini menunjukkan betapa kasih dan sayangnya mereka kepada beliau," ujarnya

Tambahnya, sepanjang berjuang bersama Allahyarhamah, beliau dianggap seperti kakak dan ibu yang sentiasa memberikan motivasi kepada orang lain.

"Saya kehilangan seorang sahabat yang banyak memberikan motivasi walaupun kadang-kadang di kalangan kawan-kawan kami ketawa di atas sifat beliau yang membawa watak sebagai seorang ibu yang sentiasa memberikan leteran.

"Tetapi sebenarnya leteran itu ialah satu motivasi untuk kita bekerja lebih kuat untuk menjayakan misi rakyat ini dan saya lihat bahawa beliau seorang wakil rakyat yang sangat gigih turun ke padang memberikan khidmatnya kepada masyarakat," katanya yang juga ahli Parlimen Pokok Sena.

Tidak pernah saya rasa begitu benci pada kerajaan



Tmn melewar Gombak: Sasterawan Negara Datuk A Samad Said yang terkenal dengan sikap kelembutannya kini menyimpan satu perasaan benci kepada Kerajaan berikutan dengan tindakan polis menyuraikan perhimpunan BERSIH 2.0 genap seminggu lalu melibatkan kecederaan dan kehilangan nyawa rakyat.

Kata Pak Samad, “seluruh rakyat Malaysia yang telah menyertai himpunan itu terus mengkritis kerajaan UMNO- BN apabila melihat keganasan yang dilakukan oleh pihak polis. Meskipun UMNO-BN kini membuat berbagai helah menyatakan polis yang menjalankan tugas ketika itu tidak melakukan tindakan yang kasar kepada rakyat tetapi sebaliknya rakyat yang bertindak kasar dalam himpunan itu”.

Kata-kata itu menjadi luka berdarah buat rakyat Malaysia dan saya percaya UMNO-BN akan terkubur dalam PRU ke 13 nanti.

Beliau yang memberi ucapan dalam majlis pelancaran Yellow Saturday di Markaz Tarbiyah PAS di Taman Melewar malam kelmarin menceritakan pengalamannya dalam himpunan lalu kepada semua rakyat yang hadir dalam ceramah itu.

Katanya , “sebelum (gas) ditembak, ada himpitan dari belakang, (oleh) kelompok polis juga. Jadi kami agak tersepit, seperti di (Hospital) Tung Shin, (kami) tiada jalan alternative lain jadi go through saja.

"Tidak pernah saya rasakan begitu bencinya saya pada kerajaan. Itulah waktunya saya lebih benci," kata A Samad yang mengimbau kembali pengalamannya di KL Sentral, tempat beliau mula-mula bertembung dengan polis.

Beliau menyifatkan tindakan polis menangani "perhimpunan damai" itu secara "bengis".

Menghabiskan hari yang panjang daripada pagi sehinggalah disekat polis kali terakhir kira-kira 300 meter daripada Istana Negara di sebelah petang untuk menyampaian Memorandum yang merupakan amanah rakyat untuk di sembahkan kepada Yang di Pertuan Agong, amat mengecewakan tiada pertimbangan yang sebaiknya oleh polis.

" Mata saya telah mengalami kecederaan akibat tembakan gas water canon, mereka (Polis dan FRU) nampak saya ketika itu, kalau boleh mereka hendak makan saya”.

Berbeza dengan demonstrasi pertamanya pada Mac 2007 bagi membantah dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), kali ini saya rasakan ujiannya terlalu kuat dengan menempuh pelbagai rintangan.

Sepatu Nike saya juga hilang apabila dihimpit dengan ramai rakyat disitu lebih-lebih lagi apabila polis datang mengejar rakyat yang berhimpun disitu.

“Saya bukan sahaja hilang capal, tetapi peralatan yang saya bawa seperti garam, tuala kecil dan air mineral yang dibawa sebagai alat pelindung saya tepaksa diberikan orang lain apabila salah seorang peserta himpunan disitu kelihatan nafasnya menjadi sesak meminta-minta agar diberikan bantuan.

Saya berikan semua peralatan saya kepada beliau untuk menyelamatkan dirinya, jika tidak mungkin orang itu juga mengalami nasib yang serupa seperti arwah Baharudin”.

"Saya seharusnya diapit dua orang peguam, (tetapi) mereka juga hilang apabila kami semua dikejar oleh polis dan FRU untuk mengelak diri dariapda di tembak dengan gas," katanya yang mengakui sudah menjangkakan pendekatan keras itu akan diambil pihak berkuasa.

Pada Sabtu itu, pakaian saya sudah basah lencun akibat hujan dan dengan tembakan meriam air, saya terus berjalan kira-kira 10 kilometer menuju ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Saya berkaki ayam separuh jalan, berbatu-batu. Ada beberapa anak muda yang nampak saya ketika itu hendak beri saya sepatu Nike tetapi saya menolaknya kerana saya fikir sepatu itu cantik sangat dan biarlah saya bersusah payah untuk masa depan anak bangsa saya sendiri”.

"Kemudian saya di datangi oleh seorang lagi anak muda dengan memberi saya sepatu yang besar, saya menerimanya kerana saya fikir perjalanan saya jauh dan banyak halangan yang perlu saya tempuhi untuk menyerahkan Memorandum kepada Agong. Ini merupakan satu pengalaman pahit dan tidak mungkin saya lupakan”.

Pengarang novel Salina itu juga menyuarakan rasa terharunya apabila melihat semangat perpaduan dan hormat menghormati semua bangsa pada hari itu demi mencapai matlamat yang satu arah untuk menuntut pilihan raya yang bebas dan adil.

"Tidak pernah saya melihat satu kelompok orang muda yang berbilang bangsa itu bersatu oleh satu cita-cita. Itu sangat membanggakan".

Kata terakhir beliau dalam ceramah itu, saya berpesan berulang kali kepada generasi muda terutamanya “Kalian seharusnya bertekad bersatu hati untuk mengubah pentadbiran demokrasi Negara ini dalam pilihanraya umum ke -13 nanti, demi masa depan anak cucu kita. Orang tua mungkin tidak mampu lagi untuk bekerja kuat namun kita akan sentiasa memberi sokongan padu bagi menukar pentadbiran Kerajaan Baru" kata A Samad Said dengan sambutan Takbir oleh semua yang hadir dalam ceramah itu.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Yellow Saturday di Markaz Tarbiyah PAS di Taman Melewar malam kelmarin. Turut berucap ialah dua Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar serta anggota Unit Amal yang difitnah membawa pisau semasa himpunan Bersih 2.0, Abdul Razak


Editor : khaulah Azwar

SIMFONI KASIH TAUTAN HATI